Balai Bomba Dan Penyelamat Hutan Melintang

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan izin dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat untuk menyempurnakan perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang.

3. Kerajaan Beta menghargai peruntukkan yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membina Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang. Balai bomba di lokasi yang strategik ini akan dapat memberi perkhidmatan kebombaan yang lebih efisyen kepada masyarakat di sekitar kawasan Daerah Hilir Perak.

4. Perkhidmatan kebombaan merupakan suatu keperluan penting khususnya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi atau kawasan perindustrian serta pusat komersial yang pesat membangun. Kewujudan Balai Bomba di sesuatu kawasan memberi keyakinan kepada penduduk persekitaran bahawa perkhidmatan kebombaan yang pantas akan dapat diberikan apabila keadaan memerlukannya.

5. Perkhidmatan kebombaan yang baik juga amat penting bagi pembangunan sesuatu kawasan. Para pelabur, khususnya pelabur asing amat menitikberatkan aspek keselamatan sebelum mereka melabur terutama dari kalangan mereka yang datang dari negara maju yang meletakkan syarat perlunya satu tahap perlindungan keselamatan yang setanding.

6. Kemakmuran ekonomi dan kestabilan sesebuah negara, tidak akan dapat dicapai tanpa jaminan keselamatan yang baik dari aspek jenayah mahupun dari aspek ancaman bencana. Para pelabur tidak akan membuat pelaburan, jika didapati keselamatan aset dan harta benda mereka tidak terjamin. Oleh itu penekanan kepada aspek keselamatan dari bencana kebakaran dan pencegahan dari bencana kebakaran merupakan suatu langkah penting. Setiap pembangunan yang akan dilaksanakan perlulah memikirkan aspek keselamatan dan kesejahteraan umum termasuk menjaga persekitaran bagi mengelakkan sebarang musibah baik dari segi bencana kebakaran atau bencana alam.

7. Rakyat di negeri ini hendaklah sentiasa mengambil berat tentang keselamatan baik dirumah, ditempat kerja mahupun di jalan raya. Saban tahun semakin banyak berlakunya kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa di jalan raya. Akhbar -akhbar seringkali menyiarkan gambar-gambar kemalangan yang ngeri dan memerlukan khidmat anggota bomba mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit dan terkorban.

8. Rakyat di negara ini perlu mengubah sikap ketika berada di jalan raya. Jalan raya di negara ini sudah setanding dengan negara-negara maju dari aspek teknikalnya. Pemandu dan pengguna jalan raya juga perlu berubah sikap agar perjalanan di jalan raya kita menjadi lebih selamat.

9. Semoga tahap kecekapan dan kemahiran perkhidmatan akan terus ditingkatkan terutama dalam menghadapi rakyat pada hari ini yang semakin bijak membuat penilaian terhadap penyampaian perkhidmatan (service delivery) kerajaan. Oleh itu menjadi suatu cabaran besar kepada seluruh warga kakitangan awam, bukan sahaja di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia malah agensi-agensi yang lain juga, supaya sentiasa memantapkan perkhidmatan masing-masing agar dapat memenuhi ekspektasi masyarakat hari ini.

10. Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat diatas khidmat bakti membantu rakyat yang memerlukan perkhidmatan mereka khususnya dalam keadaan kecemasan atau bencana. Semoga para anggota Balai Bomba Hutan Melintang akan melaksanakan perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk di kawasan ini. Perkhidmatan yang disempurnakan dengan tulus ikhlas berserta kemesraan, akan dihargai oleh orang ramai.

11. Beta turut menyeru kepada rakyat setempat agar memberi sokongan yang padu, untuk membolehkan anggota bomba melaksanakan tugas secara berkesan.

12. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan ini, mengisytiharkan Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dibuka dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: