Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui di atas segala sesuatu – lalu memilih dari kalangan makhluk Nya untuk dikurniakan darjat dan dianugerahkan kemuliaan. Hamba-Mu berdiri dengan segala kerendahan sifat, dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati, melafazkan seikhlas kalimah dari denyut nadi, akan setinggi-tinggi kesyukuran atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya Allah, yang telah melanjutkan usia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dalam keafiatan, hingga memungkinkan istiadat menyambut ulang tahun hari keputeraan Baginda kali ke 78, dapat dilangsungkan.
2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.
Ya Rafi’udd Darajat
Daulat Tuanku Syah Alam.
3. Dengan segala kerendahan diri – dengan rasa penuh kasih – penuh sayang, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam di atas singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan segala daulat dan darjat, kebesaran dan kemuliaan. Menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.
4. Ya Allah, Ya Karim, dengan berkat kebesaran Asmaul Husna, dengan berkat kemuliaan nama-nama Mu, hamba Mu memohon akan kurnia dan anugerah dari Mu jua, semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Mu, bersemayam di atas takhta kerajaan dalam keadaan sihat walafiat, dapat menyempurnakan tugas pemerintahan secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, berpandukan petunjuk dari Mu jua, memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin memimpin negeri – menaungi warga, menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup dalam keadaan yang selamat lagi sentosa. Amin, Ya Rabul Alamin.
Ampun Tuanku
5. Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke 78, Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar, penuh taat – penuh setia, menjunjung titah – menjunjung perintah Paduka Seri Ayahanda yang bersandarkan hukum – berlandaskan adat, menjunjung kalam ILAHI – mendukung seruan Nabi. Anakanda bersama Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, semua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, bertekad memelihara kemuliaan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda dengan azam, terus memperkukuhkan tradisi negeri bersultan – rakyat beraja; tradisi yang telah diwarisi turun temurun, agar terus subur dan segar, kekal sepanjang zaman, merentas peredaran waktu – merentas peralihan masa.
6. Sesungguhnya sambutan penuh istiadat ini tidak sekadar merupakan satu penerusan tradisi malah ia melambangkan penerimaan rakyat terhadap institusi Raja dalam budaya berkerajaan dan bernegara di bumi ini. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja adalah sebahagian dari adat dan budaya Melayu. Institusi Raja adalah sistem berkerajaan yang mempunyai landasan sejarah dan tradisinya sendiri. Institusi Raja telah lama berakar di bumi Melayu dengan sistem pemerintahan yang didukung oleh pentadbiran yang cekap lagi tersusun; berjaya menyatukan warga – berupaya memelihara keamanan – bertenaga mencetuskan kemakmuran. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan.
7. Sesungguhnya, rakyat di bumi ini meletakkan keyakinan tinggi kepada institusi Raja, kerana itu, apabila rakyat mempunyai pilihan menentukan rupa bentuk kerajaan, ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, institusi Raja telah dikekalkan. Institusi Raja telah dimaktubkan secara perundangan dalam ‘Perlembagaan Merdeka’. Maka lahirlah sebuah negara merdeka yang berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kuasa Raja dan kuasa rakyat digabung dan diimbang, dalam semangat mengekal yang dikendong sementara berusaha mencipta yang baru.
8. Persepakatan Raja dan rakyat yang dicapai menjelang kemerdekaan, sesungguhnya adalah perulangan semula akan permuafakatan yang telah lama terpahat di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Institusi Raja yang dikanunkan dalam perlembagaan bukan sahaja meneruskan kesinambungan tamadun, malah turut menyuntik roh – membentuk wajah – meletakkan identiti negara bangsa, lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini.
9. Dalam tempoh 22 tahun bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Paduka Seri Ayahanda telah mempamerkan contoh dan memperlihatkan teladan akan peranan yang perlu dipenuhi oleh seorang Sultan dalam budaya berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Kebijaksanaan serta kearifan Paduka Seri Ayahanda melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama telah meningkatkan penghormatan dan keyakinan rakyat kepada institusi Raja.
10. Paduka Seri Ayahanda telah berjaya memimpin institusi Raja melalui proses evolusi, mentafsir peranannya sejajar dengan dinamik semasa. Paduka Seri Ayahanda senantiasa memperlihatkan pendirian tegas – bersikap berani memastikan bahawa keadilan berlandaskan undang-undang hendaklah senantiasa dipertahankan. Dalam memenuhi peranan berasaskan nasihat, Paduka Seri Ayahanda tidak akan berkompromi jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan dan bertentangan dengan undang-undang.
11. Imej gemilang yang telah dibina oleh Paduka Seri Ayahanda wajib dipertahankan. Pewaris takhta, Raja Bergelar, Waris Negeri dan Kerabat Diraja bertanggung jawab secara bersama menjunjung usaha yang telah dirintis oleh Paduka Seri Ayahanda. Anakanda senantiasa insaf bahawa gelaran dan jawatan perlu dilengkapi dengan tanggung jawab, dan tidak harus dicemari dengan salah laku yang boleh membawa keaiban kepada institusi Raja. Anakanda amat sedar bahawa kesediaan menerima gelaran wajib disusuli dengan kesediaan menerima tanggung jawab dan kesediaan menjaga nama baik Paduka Seri Ayahanda dan nama baik institusi Raja dan institusi istana.
12. Integriti institusi Raja amat bergantung kepada disiplin yang diamalkan oleh Raja dan keluarga Diraja untuk tidak melakukan cacat dan cela. Apabila Raja, sama ada secara perkataan mahupun perbuatan, membuka ruang, membolehkan berlakunya kritikan secara terbuka dan berlebihan kepada institusi Raja, maka orang Melayu akan turut menanggung kesan jangka panjangnya. Raja Melayu yang tercalar imejnya, adalah pembuka laluan kepada tercabarnya kedudukan dan identiti bangsa. Paduka Seri Ayahanda juga senantiasa memperingatkan akan pentingnya suara dan rintihan rakyat diberikan perhatian. Untuk itu anakanda mengikuti dengan teliti dinamik yang sedang berlaku di Nepal pada ketika ini untuk dijadikan pengajaran.
Ampun Tuanku
13. Sejarah menunjukkan bahawa Islam mempengaruhi dan mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Islam telah mengukuhkan konsep adil dan muafakat dalam diri Raja Melayu. Konsep adil mengawal Raja Melayu dari melakukan kezaliman sementara konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah. Bahawa, terkandung perselarian nilai dan amal antara yang dianjurkan oleh Islam dalam budaya pemerintahan Kesultanan Melayu; lalu Islam terus dijadikan teras dalam urusan pemerintahan Raja Melayu sehingga ke hari ini.
14. Salah satu cabaran terbesar di arena politik dunia kini, adalah ketegangan di antara dunia barat khususnya Amerika Syarikat dengan negara dan masyarakat Islam. Jurang yang tercetus bukan sahaja menghalang kepada jalinan hubungan kerjasama yang produktif antara dunia barat dengan dunia Islam, malah menjadi punca kepada peristiwa keganasan serta tindakan-tindakan radikal dan militan. Ketegangan ini jika dibiarkan berlaku akan menghalang kebebasan dan pembangunan manusia. Atas hasrat membantu usaha meningkatkan persefahaman antara barat dan Islam, atas nama Yang Di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, anakanda telah menerima undangan menghadiri “US-Islamic World Forum’ yang telah diadakan di Doha, Qatar, pada 18 hingga 20 Februari lalu. Pada hemat anakanda pemimpin Islam perlu mengambil langkah aktif memberikan dimensi yang tepat tentang Islam kepada dunia barat untuk meningkatkan persefahaman dalam usaha membina kedamaian dunia.
15. Terlalu banyak konflik telah tercetus antara Islam dengan barat. Masing-masing melihatkan kecenderungan mempersiapkan diri untuk peperangan dalam usaha mencari kedamaian. Perdamaian tidak akan tercapai di medan perang. Perdamaian perlu dirintis melalui dialog yang dilakukan dalam suasana aman lagi tenteram, dengan fikiran terbuka dan dada lapang, bersungguh mencari persamaan – bertekad membina hubungan. Untuk itu, dengan perkenan Paduka Seri Ayahanda, anakanda akan menghadirkan diri dan menyertai forum dan perbincangan di peringkat antarabangsa untuk membantu usaha membina jambatan persefahaman antara Islam dan barat.
Ampun Tuanku
16. Akhirul kalam, Hamba Mu sekali lagi memohon doa ke hadrat ILAHI, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun hidup dengan penuh kebahagiaan dan kerukunan serta dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat. Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, rakyat berbilang kaum – berbilang agama, berbilang budaya – berbilang bahasa, kukuh bersatu – cekal berpadu, hidup penuh harmonis – saling menghormati antara satu sama lain. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana. Semoga Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana sebagai Amirulmukminin dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Wabillahitaufik, walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar.
19. 4. 2006