Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang memiliki segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya kepada sekalian para ulama dan para tabiin. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
- Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Hari Penghargaan Sekolah, dan seterusnya membolehkan Beta menyempurnakan perasmian Dewan Sultan Yussuf.
3. Sekolah Menengah Sultan Yussuf Batu Gajah telah melalui jalan sejarah yang panjang sejak diasaskan oleh Mr. K. Malaiperumai Pillay dalam tahun 1907. Bermula dengan tiga bilik darjah yang dibina dengan menggunakan papan runtuhan penjara lama, hingga terbinanya sebuah institusi pendidikan yang tersergam di bandar Batu Gajah. Sekolah Menengah Sultan Yussuf hari ini, merupakan satu mercu tanda sejarah serta mercu tanda pendidikan kepada bandar Batu Gajah.
4. Institusi pendidikan ini telah melahirkan warga-warga yang bernama besar dan turut memberikan sumbangan besar kepada negara dan kemanusiaan sejagat dalam pelbagai bidang, merangkumi bidang-bidang pentadbiran, pengurusan, pendidikan, perubatan, kejuruteraan, polis dan tentera, perundangan dan politik. Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah adalah anak didik yang pernah mendapat asuhan di Sekolah ini. Baginda kemudiannya mencapai puncak tertinggi dalam perkhidmatan kehakiman apabila dilantik menjadi Ketua Hakim Negara dan mencapai puncak takhta pemerintahan di peringkat negeri dan di peringkat Persekutuan apabila ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ketiga puluh empat dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kesembilan.
5. Sesungguhnya pangkat dan jawatan bukan sekadar memberikan kuasa dan pengaruh; tetapi ia juga meletakkan seseorang insan menghadapi ujian – menghadapi penilaian. Begitu ramai yang mendapat pangkat – mendapat jawatan, namun begitu sedikit yang berjaya menghadapi ujian untuk meninggalkan nama yang harum sepanjang zaman. Nilai dan harga diri mempunyai pengaruh besar dalam menentukan sama ada seseorang insan setelah menjawat pangkat yang tinggi dan jawatan yang penting berjaya melalui ujian memenuhi tanggung jawab dan diberikan penilaian yang positif oleh masyarakat dan warga.
6. Beta amat bersyukur kerana ketika Beta melalui era pembentukan diri (formative age), Beta berada di bawah naungan bimbingan ayahanda bonda yang senantiasa menyemaikan nilai-nilai murni. Nilai-nilai yang menekankan aspek ketinggian budi-kehalusan bahasa; nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan, nilai-nilai perundangan, akhlak dan tatasusila, nilai-nilai keikhlasan, kebenaran dan kejujuran, nilai-nilai disiplin, dedikasi dan komitmen, nilai-nilai ketuhanan dan adat budaya Melayu, nilai-nilai menghormati ibu bapa dan kesopanan.
7. Setiap satu dari nilai-nilai tersebut merupakan komponen penting untuk membina sahsiah diri dan integriti diri seseorang insan. Insan yang penuh ikhlas berpegang kepada prinsip ketuhanan, menyedari dirinya seorang hamba, meski betapa tinggi pangkat dan jawatan. Insan yang memperlihatkan pekerti tinggi, senantiasa menghormati insan lain, tidak merasakan bahawa dia seorang sahaja yang benar dan orang lain senantiasa salah, di sebaliknya dia senantiasa menyedari bahawa dirinya juga tidak sempurna dan turut mempunyai kekurangan – turut memiliki kelemahan; dan dirinya juga tidak maksum dari dosa, lalu mengamalkan sifat merendah diri, memohon keampunan dan keredaan ILAHI, turut menghargai nasihat orang yang lebih tua dan pandangan orang yang lebih arif, dalam perjalanan hidup mendaki ke altar yang lebih tinggi.
8. Hari ini dunia secara kuantitatif telah melahirkan lebih ramai orang pandai. Sekolah Menengah Sultan Yussuf juga tidak kurang melahirkan lebih ramai pelajar yang mencapai gred akademik yang lebih cemerlang. Perlumbaan berlaku untuk menentukan sekolah mana yang lebih berjaya melahirkan pelajar dengan deretan ‘gred A’ teramai. Begitu banyak sekolah melahirkan begitu ramai pelajar dengan deretan ‘gred A’ dalam peperiksaan. Namun pencapaian ‘gred A’ adalah sekadar pakaian luaran, jika para pelajar tidak menghayati, menghargai dan mengamalkan nilai-nilai murni; kerana akan berlaku ketidakseimbangan pembangunan modal insan, lalu mengakibatkan masyarakat dan negara pada akhirnya berjalan tempang.
9. Insan yang memiliki nilai-nilai murni akan senantiasa berpegang kepada prinsip hidup yang kukuh, terutama dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan. Insan yang berprinsip teguh tidak akan berkompromi dalam soal kebenaran, tidak akan berdolak-dalik, tidak bersifat pepat di luar rencong di dalam, tidak akan mengamalkan perangai lain padang – lain belalang, dan tidak akan membenarkan matlamat menghalalkan cara. Insan yang berprinsip tidak akan melakukan kezaliman sesama makhluk, tidak akan melakukan kezaliman terhadap alam dan kehidupan, tidak akan melakukan kezaliman terhadap ketenteraman dan keamanan.
10. Untuk itu amatlah penting kejayaan menyemai dan membina nilai-nilai murni dijadikan satu indeks prestasi pencapaian dalam proses membangunkan modal insan. Pelajar-pelajar harus disemaikan dengan rasa jijik terhadap kaedah yang bercanggah dengan nilai-nilai murni, seperti amalan meniru, bercakap bohong, sikap menipu atau perbuatan mendapatkan soalan bocor, hanya untuk mencapai gred tinggi dalam penilaian peperiksaan.
11. Ibu bapa bersama guru hendaklah mengimbangkan pencapaian luaran anak-anak dengan membina kekuatan dalaman melalui penyemaian nilai-nilai murni di jiwa anak-anak. Kepada pelajar-pelajar yang terpilih untuk menerima penghargaan sekolah pada hari ini, begitu juga kepada seluruh warga pelajar di negara ini, binalah kekuatan dalaman supaya dapat menjadi gagasan kukuh dalam membina jati diri untuk muncul sebagai insan yang senantiasa berpegang teguh kepada prinsip; mengutamakan kebenaran dan melaksanakan keadilan ketika memenuhi amanah – memenuhi tanggung jawab.
12. Dengan kebesaran kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta dengan segala kesyukuran merasmikan Majlis Hari Penghargaan Sekolah Menengah Sultan Yussuf, Batu Gajah dan Dewan Sultan Yussuf, Batu Gajah.
Wabillahi taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*************