Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Konvokesyen Kolej Islam Darul Ridzuan.
3. Pendidikan merupakan proses berterusan yang mengandungi unsur-unsur pengajaran, latihan, bimbingan dan pimpinan dengan tumpuan khas kepada pemindahan pelbagai ilmu, penguasaan kemahiran serta pembentukan sahsiah. Manusia adalah objek utama dalam proses pendidikan. Dimensi Islam berlandaskan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul memperlengkapkan proses mendidik dan melatih akal, jasmani dan roh manusia untuk membina insan bertakwa, insan yang sedia dan senantiasa mengabdikan diri semata-mata kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
4. Pelbagai perkembangan yang sedang berlaku di abad ke dua puluh satu menuntut kepada orientasi baru, pendekatan baru, kaedah baru dan kurikulum baru pendidikan supaya produk pendidikan menjadi relevan kepada keperluan semasa. Usaha mencetuskan transformasi pendidikan yang dilancarkan pada 27 Ogos lalu, amatlah bertepatan dan membuktikan usaha serius negara dalam merealisasikan agenda membangunkan modal insan.
5. Agenda membina generasi dalam konteks menghadapi masa depan harus mendukung cita-cita membangunkan sumber manusia yang berupaya mentafsir cabaran dan teknologi di abad kedua puluh satu. Dalam pada itu, asas falsafah pendidikan yang murni, untuk membina sahsiah, minda dan roh insan, tidak harus diketepikan malah lebih perlu ditekankan. Produk pendidikan jangan sampai melahirkan robot, manusia yang hilang sifat-sifat insaniah, bersifat takbur – berlagak sombong. Produk pendidikan yang dihasilkan, wajib diperkukuhkan dengan iman dan takwa, menjadi insan yang memiliki integriti diri yang tinggi lagi dihormati, bersifat jujur – bersifat amanah.
6. Program pendidikan hendaklah dirangka untuk dapat menghubungkan modal insan yang dibangunkan dengan proses pembangunan negara. Pembangunan insan akan lebih sempurna jika sentuhan keinsanan turut terbina di samping keupayaan menguasai ilmu teknologi. Teknologi adalah alat, bukan matlamat. Alat yang dikuasai oleh manusia yang memiliki nilai kemanusiaan akan digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia. Di sebaliknya, dunia sedang menyaksikan kemusnahan dilakukan dari kalangan mereka yang melakukan kezaliman kerana menyalah gunakan pengetahuan teknologi yang dikuasai. Di sana sini bom meletup, pesawat dirampas, bangunan diruntuh dan manusia dijadikan tebusan.
7. Teknologi tinggi semata-mata jika tidak diimbangkan dengan sentuhan kemanusiaan tidak akan memberi faedah kepada kehidupan alam. Konsep sinergi bersepadu yang merupakan kesepaduan antara komponen peribadi mulia dan komponen misi universal perlulah menjadi asas dalam pembangunan sahsiah insan. Peribadi yang baik akan menjadi unit yang bermakna dalam pembinaan kehidupan yang sejahtera dan menjamin dunia yang lebih aman.
8. Kejayaan sistem pendidikan amat bergantung kepada tenaga pengajar. Tenaga pengajar yang bijaksana berupaya menggabungkan keagungan tradisi dengan pengetahuan semasa, di samping berupaya menyemai roh dan menanam komponen kemanusiaan di hati pelajar. Tenaga pengajar yang berwibawa akan memenuhi fungsi sebagai agen perubahan yang dinamik, menyebar ilmu, memperkaya pengetahuan dan menyemai roh insan ketika membangunkan program pendidikan.
9. Tenaga pengajar yang arif akan dapat membantu mencanai penyelesaian yang mudah untuk menangani persoalan yang kompleks. Tenaga pengajar yang bijak akan membimbing para pelajar untuk sedar bahawa tidak ada jawapan yang standard untuk menyelesaikan masalah yang pelbagai sifatnya. Apabila manusia merasakan hanya terdapat satu jawapan, hanya ada satu penyelesaian, hanya ada satu pendekatan dan hanya ada satu tafsiran kepada masalah yang pelbagai, maka manusia sedemikian telah tidak lagi membenarkan akal dan fikiran dapat berkembang subur. Maka telah hilanglah sifat-sifat arif dan bijaksana insan sedemikian.
10. Beta zahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Demikian juga kepada ibu bapa yang telah menunaikan tanggungjawab menyedarkan anak-anak akan nilai dan pentingnya pendidikan. Beta menghargai khidmat bakti tenaga akademik dan kakitangan pentadbiran KISDAR atas segala usaha dan tenaga memungkinkan kejayaan para pelajar dapat dicapai.
11. Semoga majlis kejayaan pada hari ini menjadi tangga untuk mendaki kejayaan yang lebih tinggi.
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*****************