Intan Premier Talk

‘INSTITUSI BERAJA’

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala yang telah menentukan darjat dan kemuliaan serta tugas dan tanggung jawab di kalangan makhluk Nya. Ya Allah, Tuhan yang memerintah semesta alam, hamba Mu melafazkan kalimah kesyukuran atas anugerah rahmat Mu memungkinkan hamba Mu menjejak kaki di Majlis ini. Dipohonkan dari Mu jua Ya Allah akan petunjuk dan bimbingan, membolehkan hamba Mu ini, menyempurnakan satu tanggung jawab sebaik mungkin, berpandukan pengetahuan yang masih terbatas – bersandarkan pengalaman yang masih cetek; dengan segala keinsafan lagi penuh kesedaran bahawa masih begitu banyak kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada diri Hamba Mu ini.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.

3. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat ke Institut Tadbiran Awam Negara untuk menzahirkan titah atas tema ‘Institusi Beraja’.

4. Kerajaan berpaksikan Raja adalah antara sistem berkerajaan yang tertua di dunia[1]. Pada awal kurun kesembilan belas, terdapat lebih sembilan ratus (900) takhta kerajaan. Kajian kronologi dan manual genealogi tentang dinasti baru Islam, mencatatkan terdapat seratus lapan puluh enam (186) kesultanan berpaksikan Islam antara tahun 632 hingga 1944 Masihi.[2] Hari ini ada seratus sembilan puluh tiga (193) negara berdaulat di dunia; seratus sembilan puluh dua (192) menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sementara Vatican City diiktiraf berstatus negara. Dari jumlah tersebut, hanya empat puluh tiga (43) negara masih mempunyai Institusi Raja, dan Vatican City terletak di bawah ‘Supreme Pontiff’, pemerintah Kerajaan Theocracy, diiktiraf dengan status Ketua Negara.

5. Dari empat puluh tiga (43) negara beraja, enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan. Di samping bertakhta di United Kingdom, Ratu Elizabeth melantik Gabenor Jeneral di lima belas (15) negara lain. Enam belas (16) negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, empat (4) sistem Raja separa autonomi, tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja secara mutlak.

6. Di kalangan negara yang mempunyai Raja, sebelas (11) terletak di Benua Eropah, tiga (3) di Benua Afrika dan tiga belas (13) di Benua Asia, sementara enam (6) negara Oceania dan sepuluh (10) negara di Benua Amerika Utara mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Berperlembagaan. Sepuluh (10) dari negara yang mengamalkan sistem beraja adalah negara Islam, sembilan di Asia dan satu di Afrika; lapan (8) darinya adalah negara pengeluar minyak.

7. Raja Pemerintah adalah rangkaian institusi dan individu; satu melambangkan takhta dan kuasa, satu lagi pengisian watak; bertanggung jawab memberi nafas – mengisi roh kepada institusi. Raja berperanan utama memberi kepimpinan, menjadi contoh – menjadi teladan untuk dijadikan pedoman – memberikan panduan – disandarkan harapan – memberi naungan. Raja dihormati – dimuliakan, dinobatkan – didaulatkan, kerana Raja diiktiraf memiliki kedudukan tertinggi dalam hiraki pemerintahan; tempat rakyat tumpang berteduh – tempat warga dapat berlindung.

8. Di awal tamadun manusia berkerajaan dan bernegara, individu yang dimartabatkan menjadi Raja adalah individu yang memiliki segala kelebihan, dari segi akal bicara, kebijaksanaan, hikmah dan pengetahuan; juga dari segi sahsiah, keberanian, kegagahan, dan keupayaan mengatasi cabaran. Raja di era tersebut bersandar kepada tiga paksi utama;

Pertama : Penerimaan secara agama

Kedua : Memiliki kuasa politik

Ketiga : Prinsip baka dan keturunan

Raja dilihat sebagai Dewata mewakili tuhan memerintah dunia, sekali gus memenuhi tanggung jawab keagamaan; lalu Raja dikaitkan dengan kesaktian, memiliki keistimewaan luar biasa. Di samping diiktiraf sebagai ketua agama, Raja berperanan mutlak sebagai penggubal, pentafsir, pelindung dan pelaksana undang-undang.

9. Empat ratus (400) tahun terakhir menyaksikan berlakunya evolusi pesat dalam sistem berkerajaan. Bilangan takhta bertambah kurang selaras dengan bilangan negara yang turut berkurang, kerana berlakunya penaklukan dan percantuman wilayah untuk membina negara yang lebih besar. Faktor lebih utama yang mempengaruhi evolusi sistem berkerajaan adalah revolusi pendidikan dan revolusi ilmu yang membawa dunia kepada penemuan saintifik serta penghuraian saintifik, di samping kefahaman lebih mendalam terhadap agama. Persepsi dan tafsiran dunia terhadap Raja lalu berubah; dan muncullah alternatif sistem berkerajaan yang dipengaruhi oleh dinamik evolusi kehidupan manusia, kesan revolusi industri, perkembangan teknologi, perubahan corak dan paksi ekonomi, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi. Di samping itu, kelemahan watak dan silap laku, salah ramalan dan silap percaturan di kalangan individu tertentu, turut menjadi faktor pemangkin membawa kepada kejatuhan sesebuah takhta.

10. Sistem republik yang diperkenalkan di Amerika Syarikat, mempengaruhi sistem kerajaan di Latin Amerika, lalu di awal abad kesembilan belas berakhirlah tiga ratus tahun pengaruh Raja Sepanyol yang merentas dari Mexico sehingga ke Chile[3]. Perang dunia pertama bukan hanya menyaksikan terkorbannya dua puluh (20) juta manusia dalam tempoh masa empat tahun, malah turut melihat runtuhnya takhta empayar-empayar besar Eropah dengan tradisi beraja di Austria, di Jerman dan di Rusia, di samping kejatuhan Empayar Ottoman.[4]

11. Dua Perang Dunia mengubah landskap politik dunia. Dua Perang Dunia menyaksikan perubahan imbangan kuasa dunia. Dua Perang Dunia menyaksikan kemusnahan, menyaksikan pertambahan perbelanjaan ketenteraan, menyaksikan kebangkitan semangat nasionalisme, menyaksikan kemunculan ideologi baru dan menyaksikan kelahiran rupa bentuk pemerintahan baru. Transformasi politik berlaku, membentuk persekitaran politik yang berbeza. Abad kedua puluh menyaksikan kebangkitan gerakan nasionalisme dan corak pemerintahan berlandaskan perlembagaan.

12. Di Eropah, Raja-Raja yang memahami dinamik yang berlaku, dengan bijaksana mentafsir secara tepat gerakan politik rakyat yang berpaksikan masyarakat industri dan masyarakat kota. Raja yang sebelumnya dianggap Dewata, melakukan pengubah suaian, mengambil peranan sebagai pembela kepada kebajikan dan kebaikan warga. Raja-Raja yang berjaya mengekalkan takhta serta terus mendapat pengiktirafan rakyat adalah dari kalangan mereka yang bijaksana melayari angin perubahan, lalu mengolah wajah, merangka dimensi baru dan mentafsir semula peranan. Hinggakan dalam era kebangkitan sistem politik berparti, Raja yang berada di atas politik kepartian, diiktiraf sebaik hakim, memenuhi fungsi keadilan, berupaya mendamaikan persengketaan di antara puak yang bertelingkah. Konsep ini menjadi asas kepada doktrin pemisahan dan perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat di era pasca Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

13. Raja Inggeris dan Raja-Raja di Scandinavia, di Belgium, di Netherlands, di Luxembourg dan di Greece kekal mendapat sokongan rakyat. Raja Inggeris mempamerkan sifat tanggung jawab yang tinggi dengan memilih bersemayam di London ketika kota raya tersebut menghadapi serangan udara. Baginda senantiasa berpakaian seragam tentera sepanjang masa peperangan, melawat kawasan-kawasan yang musnah, meniupkan semangat serta meningkatkan moral rakyat. Ratu Wilhelmina memperlihatkan kematangan, apabila menitahkan Netherlands tidak melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama, sementara Gustav V berjaya menghalang Sweden dari terlibat dalam Perang Dunia Kedua.

14. Raja Leopold secara tegas mengetepikan keputusan jemaah menteri, mengambil pendirian menyerah tanpa syarat dan memilih untuk bersama rakyat Baginda; satu keputusan terhormat yang mendapat sokongan padu di kalangan rakyat Belgium berketurunan Flemish. Raja Leopold kemudiannya secara berkesan menjadi faktor penyatu bagi rakyat Belgium yang menghadapi pelbagai isu nasional dan isu bahasa. Raja Christian, memilih bersemayam di Copenhagen setelah memberi perkenan kepada jemaah menteri supaya Denmark menyerah. Pendirian Baginda menyelamatkan rakyat dan negara Denmark berbanding dengan Raja Haakon, yang menyeru rakyat Norway menentang kemaraan Jerman dan akhirnya Baginda sendiri terpaksa melarikan diri ke Britain. Empayar Rusia dan Habsburg (Austria-Hungary) gagal melakukan penyesuaian pemerintahan berlandaskan perlembagaan dan perwakilan kuasa berbentuk parlimen, akhirnya takhta hilang dari negara.

15. Nicholas II, Raja (Tsar) Rusia terakhir adalah antara pengajaran memperlihatkan kelemahan seorang watak yang gagal memenuhi tanggung jawab sebuah institusi. Nicholas dibatasi dengan pengaruh orang-orang yang Baginda senangi sama ada pemimpin agama, Permaisuri dan Paderi kesayangan Permaisuri bernama Rasputin. Pegawai-pegawai berwibawa tidak disenangi dan gagal mendapat kepercayaan Baginda. Akhirnya Baginda terperangkap dengan kepalsuan. Pemerintahan Nicholas II berakhir kerana Baginda terpisah dari realiti lalu terputus sokongan rakyat.

16. Perang Dunia Kedua turut melihat berakhirnya takhta kerajaan di Romania, di Bulgaria, di Yugoslavia dan di Italy. Namun perlu dirakamkan, bahawa kerana masih adanya Raja pada penghujung Perang Dunia Kedua, memudahkan rakyat Itali menolak ‘fasisme’ dan Mussolini, berbanding ketidakupayaan para Jeneral di Jerman mencabar arahan Hitler dan fahaman ‘Nazisme’.[5] Greece kehilangan takhta dalam tahun 1967 kerana kegagalan Raja Constantine menangani gelombang politik yang mencetuskan perpecahan di kalangan rakyat selepas Perang Dunia Pertama dan kemelut perang saudara selepas Perang Dunia Kedua.[6]

17. Tahun enam puluhan menyaksikan negara-negara jajahan di Afrika mencapai kemerdekaan; majoriti membentuk kerajaan merdeka bermodelkan republik. Di Asia, sistem Maharaja di China berakhir berikutan revolusi 1912. Pemerintahan berteraskan demokrasi berparlimen menggantikan ‘Britisih Raj’ di India. Indonesia memilih sistem Republik. Namun ikatan emosi terhadap Raja kuat berakar di hati rakyat, terutama mereka yang berketurunan Jawa, dengan pegangan mistisisme, menghargai konsep ‘Ratu Adil’. Langit Jakarta berawan mendung, bumi Jawa gerimis hiba, menerima berita kemangkatan Sultan Hamengkubuwono IX pada Oktober 1988. Seratus lima puluh ribu (150,000) rakyat memberi penghormatan terakhir dalam tempoh enam belas (16) jam jenazah Baginda ditempatkan di Kraton.[7] Meski Indonesia adalah sebuah republik, Baginda diiktiraf wira negara; Baginda dirujuk sebagai ‘Raja Kita’.

18. Maharaja Jepun berada di martabat tinggi pada akhir Perang Dunia Pertama selaras dengan kemenangan yang dicapai oleh Jepun. Senario yang dihadapi oleh Baginda pada akhir Perang Dunia Kedua amat berbeza, ketika Jepun berada di pihak yang kalah. Ada suara yang menuntut agar Maharaja Hirohito dihadapkan ke muka pengadilan. Ada pelbagai pendapat berhubung peranan Baginda dalam Perang Dunia Kedua. Apa pun di sebalik peranan Baginda, General Douglas MacArthur mencapai kompromi, memperakukan kesinambungan takhta Maharaja Jepun setelah berakhir Perang Dunia Kedua. Maharaja Jepun dikekalkan tetapi dengan wajah dan dimensi baru. MacArthur bagaikan memahami budaya berkerajaan di Jepun dengan membuat bacaan tepat akan nilai tinggi masyarakat Jepun terhadap takhta. Di abad kedua puluh satu, Jepun telah bangun dari debu Hiroshima dan Nagasaki, menjadi gergasi ekonomi dunia, menjadi negara industri – negara teknologi, negara moden – negara maju, namun masyarakat Jepun kekal dengan semangat setia kepada institusi Raja. Jepun yang mengamalkan sistem demokrasi tidak pernah menghina dan merendahkan Raja. Malah masyarakat Jepun resah apabila keluarga Diraja gagal melahirkan putera pewaris takhta. Kerajaan Perdana Menteri Junichiro Koizumi hampir meminda Perlembagaan Negara untuk melayakkan wanita mewarisi takhta. Kelahiran Putera Hisahito, pada 6 September 2006, disambut riang oleh rakyat Jepun, bagai merayakan turunnya hujan rahmat di bumi Nippon yang dibimbangkan gersang.

19. Raja Bhumibol Adulyadej di Thailand, secara bijaksana lagi teliti berupaya mendapat sokongan rakyat dan mencerminkan imej seorang Raja yang mengambil berat akan tanggung jawab sosial, bersifat patriotik kepada negara bangsanya serta menjalin hubungan erat dengan agama.[8] Raja Bhummipol secara bijaksana mengolah dan memberi makna akan fungsi takhta dalam sistem Raja Berperlembagaan. Raja melambangkan kedaulatan sebuah negara bangsa merdeka. Thailand telah melalui pelbagai drama politik. Ketika tirai dilabuhkan, semasa ‘intermission’ sesuatu babak di panggung pemerintahan, Raja Bhumipol sentiasa berada di ‘center stage’ mempengaruhi dengan bijaksana arah haluan babak selanjutnya melalui skrip yang dapat diterima oleh pelbagai watak utama dan Thailand terus stabil.

20. Selepas kejatuhan Empayar Ottoman, Institusi Raja masih menjadi pilihan di kalangan negara Islam. Sistem beraja adalah penerusan tradisi yang diwarisi berakarkan sistem khalifah; sistem yang tidak asing dalam budaya umat Islam berkerajaan dan bernegara.

21. Sistem Raja Berperlembagaan dikembalikan pada tahun 1975 di Sepanyol membantu mengembalikan budaya demokrasi dan membebaskan Sepanyol dari autokrasi Jeneral Franco. Jika Kerajaan beraja lenyap di Vietnam – lenyap di Laos, terperangkap dalam pertelagahan antara wibawa Raja, kuasa kolonial Perancis, kebangkitan nasionalisme dan ideologi komunis, tetapi Kampuchea di bawah penguasaan politik berteraskan komunisme, memberi nafas kepada sistem beraja untuk memberi kesahihan kepada kerajaan Hun Sen. Karisma Putera Sihanouk, berpengaruh menyesuaikan peranan Raja mengharungi konflik semasa, walaupun Baginda berulang kali pula gagal menentukan arah haluan negara. Namun legasi yang ditinggal, membuatkan rakyat Kampuchea menghargai sistem pemerintahan beraja, kerana itu institusi Raja Berperlembagaan dihidupkan semula pada tahun 1993.

22. Demikian secara ringkas dinamik yang dilalui oleh Institusi Raja secara global dalam tempoh empat ratus (400) tahun lalu. Institusi Raja sebenarnya melalui ujian – menghadapi cabaran, berhadapan dengan tentangan – berupaya merentasi rintangan. Ada yang lupus, ada yang terus dipertahankan, ada yang diberikan tafsiran baru, ada yang diberikan nafas semula, ada yang bertambah kukuh.

23. Institusi Raja mempunyai landasan sejarah dan tradisi yang panjang dalam sistem berkerajaan di negara ini. Institusi Raja telah lama berakar di bumi Melayu dengan sistem pemerintahan yang didukung oleh pentadbiran yang cekap lagi tersusun, berjaya menyatukan warga – berupaya memelihara keamanan – bertenaga mencetus kemakmuran.

24. Semasa pentadbiran Inggeris, Raja-Raja Melayu secara kolektif berperanan sebagai juru bicara menzahirkan suara Melayu. ‘DURBAR’ merupakan forum Raja-Raja menyuarakan nasib dan kepentingan Melayu. ‘DURBAR’ pertama menghimpunkan empat Raja Melayu dari Negeri-Negeri Bersekutu telah berlangsung di Kuala Kangsar pada tahun 1897.

25. Rejimen Askar Melayu Diraja, Pegawai Tadbir Melayu, agama Islam, penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, milik tanah, pendidikan bangsa, bidang kuasa penghulu dan kadi, emansipasi wanita Melayu, adalah antara tuntutan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu melalui ‘DURBAR’. The Malay College Kuala Kangsar, Sultan Idris Training College, Kolej Tunku Kursiah, dan penubuhan Tabung Pendidikan dan Biasiswa di setiap negeri adalah atas titah Raja-Raja Melayu. Melalui ‘DURBAR’ Raja-Raja Melayu melahirkan kebimbangan terhadap sektor perlombongan yang meminggirkan orang Melayu sedangkan sektor pertanian yang merupakan sumber ekonomi utama orang Melayu begitu diabaikan.

26. Kebimbangan tentang kemasukan kaum imigran secara besar-besaran turut dizahirkan. Demi memastikan orang Melayu tidak akan menjadi minoriti di bumi warisan pusaka bangsanya, Raja-Raja Melayu memberikan saranan kepada pentadbiran Inggeris supaya tenaga kerja turut diambil dari kalangan orang-orang Jawa. Raja-Raja Melayu mengikuti secara dekat perkembangan yang berlaku bukan sahaja di negeri masing-masing malah di dunia luar. Dasar British yang membuka pintu secara luas kepada pelabur asing dan kemasukan imigrasi pelbagai bangsa sejak kurun kesembilan belas sehingga pertengahan kurun kedua puluh, dilihat sebagai pencabar utama kepada ketuanan Melayu. Raja-Raja Melayu turut menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu berasaskan apa yang dilakukan oleh Henry Gurney terhadap penduduk Arab ketika bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin.[9] Majlis Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.[10]

27. Perhatian berat Raja-Raja Melayu akan agenda pendidikan ternyata apabila Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Perak, Sultan Selangor, Raja Perlis, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Johor serta Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, mencemar duli berangkat ke Raffles College di Singapura untuk menyaksikan acara bersejarah penubuhan Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949.

28. Malayan Union merupakan kerangka pertama yang menampilkan perkumpulan formal kesemua sembilan Raja Melayu dalam tahun 1946.[11] Tentangan terhadap Malayan Union digerakkan atas sentimen mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Gerakan menentang Malayan Union mematahkan usaha pecah – perintah pentadbiran Inggeris untuk memisahkan Raja dengan rakyat. Gerakan menentang Malayan Union mengembalikan hubungan erat – menjalinkan semula kerjasama antara Raja dengan rakyat. Raja bersama rakyat, bertutur dalam satu bahasa – bersuara dalam satu nada, menyampaikan tuntutan memerdekakan warga – menggemakan hasrat memerdekakan negara. Gerakan menentang Malayan Union turut merintis kesedaran bangsa akan pentingnya penyatuan, lalu lahirlah organisasi politik Melayu secara formal lagi tersusun.

29. UMNO ditubuhkan di perhimpunan yang berlangsung di Istana Besar Johor Baru. Peranan Raja di belakang penubuhan organisasi politik Melayu itu diberikan pengiktirafan secara simbolik tetapi amat signifikan. Ketika Dato’ Onn meminta anak saudaranya, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, melukis bendera UMNO, Dato’ Onn meminta Syed Muhammad Naquib menggabungkan warna-warna Hang Tuah, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kekuatan pengaruh Islam dalam dunia Melayu.[12] Syed Naquib lalu meletakkan bulatan berwarna kuning antara jalur merah putih, melambangkan penyatuan Raja-Raja Melayu; keris, melambangkan alat kebesaran Raja-Raja Melayu, diwarnakan hijau, selaras dengan tanggung jawab Raja-Raja mempertahankan Islam.[13]

30. Sokongan Raja-Raja Melayu di belakang penubuhan UMNO ketika itu, tidaklah bermakna Raja-Raja terlibat aktif secara langsung dalam kegiatan politik berparti. Sokongan tersebut sekadar memperlihatkan secara simbolik – secara semangat, akan pendirian Raja-Raja menyokong usaha untuk memperoleh kemerdekaan. Kerana itu juga Raja-Raja Melayu memberi perkenan untuk diwakili menyertai rombongan kemerdekaan ke London. Pendirian tegas dan sekata oleh wakil-wakil Raja-Raja Melayu adalah antara faktor utama yang tidak membolehkan Kerajaan Inggeris berlengah dari memenuhi tuntutan kemerdekaan.

31. Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak. Institusi Raja, institusi rakyat dan Kerajaan Inggeris. Justeru itu, pimpinan politik di negara ini merumuskan untuk tidak menghapuskan Institusi Raja. Negara dan warga menerima hakikat bahawa sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja adalah sebahagian dari adat budaya Melayu. Kuasa Raja dan kuasa rakyat lalu digabung dan diimbang dalam semangat mengekal yang dikendong sementara berusaha mencipta yang baru. Pemilihan mengekalkan Institusi Raja memberi kesinambungan kepada amalan tradisi negara beraja – rakyat bersultan.

32. Pengekalan Institusi Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental bangsa. Kehadiran Raja sebenarnya sangat membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi lain ciptaan demokrasi. Raja memenuhi satu keperluan perlembagaan secara simbolik – secara fungsi. Selaku Ketua Negara, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi, berakarkan doktrin pemisahan kuasa.

33. Lalu kedaulatan Raja-Raja diinstitusikan secara legal dalam Perlembagaan Merdeka. Institusi Raja diperlengkap dengan institusi rakyat melalui pembentukan kerajaan berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan-demokrasi berparlimen. Peranan Raja dikanunkan dengan menggariskan bidang dan pembahagian kuasa. Pendekatan tersebut bukan sahaja telah meneruskan kesinambungan tamadun dan sejarah, malah turut menyuntik roh – membentuk wajah kepada kerangka negara, meletakkan identiti, terutamanya lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini. Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah dalam pidato ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Persuratan (Kehormat) oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, telah menzahirkan kata-kata berikut:

Petikan

“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Perkataan ‘Malaysia’ itu sendiri pun mempunyai erti Melayu dalam erti ‘Melayu Raya’. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-Negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.”[14]

34. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah dan air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu merasa tergugat akan kedudukan mereka dalam entiti politik di sebuah negara yang komposisi warganya bukan sahaja terdiri dari pelbagai kaum dan pelbagai agama, juga mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan satu jaminan yang meyakinkan; bahawa kedudukan mereka sebagai rakyat peribumi tidak terancam dan tidak tergugat. Faktor-faktor agama, bangsa, bahasa dan budaya di samping taraf pencapaian sosioekonomi merupakan komponen penting yang mempengaruhi jiwa dan membimbangkan pemikiran bangsa ketika itu.

35. Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Perlembagaan Merdeka telah memperkukuhkan kedaulatan Raja-Raja dengan memaktubkan secara tersurat klausa-klausa berhubung Raja. Di samping mengekalkan tradisi Kesultanan di peringkat negeri, satu lapisan baru diwujudkan di peringkat Persekutuan bertaraf Ketua Negara dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; sekali gus mengangkat martabat institusi Raja ke altar yang lebih tinggi.

36. Keyakinan bangsa diperkukuhkan apabila institusi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong hanya boleh dipilih dari kalangan Raja-Raja Melayu. Institusi Raja diberikan peranan penting sebagai pelengkap untuk memenuhi aspirasi bangsa – untuk menangani kegelisahan rakyat. Institusi Raja berupaya memberikan satu keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa dan melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.

37. Adalah hakikat yang tidak dapat disanggah bahawa bumi ini pada asalnya adalah bumi Melayu, yang telah membina satu tamadun – membina satu budaya bangsa yang dikenali sebagai Melayu. Namun realiti juga tidak membolehkan bumi ini secara eksklusif milik bangsa Melayu. Komposisi rakyat Malaysia kini terdiri dari warga pelbagai kaum – pelbagai agama. Raja bertanggung jawab memberi naungan kepada setiap warga yang memperlihatkan kesetiaan kepada negara serta bersedia menerima hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik berteraskan Melayu.

38. Amalan kesaksamaan kepada rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa adalah sebahagian dari sifat dan citra Raja Melayu. Kesultanan Melayu Melaka sebagai contoh mengiktiraf bahawa kemajuan, kemakmuran dan perkembangan intelek sesebuah negara bangsa harus didukung bersama antara pembesar istana, dagang dan senteri serta rakyat jelata baik anak negeri mahupun orang luar. Kerana itu Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan dasar perdagangan terbuka dan menggalakkan berlakunya perkembangan ilmu asalkan Raja, adat resam dan undang-undang Melaka dihormati. Di puncak kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, terdapat 80 bahasa yang dipertuturkan di kota pelabuhan tersebut. Melaka merupakan kota kosmopolitan, mempertemukan timur dan barat.

39. Negara telah lima puluh tahun merdeka. Lima puluh tahun memberikan cukup tempoh untuk Raja-Raja mencapai satu tahap kematangan memahami peranan terutamanya ketika negara menghadapi krisis. Pada umumnya dan dalam banyak perkara Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri sementara Raja-Raja bertindak atas nasihat Menteri Besar. Selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang biasa diamalkan, peranan Raja adalah memerintah dan bukan mentadbir. Raja hendaklah berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian yang melibatkan banyak kerenah dan pelbagai kontroversi. Dengan berada di takhta yang lebih tinggi, Raja hanya terlibat pada waktu dan ketika yang diperlukan.

40. Perlembagaan Negara memperuntukkan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja memiliki ‘budi bicara’ yang boleh digunakan menurut prerogatif Raja Pemerintah meski tertakluk kepada batasan tertentu. Budi bicara Raja Pemerintah merangkumi kuasa melantik Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan melantik Menteri Besar di peringkat negeri, hak tidak memberi perkenan membubarkan Parlimen di peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri.

41. Dalam urusan lantikan Perdana Menteri demikian juga Menteri Besar, budi bicara Raja Pemerintah tidaklah mutlak. Baginda berada dalam kedudukan berhak memastikan siapakah yang telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Budi bicara Raja menjadi sangat penting apabila berlaku keadaan tergantung disebabkan tidak ada parti yang menguasai majoriti keanggotaan Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri; atau apabila kerajaan campuran mahu ditubuhkan. Dalam suasana sedemikian, Raja Pemerintah memiliki obligasi bertindak atas budi bicara Baginda menentukan tokoh yang difikirkan mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan yang berkaitan. Kegagalan menggunakan budi bicara tersebut secara bijaksana akan ditafsirkan oleh rakyat sebagai satu kegagalan Raja Pemerintah melaksanakan tanggung jawab paling asas secara adil lagi saksama.

42. Keputusan pilihan raya umum kedua belas yang berlangsung pada 8 Mac 2008 telah meletakkan tanggung jawab besar kepada Istana Perak. Berasaskan keputusan, pihak yang mendakwa mendapat sokongan majoriti, kelihatan kabur. BARISAN NASIONAL menguasai 28 dari 59 kerusi yang dipertandingkan. Parti Tindakan Demokrat (DAP) menguasai 18 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menguasai 7 kerusi dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) menguasai 6 kerusi. Rangkaian DAP, PKR dan PAS menguasai 31 kerusi, namun mereka perlu secara sahih mencapai kata sepakat untuk memilih calon yang dapat meyakinkan Raja Pemerintah bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan. Mereka melalui proses yang panjang sebelum Menteri Besar dapat mengangkat sumpah jawatan dan diperkenankan dengan tauliah lantikan. Di Selangor, BARISAN NASIONAL menguasai 20 kerusi, PKR 15, DAP 13 dan PAS 8. Meskipun rangkaian PKR-DAP-PAS memperlihatkan majoriti yang nyata, namun Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor masih perlu memastikan bahawa calon yang Baginda berikan perkenan diterima oleh ketiga-tiga parti yang berhasrat menubuhkan kerajaan campuran.

43. Krisis lantikan Menteri Besar turut berlaku dalam senario BARISAN NASIONAL memperoleh kemenangan ketara. BARISAN NASIONAL menguasai 14 dari 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis. Dato’ Seri Shahidan Kassim merupakan calon yang direstui oleh pimpinan pusat. Namun timbul senario ‘parti di dalam parti’. Calon pilihan Pengerusi BARISAN NASIONAL di peringkat pusat tidak mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri BARISAN NASIONAL di peringkat negeri. Dato’ Seri Shahidan Kassim dilaporkan tidak dapat memenuhi titah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis untuk membawa menghadap majoriti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang memberi sokongan terhadap beliau; Baginda lalu melantik calon yang Baginda yakin mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.

44. Senario di Terengganu menguji hubungan Institusi Raja dengan institusi rakyat. BARISAN NASIONAL menguasai 24 kerusi, PAS menguasai 8 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu. Calon yang dinamakan oleh Pengerusi BARISAN NASIONAL untuk mengisi jawatan Menteri Besar tidak mendapat perkenan Istana. Ada perselisihan sesama ahli-ahli Dewan Undangan Negeri BARISAN NASIONAL demikian juga di kalangan pimpinan UMNO peringkat negeri. Kedua-dua pihak mempunyai pandangan perundangan atas nasihat pakar undang-undang masing-masing. Rundingan yang berlarutan berlaku di belakang tabir. MAJLIS PENASIHAT PEMANGKU RAJA tidak berganjak dengan pendirian, bersandarkan prinsip bahawa hak melantik Menteri Besar adalah di bawah kuasa budi bicara Raja Pemerintah negeri. Tidak dapat dinafikan, dalam setiap krisis ada saat-saat genting; namun kematangan berkerajaan dan bernegara, dan kesediaan individu memberi laluan demi kepentingan negara dan warga telah membantu meredakan krisis, lalu hubungan harmoni kembali terjalin dan pada akhirnya Kerajaan dapat berfungsi.

45. Peranan Raja dalam urusan lantikan Menteri Besar di empat negeri berkaitan adalah dalam ruang kuasa budi bicara Raja Pemerintah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Kes arahan pertukaran serta merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak bersifat melanggar sempadan kuasa Raja Pemerintah. Agama Islam dan urusan yang berkaitan dengannya adalah di bawah prerogatif Raja Pemerintah. Berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak, Pengarah Jabatan Agama Islam adalah juga Setiausaha kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Lantikan Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak adalah dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Oleh itu adalah bercanggah jika pertukaran beliau dilakukan atas arahan pentadbiran negeri tanpa terlebih dahulu disembah maklum untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Di samping itu, adalah juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan apabila pegawai berkenaan yang dituduh melakukan kesalahan tidak langsung diberikan peluang untuk membela diri. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri telah dititahkan untuk menarik balik arahan pertukaran yang telah dikenakan ke atas beliau.

46. Majlis Raja-Raja adalah institusi penting negara. Sayang sekali kefahaman terhadapnya begitu terbatas. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh sembilan Raja Melayu berserta empat Yang Dipertua Negeri dan bersidang tiga atau empat kali setahun. Setiap persidangan memakan masa tiga hari. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong walaupun secara teknikal bukan ahli kepada Majlis Raja-Raja, namun dengan diiringi oleh Perdana Menteri, Baginda berangkat menyertai hari akhir Persidangan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkait dengan dasar-dasar nasional.

47. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja dan kuasa untuk memecat Baginda hanya boleh dilakukan oleh Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja dirujuk dalam urusan lantikan Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim, lantikan Ketua Audit Negara, serta ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pelajaran. Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi bahasa kebangsaan, kedudukan orang-orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

48. Kebijaksanaan adalah elemen penting membolehkan Raja-Raja berperanan secara berkesan untuk dapat memberikan keyakinan terutama dalam urusan membantu menyelesaikan sesuatu krisis dan kekusutan. Di sebalik apa yang tersurat, Raja-Raja telah membuktikan sifat bijaksana dan perlu terus bijaksana mentafsir yang tersirat. Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, yang pernah menjawat jawatan Ketua Hakim Negara, pernah bertitah,

Petikan:

‘Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara Raja Berperlembagaan. Perbezaan antara keduanya adalah satu ditafsir tidak mempunyai batasan kuasa dan satu lagi bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang Raja Pemerintah itu sama seperti seorang Presiden, terbatas kepada apa yang tersurat di dalam Perlembagaan. Peranan Raja Pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan.’

49. Titah tersebut boleh disalah mengertikan seolah-olah Baginda menganjurkan bahawa Raja Pemerintah memiliki kuasa tanpa batas. Namun di kalangan mereka yang arif, amat memahami dan mengenali akan sifat pekerti Baginda yang amat menghormati undang-undang. Apa yang dimaksudkan oleh Baginda, bahawa Raja Pemerintah mempunyai tanggung jawab yang tidak terbatas kepada peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan. Raja Pemerintah mempunyai tanggung jawab lebih luas dalam memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang, kepentingan lebih besar negara dan warga perlu senantiasa difahami dan dilindungi.

50. Dalam mendukung semangat sedemikian, Majlis Raja-Raja dijadikan forum untuk Raja-Raja menyuarakan pandangan dan menentukan pendirian berhubung calon-calon untuk dilantik sebagai hakim; sebagai Ketua Audit Negara dan sebagai ahli-ahli Suruhanjaya yang berkaitan. Dalam suasana tertutup satu perimbangan dan persefahaman akhirnya terjalin antara Kerajaan dan Raja-Raja. Yang penting diawasi dan ditegaskan:

Pertama: Raja-Raja tidak seharusnya menyalah gunakan kuasa budi bicara hingga bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan undang- undang;

Kedua: Raja-Raja adalah sebahagian dari institusi negara yang dapat berperanan positif memperkukuhkan sistem demokrasi dengan melaksanakan tanggung jawab semak dan imbang demi memelihara kepentingan dan kebajikan warga.

51. Seseorang pemimpin yang berwibawa tidak akan terbatas peranannya dengan apa yang telah tersurat. Raja-Raja berada di tempat istimewa dan pandangan bernas Raja-Raja tidak dipandang ringan. Raja-Raja berada dalam kedudukan yang berupaya mempengaruhi dan menentukan arah haluan. Vernon Bogdanor dalam bukunya “The Monarchy and the Constitution” menyatakan,

Quote,

‘Concentration upon the constitutional powers of the sovereign is liable to give a misleading picture of the contemporary role of a constitutional monarch, for the prime constitutional role of the sovereign occurs, not when a ministry begins or comes to an end, but during the everyday life of a government, and consists in the exercise of influence rather than power’

Unqoute

52. Bogdanor selanjutnya memetik tulisan Walter Bagehot pada pertengahan abad kesembilan belas yang menghuraikan pandangan bahawa Raja Berperlembagaan memiliki tiga hak, ia itu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran. Raja Pemerintah tidak memerlukan sebarang tambahan kuasa jika ketiga-tiga hak ini berjaya dikendalikan secara bijaksana lagi berhemah.

53. Sebagai sebuah negara baru, pelbagai institusi negara sebenarnya masih melalui proses transformasi untuk mencari keseimbangan. Raja-Raja sendiri merasakan bahawa peranan mereka tidak sekadar pelengkap kepada adat negara beraja – rakyat bersultan. Raja-Raja tidak dari kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan mereka. Pandangan berterus terang Raja-Raja dalam perkara-perkara berkaitan perpaduan warga, peranan agama, kebebasan kehakiman serta rasuah dan penyalahgunaan kuasa, adalah atas hasrat untuk memastikan bahawa negara terus kukuh dan aman – warga terus sejahtera dan makmur. Demi memastikan bahawa takhta kekal dihormati, Raja-Raja wajib bersifat berkecuali, memisahkan diri dari terlibat dalam sebarang kancah pertelingkahan politik kepartian. Raja-Raja hendaklah menjauhkan diri dari dijadikan instrumen oleh mana-mana pihak dalam persaingan mendapatkan kuasa politik.

54. Raja-Raja yang masih memiliki takhta wajar mengambil iktibar dari evolusi yang berlaku. Masyarakat dunia sedang dan akan terus melalui proses evolusi yang semakin rancak. Era teknologi maklumat – era komunikasi telah menembus sempadan negara – sempadan negeri. Gaya hidup Raja dan kerabat Diraja juga tidak lagi terkurung dalam lingkungan tembuk istana. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memberikan satu kemerdekaan baru membina kekayaan bersumberkan intelek, sekali gus mengurangkan keperluan insan mendapat naungan. Kemajuan pendidikan, memudahkan minda manusia bersifat lebih terbuka. Pendalaman pengetahuan agama menyedarkan manusia bahawa terdapat kuasa yang Maha Agung di atas segala kuasa dan kerajaan di dunia. Media pula mencanai minda masyarakat yang menuntut kepada amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban pemimpin.

55. Teknologi komunikasi dan media amat berpengaruh mencanai persepsi dan pemikiran insan. Raja dan kerabat Diraja tidak terkecuali dari sasaran lensa dan pena media. Raja tidak harus memandang sepi akan peranan media dalam maya yang semakin terbuka. Raja tidak harus kaku menjadi penonton dalam era revolusi media. Apatah lagi keluarga dan kerabat Diraja kini turut melalui kehidupan yang lebih terbuka, mengikuti sistem pendidikan yang lebih terbuka, terlibat dalam proses sosialisasi yang lebih terbuka. Mengurus tadbir media adalah satu seni yang memerlukan kepakaran; mengimbang apa yang patut disuratkan dengan apa yang harus disiratkan. Media, bila dikendali secara bijak, membantu pemahaman dunia akan institusi Raja dan membantu rakyat untuk lebih dapat menghargai dan memahami peranan Raja.

56. Raja perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru, membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi. Raja harus bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya. Raja berkewajipan mengizinkan modenisasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi. Biar apa pun sistem Raja itu dilandaskan, peranan Raja bukanlah sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian dan istiadat semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku – tanpa nyawa – tanpa jiwa.

57. Sistem Raja Berperlembagaan perlu ditafsir sebagai perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat. Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakunya krisis di kalangan rakyat. Raja memastikan bahawa berlakunya secara adil mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman; sekali gus memperkukuhkan institusi demokrasi di dalam negara. Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja tidak harus sama sekali merasakan tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.

58. Tata urus negara adalah satu kesenian yang perlu dikuasai; utama sekali usaha menyatukan warga dan memupuk kesetiaan kepada Raja – kepada negara. Tata urus negara tidak berlaku semudah tulisan di kertas atau ungkapan yang dilafazkan. Tata urus negara memerlukan seni urus yang halus – daya tadbir yang bijak, dilaksanakan melalui mekanisme yang berkesan, cekap dan telus; mekanisme tadbir yang tidak menyimpang atau menyeleweng serta jauh dari amalan rasuah. Raja jatuh kerana jatuhnya negara, negara jatuh kerana resahnya rakyat. Urus tadbir yang lemah menjadi punca keresahan rakyat; urus tadbir yang pincang merosakkan negara, dan akhirnya melemahkan Raja. Justeru itu, adalah menjadi tanggung jawab Raja memerhati, mengawasi dan memiliki kekuatan untuk menegur para pentadbir agar mengurus tadbir negara, melaksanakan tanggung jawab secara amanah, ikhlas, bersungguh dan komited; memastikan kestabilan kerajaan, memajukan kemakmuran negara dan menjamin kesejahteraan warga. Tanpa warga, tidak akan terbinanya sebuah negara, tanpa negara tidaklah ada lagi keperluan kewujudan Raja.

59. Raja-Raja di alam Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan Islam. Islam mempengaruhi dan mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Undang-undang Melaka[15] menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan, dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab. Terkandung dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlu mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun dan belas kasihan. Sifat mengampuni dan belas kasihan adalah antara sifat yang diutamakan di dalam Islam. Allah itu Maha Pemurah – Maha Mengasihani, seperti yang terkandung dalam kalimah ‘Bismillahi Rahmani Rahim’, diulang sebanyak seratus empat belas (114) kali di dalam Al-Quran, mendahului permulaan setiap surah melainkan surat ‘At –Taubah’, dan diulangi dua kali dalam surah ‘An-Namli’. Islam telah membawa Raja Melayu kepada konsep murni, muafakat dan adil. Konsep adil dapat ditafsirkan sebagai menepati semangat perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan ‘magna carta’ Melayu bertuankan Raja bersandarkan konsep keadilan yang dibayangkan dengan kata-kata ‘Raja Adil – Raja disembah’

60. Sewajarnya Raja berpegang kepada prinsip utama untuk menentukan kesetiaan. Bahawa jawatan berkembar dengan kuasa; dan kuasa disertai dengan tanggung jawab. Kedudukan dan kuasa adalah anugerah – adalah amanah dari ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA. Kedudukan dan kuasa adalah ujian ILAHI di kalangan hamba Nya yang terpilih. Kedudukan ini tidak sama sekali boleh disalahgunakan dan kuasa yang ada perlu digunakan secara adil untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Berpeganglah kepada prinsip, bahawa kuasa yang diamanahkan tidak harus mengatasi kuasa ILAHI. Amalan perundingan adalah budaya berkerajaan dalam sistem beraja dan budaya bernegara menurut amalan Islam. Khalifah Islam mengamalkan syura dan Raja Melayu melakukan mesyuarah.

Ini telah dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada putera Baginda Sultan Mahmud Shah,

Petikan:

“Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya… melainkan iman…..Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu….Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri.”[16]

(Petikan dari Sulalat al-Salatin)

61. Bahawa kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat Institusi Raja bergantung pada citra serta keutuhan sifat perilaku batang tubuh seseorang Raja. Bahawa darjat dan daulat seseorang Raja tidakkan bulat datang menggolek – tidakkan pipis datang melayang. Raja perlu membuktikan tahap pencapaian, memenuhi harapan rakyat, mempamerkan perilaku dan keperibadian sejajar dengan kemuliaan dan penghormatan yang diberikan.

62. Telah dijadikan penyuluh hidup akan ungkapan titah Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1980,

Petikan,

“Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium;…. Bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira Raja atau rakyat”[17]

 

63. Bahawa takhta yang kini tinggal dalam sejarah, adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar istana yang tidak bertanggung jawab, pembesar istana yang menyalah gunakan nama mulia Raja. Sejarah juga merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta, mengambil kesempatan ketika berteduh di bawah payung kuasa naungan Raja.

64. Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan terutama di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Untuk membolehkan Raja bertindak secara arif, bijak, adil dan saksama, adalah menjadi keperluan bagi Raja mempunyai barisan pembesar dan penasihat dari kalangan mereka yang arif lagi ilmuwan, dari kalangan mereka yang tidak mempunyai muslihat, dari kalangan mereka yang tidak berkepentingan terselindung, supaya Raja, disembah nasihat dengan maklumat yang tepat, secara objektif – secara rasional, berasaskan fakta – bersandarkan data; agar Raja tidak terpesong kerana berpagarkan sokong yang membawa rebah.

65. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan. Barisan yang diberikan kepercayaan dan tanggung jawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan – tidak diulit gurindam pujian. Jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluaskan, hubungan harmonis dapat diakrabkan, Insya-Allah Raja akan selamat bertakhta, penuh berdaulat – dikasihi rakyat.

66. Dalam mengharungi perjalanan, dalam memungut pengalaman sebagai bekalan memenuhi tanggung jawab institusi Raja, Beta senantiasa bersandarkan pedoman, akan amanat yang diturunkan turun temurun – zaman berzaman, bahawa:-

Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul

Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang

Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil

Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata

Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak

Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata

Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja

Menjalankan pemerintahan dengan adil

Memelihara agama – Menjamin keamanan

Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam

Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini

Maka hancur musnahlah negara.

**************************

  1. Terma Raja, Sultan, Pemerintah dan Takhta digunakan bersilih ganti dalam kertas ini.
  2. Clifford Edmund Bostworth, The New Islamic Dynasties: A chronological and genealogical manual (Edinburgh: Edinburgh University Press, 2004).
  3. W.M Spellman, Monarchies 1000 – 2000 (London: Reaktion Books Ltd, 2001), 270
  4. Ibid 235 – 245
  5. A.W. Purdue, Long To Reign? The Survival Of Monarchies In The Modern World (Glouchestershire: Sutton Publishing, 2005), 184.
  6. Ibid, 203-205.
  7. Roger Kershaw, Monarchy in South-East Asia: The Faces of Tradition in Transition (London: Routledge, 2001), 77.
  8. Ibid, 201.
  9. Kumar Ramakrishna, Emergency Propaganda, The Winning of Malaysia Hearts and Minds 1948-1958, (Surrey, Curzon Press 2002), 56.
  10. Ibid, 93.
  11. Abdul Aziz Bari, Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia’ (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002) 23.
  12. Mohamad Abid, ‘Imbasan Peristiwa-Peristiwa Sebelum Kemerdekaan’-petikan ucapan Dato’ Onn Jaafar, (Subang Jaya: Pelanduk Publications, 2003) 218
  13. Ibid.
  14. Raja Tan Sri Azlan Shah, “Pidato Konvokesyen Universiti Malaya”, 30 Jun 1979.
  15. Teks Abad ke 14
  16. Tun Seri Lanang, Sulalat al-Salatin, dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, (Kuala Lumpur: 1997), 151-152.
  17. Raja Tan Sri Azlan Shah, Ucapan Wakil Siswazah Kehormat, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 25 Jun 1980.
%d bloggers like this: