Hari Penghargaan 2006

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang memiliki segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

  1. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Hari Penghargaan 2006, Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah, pada pagi ini.
  2. Negara berada diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 49. Penduduk Malaysia hari ini berjumlah 26.2 juta. Dari jumlah tersebut, 50.5% terdiri dari bumiputera Melayu beragama Islam, 11% dari bumiputera bukan Islam, 23.6% Cina dan 7.1% India. Komposisi perangkaan sedemikian menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa.
  3. Data komposisi pelajar dan guru di Sekolah Menengah Sultan Yussuf Batu Gajah memperlihatkan, dari jumlah 1714 pelajar, 68% Melayu, 10.6% Cina dan 21.4% India; sementara di kalangan 111 orang guru, 82% Melayu, 4.5% Cina dan 13.5% India. Analisis perangkaan komposisi pelajar dan murid di Sekolah ini, bukan sahaja tidak mewakili nisbah sebenar warga Malaysia berasaskan kaum malah tidak juga melukiskan gambaran sebenar akan nisbah komposisi kaum yang terdapat di Batu Gajah.
  4. Ketika Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menjadi pelajar di sini di antara tahun 1937 hingga 1948, sekolah ini merupakan sekolah utama atau ‘the premier school’ di Batu Gajah. Sekolah ini menjadi pilihan utama ibu bapa dan para pelajar di Batu Gajah. Sekolah ini kekal menjadi pilihan utama oleh warga pelbagai agama dan pelbagai kaum hingga ke era pasca merdeka. Hari ini komposisi pelajar dan guru di sekolah ini tidak lagi melambangkan komposisi sebenar sebuah negara pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa.
  5. Fenomena ini tidak hanya berlaku di Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Kunjungan Beta ke sekolah-sekolah di negeri Perak memperlihatkan pola yang sama. Bahawa komposisi pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan tidak mencerminkan komposisi warga di lokasi sekolah tersebut beroperasi. Beta sedia memahami, bagi sekolah-sekolah yang berada di lokasi luar bandar yang majoriti penduduknya terdiri dari kaum dan penganut agama tertentu; tetapi keadaan demikian tidak seharusnya berlaku bagi sekolah-sekolah yang berada dalam lokasi yang penduduknya terdiri dari pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Apatah lagi apabila nisbah guru juga tidak lagi mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang sebenar.
  6. Sekolah dan sistem pelajaran merupakan instrumen penting untuk membina perpaduan warga. Sekolah adalah tapak semaian membentuk jiwa dan minda warga muda negara. Jika sekolah sudah tidak lagi mencerminkan satu realiti masyarakat dan negara, di manakah pula tempatnya usaha ke arah memupuk perpaduan dan membina satu warga Malaysia yang bersatu dapat dilakukan.
  7. Kepincangan yang berlaku ini tidak boleh dibenarkan berterusan. Berulang kali kenyataan dasar dilafazkan. Kenyataan dasar tersebut perlu segera disusuli dengan rangka kerja yang dilaksanakan secara bersungguh, dikendalikan oleh barisan pelaksana yang benar-benar komited bagi merealisasikannya supaya impian tidak tinggal dalam bentuk mimpi yang tidak akan menjadi realiti.
  8. Membina perpaduan warga memakan masa yang lama lagi panjang. Ianya satu proses berterusan, dipupuk – diasuh melalui pendedahan awal di kalangan warga pelbagai kaum dan pelbagai agama; membolehkan mereka berpeluang berinteraksi di antara satu sama lain di peringkat awal kehidupan. Dengan adanya proses interaksi, para pelajar berpeluang mengenali budaya di antara satu sama lain, menghormati perbezaan – menghargai persamaan. Melalui pengenalan awal sesama warga, akan terbina sifat saling memahami hingga terikat rangkaian dan hubungan tulen di kalangan mereka.
  9. Pada hemat Beta, sekolah amat berperanan dalam proses membangunkan negara dengan memenuhi tanggung jawab membina hubungan harmoni dan membina perpaduan di kalangan warga. Peranan institusi sekolah tidak lengkap, jika terbatas kepada tanggungjawab mengeluarkan para pelajar dengan kelulusan akademik tetapi naif dengan realiti masyarakat di negaranya.
  10. Langkah bersungguh perlu bermula dari atas, bermula dengan komposisi guru dan pimpinan sekolah yang mencerminkan nisbah masyarakat Malaysia. Ini disusuli pula dengan corak kegiatan sekolah terutamanya dalam kegiatan-kegiatan kokurikulum. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan haruslah menjadi tempat yang memberikan keyakinan kepada semua warga, sebagai bumbung yang memberikan kesaksamaan perlindungan kepada warga dari pelbagai agama, kaum dan budaya. Pimpinan sekolah terutamanya hendaklah memahami secara mendalam aspek-aspek hubungan antara agama, antara kaum dan antara budaya.
  11. Beta mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang diiktiraf menerima anugerah di Majlis ini. Anugerah tersebut adalah penghargaan atas daya usaha dan ketekunan para pelajar. Sedarilah, tidak ada jalan pintas mencapai kemajuan. Kuasai dan dalamilah ilmu pengetahuan di dalam hidup. Bahawa manusia yang dihormati adalah manusia berilmu dan mengamalkan ilmu, berakhlak mulia dan berketerampilan.
  12. Kepada pihak sekolah, Beta menyeru agar terus gigih menggembleng tenaga mencurah bakti demi anak didik mencapai tahap terbilang. Kepada ibu bapa, jalinkanlah kerjasama erat dengan sekolah dan hulurkan bantuan secara fikiran, tenaga dan kewangan untuk membantu usaha para guru di samping mengawasi secara rapat perkembangan anak-anak yang masih begitu remaja. Sokongan dan perhatian ibu bapa amat penting dalam proses pembentukan sahsiah dan membina jati diri mereka.
  13. Kepada para pelajar terutamanya, ingatan Beta, amalkan budaya bersyukur dan berterima kasih, senantiasa menghargai nikmat kejayaan yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wataala, senantiasa menghormati guru, menghormati ibu bapa, menjadi warga yang setia kepada Raja dan negara.
  14. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan penuh rasa kesyukuran dan sukacita merasmikan Majlis Hari Penghargaan Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Wabillahi taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***************

%d bloggers like this: