Anjuran Bersama Midas Dan Universiti Pertahanan Malaysia

“HUBUNGAN TENTERA DENGAN AWAM”

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Maha Suci ALLAH yang di tangan Nya segala kerajaan, Maha Suci ALLAH yang Maha Kuasa atas segala sesuatu; Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.[1]

2. Hamba-Mu ini dengan hati yang bening – dengan ingatan yang hening, melafazkan kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya kerana dengan rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, hamba-Mu ini dianugerahkan kudrat dan dikurniakan pemikiran untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah, di majlis ilmu, anjuran bersama Malaysian Institute of Defense and Strategy (MIDAS) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Semoga majlis ilmu ini dilimpahkan segala keberkatan ILAHI, selaras dengan sabda Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam seperti yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Radiallahuanhu;

Petikan:

“Menghadiri majlis orang berilmu, lebih utama daripada mendirikan solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan bertakziah seribu jenazah”.[2]

 

3. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan; semoga memperoleh ihsan dari ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.

4. Tentera di anggotai oleh insan-insan biasa. Insan-insan yang memiliki fitrah biasa kemanusiaan, memiliki sifat belas – sifat kasihan, diperlengkap dengan jiwa penyayang, jiwa pengasih, jiwa romantis. Insan biasa ini telah dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai senario, diperkenalkan dengan pelbagai senjata, dicabar dengan pelbagai ujian. Mereka melalui proses transformasi fizikal, minda dan spiritual, lalu akhirnya terbina kekuatan – terbina ketahanan, terbina ketabahan – terbina kecekalan, menghasilkan jati diri insan yang bersemangat waja dan berjiwa wira. Mereka dibangunkan dalam dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin – yang menjunjung semangat kesetiaan – yang mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi. Mereka sedia berpanas – berhujan, mereka sedia bertempur – mereka sedia berperang. Mereka cekal jika perlu menamatkan riwayat insan lain – dan pada masa yang sama turut cekal untuk ditumpahkan darahnya – dicederakan tubuhnya – dikecaikan dagingnya – dikorbankan nyawanya. Setiap keberanian dan segala kerelaan itu, dilakukan bukan untuk keperluan dirinya sendiri, tidak juga untuk kepentingan peribadinya, tetapi dilaksanakan menjunjung arahan – menjunjung perintah, memenuhi tugas – memenuhi tanggung jawab. Mereka melakukan segalanya untuk membantu memenuhi hasrat – untuk membantu mencapai matlamat, mengikut yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi. Hasrat dan matlamat yang sering kali dan umumnya ditetapkan dari kalangan pimpinan bukan tentera, atas nama Ketua Negara – atas nama Ketua Kerajaan. Di situlah terletak menara ketaatan dan mercu kesetiaan angkatan tentera terhadap pimpinan awam dalam sistem berkerajaan dan bernegara berteraskan pimpinan awam.

5. Namun demikian hubungan seideal tersebut tidaklah menyeluruh. Tentera itu dianggotai oleh insan-insan yang juga diperlengkap dengan akal, fikiran, naluri dan nafsu. Pimpinan dan anggota tentera juga memiliki emosi, aspirasi, idealisme dan cita-cita. Kerana itu, budaya tentera, begitu juga bentuk hubungan tentera dan awam tidak stereotaip coraknya. Terdapat pelbagai model dan pola. Jika angkatan tentera, ibarat satu aliran fahaman, maka mereka terpecah kepada pelbagai mazhab; setiap mazhab dipengaruhi oleh sejarah penubuhan, tradisi peranan, landskap politik, komposisi kaum, taburan penduduk, lokasi geografi, sumber kewangan, etika moral, pegangan agama, malah pelbagai faktor lain. Angkatan tentera telah dan akan terus melakukan pelbagai penyesuaian agar dapat berfungsi secara berkesan, agar organisasinya kekal relevan dalam ruang alam ianya beroperasi. Penyesuaian secara bijak dirintis demi memastikan ia tidak berakhir sebagai dinosaur yang pupus ditelan zaman. Rupa bentuk budaya tentera ditentukan oleh acuan persekitaran kewujudannya, laksana air yang bulat kerana pembetung. Ia adalah pemikiran strategik yang bukannya baru berlaku di hari ini; ia telah lama terkandung dalam resipi Seni Peperangan sejak 500 tahun sebelum Masihi berasaskan penemuan tulisan yang dihasilkan oleh Sun Tzu:

Petikan:

“Just as water adapts itself to the conformation of the ground, so in war one must be flexible; he must often adapt his tactics to the enemy situation”[3]

6. Terkumpul pelbagai teori, terhimpun khazanah penyelidikan dan terdapat banyak contoh akan hubungan tentera dengan awam. Huraian yang Beta pilih untuk dizahirkan di sesi ini, adalah elemen adab dan etika, hikmah dan moraliti dalam hubungan tentera dengan awam, serta cuba mengaitkan dalam konteks negara Malaysia. Hubungan yang berpotensi mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan, hubungan yang berpotensi membina keharmonian dan kesejahteraan.

7. Bahawa angkatan tentera itu adalah satu keperluan, satu kemestian yang tidak boleh ditiadakan. Ia bukan sekadar keperluan yang tercetus dari logika pemikiran insan, ia merupakan satu kewajipan – satu tuntutan – satu fardu kifayah di dalam Islam seperti yang diperintahkan dalam ayat 60, surah Al-Anfaal, bermaksud;

Petikan:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh ALLAH, musuh mu serta musuh-musuh lain yang kamu tidak mengetahuinya; sedang ALLAH mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan ALLAH niscaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”[4]

8. Surah Al-Anfaal yang diturunkan di Madinah; menerangkan berkaitan rukun dan adab peperangan yang ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala. Ia merangkumi panduan pembahagian harta rampasan perang, larangan untuk berundur ketika peperangan, hukum mengenai tawanan perang, kewajipan taat kepada pimpinan semasa perang, keharusan mengusahakan perdamaian, kewajipan mempersiapkan diri dengan segala alat kelengkapan perang, ketahanan mental, kesabaran, sifat tawakal serta mengingati ALLAH semasa perang; ia menggariskan tujuan peperangan di dalam Islam, larangan khianat kepada ALLAH dan Rasul serta amanat; begitu juga larangan dari mengkhianati perjanjian.

9. Ayat tersebut nyata memperingatkan betapa pentingnya dipersiapkan angkatan perang yang gagah lagi perkasa; angkatan perang yang dilengkapi dengan peralatan terbaik, angkatan perang yang dapat menimbulkan rasa gerun – rasa gentar di pihak musuh. Ayat tersebut memperingatkan ummah tentang adanya musuh dalam kehidupan alam; ayat tersebut memperingatkan ummah supaya berwaspada terhadap musuh, malah amatlah penting untuk ummah lebih berwaspada terhadap musuh yang tidak dapat dikenal pasti dengan mata kasar. Namun ini tidaklah bermakna bahawa ALLAH Subhanahu Wata’ala dan Islam menggalakkan peperangan. Di sebaliknya, Islam menganjurkan bahawa sebaik-baik kaedah untuk menyelesaikan konflik adalah melalui saluran perdamaian. Persiapan menghadapi peperangan hanyalah satu mekanisme untuk mengelakkan diri dari diserang; dalam semangat mahu menghindarkan peperangan dari berlaku. Konsep yang turut kita temui dalam Doktrin Peperangan yang dianjurkan oleh Carl Von Clausewitz dengan menyatakan bahawa “peperangan adalah satu kaedah lain kepada penerusan diplomasi”, seiring dengan semangat yang terkandung dalam ayat 61, surah Al-Anfaal bermaksud;

Petikan:

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [5]

10. Nyatalah peperangan itu bukannya satu matlamat, ia adalah satu kaedah, satu opsyen, malah opsyen terakhir setelah tidak ada lagi alternatif lain untuk menyelesaikan konflik, kerana ALLAH telah memerintahkan bahawa perdamaian adalah opsyen yang harus dijadikan pilihan.

11. Pemikiran untuk menghindar peperangan ketara dinyatakan dalam karya Seni Peperangan yang dirangka cipta oleh Sun Tzu. Sun Tzu menyarankan supaya diutamakan kebijaksanaan strategi dalam hasrat untuk menewaskan musuh, tidak perlu bertempur secara langsung, tidak perlu menakluki kota, tidak perlu melakukan pengepungan, tidak perlu menjatuhkan negeri dan tidak perlu menumpahkan darah, kerana kepada Sun Tzu, pertempuran tidak sekadar melibatkan insan-insan beruniform dan bersenjata malah membawa mala petaka dan kesengsaraan kepada banyak pihak.[6]

12. Pemikiran Sun Tzu yang meletakkan keutamaan kepada nilai moral – nilai intelek, dan kepada kesesuaian persekitaran adalah manifestasi yang mencerminkan pemikiran rasional seorang awam. Sun Tzu menganjurkan pentingnya difikirkan muslihat dengan menghulurkan tali yang panjang kepada musuh sehingga akhirnya boleh membelit leher mereka.[7] Strategi menggunakan muslihat membawa ingatan akan kebijaksanaan hikmah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam ketika Baginda memilih memeterai Perjanjian Hudaibiya di antara umat Islam Medina dengan puak Quraish Mekah, setelah umat Islam berperang dengan puak Quraish, dalam Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq. Perjanjian Hudaibiya adalah perjanjian yang memilih opsyen perdamaian. Prima facie perjanjian tersebut dianggap berat sebelah; pada zahirnya Perjanjian Hudaibiya memperlihatkan sifat toleransi Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang begitu tinggi, memberikan kelebihan yang keterlaluan kepada puak Quraish. Sebenarnya terkandung muslihat tersirat di sebalik yang tersurat; tali panjang yang dihulurkan pada akhirnya membelit leher puak Quraish Mekah. Akhirnya Perjanjian Hudaibiya membuka laluan kepada penaklukan Mekah, menyediakan prasarana untuk membolehkan Islam diperkembangkan di Semenanjung Arab, dan pada akhirnya memberikan kemenangan gemilang kepada umat Islam.

13. Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dapat dikategorikan sebagai pemimpin awam di sebalik mengambil tanggung jawab sebagai Pemerintah Agung dalam operasi perang. Baginda telah memberikan dimensi yang lebih menyeluruh, Baginda melakukan analisis yang lebih halus, Baginda mentafsirkan implikasi secara lebih komprehensif, ketika menghadapi situasi peperangan. Baginda menyuntik semangat – menyuntik keyakinan , memenuhi peranan semak dan imbang serta merupakan sumber panduan dan sumber rujukan. Baginda memastikan bahawa prinsip dan etika perang mengikut yang ditetapkan oleh ILAHI dipatuhi. Prinsip dan etika yang secara tegas menetapkan;

Pertama: tentera tidak memerangi golongan lemah merangkumi orang tua, orang cacat, wanita dan kanak-kanak;

Kedua: tidak memerangi orang awam yang tidak bersenjata.

Ketiga: tidak memusnahkan harta benda seperti bangunan, tanaman dan khazanah bernilai di negara yang diperangi.

14. Hari ini prinsip dan etika perang yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan yang syumul ini hanya menjadi kenangan sejarah. Peperangan di era moden tidak lagi mempedulikan nilai-nilai kemanusiaan. Penderitaan yang ditanggung oleh Nagasaki dan Hiroshima adalah permulaan kerakusan penggunaan senjata moden yang sangat memusnahkan. Kemusnahan tanpa batas yang dilakukan di Iraq, di Afghanistan, di Palestin dan di kawasan-kawasan sasaran serangan kuasa besar, mengiakan kata-kata, “Bahawa yang kuat berhak melakukan apa sahaja – yang lemah wajib menanggung segala derita”.

15. Tentera digambarkan berwajah bengis, melakonkan watak kejam. Anggota tentera berpanas kering di padang pasir, berbaju lembap di hutan tropika, diserang kolera – diserang malaria; nyawa berharga sebutir peluru; ada kalanya membantu memapah rakan yang cedera – ada kalanya mengusung keranda berbalut bendera negara. Tentera dilukiskan dengan seburuk wajah, diwarnakan dengan sekelam warna; namun tentera hanyalah instrumen melakonkan watak kejam – sekadar perantara menyebabkan berlakunya penderitaan; tentera yang berada di teater peperangan hanyalah melakonkan watak berasaskan skrip yang telah ditentukan kepada mereka.

16. Umumnya, pengarah skrip kepada teater kekejaman, adalah manusia-manusia awam, berpelajaran tinggi – berbahasa indah, berwajah jernih – bersenyum manis, berpakaian kemas, berjaket, bertali leher, bersepatu kilat; menghirup minuman, menghadapi juadah di meja bulat, dalam bilik berhawa dingin berpermaidani tebal, dipagari pengawal peribadi, dikelilingi kamera media. Dan mereka inilah juga, di platform yang lain di serata dunia, berdiri di rostrum melaungkan suara hak-hak asasi manusia sejagat, mendendangkan lirik keadilan – mendendangkan simfoni persaudaraan; lalu mereka disanjung – dipuja, disokong – dijulang, diamanahkan kepercayaan – diberikan kuasa. Dan penulis skrip kezaliman ini, memiliki segala keistimewaan, jika terhiris jari, seinci kulit terkoyak luka – setitis darah yang menitik, sepuluh doktor datang merawat; sedangkan di medan tempur, tenteranya menghadapi segala keperitan, dan keluarga tenteranya menanggung segala kerinduan dan mangsa tenteranya menanggung segala derita.

17. Sun Tzu mengingatkan bahawa tidak ada pihak mendapat manfaat dari perang yang berlarutan. Biarlah Beta pada hari ini memberanikan diri, menyanggah sedikit kata-kata mutiara tersebut dengan menyatakan, bahawa sebenarnya, di hari ini, ada segolongan kecil yang meraut keuntungan besar dari perang yang berlarutan. Mereka dari kalangan orang awam – mereka dari kalangan sebilangan kecil mantan pegawai tinggi tentera yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam industri perang dan industri senjata, yang mendapat restu dari penentu dasar yang memiliki kuasa. Bilangan kecil yang meraut keuntungan besar ini terdiri dari kalangan pedagang – dari kalangan pembekal senjata dan peralatan perang, berserta sekutu mereka yang menentukan dasar. Mereka inilah yang suka peperangan dicetuskan – mereka inilah yang gembira dengan peperangan yang berlarutan. Setiap peluru – setiap senapang, setiap kereta perisai – setiap kereta kebal, setiap kapal perang – setiap pesawat perang yang berjaya dihasil dan dijual, membawa keuntungan – meningkatkan kemewahan hidup mereka. Lebih banyak keranda yang ditimbus di liang lahad – lebih besar dan lebih banyaklah mahligai mewah yang mampu mereka bina. Mereka sebenarnya membina mahligai di atas pusara mangsa peperangan.

18. Demikian harga tinggi yang perlu dibayar oleh kumpulan profesionalisme bernama tentera sebagai bidak (pawn), sebagai sateria, sebagai kuda (knight), sebagai gajah (bishop), sebagai kastil (castle) di atas papan catur, apabila mereka dijadikan instrumen permainan kuasa dan permainan politik oleh pihak awam yang berada di tampuk kuasa serta gelojoh dengan kuasa. Peperangan demi peperangan berlaku, keranda demi keranda disemadikan. Sedangkan para perajurit di medan tempur bertanya, mengapakah mereka berada di bumi Vietnam, mengapakah mereka berada di celah-celah gunung di Afghanistan, mengapakah mereka berada di padang pasir di Asia Barat, dan pada setiap sambutan Hari Natal ada ibu ketiadaan anak, ada isteri ketiadaan suami, ada anak ketiadaan bapa. Demikian juga jawapan yang dicari oleh warga di Vietnam, di Afghanistan, di Asia Barat dan warga di serata tempat yang buminya dijadikan medan pencerobohan, apakah dosa mereka sehingga terpaksa menanggung derita kerana pencerobohan tentera asing. Ibu mereka, isteri mereka dan anak mereka juga menanggung kesunyian yang sama di bulan Ramadhan – di bulan Syawal, di hari-hari kebesaran agama dan di hari-hari kebesaran budaya masing-masing.

19. Tentera berperanan aktif dalam menghadapi pelbagai dinamik politik domestik di serata dunia, baik di China, di Myanmar, di Pakistan, di Sri Lanka, di Indonesia, di Thailand, di Filipina, di Korea, di Afrika, di Latin Amerika dan kini yang paling diberikan perhatian oleh dunia, dinamik yang sedang berlaku di berapa negara di Asia Barat, antaranya Mesir, Syria, Tunisia dan Libya. Apakah tentera telah berjaya berperanan secara profesional melindungi kepentingan awam atau tentera telah membenarkan dirinya bersekutu melakukan kezaliman dan menambah burukkan keadaan, hingga lebih banyak kerosakan berlaku dan lebih banyak nyawa terkorban. Apakah tentera telah melaksanakan tanggung jawab berdiri di atas prinsip keadilan – mempertahankan kebenaran atau tentera telah merelakan dirinya mempertahankan kezaliman serta membantu untuk pemanjangan berlakunya kezaliman.

20. Makluman perlu disaring secara teliti, dianalisis secara objektif, supaya yang dipilih adalah beras, yang dibuang adalah antah. Setiap makluman dari peristiwa yang telah dan sedang berlaku wajib dijadikan pedoman – dijadikan panduan. Betapa pentingnya peranan makluman, malah makluman yang tepat ditegaskan oleh Sun Tzu sejak dari tahun 500 sebelum Masihi, ketika teknologi maklumat dan komunikasi masih terlalu primitif – ketika teknologi maklumat dan komunikasi tidak secanggih di hari ini. Melalui instrumen teknologi maklumat yang semakin canggih, fakta dan kebenaran tidak lagi boleh dilindungi. Analisis yang tepat hanya dapat dicapai apabila kebenaran tidak ditutup, apabila kenyataan didedahkan secara berani betapa pahit sekalipun. Mencari dan menemui kebenaran yang hakiki wajib dijadikan objektif yang sama sekali tidak dikompromikan. Segala yang berlaku wajib dijadikan contoh teladan, baik di pihak tentera lebih-lebih lagi di pihak awam, dijadikan kajian kes, dijadikan bahan rujukan untuk memperkayakan pemikiran para siswazah dan para penyelidik baik di MIDAS begitu juga di Universiti Pertahanan Nasional. Jangan diputihkan yang hitam dan jangan pula dihitamkan yang putih. Kepimpinan tentera jangan berwatak penglipur lara kepada pemimpin awam, memilih cerita suka – cerita gembira, menapis cerita duka – cerita derita, akibatnya pemimpin jatuh – negara diceroboh.

21. Kedua-dua pihak tentera dan awam memiliki skop dan bidang kuasa masing-masing. Kuasa adalah amanah yang perlu digunakan untuk menegakkan kebenaran – untuk melaksanakan keadilan – untuk melakukan kebaikan – untuk membangunkan kemakmuran – untuk membina kesejahteraan. Kuasa tidak boleh sama sekali disalah guna hingga mengizinkan berlakunya penindasan – hingga mengizinkan berlakunya kezaliman. Prinsip-prinsip utama kenegaraan yang meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang hendaklah senantiasa dijadikan pegangan. Kekayaan negara perlu diagihkan secara saksama. Negara perlu diurus tadbir secara telus – secara cekap, bersih dari rasuah serta tidak menyalahgunakan kuasa. Ketaatsetiaan adalah kepada institusi Ketua Negara; yang wajib dipertahankan bukannya kepentingan individu – bukannya kepentingan kumpulan tertentu, tetapi kepentingan warga yang lebih menyeluruh dan kepentingan negara bangsa yang lebih besar. Sebagai insan yang beragama tanggung jawab kita yang lebih besar adalah kepada Tuhan Maha Pencipta.

22. Jeneral yang bertanggung jawab memiliki kearifan untuk membuat keputusan setelah menimbangkan segala perkara. Jeneral yang bertanggung jawab sama sekali tidak mengizinkan dirinya dan tenteranya dimanipulasikan oleh mana-mana pihak. Jeneral yang bertanggung jawab akan menentukan laluan mana yang wajar dipilih dan perintah mana yang wajib diikut. Jeneral yang bertanggung jawab akan memastikan bahawa lesen menggunakan senjata akan digunakan lebih untuk melindungi nyawa dan meminimumkan pembunuhan. Kesetiaan jangan sampai ke peringkat membuta tuli, hingga membenarkan berlakunya keganasan – hingga merelakan berlakunya kesengsaraan. Kesetiaan jangan sampai menghilangkan maruah; jangan sampai menodai integriti, jangan sampai menggadaikan prinsip hingga akhirnya kehormatan diri, kehormatan bangsa dan kehormatan negara dikorbankan.

23. Kesetiaan biar bertempat – ketaatan biar berwaktu. Kata orang tua-tua, “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”. Kata-kata tersebut mengundang Beta untuk memetik episod-episod kesetiaan Hang Tuah dan penderhakaan Hang Jebat, dua pahlawan Melayu di era Kesultanan Melayu Melaka. Kesetiaan Hang Tuah kepada Raja tidak ada bandingnya, hingga sanggup menusukkan keris ke dada seorang sahabat. Hang Tuah melakukannya atas prinsip bukan untuk mempertahankan batang tubuh peribadi seorang Raja, tetapi mempertahankan Kerajaan Baginda kerana Hang Tuah berpegang bahawa tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa. Apa pun polemik berkaitan peristiwa tersebut, Hang Tuah boleh dirumuskan berada dipihak yang mahu mempertahankan magna carta hubungan rakyat dengan Raja yang tidak boleh dibenarkan menderhaka hingga ke peringkat meleburkan negara bangsa. Namun dalam episod Hang Tuah, menggunakan tipu muslihat, menggoda, memperdaya dan mengikat tali cinta palsu, kemudiannya melarikan Tun Teja, puteri Bendahara Pahang, tunangan kepada Megat Panji Alam Terengganu, dengan tujuan untuk dipersembahkan kepada Raja Melaka, adalah contoh kesetiaan yang tidak bertempat, ‘pengorbanan harta ataupun nyawa’ yang dilakukan, amat bercanggah dan bertentangan dengan nilai moral dan nilai etika; perbuatan yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamat.

24. Dalam episod Raja Melaka menitahkan Hang Tuah dihukum bunuh, sebenarnya berlaku dua penderhakaan terhadap Raja melalui dua kaedah yang berlainan; satu secara halus – satu lagi secara biadab. Penderhakaan pertama adalah ketidakpatuhan Bendahara menyanggah titah Raja, kerana Hang Tuah tidak dibunuh tetapi disembunyikan di Hulu Melaka. Penderhakaan kedua dilakukan oleh Hang Jebat kerana membantah ketidakadilan Raja.

25. Apakah moral di sebalik episod ini. Raja Melaka melambangkan pemerintahan tertinggi, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan yang bersemayam di puncak pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Raja Melaka telah disalah nasihat. Baginda gagal menghalusi kesahihan berita, lalu membuat keputusan yang salah. Bendahara Melaka melambangkan pimpinan awam memiliki hikmah dan kematangan. Tindakan Bendahara dilakukan secara rasional, secara bijaksana, menggunakan muslihat demi memastikan Melaka kekal harmoni, demi memastikan keadilan dipertahankan dengan tidak melaksanakan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah yang tidak bersalah. Meskipun penyanggahan titah oleh Bendahara, berunsur derhaka tetapi ia dilakukan berlandaskan undang-undang, berpandukan kontrak sosial yang telah melakarkan hubungan dan tanggung jawab Raja dengan rakyat, magna carta yang telah termeterai di Bukit Seguntang Mahameru, di antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun, “Bahawa Raja Adil Raja Disembah – Raja Zalim Raja Disanggah”. Penderhakaan Bendahara berlaku dalam parameter adab dan adat bangsa Melayu, secara sopan – secara santun, bersandarkan tertib dan tatasusila Melayu yang tidak akan mengaibkan nama baik takhta secara terbuka.

26. Hang Tuah bersama Hang Jebat adalah pegawai tertinggi tentera. Dalam episod ini, Hang Tuah mencerminkan gabungan elemen awam dan elemen tentera. Puncak kesetiaan menjunjung titah dimanifestasikan oleh Hang Tuah bermula dari kerelaan dilucutkan gelaran, kerelaan menerima hukuman bunuh, bersedia kembali menjunjung titah Raja, lalu dengan cekal dan nekad membunuh Hang Jebat. Kerasionalan Hang Tuah dilambangkan melalui sifat rela mematuhi nasihat Bendahara untuk bersembunyi di Hulu Melaka, dan elemen keinsanan Hang Tuah diperlihatkan di saat-saat Hang Jebat menghembus nafas terakhir, beliau memangku tubuh Hang Jebat serta berjanji akan memenuhi permintaan terakhir Hang Jebat. Yang dimatikan oleh Hang Tuah adalah tindakan penderhakaan, namun Hang Jebat atas nama peribadi kekal dianggap sahabat sejati. Tindak tanduk Hang Tuah mencerminkan pertama: prinsip menegakkan undang-undang dengan menentang penderhakaan; kedua: semangat kesetiaan mutlak seorang perwira yang tidak mempertikaikan apa juga perintah termasuk untuk dihukum bunuh dan untuk membunuh sahabat sendiri; ketiga: komponen-komponen kemanusiaan dan persaudaraan apabila menangisi kematian Hang Jebat dan memenuhi janji untuk memelihara anak Hang Jebat yang bakal dilahirkan.

27. Tindakan derhaka Hang Jebat, tidak terbatas kepada Raja tetapi mencecah peringkat merampas kuasa, melakukan coup d’ etat, hingga Sultan terpaksa berundur dari istana. Rampasan kuasa yang dilakukan oleh Hang Jebat tidak mendapat sokongan rakyat, lalu meningkatkan kemarahannya, dan Hang Jebat terus bersifat ganas, terus mengamuk dan terus mengorbankan lebih banyak nyawa. Darah dan emosi seorang panglima, dengan kekuatan fizikal, kehebatan bermain senjata, di samping kelebihan memiliki Taming Sari, senjata paling sakti di era tersebut, mendorong Hang Jebat, bertindak mengikut nafsu, didorong emosi darah yang panas.

28. Kisah Hang Tuah adalah romantika sastera bangsa yang memiliki elemen-elemen sistem pemerintahan, peranan Raja, peranan awam dan peranan tentera, serta dinamik hubungan di antara tiga institusi tersebut dalam suasana krisis. Romantika sastera dan rakaman sejarah pelbagai peristiwa berkaitan kerajaan, tentera dan awam termasuk kajian-kajian semasa mengandungi kekayaan khazanah untuk dijadikan rujukan, panduan dan pedoman. Teaternya mungkin sudah berbeza, latar belakang dan senarionya juga turut berbeza, begitu juga watak dan peralatannya juga kini berbeza. Namun elemen-elemen peranan, fungsi, tanggung jawab, kesetiaan, konflik, harmoni, pergeseran, perselisihan dan matlamat masih sama, Cuma pada hari ini, elemen-elemen tersebut menjelma dalam skrip, watak, lakonan dan latar belakang yang berbeza.

29. Tuhan telah mencipta alam semesta dengan pelbagai tumbuhan dan kehidupan. Ada yang terbang di awan, ada yang berenang di lautan, ada yang melata di bumi. Ada tanaman subur di lembah, ada pohon segar di bukit. Ada kembang harum mewangi ada kuntum segar warnanya. Setiap satunya telah ditentukan segar subur dalam sempadan alam kehidupan masing-masing. Segagah mananya gajah tidak mungkin bertahan di dasar laut, sehebat mananya paus tidak mungkin bernafas di puncak gunung. Demikian juga dengan pelbagai kecenderungan, kepakaran dan kemahiran yang diagih-agihkan di kalangan manusia, masing-masing ada peranannya, masing-masing ada medannya, untuk dapat saling lengkap melengkapi memenuhi keperluan hidup, melaksanakan tugas fardu kifayah. Masing-masing digaris sempadannya – masing-masing dilukis ruangnya. Jika sempadan peranan ini gagal dihormati, akan tempanglah perjalanan maya – akan pincanglah kehidupan alam.

30. Kata-kata Melayu lama mengingatkan supaya “tanah sekepal jadikan gunung, air setitik jadikan laut, alam semesta jadikan guru” supaya kita tidak tersilap langkah, hingga berakhir dengan melakukan perkara yang tidak diperlukan, ibarat memasang pelita di hari siang, mencari bayang di waktu malam. Belajarlah dari alam dan fahami kaedah yang tepat, kalau menyikat gunakan sisir, kalau meraut gunakan pisau, supaya kalau berladang biar menjadi, kalau bersawah biar berpadi. Untuk itu dinamik politik yang sedang berlaku secara global hendaklah ditafsirkan secara tepat supaya pihak tentera begitu juga pihak awam dapat memperkukuhkan formula jalinan kerja yang harmonis di antara satu sama lain dalam semangat saling menghormati – saling bekerjasama.

31. Transformasi politik sedang berlaku di serata dunia. Lebih banyak negara sedang menuju ke arah pembentukan pemerintahan demokrasi awam. Malah di negara-negara yang tentera pernah berperanan dominan dalam urus tadbir negara di satu masa yang lalu, kini sedang melakukan pelbagai transformasi, berundur fasa demi fasa untuk memberikan laluan kepada pentadbiran demokrasi awam sementara tentera memilih untuk lebih menumpukan peranan kepada tugas-tugas mutlak ketenteraan. Banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan mutakhir ini. Antaranya pengaruh industrialisasi, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, media yang semakin terbuka, taraf literasi, kumpulan menengah yang semakin bertambah, peranan badan-badan bukan kerajaan dan badan-badan antarabangsa, tuntutan hak asasi manusia. Setiap satunya merupakan tunggak-tunggak yang semakin mempengaruhi dan menuntut kepada sistem pemerintahan berlandaskan amalan demokrasi. Faktor yang lebih memudahkan penerimaan proses transformasi ini, adalah sifat positif kepimpinan tertinggi tentera sendiri. Bahawa komposisi kepimpinan tertinggi tentera di negara-negara yang berkaitan kini terdiri dari angkatan baru; angkatan yang semakin jauh dan terpisah dengan sejarah penubuhan tentera di negara-negara masing-masing, sama ada yang berlatar belakangkan tentera revolusi atau tentera rakyat atau tentera yang berperanan sebagai sayap kepada organisasi politik yang pernah berjuang untuk kemerdekaan, melakukan revolusi atau terlibat dalam rampasan kuasa.

32. Di Malaysia, sejarah moden penubuhan Angkatan Tentera bermula susulan dari ketetapan Raja-Raja Melayu di dalam Persidangan Durbar. Malah ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tanda tangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, salah satu dari tujuh wasiat secara tegas menetapkan perkara berkaitan Angkatan Tentera. Wasiat tersebut berbunyi;

Petikan:

“Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu Diraja selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara”.

33. Angkatan Tentera Malaysia bermula dengan pengambilan dua puluh lima (25) orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Rejimen ini terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938. Memahami hakikat bahawa rakyat di bumi ini terdiri dari pelbagai kaum, maka adalah penting untuk dipastikan bahawa komposisi anggota tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja. Dalam tahun 1952, proses penyertaan bukan Melayu di dalam Angkatan Tentera telah dimulakan dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan[8]. Ini kemudiannya diikuti dengan penubuhan unit-unit Signal, Jurutera, Pengangkutan dan Polis Tentera.[9] Dalam usaha mengembangkan Angkatan Tentera, Maktab Tentera Persekutuan ditubuhkan di Port Dickson pada tahun 1952 dan pengambilannya dibuka untuk semua kaum. Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-Negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura. Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan di Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya. Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1952 Tentera Udara Diraja Malaysia bertitik mula dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-Negeri Selat pada tahun 1936, kemudian ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940. Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958 setelah pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di Kuala Lumpur.

34. Angkatan Tentera Malaysia telah melalui proses evolusi secara berterusan, bermula dari pasukan tambahan di dalam tentera British kepada pasukan menentang insurgensi, seterusnya menjadi sebuah angkatan konvensional. Angkatan Tentera Malaysia ditubuhkan beracuan modul Kerajaan Inggeris. Sempadan peranan Angkatan Tentera digariskan secara jelas. Perkara (41) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang Dipertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Perkara (137) Perlembagaan Persekutuan menggariskan penubuhan dan fungsi Majlis Angkatan Tentera yang bertanggung jawab di bawah kuasa am Yang Dipertuan Agong. Dalam kenyataan menyokong penubuhan Majlis Angkatan Tentera, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, menegaskan pentingnya Angkatan Tentera Persekutuan Tanah Melayu berada di landasan yang betul dalam hubungan dengan Ketua Negara dan Ketua Kerajaan.[10] Pendirian Tunku, diperkukuhkan dengan penegasan Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak memberi peringatan kepada tentera untuk tidak mencampuradukkan tugas tentera dengan politik.[11] Penerimaan tentera terhadap garis pemisahan kuasa politik dan kuasa tentera ini dimanifestasikan melalui kata-kata Brigadier Mohd. Noor bin Haji Tamrin, seorang pegawai kanan, yang memulakan perkhidmatan tentera bermula dari seorang prebet dalam Rejimen Askar Melayu pada tahun 1937, ketika Brigadier Mohd Noor menyampaikan ucapan persaraan beliau dalam tahun 1966. Beliau menegaskan bahawa terdapat tiga komponen yang harus dipatuhi setiap masa oleh Angkatan Tentera;[12]

Pertama: semangat muhibah dan harmoni terhadap semua kaum

Kedua: disiplin yang ketat

Ketiga: kesetiaan seratus peratus kepada Raja, Negara dan Kerajaan.

35. Sehingga kini Angkatan Tentera Malaysia telah menjunjung piagam penubuhannya dengan penuh berdisiplin. Susulan dari peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969, Negara telah mengisytiharkan darurat. Parlimen telah digantung. Urus tadbir Negara diletakkan di bawah kuasa MAJLIS GERAKAN NEGARA (MAGERAN). MAGERAN dianggotai oleh pimpinan tertinggi politik dan awam berserta anggota tentera dan polis. MAGERAN dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak tetapi seorang pegawai kanan tentera, Leftenan Jeneral Dato Ibrahim Ismail telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada MAGERAN. Negara di era pentadbiran MAGERAN adalah satu-satunya ketika, pimpinan politik negara memberikan ruang dan kepercayaan kepada penglibatan langsung pegawai tentera dalam urus tadbir harian negara. Apabila Parlimen kembali berfungsi pada Februari 1971, tentera menghormati ketetapan pemerintahan awam dan kembali kepada tugas asas ketenteraan.

36. Tempoh dua puluh satu bulan usia MAGERAN telah memungkinkan terlahirnya satu jaringan hubungan kerja yang positif lagi produktif kepada pihak awam dan tentera. Apresiasi terhadap potensi keupayaan tentera tidak hanya terbatas sebagai instrumen peperangan tetapi peranan tentera dalam masa damai turut dihargai. Di bawah arahan dan kawalan pihak awam, tentera di bawa bersama dalam program-program pembangunan di kawasan-kawasan yang menghadapi ancaman keselamatan. Istilah Keselamatan Dan Pembangunan (KESBAN) diperkenalkan. MAGERAN adalah titik permulaan penting kepada peranan tentera yang lebih produktif dalam membantu usaha-usaha membangunkan negara. MAGERAN telah membuka laluan kepada jalinan kerjasama yang lebih luas di antara tentera dengan awam. MAGERAN adalah detik penting yang telah meningkatkan kepercayaan dan semangat saling menghormati di antara dua entiti perkhidmatan tersebut.

37. Ketika berlangsungnya Konferensi Pegawai Kanan Tentera 1977, Jeneral Ibrahim Ismail, sebelum bersara dari jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera, menyuarakan nasihat bahawa, untuk demokrasi dapat subur di Malaysia, supremasi awam perlu dipertahankan, hakikat masyarakat pelbagai kaum perlu diterima, kedaulatan undang-undang wajib dilaksanakan, pertukaran kerajaan dipastikan berlangsung secara teratur, dan hak asasi manusia hendaklah dihormati[13]. Demikian nada rasional dan suara kenegaraan seorang pemimpin tertinggi tentera yang mendukung prinsip ulung sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem pemerintahan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kata-kata tersebut melambangkan pendirian angkatan tentera Malaysia yang kukuh berpegang kepada prinsip bahawa masalah politik memerlukan penyelesaian politik dan tentera hendaklah kekal berkecuali dari terlibat dalam sebarang polemik politik.

38. Disiplin tentera yang menghormati supremasi awam itu hendaklah diberikan respons yang setimpal. Pimpinan politik dan organisasi awam hendaklah membuktikan tanggung jawab untuk memastikan kestabilan negara dan ketenteraman awam kekal terjamin. Tentera akan terus kekal mempertahankan disiplin profesionalisme selagi pimpinan awam dapat memenuhi amanah warga, mengurus tadbir negara secara cekap, telus, adil dan saksama; selagi pimpinan awam mendapatkan kuasa pemerintahan secara sahih, berlandaskan keluhuran Perlembagaan – bersandarkan kedaulatan undang-undang. Pimpinan politik, juga parti-parti politik hendaklah dalam segala ucap kata, dalam segala tindak tanduk mencerminkan sifat bertanggung jawab untuk menjamin iklim politik yang harmoni, tidak mensensasikan secara ekstrem isu-isu sensitif terutama perkara-perkara yang telah lama dipersetujui dan terkandung dalam kontrak sosial menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum-kaum lain; demikian juga dalam kegiatan pengembangan agama, institusi-institusi agama wajib menghormati perlindungan khusus yang telah diperuntukkan kepada umat Islam di dalam Perlembagaan negara, merangkumi tidak melakukan perbuatan yang dianggap oleh umat Islam telah menodai kesucian Islam seperti penggunaan kalimah ALLAH. Sedarlah! ucap kata dan tindak tanduk yang bersifat provokatif, boleh mencetuskan pergeseran sesama warga yang pada akhirnya akan menjejaskan kestabilan negara.

39. Pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, agihan kekayaan negara secara saksama, merapatkan jurang pendapatan di antara warga, perangkaan jenayah yang rendah, penguatkuasaan undang-undang secara adil tanpa diskriminasi, kebebasan kehakiman dari campur tangan politik, di samping tidak mencampuri urusan tentera secara mikro serta memberikan perhatian terhadap kebajikan tentera, adalah rukun-rukun yang wajib dipenuhi oleh pimpinan awam, untuk menjamin supremasi kepimpinan awam akan terus dihormati. Pimpinan awam wajib membuktikan sebaik contoh teladan, kompeten dan efisien, bersih dari rasuah – bersih dari skandal, serta peka kepada kesusahan dan kebajikan warga.

40. Senario yang boleh mengundang tentera untuk merentasi sempadan tugas profesional ketenteraannya hendaklah dipastikan tidak berlaku. Antara perkara-perkara yang boleh mengundang tentera menyeberangi tugas asas ketenteraan adalah keadaan negara yang tidak tenteram; apabila kepimpinan awam semakin gagal menggubal dasar secara jelas, dan gagal pula melaksanakan dasar secara tegas lagi decisive, apabila kepimpinan awam semakin memperlihatkan sifat-sifat lemah hingga ke peringkat tidak berkeupayaan mempertahankan order sosial; dan lebih membahayakan lagi apabila kekuatan dan penerusan kepimpinan awam mula bergantung pada sokongan tentera. Akan terbukalah jendela rahsia kelemahan kepimpinan awam dan semakin terbukalah pintu membolehkan tentera mencampuri urusan pentadbiran awam negara. Tanggung jawab tidak membuka jendela dan tidak membuka pintu untuk membuka laluan kepada campur tangan tentera adalah tanggung jawab di pihak awam.

41. Sewajibnyalah pimpinan politik dan warga awam di negara ini memanjatkan kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas disiplin kesetiaan yang telah dibuktikan oleh angkatan tentera terhadap supremasi kepimpinan awam. Sewajarnyalah warga awam di negara ini berasa bangga kerana negara memiliki angkatan tentera yang berdisiplin, angkatan tentera yang banyak berjasa kepada negara bangsa. Di peringkat antarabangsa, sehingga hari ini, dua puluh lima ribu (25,000) anggota Angkatan Tentera Malaysia telah menyertai tidak kurang dari tiga puluh tiga (33) misi keamanan, di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tentera Malaysia yang di hantar bertugas ke negara asing adalah untuk melaksanakan misi perdamaian, untuk memelihara keamanan dan keselamatan sejagat. Tentera kita di bawah panji-panji PBB ditugaskan sebagai pemerhati ketenteraan, pasukan batalion, staf markas dan pakar teknikal serta membantu kerja-kerja penguatkuasaan keamanan dan bantuan kecemasan. Bukan dasar negara kita, melakukan mobiliti tentera ke negara luar untuk berperang dan mencetuskan porak-peranda dengan mana-mana negara dan wilayah di dunia ini. Anggota tentera kita dalam memenuhi misi di peringkat antarabangsa telah mengamalkan disiplin yang tinggi – telah memperlihatkan sifat keinsanan yang mulia dan telah mengharumkan nama negara. Mereka adalah sateria bangsa – mereka adalah wira negara.

42. Hari ini tanggung jawab pertahanan negara diletakkan di atas bahu hampir seratus dua puluh enam ribu (126,000 – angka tepat 125,571) anggota Angkatan Tentera Malaysia sepenuh masa dan enam puluh ribu (60,000) anggota simpanan. Mereka berada di barisan hadapan mempertahankan negara dari sebarang ancaman. Mereka melakukan pengorbanan yang tinggi melindungi keselamatan negara dan keselamatan warga; merangkumi Raja yang bersemayam di istana hinggalah nelayan yang mencari rezeki di laut. Ketika majoriti warga berperayaan, berpesta, berehat dan bersama keluarga, mereka berada di serata tempat, di puncak gunung dan di dasar lautan, di pinggir sempadan dan di persisiran pantai, untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga – untuk mempertahankan kemerdekaan sebuah negara – untuk mendaulatkan kemuliaan Raja Pemerintah.

43. “Orang berbudi – kita berbahasa”. Oleh itu khidmat dan jasa anggota tentera perlu diberikan apresiasi yang sepatutnya. Pengorbanan mereka hendaklah diberikan ganjaran yang setimpal baik ketika mereka masih aktif berkhidmat, ketika mereka telah bersara, lebih-lebih lagi kepada anggota keluarga mereka yang menjadi balu – menjadi piatu, ibu bapa yang kehilangan anak, adik kakak yang kehilangan saudara. Mengingati jasa tentera tidak memadai dengan setahun sekali di Hari Pahlawan meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara, atau setahun sekali di hari Pahlawan mengadakan tahlil di Masjid Negara. Tentera berkorban mempertahankan negara sepanjang masa – sepanjang ketika. Apresiasi yang lebih bermakna perlu dilaksanakan – penghargaan yang lebih setimpal perlu difikirkan, atas segala jasa bakti dan jasa besar mereka.

44. Negara ini berjaya memenuhi pelbagai agenda pembangunan, berupaya mencapai status kemajuan yang membanggakan kerana adanya rangkaian kerja harmoni di antara pelbagai pihak termasuk formula hubungan yang positif dan konstruktif di antara awam dengan tentera. Formula hubungan kerja yang harmoni ini perlu dipertingkatkan dengan tidak pula mengorbankan integriti angkatan tentera. Oleh itu, baik di peringkat takhta pemerintahan, begitu juga pimpinan awam, media, parti-parti politik, organisasi bukan kerajaan dan angkatan tentera perlu memahami skop dan bidang tugas masing-masing; masing-masing pada tempatnya; masing-masing dengan adabnya, jika keris sisip di pinggang – jika mahkota letak di kepala, jika cincin pakai di jari – jika gelang pakai di tangan, yang lelaki duduk bersila – yang perempuan duduk bertempoh; ranting kekal di dahan – perdu tegap di pangkal. Hukum sosial berlandaskan resam – berpandukan adab ini jika tidak dilanggar, dengan izin ALLAH jua akan terbinalah sebuah negara Malaysia yang warganya cekal bersatu, akan terbinalah sebuah negara Malaysia yang aman, makmur lagi sejahtera.

45. Lima puluh (54) tahun yang lalu, ketika negara ini mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra telah memilih lagu kebangsaan negara, memilih tempo yang syahdu – memilih lirik yang syumul. “NEGARAKU”, Lagu Kebangsaan Negara, mengandungi lirik berikut:

Negara ku

Tanah tumpahnya darah ku

Rakyat hidup

Bersatu dan maju

Rahmat Bahagia

Tuhan kurniakan

Raja kita

Selamat Bertakhta.

Lirik lagu tersebut mengandungi sembilan belas (19) perkataan. Secara kebetulan Ayat 30, Surah Al-Muddatstsir, bermaksud;

Petikan:

“Di atasnya ada sembilan belas (malaikat penjaga)”.[14]

Semoga bumi Malaysia ini terus dilimpahkan keberkatan rahmat dari ILAHI, berjaya membentuk sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI – “Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur” seperti yang digambarkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 15 Surah Saba[15].

46. Sembilan belas patah perkataan yang terkandung dalam lirik “NEGARAKU” mengandungi maksud yang menyeluruh lagi komprehensif. Terkandung pengakuan seorang warga akan bumi kelahirannya, terkandung gambaran kehidupan rakyat yang bersatu dan maju, terkandung lafaz kesyukuran kerana mendapat rahmat tuhan, terkandung doa untuk memastikan Raja sebagai lambang negara selamat bertakhta. Lirik “NEGARAKU” adalah gabungan kata-kata hikmat, memasukkan elemen ketuhanan, elemen raja, elemen negara, elemen warga. Ia diperkenalkan kepada setiap warga sejak kecil. Ia dinyanyikan setiap pagi oleh anak-anak sekolah, ia dinyanyikan dalam acara-acara rasmi. Ia perlu dihayati, dialirkan di dalam darah, didenyutkan di jantung hati, dipahat di jiwa – disemai di hati. Ia adalah instrumen penyatuan dalam kepelbagaian.

47. Setiap kali “NEGARAKU” berkumandang, anggota tentera membuktikan apresiasi penghayatan yang cukup tinggi, menghayatinya sebagai instrumen pengukuhan – sebagai lambang membuktikan ketaatan kepada Raja dan kesetiaan kepada Negara Bangsa. Semangat apresiasi dan penghayatan tersebut wajiblah dijadikan contoh teladan setiap warga. Bermula dari menghayati lirik lagu NEGARAKU, kita bersumpah setia untuk memastikan rakyat hidup bersatu dan maju, memohon rahmat ILAHI, dan memastikan Raja sebagai payung pelindung negara dan lambang penyatuan warga selamat bertakhta.

48. Dalam mempertahankan kedaulatan takhta pemerintahan dan kemerdekaan sebuah negara bangsa, banyak nyawa telah terkorban, terutama di kalangan anggota tentera. Pengorbanan mereka adalah pengorbanan yang sungguh besar. Jasad mereka telah disemadikan di pusara di serata negara, dan kebanyakan pusara mereka adalah pusara yang tidak bernama. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan pengorbanan mereka diterima sebagai pengorbanan yang mendapat rahmat setinggi-tingginya dari ILAHI. Sempena Majlis kita di pagi ini, sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka, marilah sama-sama kita bertafakur sebentar, mendoakan semoga roh mereka dilimpahkan rahmat, di kalangan umat Islam, sama-samalah kita membacakan Surah Al-Fatihah untuk ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan rahmat ke atas roh-roh mereka yang telah gugur atas nama negara bangsa. AL FATIHAH.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  1. Al Quran, Al Mulk, 29: 1&2.
  2. Imam Ghazali, Ihya Ulumiddin Jilid1, (Kuala Lumpur: Victory Ajensi, 1988), 59.
  3. Sun Tzu, The Art of War, Translated And With An Introduction By Samuel B. Griffith, (London: Oxford University Press, 1963) 43
  4. Al Quran, Al Anfaal 8:60
  5. Sun Tzu, Translation and with introduction by Samuel B. Griffith, The Art of War, (London: Oxford University Press, 1963) 43
  6. Sun Tzu, x
  7. Sun Tzu 43
  8. Chandran Jeshurun, “Development and Civil-Military Relatios in Malaysia: The Evolution of the Officer Corps”, J. Soedjati Djiwandono and Yong Mun Cheong, Soldiers and Stability in Southeast Asia, (Singapore: Institute of South East Asian Studie, 1988) 259.
  9. Ibid.
  10. Straits Times, 14 September 1956, dalam Soldiers and Stability in Southeast Asia. 262
  11. Straits Times, 16 May 1958, dalam Soldiers and Stability in Southeast Asia, 262
  12. Straits Times, 13 December 1966, dalam Soldiers And Stability in Southeast Asia. 263
  13. New Straits Times, 26 November 1977, dalam Soldiers And Stability in Southeast Asia. 269
  14. Al-Quran: Al Muddaststsir, 74:30
  15. Al-Quran: Saba, 34:15
%d bloggers like this: