Istiadat Konvokesyen Kelapan Belas (Sesi Pertama) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Opening of Speech

  1. Firman ALLAH Subhanahu Wata’ala di penghujung ayat sebelas Surah Al-Mujadilah bermaksud;“…., nescaya ALLAH akan mengangkat (darjat) orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Teliti akan apa yang kamu kerjakan”.
  2. Istiadat konvokesyen universiti dilangsungkan, bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian para graduan, yang telah memenuhi kriteria, menguasai ilmu dan pengetahuan, lalu dianugerahkan pengiktirafan, mengikut darjat pencapaian masing-masing. Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali kelapan belas, akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada sembilan ribu, tiga ratus, satu (9,301) orang graduan. Daripada jumlah tersebut, lima puluh dua (52) orang, dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah; sembilan ratus satu (901) orang, dianugerahkan ijazah Sarjana; tujuh ribu, tiga ratus, tiga puluh (7,330) orang, dianugerahkan ijazah Sarjana Muda; dan seribu, lapan belas (1,018) orang, dianugerahkan diploma. UPSI juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd. Dom.
  3. Istiadat Konvokesyen kelapan belas ini berlangsung dalam suasana negara baru menyambut, perayaan ulang tahun kemerdekaan tanah air kali kelima puluh sembilan, dan ulang tahun sambutan lima puluh tiga tahun penubuhan Malaysia. UPSI tumbuh membesar, berbenihkan Sultan Idris Training College, yang dikenali dengan rujukan ringkas SITC. SITC memiliki kaitan sejarah yang signifikan dengan perjuangan kemerdekaan tanah air. SITC ialah pusat yang telah melahirkan inteligensia bangsa pada era pra merdeka. Semangat kesedaran mahu meningkatkan martabat bangsa, mula dinyalakan di sini. Suara menuntut supaya bumi ini dibebaskan daripada cengkaman penjajahan dan bangkit sebagai tanah air yang merdeka turut digemakan di sini. Daripada institusi ini, lahirnya ramai para pejuang kemerdekaan, yang menggemakan perjuangan untuk memerdekakan tanah air, melalui kegiatan-kegiatan penulisan dan persuratan, pendidikan, pertubuhan sukarela dan parti politik.
  4. Kemerdekaan negara dicapai pada tahun 1957. Negara baru, Persekutuan Tanah Melayu, telah diperluaskan dengan wilayah yang lebih besar apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Penubuhan Malaysia melakarkan satu entiti negara bangsa yang baru, merangkaikan gabungan baru, menjalinkan percantuman baru, mengujudkan kerjasama baru. Laut China Selatan tidak lagi memisahkan antara negeri-negeri di Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak, kerana telah terbina jambatan perhubungan yang menyatukan minda dan hati. Penduduk yang sebelumnya terpisah oleh sempadan geografi, mencapai kata sepakat, bersetuju memiliki identiti yang sama, menjadi warga kepada sebuah negara bangsa merdeka, bernama Malaysia, menumpahkan taat setia, berada di bawah naungan pemerintahan Kepala Utama Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
  5. Lima puluh sembilan tahun yang lalu, semangat satu negara-satu bangsa, telah dirintis di kalangan anggota masyarakat yang memiliki latar belakang yang pelbagai, daripada segi agama, kumpulan etnik, budaya dan bahasa. Hasrat untuk menyatupadukan anggota masyarakat itu dipupuk dan diterokai dan berjaya dicapai. Sifat terbuka dan toleransi, sifat saling menghormati – saling memahami, sifat mengenali dan menerima perbezaan, adalah antara faktor utama yang membolehkan terjalin dan terbinanya semangat perpaduan di kalangan warga.
  6. Pendidikan dan institusi pendidikan berperanan amat penting sebagai medium dan platform dalam usaha memupuk dan membina semangat perpaduan di kalangan warga. Dalam sebuah negara yang warganya begitu pelbagai, faktor-faktor keterbukaan dan toleransi, faktor-faktor saling menghormati dan saling memahami, dan faktor-faktor saling mengenali dan saling menerima perbezaan, terutama dalam isu-isu menyentuh agama dan budaya, amatlah penting diberikan perhatian. Universiti wajib memberikan perhatian, universiti wajib merangka pendekatan dan universiti wajib melaksanakan program yang dapat meningkatkan kefahaman, mengeratkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan antara warga Malaysia yang memiliki pelbagai latar belakang. Para graduan setelah meninggalkan alam universiti, wajib berusaha, membantu memenuhi wawasan negara untuk membina sebuah negara-bangsa, yang warganya kukuh bersatu – teguh berpadu, menjunjung semangat satu negara, menumpahkan penuh kesetiaan kepada Raja dan negara.
  7. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah mencapai satu lagi kejayaan dalam perjalanan hidup anda. Anda kini, tergolong dalam kalangan insan berpengetahuan dan berilmu; semoganya anda turut mencerminkan sifat-sifat insan terpelajar dan berpendidikan. Sedarilah! banyak faktor dan ramai individu yang turut terlibat secara langsung dan secara tidak langsung, dalam hasrat mahu merealisasikan sesebuah impian dan dalam usaha mencipta sesuatu kejayaan. Sokongan moral, material dan spirituil daripada ibu bapa dan ahli keluarga yang senantiasa mendoakan kejayaan anda, kesungguhan para pensyarah mencurahkan ilmu, serta komitmen tenaga pengurusan dan sokongan universiti untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan, telah memudahkan urusan pengajian dan penginapan anda semasa berada di kampus. Hargailah jasa bakti dan pengorbanan mereka setelah anda menjadi insan yang berjaya. Hulurkan sokongan dan sumbangan kepada Alma Mater anda, walaupun bermula secara kecil-kecilan. Semaikan azam untuk membantu UPSI berupaya muncul sebagai sebuah universiti yang unggul lagi ternama.
  8. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah secara kolektif memenuhi amanah, menyempurnakan tanggungjawab untuk menghasilkan para graduan terutamanya ibu bapa dan anggota keluarga, pengurusan universiti, tenaga pengajar, staf sokongan dan semua pihak yang telah memberi sumbangan yang membolehkan para graduan berjaya menerima ijazah pada hari ini. Semoga segala usaha murni yang telah dilaksanakan akan diberkati serta dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: