Istiadat Konvokesyen Ke 41 Politeknik Ungku Omar Ipoh

 

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala yang telah mencipta manusia dari segumpal darah lalu mengajar manusia dengan perantaraan kalam apa yang tidak diketahui oleh manusia. Maha suci ALLAH, Pencipta langit – Pencipta bumi, mengadakan gelap dan terang, menguasai segala rahsia ilmu – memiliki sedalam lautan pengetahuan.

2. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, kepada seluruh keluarga dan para sahabat Baginda, kepada para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan dari Mu jua Ya ALLAH, sehingga ke hari kebangkitan.

3. Istiadat konvokesyen adalah acara bersejarah merayakan kejayaan yang telah dicapai oleh para graduan. Kejayaan ini turut membungakan keriangan di hati ibu bapa dan anggota keluarga, turut menguntumkan kepuasan di kalangan tenaga akademik dan institusi latihan. Kejayaan ini diperoleh melalui disiplin dan ketekunan para graduan berusaha memenuhi keperluan penilaian akademik dan kerja kursus. Kejayaan ini dicipta melalui dedikasi dan komitmen tenaga akademik dan tenaga sokongan institusi. Kejayaan ini dicapai melalui pengorbanan dan sokongan ibu bapa dan anggota keluarga. Para graduan wajib bersyukur ke hadrat ILAHI di atas kejayaan ini dan berterima kasih kepada tenaga akademik, tenaga pengurusan dan tenaga sokongan institusi, dan lebih utama kepada para ibu bapa yang berperanan sebagai tenaga tersembunyi yang memberikan segala kekuatan dalaman dan kekuatan spiritual.

4. Setelah minda diperkaya dengan ilmu, pengetahuan serta pengalaman, para graduan akan menambah aset modal insan terlatih negara. Insan berilmu adalah insan yang akan melakukan pertimbangan dan melakukan penilaian berlandaskan fakta – berlandaskan kebenaran; insan yang tidak sama sekali mengizinkan penerimaan elemen-elemen ketidakbenaran dan kepalsuan. Ilmu yang dipelajari hendaklah dijadikan instrumen untuk melakukan kebaikan, menegakkan kebenaran, meningkatkan sifat amanah dan melimpahkan kebajikan.

5. Hari ini insan yang menguasai ilmu semakin bertambah ramai; pada masa yang sama insan berilmu yang menyalah amalkan ilmu dengan melakukan penipuan dan penyelewengan turut bertambah ramai. Ilmu sekadar dijadikan pakaian luaran untuk mendapat pengiktirafan. Pengiktirafan yang diberikan kepada insan berilmu sering kali disusuli dengan kepercayaan menyerahkan amanah dan tanggung jawab. Malang sekali, apabila insan diberikan amanah, kepercayaan, jawatan dan tanggung jawab, kemurnian nilai ilmu yang dipelajari dibenarkan untuk dialahkan oleh naluri tamak, lalu tercetus kontradiksi, berlakunya konflik dalaman. Prinsip-prinsip asas kemurnian ilmu dikorbankan kerana tewas kepada pengaruh nafsu – kerana kecundang kepada tarikan kebendaan. Sifat-sifat amanah, jujur dan ikhlas kini bagaikan komoditi yang semakin luput dan semakin sukar ditemui. Akibatnya berlaku pelbagai kejadian pecah amanah, salah guna kuasa, penipuan, dan rasuah; dilakukan bukannya oleh insan-insan jahil yang tidak berilmu, tetapi terjadi kerana manipulasi dan sifat ketidakjujuran insan-insan berilmu.

6. Perlakuan sedemikian telah mengakibatkan tercetusnya pelbagai bencana alam – pelbagai bencana kewangan – pelbagai bencana ekonomi. Insan lemah yang tidak bersalah, insan kurang berilmu yang meletakkan harapan kepada insan berilmu, majoritinya menjadi mangsa pelbagai krisis yang berlaku kerana malapetaka, pencemaran alam, bangunan runtuh, jambatan roboh, kebankrapan syarikat dan kemelut ekonomi.

7. Institusi pengajian dan institusi keluarga wajib menyemaikan nilai-nilai insaniah yang tinggi di kalangan anak-anak didik. Dunia tidak sekadar memerlukan insan yang diperkaya minda dengan ilmu tetapi dunia lebih memerlukan insan yang menghayati – yang mengamalkan ilmu, insan-insan yang memiliki kekuatan dalaman; amanah, jujur dan ikhlas; serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran – menentang kemungkaran.

8. Politeknik Ungku Omar adalah politeknik tertua di negara ini, diwujudkan pada 2 Jun 1969 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama dan bantuan UNESCO. Penubuhannya turut mendapat peruntukan kewangan 24.5 juta ringgit dari United Nations Development Programme. Ia bermula dengan 300 pelajar, 28 tenaga pengajar tempatan, dibantu oleh 14 sukarelawan dari Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Jepun. Dalam tempoh masa 43 tahun, Politeknik Ungku Omar telah berkembang pesat, hari ini mempunyai 7,983 pelajar, 560 tenaga akademik dan 193 tenaga pengurusan dan staf sokongan.

9. Negara telah memilih mengabadikan nama Ungku Omar kepada Politeknik ini kerana menghargai jasa bakti seorang nasionalis unggul. Ketika kita bergembira merayakan kejayaan yang telah dicapai oleh para graduan, amatlah bertepatan untuk kita mengimbas sejenak, menghargai akan jasa bakti seorang nasionalis unggul yang melalui pencetusan dan penerokaan idea darinya telah membolehkan generasi hari ini memetik hasil. Ungku Omar bin Ungku Ahmad (Allahyarham) anak kelahiran Johor Bahru telah diputerakan pada tahun 1931. Ungku Omar melalui alam pendidikan bermula dari Sekolah Melayu Tangkak, kemudiannya di Sekolah Inggeris Kluang sebelum menyambung persekolahan menengah di Malay College Kuala Kangsar. Ungku Omar pada tahun 1957 dianugerahkan ijazah doktor perubatan (MBBS) dari University Malaya di Singapura; lapan tahun kemudiannya pada usia 34 tahun Ungku Omar memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of London.

10. Ungku Omar (Allahyarham) merupakan anak Melayu pertama dilantik sebagai Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (Institute Medical Research – IMR) pada tahun 1965. Semasa hayatnya Ungku Omar amat menekankan elemen kesihatan dan menganggap faktor kesihatan amat mempengaruhi tahap kemajuan sesuatu bangsa. Ungku Omar senantiasa mengingatkan kesan negatif cacing kerawit di kalangan anak Melayu desa kerana berjalan tanpa memakai sepatu, dan betapa kemiskinan tidak mengupayakan orang Melayu menikmati makanan berkhasiat, mengakibatkan orang Melayu kekurangan protein dan vitamin, lalu mempengaruhi tahap kesihatan mereka, sekali gus mempengaruhi daya kekuatan minda bangsa. Ungku Omar senantiasa memikirkan dan berusaha untuk membela nasib bangsa yang tinggal di desa yang secara relatif begitu ketinggalan. Ungku Omar senantiasa mengingatkan bangsanya supaya mengambil berat soal kesihatan. Baginya kesihatan adalah prasyarat untuk menentukan pencapaian kemajuan seseorang insan. Ungku Omar turut dikenali sebagai DOKTOR RADIO kerana suaranya sering berkumandang di udara, menggunakan saluran komunikasi radio menyampaikan nasihat-nasihat kesihatan kepada bangsanya. Dalam hayat yang terlalu singkat, Ungku Omar berjaya menghasilkan empat puluh kertas penyelidikan.

11. Ungku Omar dikenali sebagai saintis dan pendidik bangsa. Meski melalui sebahagian besar alam pendidikannya dalam Bahasa Inggeris, Ungku Omar lantang menjaguhi kedaulatan Bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi termasuk dalam bidang perubatan. Ungku Omar berpegang bahawa anak Melayu di desa akan mendapat peluang pendidikan tinggi yang lebih saksama jika bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa ilmu, ditingkatkan penggunaannya di Institusi Pengajian Tinggi. Penubuhan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia yang berjaya menghasilkan pengamal perubatan melalui bahasa penghantar Melayu adalah antara idea yang diperjuangkan secara lantang oleh Ungku Omar. Semasa hayatnya, Ungku Omar turut menyuarakan penubuhan Universiti Islam di Malaysia, namun tidak sempat melihat hasil perjuangannya. Pada 15 Februari 1969, Negara kehilangan seorang tokoh nasionalis yang unggul, apabila ALLAH Subhanahu Wata’ala telah menentukan pada tarikh tersebut untuk membawanya kembali ke pangkuan ILAHI pada usia muda 38 tahun.

12. Ungku Omar telah 43 tahun meninggalkan kita. Hari ini namanya tetap hidup – terus disebut – terpahat di Politeknik ini. Yang lebih perlu dihidupkan adalah semangat dan kegigihan perjuangan Ungku Omar; yang lebih perlu disemaikan adalah semangat kasih dan sayang seorang insan berilmu kepada bangsanya, yang lebih perlu disuburkan adalah semangat tulus seorang patriot untuk membela bangsanya. Ungku Omar tidak sekadar harus dinobatkan pada papan tanda, pada nama jalan, pada institusi pengajian, pada nama kolej atau nama maktab. Ungku Omar harus dihidupkan secara roh – secara semangat, agar lahir lebih ramai pejuang, patriot dan nasionalis bangsa yang unggul, tulen lagi sejati. Kegigihan dan komitmen Ungku Omar wajib dihayati semoga akan lahir lebih ramai insan yang memiliki rasa kasih – rasa sayang kepada anak bangsanya yang masih mundur meskipun dirinya telah mencapai kejayaan. Perjuangan dan pengorbanan Ungku Omar wajib dicontohi supaya lahir lebih ramai insan berjawatan tinggi yang bersedia mengambil tanggung jawab membela nasib bangsa yang masih tertinggal.

13. Pada hemat Beta, sejarah, pengorbanan, peranan dan semangat Ungku Omar hendaklah dijadikan sebahagian dari komponen program induksi bagi setiap pelajar, setiap kakitangan dan setiap warga di Politeknik ini agar namanya tidak hanya terpahat di papan nama tetapi semangatnya terus disuntik agar segar mengalir dalam jiwa setiap warga sepanjang masa. Di saat merayakan kejayaan dan kegembiraan para graduan, marilah sama-sama kita dengan seikhlas dan setulus hati, bertafakur, mengingati dan menghargai jasa bakti seorang nasionalis bangsa sambil membacakan Surah Al Fatihah, semoga ganjaran dari bacaan tersebut diterima ILAHI dan disampaikan oleh ILAHI kepada roh Dr. Ungku Omar bin Ungku Ahmad. Al-Fatihah.

14. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala melimpahkan segala rahmat kepada roh Dr. Ungku Omar. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menjadikan kita insan yang bersyukur dengan kejayaan ini dan terus melimpahkan rahmat kejayaan yang lebih besar. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan setiap kita segala panduan dan petunjuk untuk menemui jalan yang diredai lagi dirahmati.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: