Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan

“PERPADUAN UMMAH DAN PENYATUAN RAKYAT”

 

Peristiwa Hijrah membuka lembaran kepada kelahiran sebuah negara-kota Madinah; negara-kota yang penubuhan dan tadbir urusnya bertunjangkan satu piagam negara, Sahifah al-Madina atau Piagam Madinah.  Piagam Madinah ialah satu perlembagaan bertulis yang tidak ada duluan, meskipun pemimpin agung yang mengasaskannya, diriwayatkan tidak boleh membaca.[1]

 

  1. Piagam Madinah berjaya menyatukan masyarakat Madinah. Piagam Madinah berbentuk perjanjian bertulis yang dihasilkan melalui perbincangan dan persetujuan yang dicapai antara seluruh penduduk Kota Madinah daripada kalangan orang-orang Ansar dan Muhajirin, serta orang-orang Yahudi yang terdiri daripada beberapa kumpulan, antaranya bani Qainuqa, Quaizan dan Nadir.

 

  1. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menjemput pemimpin-pemimpin kaum dan agama untuk menerima perjanjian Sahifah Madinah. Setiap pihak yang menandatangani perjanjian tersebut diiktiraf sebagai ummah, memperlihatkan bahawa perkataan ummah, bersifat inklusif.[2]  Hijrah, telah membuka ruang membolehkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam membuktikan bahawa kewujudan bersama, secara aman dan damai boleh berlaku antara puak yang berlainan.

 

  1. Piagam Madinah merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah selain Al-Quran, yang menjadi tatacara pemerintahan di negara kota tersebut. Piagam Madinah bertujuan dan berjaya menyatupadukan penduduk antara kaum dan antara suku-suku bangsa Arab yang senantiasa bertelagah sebelum itu.  Perlembagaan Madinah menjamin keadilan kepada setiap penduduk, tanpa melakukan diskriminasi disebabkan berlainan bangsa atau warna kulit; dan semua penduduk Madinah dipertanggungjawabkan memelihara keamanan dan keselamatan negara.

 

  1. Perlembagaan Madinah memberi kebebasan kepada semua penduduk menjalankan kegiatan ekonomi dan kegiatan perniagaan tanpa sebarang diskriminasi. Madinah yang aman lagi tenteram, telah menarik minat pedagang-pedagang luar, lalu Madinah berkembang sebagai pusat perdagangan penting di Semenanjung Tanah Arab, membantu mengangkat tahap penguasaan ekonomi dan perdagangan umat Islam, serta turut berjaya memunculkan negara-kota Madinah sebagai negara Islam yang makmur.

 

  1. Sesungguhnya Piagam Madinah, digubal dengan wawasan yang jauh, mengunjurkan realiti komposisi penduduk dunia yang bakal dihadapi pada masa hadapan, dan dalam semangat yang memahami seruan-seruan yang terkandung di dalam Al-Quran, dengan menerima hakikat ciptaan ILAHI, di samping berusaha memahami muslihat yang terselindung di sebalik kebijaksanaan ILAHI mencipta penganut agama yang pelbagai. Firman ALLAH dalam ayat 118 dan 119 Surah Hud, bermaksud:

 

“Dan kalaulah Tuhan mu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.  (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan.

 

Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhan mu, (mereka bersatu di dalam agama ALLAH); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah ALLAH menjadikan manusia…”[3]

 

  1. Perlembagaan Madinah memberikan kebebasan beragama, dan penganut-penganut agama lain tidak diganggu mengamalkan fahaman masing-masing, dalam semangat yang memahami bahawa dunia ciptaan ILAHI ini diwujudkan dengan kelainan dan kepelbagaian. Berulang kali ALLAH Subhanahu Wata’ala berfirman menghuraikan, bahawa dunia yang diciptakan umat yang pelbagai, sebagai salah satu daripada tanda-tanda kebesaran ILAHI.  Ayat 22 dalam Surah Ar Ruum, bermaksud:

 

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasa mu dan warna kulit mu.  Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”[4]

 

  1. Dalam perjanjian “al-Uhda al-Umariyah”, Sayidina Umar al-Khattab, memberi jaminan keselamatan kepada penduduk Aelia[5].  Mukadimah perjanjian tersebut mencatatkan:

 

“Ini jaminan keselamatan daripada hamba ALLAH (khalifah kedua), Umar (Ibn al-Khattab, Amirul Mukminin) kepada penduduk Aelia.[6]  Baginda mengurniakan jaminan keselamatan kepada nyawa dan harta, gereja dan salib; kepada yang sihat dan kepada yang uzur (kepada sesiapa juga tanpa pengecualian); dan kepada semua komuniti agama.”

  1. Oleh sebab kepelbagaian itu ciptaan yang menandakan kebesaran ILAHI, kepelbagaian itu wajib diraikan, dalam semangat yang terkandung dalam ayat 13 Surah Al Hujarat yang bermaksud:

 

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.  Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.  Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”[7]

 

  1. Coexistence atau kewujudan bersama, secara aman dan damai di kalangan umat ciptaan ILAHI di serata dunia ini, dan di kalangan rakyat di negara ini merupakan penentuan kepada keamanan dunia dan keharmonian hidup sesebuah negara. Sejarah menunjukkan bahawa pemerintahan Islam tidak menghalang bukan Islam untuk tinggal bersama. Islam tidak mengizinkan dilakukan ketidakadilan semata-mata atas dasar perbezaan agama, perbezaan kaum, perbezaan warna kulit dan perbezaan keturunan.

 

  1. Hijrah dilakukan atas hasrat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam mahu membawa perubahan minda. Para sahabat dan kaum Muslimin dibimbing dan dididik, menghayati agama ke arah kesempurnaan, mengembalikan fitrah memuliakan setiap insan ciptaan ILAHI, dengan meninggalkan budaya jahiliah; kerana itu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, menegur Sayidina Umar Ibni Khatab Radiallahuanhu, yang Baginda sifatkan masih terkongkong dengan pemikiran jahiliah, apabila Sayidina Umar Radiallahuanhu menggelar Bilal dengan gelaran anak hitam.

 

  1. ALLAH Subhanahu Wata’ala menciptakan manusia di bumi ini dengan pelbagai bangsa, kaum dan agama dan menegaskan agar mewujudkan perdamaian sesama umat manusia di muka bumi ini. Islam mengutamakan konsep toleransi dan hubungan harmoni dengan penganut agama lain.  Islam menganjurkan umatnya bersifat terbuka, memberi fokus kepada titik-titik persefahaman dan mengelakkan pertelingkahan.  Firman ALLAH dalam ayat 108, Surah Al An’aam, bermaksud:

 

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain ALLAH, kerana mereka nanti akan memaki ALLAH dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.  Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka.  Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”[8]

 

  1. Barisan pemimpin yang mengasaskan penubuhan negara kita, bersifat pragmatik dan realis, menerima realiti komposisi kepelbagaian rakyat di bumi ini. Perlembagaan Merdeka digubal berasaskan realiti komposisi rakyat yang begitu pelbagai, setiap seorangnya diberikan jaminan keadilan, perlindungan, dan hak.  Negara ini dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa, dan menganut pelbagai agama.  Prinsip toleransi dan semangat menghormati kewujudan pelbagai agama termaktub di dalam Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan; ‘Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’.

 

  1. Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi. Toleransi yang dimaksudkan tidak bererti umat Islam diperlukan mengakui doktrin keyakinan agama lain, kerana dalam persoalan akidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan.  Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam, menyentuh aspek muamalah harian, ia itu, perkara-perkara berkaitan urusan dunia dan kehidupan manusia, di samping mengamalkan akhlak yang baik ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain.

 

  1. Kita melangkah ke tahun 1440 Hijrah, ketika negara baru menyambut ulang tahun kemerdekaan keenam puluh satu, dan diambang menyambut 55 tahun penubuhan Malaysia. Sesebuah negara terbentuk, lalu dibangunkan kerana adanya titik pertemuan hasrat dan matlamat di kalangan ummah untuk bernegara.  Persekutuan Tanah Melayu disusuli enam tahun kemudiannya dengan penubuhan Malaysia, ialah sebuah negara baru, dilahirkan pada tahun 1957, kerana adanya titik pertemuan hasrat dan titik pertemuan matlamat di kalangan penduduk bumi ini, untuk membentuk sebuah negara bercorak Persekutuan, di bawah payung naungan pemerintahan seorang Yang di-Pertuan Agong, yang didukung oleh Raja-raja Pemerintah daripada setiap negeri, dan di bawah pentadbiran sebuah Kerajaan Persekutuan, dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan di peringkat negeri.

 

  1. Ketika negara menyambut ulang tahun tarikh kemerdekaan, ketika rakyat memperingati tarikh penubuhan sebuah negara Malaysia yang berdaulat, aman, makmur lagi sejahtera, dan ketika kita menziarahi Peristiwa Hijrah, selamilah! Hayatilah! semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah, begitu juga falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan Negara. Perpaduan!  Perpaduan sesama umat Islam wajib diperkukuhkan, perpaduan sesama rakyat pelbagai agama-pelbagai kaum wajib disuburkan, dalam hasrat membina kehidupan yang damai lagi harmoni, dalam hasrat membangunkan negara yang aman lagi makmur.

 

  1. Semoga rakyat di bumi ini dilimpahi dengan rahmat dan petunjuk ILAHI, semoga negara kita dijauhi daripada sebarang persengketaan dan mala petaka. Amin, Ya Rabbulalamin.

 

 

[1] Berpandukan dialog Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam dengan Malaikat Jibrail Alai Wassalam, di Gua Hira, ketika berlangsungnya pertemuan sulung Jibrail Alai Wassalam menyampaikan wahyu pertama ILAHI di Gua Hira.

[2] Mohd. Roslan Mohd. Nor, “Multicultural Discourse from the Minbar: A Study on Khutbah Texts Prepared by JAKIM Malaysia”, Islam and Multiculturalism: Between Norms and Forms., Edited by Fukami Naoko and Sato Shohei, JSPS and Africa Platform Program, Organization for Islamic Area Studies, Waseda University, Tokyo, Japan, 2012

[3] Al-Quran: Surah Hud (11:118-119)

[4] Al-Quran, Surah Ar Ruum (30:22)

[5] Ibid.

[6] Merujuk kepada Islamic Jerusalem (Bayt al-Maqdis)

[7] Al-Quran, Surah Al Hujuraat(49:13)

[8] Al-Quran, Surah Al An’aam (6:108)

 

In The News:

http://www.thesundaily.my/news/2018/09/12/sultan-nazrin-shah-calls-muslims-strengthen-unity

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/472277/hayati-falsafah-perpaduan-piagam-madinah-sultan-nazrin

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hayati-semangat-perpaduan-piagam-madinah-sultan-nazrin-1.745654

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/410420/sultan-nazrin-embrace-charter-medinas-philosophy-unity

 

%d bloggers like this: