Istiadat Konvokesyen Ke 48 Politeknik Ungku Omar Ipoh

Politeknik Ungku Omar mula beroperasi pada 2 Jun 1969, perintis kepada program melahirkan pekerja mahir separa ikhtisas dalam bidang teknikal dan perdagangan, berpandukan saranan daripada Laporan Khir Johari 1967. 

2.      Politeknik ini diabadikan namanya untuk menghormati, seorang towering personality, Profesor Dato’ Dr. Ungku Omar bin Ahmadseorang nasionalis, saintis, pendidik, perintis ilmu pengetahuan, pengkaji masyarakat, pejuang bahasa Melayu, serta berpengetahuan luas dalam hal ehwal agama Islam.  Dr. Ungku Omar adalah seorang yang prolifik, menghasilkan 40 kertas kerja dalam bidang perubatan, menekankan pentingnya diberikan perhatian kepada aspek kesihatan dan pemakanan berkualiti terutama dalam kalangan masyarakat desa.  Ungku Omar gigih memperjuangkan peranan bahasa Melayu dalam pendidikan perubatan, berperanan besar di sebalik penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia.  Ungku Omar, yang dilahirkan pada 18 Januari 1931 di Johor Bahru, meninggal dunia pada 15 Februari 1969, ketika baharu berusia 38 tahun.  Pemergian beliau pada usia yang begitu muda merupakan kehilangan besar kepada negara. 

3.      Dalam suasana negara diambang menyambut ulang tahun hari kemerdekaan ke 62, dan pada ketika Politeknik Ungku Omar telah merentasi usia 50 tahun, marilah kita mengambil sejenak masa, memperingati dan menghargai jasa bakti Dr. Ungku Omar, serta rakan-rakan seangkatan Allahyarham, dengan bertafakur, mendoakan kesejahteraan roh-roh mereka; pohon dikurniakan sebesar-besar ganjaran oleh ILAHI; dan dalam kalangan umat Islam membacakan surah Al-Fatihah, agar amal kita diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dan ganjaran daripadanya disampaikan kepada roh Dr. Ungku Omar, rakan-rakan seangkatan, merangkumi roh-roh para pengasas penubuhan politeknik ini.  Al-Fatihah.

4.      Tahun ini Politeknik Ungku Omar mencapai usia merayakan sambutan Jubli Emas penubuhannya.  Ketika mula beroperasi, Politeknik Ungku Omar mempunyai hanya empat buah jabatan  yang  menawarkan lapan program pengajian, satu program peringkat diploma, Diploma Akauntansi, dan tujuh program peringkat sijil, enam sijil kejuruteraan dan satu sijil perdagangan.  Dua puluh lima (25) orang pelajar mengikuti program diploma, sementara 188 orang mengikuti program sijil, di bawah bimbingan 28 orang pensyarah tempatan dan 14 orang pensyarah dari luar negara.  Hari ini Politeknik Ungku Omar, mempunyai 10 buah Jabatan, dan menawarkan 20 program pengajian, dua program Sarjana Muda, 17 program diploma dan satu program sijil, dengan 6,981 orang pelajar, di bawah bimbingan 486 pensyarah, dibantu 141 orang staf pengurusan.  Sehingga konvokesyen ke 47, Politeknik Ungku Omar telah menghasilkan 75,562 orang graduan.  Konvokesyen ke 48 ini, akan menganugerahkan ijazah, diploma dan sijil kepada 2,270 orang graduan.  Nyatalah Politeknik Ungku Omar dalam usia 50 tahun penubuhannya telah mencipta satu rekod kejayaan yang cemerlang.  Beta menzahirkan penghargaan kepada setiap pihak yang telah memenuhi amanah dan melaksanakan tanggungjawab secara komited lagi berdedikasi, hingga terciptanya kejayaan yang membanggakan ini.

5.      Para graduan kini akan melalui fasa hidup yang baharu.  Ada yang akan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi, ada yang akan menceburi alam pekerjaan, sama ada menjadi pekerja atau usahawan.  Apa pun pilihan yang dilakukan, saudara-saudari merupakan aset penting negara.  Saudara-saudari yang sedang berada dalam usia remaja di bawah 30 tahun, akan terlibat secara langsung memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta semakin berperanan penting dalam urusan tatanegara. Berpandukan dinamik yang sedang berlaku ketika ini, saudara-saudari akan berperanan lebih signifikan mencoraki landskap politik negara.  Dalam memenuhi harapan tinggi negara, saudara-saudari hendaklah memikirkan secara serius, sekurang-kurangnya tiga tanggungjawab utama.

6.      Pertama:  Tanggungjawab politik;

Tarikh 16 Julai 2019, merupakan satu detik penting dalam sejarah politik negara.  Tiga puluh dua ahli Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-undang menurunkan had usia layak mengundi  daripada 21 tahun kepada 18 tahun.  Ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, telah mencapai kata sepakat, meluluskan Rang Undang-undang tersebut.  Parlimen Malaysia, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebulat suara bersetuju dengan cadangan Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi.  Malaysia adalah negara kedua terakhir di dalam ASEAN, mengambil keputusan demikian, meninggalkan Singapura, yang masih terikat dengan umur 21 tahun untuk kelayakan mengundi.  Susulan daripada pindaan tersebut, menjelang Pilihan Raya Umum ke 15, jika diadakan pada tahun 2023, seramai 7.8 juta pengundi baru dijangka terdaftar secara automatik, peningkatan lebih daripada 50 peratus bilangan pengundi berdaftar semasa Pilihan Raya Umum ke 14.

7.      Diunjurkan dalam Pilihan Raya Umum kelima belas, 15 juta atau 66 peratus pengundi berada dalam zon usia 18 hingga 40 tahun; bermakna golongan muda akan memiliki suara politik yang lebih dominan untuk menentukan kerajaan dan memilih pemimpin.  Keputusan tersebut hendaklah dilihat bukan sekadar memberi hak mengundi kepada golongan remaja, tetapi ditafsirkan sebagai peluang yang memberikan kuasa lebih besar kepada anak muda untuk mencoraki kepimpinan negara dan memilih kerajaan. 

8.      Memilih kerajaan adalah perkara serius kerana nasib rakyat dan negara bergantung pada mereka yang diberikan kuasa untuk membentuk kerajaan.  Penilaian hendaklah diasaskan kepada pemikiran yang rasional berteraskan fakta dan bukannya sentimen dan emosi.  Socrates pernah mengingatkan, “hanya mereka yang berupaya memikirkan isu secara rasional dan mendalam, yang wajar diberikan hak mengundi”.  Socrates amat memahami betapa mudahnya calon-calon yang menawarkan diri untuk diundi, mengeksploitasi selera pengundi dengan memberikan penyelesaian yang berbunyi mudah, menjanjikan perkara yang enak didengar oleh telinga pengundi.  Socrates menyuarakan peringatan akan bahayanya pemerintahan yang diasaskan pada hukum  rimba dan demagog (mob rule and demagoguery).  Ahli Falsafah dan pengarang British, Allan de Botton menganggap kebaikan demokrasi, tertakluk kepada ekosistem pendidikan yang berada di persekitarannya. 

9.      Anak muda perlu dibimbing agar berupaya memahami erti dan amalan demokrasi yang membina, sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin.   Anak muda perlu dibimbing untuk memiliki nilai-nilai moral yang betul berpaksikan undang-undang, memiliki kematangan menilai antara yang makruf dengan yang mungkar, arif membezakan antara fakta dengan fitnah, bijaksana mengenali antara permata dengan kaca.  Anak muda perlu diberikan cukup pendedahan dan pengetahuan mengenai  elemen kenegaraan dan tatanegara.  Untuk itu, pembentukan sahsiah dan jati diri, perlu dipupuk dan dijadikan komponen dalam kandungan pendidikan negara.

10.    Kedua:  Tanggungjawab Kepimpinan;

Pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia 2007, mendefinisikan semula ‘belia’ sebagai mereka yang berusia 15 hingga 30 tahun, mewajibkan organisasi belia dipimpin oleh mereka yang berusia di bawah 30 tahun.  Kumpulan remaja adalah pelapis kepada kepimpinan negara.  Lebih awal kumpulan remaja diberikan ruang untuk memenuhi tanggungjawab kepimpinan, lebih cepat mereka dapat dimatangkan.    Pindaan akta tersebut, merupakan langkah mahu memberikan kepercayaan yang lebih besar kepada golongan remaja untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan.  Golongan muda kini diberikan peluang menentukan agenda, program dan hala tuju berasaskan aspirasi anak muda.  Pindaan kepada akta tersebut boleh ditafsirkan sebagai satu landasan untuk membantu proses mematangkan golongan muda, satu inovasi demokrasi untuk meningkatkan dan meluaskan penglibatan remaja dalam struktur dan proses membuat keputusan dan menyuarakan pendirian.  Anak muda wajib menghargai kepercayaan yang dianugerahkan oleh negara ini dengan menunjukkan sikap bertanggungjawab dan sifat kematangan.

11.    Ketiga: Tanggungjawab kenegaraan;

Bumi Malaysia ini, dengan penentuan ILAHI, dihuni oleh warga yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, budaya dan agama.  Kejayaan memupuk perpaduan agar warga yang berbilang itu dapat hidup secara rukun – secara harmoni, saling menghormati – saling memahami – saling bekerjasama, merupakan kunci kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi di bumi ini.  Barisan yang diamanahkan tanggungjawab memimpin sebuah negara merdeka 62 tahun lalu, amat menyedari pentingnya dipastikan rakyat yang berbilang kaum, bahasa, budaya dan agama ini, hidup secara rukun – secara harmoni, demi kelangsungan sebuah negara merdeka yang aman lagi sejahtera.

12.    Prinsip dan falsafah politik yang dijaguhkan oleh Bapa Kemerdekaan kita, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) dan barisan pemimpin yang seangkatan, ketika merintis tuntutan kemerdekaan ialah politik yang berteraskan semangat MERANGKUMI  (inclusiveness).  Prinsip dan falsafah tersebut telah memberikan kemenangan politik kepada Yang Teramat Mulia Tunku, hingga beliau mendapat sokongan daripada penduduk pelbagai kaum – pelbagai agama, bersandarkan formula bahawa bumi ini, memberi tempat untuk bertapak, dan langit untuk bernaung kepada semua warga secara adil – secara saksama.  Semangat merangkumi (inclusive) ini, merupakan serapah sakti, berjaya menyatupadukan warga di negara ini.  Semangat merangkumi ini, berjaya menjadi mantera ajaib, menewaskan diayah dan cita-cita Parti Komunis Malaya, mengatasi ancaman Indonesia semasa berlakunya konfrontasi, merawat luka akibat peristiwa 13 Mei, dan mengharungi pelbagai krisis ekonomi yang berlaku.

13.    Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga, dan suara kesederhanaan yang merangkum warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas (hijack) oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek.  Masa hadapan rakyat dan negara, tidak harus diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman ekstremis kaum – ekstremis agama.  Anak muda hendaklah memahami dan menghayati pentingnya faktor perpaduan, dan pentingnya setiap kaum menghargai dan menghormati kehadiran masing-masing, dan pentingnya mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menggores perasaan, menidakkan hak sesuatu kaum atau melanggar perkara-perkara asas yang telah dipersetujui semasa penggubalan Perlembagaan Merdeka.  Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara merdeka ini, adalah tanggungjawab setiap warga, demi menjamin negara ini kekal aman, rukun, makmur dan sejahtera.

14.    Beta menzahirkan ucap tahniah kepada para graduan yang telah mencipta satu lagi kejayaan melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan.  Tampilkan diri dengan sifat orang berilmu, bertindak secara waras berlandaskan fakta – berteraskan kebenaran.   Hargai jasa guru, hargai jasa ibu bapa dan ahli keluarga yang berada di belakang kejayaan anda.  Jadikan diri masing-masing, aset yang memberi manfaat kepada negara bangsanya, berpegang teguh kepada kebesaran Tuhan Yang Maha Agung, membuktikan kesetiaan kepada Raja dan Negara, meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, berkata dan bertindak berpandukan kesopanan dan kesusilaan.  Semoga anda semua menjadi insan yang berjaya di dunia dan mendapat kemenangan di akhirat.

In The News:

https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/08/21/sultan-nazrin-urges-youths-to-vote-wisely

https://www.sinarharian.com.my/article/43815/BERITA/Nasional/Jangan-serah-masa-depan-negara-kepada-ekstremis-kaum-agama

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/08/597884/suara-perpaduan-kesederhanaan-satukan-rakyat-perlu-dipertahankan

https://www.malaysiakini.com/news/488689

%d bloggers like this: