Hari Penghargaan 2005 Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang memiliki segala khazanah ilmu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Hari Penghargaan 2005, Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah, pada pagi ini.

 

3. Matlamat program pendidikan adalah untuk membangunkan modal insan dengan membekalkan mereka pengetahuan asas. Institusi sekolah diberikan tanggung jawab untuk memenuhi peranan tersebut. Ketika di alam sekolah, para pelajar berada dalam usia amat penting, sedang melalui proses pembentukan karakter. Di samping tanggung jawab membekalkan para pelajar dengan ilmu dan pengetahuan, institusi sekolah turut terlibat dalam proses pembentukan sahsiah para pelajar.

4. Kejayaan seseorang insan amat dipengaruhi oleh tahap keyakinan yang berjaya di bina dalam diri insan. Keyakinan diri adalah faktor yang menyentuh emosi insan. Emosi yang berjaya dimatangkan akan dapat membina keyakinan diri insan. Keyakinan adalah pendorong besar kepada tahap pencapaian insan dalam apa juga bidang yang diceburi, baik di bidang akademik, di bidang pekerjaan, di bidang sukan, di bidang seni, dan dalam melalui perjalanan hidup. Insan yang berkeyakinan, memiliki keberanian menghadapi cabaran serta bersedia mengembara ke dunia kehidupan yang lebih luas.

5. Dalam usaha membina keyakinan, para guru dan ibu bapa hendaklah bersikap adil dengan meletakkan sasaran pencapaian yang realistik kepada para pelajar; sasaran pencapaian yang sememangnya dapat dicapai oleh para pelajar. Di sebaliknya perbuatan meletakkan sasaran pencapaian yang tidak realistik, bukan sekadar meletakkan tekanan emosi yang tidak sepatutnya kepada para pelajar, malah akan menghilangkan keyakinan diri mereka.

6. Usaha ke arah membina keyakinan perlu dilaksanakan secara bersama oleh para guru dengan sokongan kuat ibu bapa dan anggota keluarga. Anak-anak hendaklah disemaikan rasa yakin supaya menjadi insan berani. Anak-anak harus diberikan galakkan untuk tidak takut melakukan kesilapan kerana setiap kesilapan itu adalah satu pengalaman yang memberikan pengajaran baru. Bahawa setiap kesilapan yang berlaku itu, sebenarnya membantu membawa anak-anak ke satu tangga lebih hampir untuk melakukan perkara yang betul.

7. Setiap insan yang dilahirkan, dianugerahkan dengan keistimewaan. Setiap insan memiliki kelebihan tersendiri. Keistimewaan dan kelebihan ini perlu dikenal pasti di peringkat awal, lalu dibantu perkembangannya. Bakat semula jadi yang ada pada diri setiap insan akan terbantut perkembangannya jika dibunuh di peringkat awal kerana kegagalan masyarakat dewasa mengenal pasti serta memahami bakat tersebut.

8. Para guru dan ibu bapa bertanggung jawab membantu mengenal pasti bakat yang dimiliki oleh anak-anak dan seterusnya bertanggung jawab memberikan panduan supaya bakat tersebut dapat diperkembangkan ke peringkat optimum hingga menjadi aset yang memberi manfaat kepada insan, masyarakat malah kepada negara dan dunia.

9. Dalam hubungan ini, para pendidik dan ibu bapa hendaklah menjadi pemudah cara untuk membolehkan para pelajar mencipta kejayaan. Kejayaan insan itu tidak semestinya diukur dari segi pencapaian akademik sahaja. Potensi anak-anak untuk berkembang tidak harus terkurung dalam sangkar minda yang berteraskan ukuran akademik semata-mata. Potensi pelajar hendaklah dipermudahkan merantau luas dengan penuh imaginatif. Fikiran yang imaginatif adalah laksana ladang yang boleh merimbunkan pohon kreativiti dan mencambahkan dahan inovasi.

10. Mengendalikan sumber insan adalah tugas yang perlu dilaksanakan secara berhemat lagi teliti. Ia menyentuh faktor emosi insan. Setiap pelajar hendaklah dilihat sebagai aset dan dicanai hingga menjadi aset yang berguna. Untuk itu, institusi sekolah hendaklah juga memberi pengiktirafan yang saksama kepada pencapaian para pelajar dalam pelbagai bidang dan lapangan; hingga para pelajar merasakan bahawa setiap seorang mereka adalah insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negaranya.

11. Beta mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya terpilih untuk menerima anugerah pada hari ini. Beta menzahirkan penghargaan kepada usaha para guru melaksanakan tugas secara tekun dan sabar; demikian juga peranan sokongan dan pelengkap dari ibu bapa. Semoga kejayaan yang dicapai oleh para pelajar hari ini, dijadikan tangga untuk mendaki kejayaan yang lebih gemilang. Kenangilah khidmat dan jasa mereka yang berada di belakang kejayaan yang telah dicapai terutamanya pengorbanan ibu bapa dan bimbingan para guru. Jadilah anak yang soleh dan murid yang berbudi. Amalkanlah budaya bersyukur dan berterima kasih, senantiasa menghargai nikmat kejayaan yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wataala,

 

12. Dengan kepercayaan dan harapan tersebut, dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan penuh rasa kesyukuran dan sukacita merasmikan Majlis Hari Penghargaan Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*********************

%d bloggers like this: