Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallahu Alahi Wassalam, demikian juga kepada ahli keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya kepada tabi’in dan para ulama. Semoga mereka memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.
2. Beta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin perkenan-Nya, dapat Beta berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Kali Kelima Kolej Islam Darul Ridzuan pada tahun ini.
3. Pada kesempatan ini, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada Profesor Madya Dr. Jamil bin Hashim yang baru dilantik sebagai Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan.
4. Seterusnya, Beta merakamkan tahniah setinggi-tingginya kepada para graduan sekalian atas kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam bidang masing-masing. Tahniah juga Beta ucapkan kepada semua ibu bapa serta waris yang turut hadir untuk meraikan hari yang sangat bermakna ini.
Para graduan dan hadirin sekalian,
3. Dinamika pendidikan Islam sering mengundang perhatian ramai pihak, baik dari institusi pendidikan mahupun dari luar institusi pendidikan. Pendidikan Islam sebagai agen pencerahan dan penyelamatan hidup manusia memerlukan asas yang kuat dan arah yang jelas. Melalui asas dan arah tersebut, diharapkan idealisme pendidikan Islam seperti yang tersirat dalam sumber ajaran Islam sentiasa mendorong umat Islam menjadi umat yang berkualiti tinggi dan berperibadi mulia.
4. Seiring dengan perubahan zaman, pendidikan Islam kini harus dipersiapkan dan diperkasakan dalam rangka menghasilkan generasi baru yang mempunyai kemantapan jiwa, keluhuran akhlak, kematangan profesional dan keluasan ilmu, di samping memenuhi piawaian keperluan lapangan kerja.
5. Pendidikan Islam merupakan lanjutan misi besar yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Berdasarkan dua sumber utama itu, pendidikan Islam harus menyentuh segala dimensi kehidupan, tidak hanya sekitar persoalan agama, melainkan juga menyentuh persoalan-persoalan sosial, budaya, ekonomi, siasah, dan sebagainya. Generasi yang ingin dilahirkan bukanlah generasi yang berat sebelah, yang hanya mementingkan satu dimensi keilmuan, sementara dimensi yang lain dipandang tidak penting.
6. Pendidikan Islam harus menterjemahkan misi besar yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah dalam realiti kehidupan manusia yang tidak terbatas oleh ruang dan waktu. Pendidikan Islam juga melahirkan serta mengembangkan semua jenis ilmu pengetahuan yang selari dengan ajaran al-Qur’an dan Sunah. Kedua-dua sumber Islam tersebut bersifat universal dan menjangkau dimensi yang sangat luas.
Para graduan dan hadirin sekalian,
7. Refleksi pemikiran dan rumusan kurikulum pendidikan Islam harus bernafaskan kekinian (up to date). Untuk memastikan pendidikan Islam tidak ketinggalan dari arus zaman, maka proses improvisasi kurikulum mesti dilakukan secara terus-menerus. Kontekstualisasi pendidikan Islam dengan persoalan zaman merupakan pilihan yang strategik dan rasional yang relevan dengan semangat ajaran Islam. Pendidikan Islam harus memanfaatkan pola-pola yang moden, tetapi tidak mengesampingkan unsur rohani dan persoalan akhlak.
8. Kurikulum pendidikan Islam wajar meneroka ruang baru yang sesuai dengan pola hidup umat manusia masa kini yang menitikberatkan nilai kemajuan dan bebas daripada kejahilan dan kemiskinan. Sistem pendidikan Islam tidak seharusnya terikat dengan aspek-apek yang bersifat rutin semata-mata. Oleh yang demikian, warga pendidikan Islam memerlukan fikiran cerdas dan tindakan cergas dalam menyikapi pelbagai dinamika perubahan masyarakat yang berkembang secara terus menerus.
9. Dalam ayat-ayat al-Quran, kita selalu diingatkan supaya sentiasa berlumba-lumba dalam kebaikan dan memperhatikan apa-apa yang hendak dilaksanakan untuk hari muka. Lantaran, setiap kegiatan pendidikan Islam mesti mempunyai wawasan yang jelas dan pandangan yang progresif.
11. Bertolak daripada asas dan latar sedemikian, semua institusi pengajian tinggi yang berteraskan pendidikan Islam termasuk KISDAR harus mengambil langkah-langkah yang perlu dalam usaha pemetaan dan pemantapan visi-misi, dan perumusan kurikulum yang holistik dan futuristik. Dengan menggagas pendidikan Islam secara holistik dan futuristik, maka akan muncul paradigma baru yang kontekstual dan relevan dengan perubahan zaman.
Para graduan dan hadirin sekalian,
12. Beta berharap usaha menaik taraf status KISDAR kepada kolej universiti dapat dilaksanakan dengan segera. Sejajar dengan hasrat tersebut, KISDAR hendaklah melipatgandakan usaha untuk menawarkan pelbagai program pengajian bukan sahaja peringkat diploma, tetapi juga peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Dengan kelulusan naik taraf ini nanti, bilangan kemasukan pelajar akan bertambah dan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akan terbuka luas.
Para graduan dan hadirin sekalian,
14. Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Seri Diraja Dr. Zambri bin Abdul Kadir yang sentiasa memberikan sokongan moral dan material terhadap pembangunan KISDAR.
15. Beta juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan semua Ahli Lembaga Pengarah KISDAR yang telah menyumbangkan idea dan fikiran bagi membangunkan kolej ini. Sekalung penghargaan Beta tujukan kepada Rektor dan seluruh warga kerja KISDAR atas segala usaha dan tenaga yang dicurahkan bagi memungkinkan kejayaan ini tercapai.
17. Akhirnya, Beta berdoa semoga istiadat konvokesyen ini mendapat keberkatan daripada Allah.
Wabillahit Taufik wal Hidayah
Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh