Istiadat Konvokesyen Kesembilan

Basmalah & Salam

Opening of Speech

Alhamdulillah, pada 10 Jun 2016, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), telah dinaiktarafkan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Atas nama Canselor, Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang telah memberikan pengiktirafan dan persetujuan.

2. Internet, berperanan seumpama roh zaman. Alaf ketiga ini selayaknya disebut sebagai era Internet, kerana Internet tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan harian manusia masa kini. Dua puluh empat tahun selepas World Wide Web diperkenalkan, Internet telah menjadi jambatan interaksi di kalangan lebih daripada lima puluh peratus warga dunia. Pada mulanya, Internet hanya dimanfaatkan sebagai medium untuk mencari maklumat (browsing) dan surat-menyurat (email). Setelah berlakunya ledakan media sosial, Internet telah menjadi medium untuk pelbagai transaksi ekonomi. Hampir semua keperluan harian kini, dapat dipenuhi melalui telefon bimbit pintar, sementara perniagaan serta pemasaran barang dan perkhidmatan pula dilakukan melalui laman-laman e-commerce. Internet ibarat pasar raksasa yang mempertemukan penjual dengan pembeli dalam ruang siber.

3. Jutaan pengguna Internet, kini terhubung antara satu sama lain hanya melalui telefon bimbit. Internet telah membuka ruang-ruang baru perniagaan, bagaikan tanah subur yang sangat produktif, berupaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi. Iklan secara digital, berkembang rancak dan semakin mengancam promosi berbentuk cetakan dan berciri fizikal. Internet semakin menjadi pasar raksasa pemangkin ekonomi sejagat. Kehebatan syarikat e-dagang Alibaba dari China dan Amazon dari Amerika Syarikat, merupakan contoh terbaik bagaimana Internet memainkan peranan besar dalam dunia ekonomi digital, umpama magnet yang berjaya menarik berjuta-juta orang untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi. Lantaran itu, para pelabur juga tidak mahu ketinggalan ketika melihat potensi besar untuk melabur dalam sektor ini.

4. Universiti wajib membantu negara untuk berupaya menjadi pemain aktif dalam ekonomi digital dengan memenuhi peranan sebagai sumber inovasi dan harta intelek, pengurus berkebolehan dan hab kolaborasi. Universiti harus mengilmukan tenaga kerja masa hadapan agar bersedia untuk berinovasi dan berdaya juang dalam dunia digital. Universiti juga mempunyai peranan penting untuk membantu industri menakhodai transformasi digital, dengan menghadirkan sejumlah besar pengetahuan dan harta intelek. Universiti perlu mencetuskan inovasi dan menghadapi teknologi secara berdepan (head-on) untuk kekal relevan.

5. Universiti harus mempersiapkan pelajar agar berdaya tahan dan berkembang maju dalam dunia yang menyaksikan perubahan teknologi, yang tidak sahaja menghasilkan pekerjaan baru, bahkan mungkin menghapuskan pekerjaan sedia ada. Adalah sukar untuk mendidik pelajar supaya lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan, jika universiti tidak ada fahaman yang jelas tentang corak pekerjaan masa hadapan. Fungsi pengajaran dan pembelajaran di universiti telah mengalami perubahan secara ketara, akibat pendigitan (digitization). Majikan dan universiti harus berkolaborasi; majikan harus mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, sementara universiti pula harus mengembangkan kurikulum dengan sewajarnya. Dengan kata lain, universiti sedang berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan pelajar yang bersedia menghadapi pekerjaan yang mungkin belum wujud pada masa ini, dan menawarkan pengalaman pendidikan yang sinonim dengan dunia ‘anak kelahiran digital’.

6. Untuk melahirkan generasi pelajar yang berminda digital, universiti perlu beradaptasi secara fungsiannya dengan persekitaran yang berubah. Di samping aspek-aspek formal pendidikan untuk menghasilkan tenaga kerja dan masyarakat yang cerdas, tangkas, inovatif, dan berdaya tahan, universiti mempunyai peranan penting sebagai penghubung unggul dalam ekosistem digital. Universiti perlu melakukan anjakan paradigma daripada kewujudannya sebagai institusi yang bersendirian kepada peserta aktif dan penting dalam ekosistem digital. Ini memerlukan minda kolaborasi, dan perkongsian terbuka, agar universiti dapat membantu, mencipta semula masa hadapan, dan beraksi bukan sahaja sebagai penyokong malah sebagai pencetus teori dan teknologi baru.

7. Universiti mempunyai keupayaan, dan dengan demikian bertanggungjawab untuk membentuk kerangka yang teratur bagi mengusulkan tenaga kerja yang baru, teruja dan sanggup mendepani cabaran semasa, sekali gus melahirkan warga yang terasuh untuk melakukan perubahan, menghadapi perubahan, berdaya tahan, berdaya juang, dan berinovasi. Mengatasi kerenah birokrasi dalaman, merupakan bahagian yang penting dalam ekosistem inovasi supaya universiti mampu berubah dan beradaptasi, agar selari dengan perubahan masyarakat, kerajaan dan sektor perusahaan. Universiti perlu membangunkan serta mengembangkan keupayaan digital sendiri yang merangkumi infrastruktur, sumber manusia, dan program sebagai wadah untuk berinovasi.

8. Penggabungan antara kekuatan pendidikan tinggi tradisional dengan trend peningkatan MOOCs (Massive Open Online Courses) merupakan langkah penting untuk menskalakan pendidikan berkualiti. Bilangan MOOCs bertambah dengan pesatnya di serata dunia, sekali gus menjadikan pembelajaran mudah dicapai oleh sesiapa sahaja. Namun begitu, tiada sesiapa boleh menidakkan, pentingnya berlaku interaksi secara langsung dan bersemuka antara pelajar dengan pensyarah, sebagai salah satu elemen berkesan untuk menghasilkan pendidikan berkualiti. Selaras dengan dinamik yang sedang berlaku ini, MOOCs, yang kian hari kian popular, hendaklah digabungkan dengan cara tradisional menyampaikan ilmu, agar kaedah baru pendidikan yang lebih kontemporari, berjaya diformulasikan.

9. Perubahan pendidikan tinggi lebih diperlukan pada masa ini berbanding dengan masa lampau. Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran yang mendatang perlu juga diambil kira bagi memastikan bahawa transformasi berlangsung dengan berkesan dan segera. Dengan penghematan sokongan kewangan awam untuk pendidikan tinggi, pihak universiti wajar berfikir secara strategik tentang cara-cara untuk menggunakan pengalaman mereka berasaskan kelayakan, kepercayaan dan identiti bagi menawarkan perkhidmatan yang baharu. Tambahan pula, kepimpinan pendidikan tinggi wajar, jika tidak dapat mengelak, memilih risiko yang lebih kecil dalam dunia hari ini yang sentiasa mengalami perubahan dan berkeadaan tidak menentu. Tiada lagi pilihan untuk berterusan melakukan perkara yang sama dengan cara yang lama; berinovasi dan bersedia menerima perubahan merupakan prasyarat untuk bertahan.

10. Risiko, ke bersendirian dan keselamatan merupakan antara cabaran lain yang dihadapi oleh pendidikan tinggi. Proses kolaborasi, integrasi dan penyejajaran keselamatan merupakan kata kunci untuk menskalakan usaha pendidikan tinggi dan mengupayakan pelestarian. Semasa berlangsungnya the World Engineering Education Forum 2015, Profesor Sabina Jeschke dari RWTH Aachen University berkata, “kompleksiti sistem yang dibangunkan untuk memenuhi permintaan revolusi industri keempat menyebabkan kolaborasi dan jaringan antara disiplin (interdisciplinary) menjadi prasyarat untuk inovasi.” Komuniti pendidikan tinggi sejagat, tidak wajar bersifat pasif, sekadar memberikan reaksi kepada revolusi industri keempat yang dicorakkan dalam dunia perniagaan, di sebaliknya, komuniti pendidikan, hendaklah merintis langkah aktif, sama-sama mewarnai revolusi ini.

11. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada setiap graduan yang telah mencapai kejayaan. Majlis konvokesyen merupakan salah satu detik hidup yang amat menggembirakan. Kegembiraan ini harus ditunjangi kesedaran bahawa anugerah diploma, hadir bersama amanah ilmu: pelaksanaan misi pencerahan Rahmatan Lil ‘Ala min.

12. Para graduan umpama jurujual yang akan memasarkan produk terbaik yang telah dihasilkan USAS untuk rakyat setempat dan umat sejagat. Jadilah jurujual yang terbaik. Umat tidak hanya mempunyai telinga untuk mendengar, mereka juga mempunyai mata untuk melihat. Lantaran itu, dakwah dengan bahasa keperibadian (bil hal) ternyata lebih berkesan daripada dakwah dengan bahasa kelisanan (bil lisan).

13. Para graduan hendaklah mengamalkan sifat anak yang soleh, bertekad untuk berbakti kepada ibu bapa yang telah banyak berdoa dan berusaha untuk menyaksikan kejayaan ini. Para graduan hendaklah menjadi insan yang akan senantiasa menghargai jasa bakti para guru, agar ilmu yang diwarisi bertambah berkat.

14. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah memberikan perhatian dan pimpinan yang berwawasan kepada USAS, demikian juga kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan warga akademik, serta tenaga pengurusan dan tenaga sokongan universiti, yang bekerja dalam semangat satu pasukan – satu tujuan, berusaha membina kejayaan USAS.

Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menunjukkan setiap kita ke jalan yang lurus,

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الـمُسْتَقِيمَ

Ending of Speech

%d bloggers like this: