Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2006 Bahagian Kedua

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke bahagian kedua Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2006.

3. Bagi Konvokesyen Tahun 2006 ini, seramai 6,993 graduan telah memenuhi kriteria akademik universiti, layak dianugerahkan Ijazah dan Diploma. Dari jumlah tersebut, seramai 112 graduan dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah, 1,348 graduan dianugerahkan ijazah Sarjana, 5,434 graduan dianugerahkan ijazah Sarjana Muda dan 99 graduan dianugerahkan Diploma. Dua orang diiktiraf untuk dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat sementara seorang dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

4. Majlis pada petang ini merupakan Bahagian Kedua dari sejumlah sepuluh bahagian Istiadat Konvokesyen Tahun 2006. Pada petang ini, seramai 464 graduan dari Akademi Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan, Institut Asia Eropah dan Institut Pengajian Kepengetuaan akan menerima ijazah Sarjana.

5. Terdapat dua aliran pemikiran menterjemahkan peranan universiti. Aliran pertama, menekankan bahawa matlamat pendidikan tinggi adalah untuk memenuhi objektif unilateral; bahawa universiti bertanggung jawab menyediakan teknokrat, birokrat, ahli sains, ahli ekonomi dan ahli profesional bagi mengisi keperluan pasaran kerja. Aliran kedua berpendapat, bahawa universiti bukanlah sebuah kilang, berperanan sekadar membekalkan sumber manusia berpengetahuan bagi keperluan pasaran kerja; tetapi universiti berperanan penting untuk menghasilkan insan yang seimbang perkembangan jasmani, rohani, intelektual dan emosinya. Universiti juga adalah pusat untuk membolehkan warganya giat dalam aktiviti penerokaan ilmu, sarat dengan nilai-nilai murni dan mendukung usaha membina negara-bangsa.

6. Pada hemat Beta, universiti akan memberi erti dan membawa makna lebih besar, jika kedua-dua aliran pemikiran itu berjaya dirangkai, digabung dan disatukan secara bijaksana. Universiti itu adalah institusi negara. Apatah lagi jika perbelanjaan universiti dibiayai oleh sumber kewangan negara, maka sewajarlah universiti mengambil tanggung jawab bersama, mendukung aspirasi dan wawasan negara. Bagi sebuah negara muda, universiti turut berperanan membantu usaha membina dan membangunkan negara. Ianya menjadi lebih kritikal bagi sebuah negara yang warganya begitu pelbagai dari segi komposisi agama, kaum, bahasa dan budaya.

7. Dari sudut sejarah moden, Malaysia adalah sebuah negara muda. Negara baru berada diambang menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke 49. 50 tahun dahulu, perjuangan menuntut kemerdekaan digemakan dan digerakkan dengan dukungan semangat bersatu di kalangan rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai bahasa dan pelbagai budaya, malah dari pelbagai negeri. Walaupun pelbagai dari segi luaran dan zahir, walaupun dalam persekitaran saluran komunikasi yang sangat terbatas, rakyat ketika itu bersatu kukuh – terikat padu, memiliki aspirasi yang sama, hasrat yang sama, matlamat yang sama dan wawasan yang sama. Bahawa tidak boleh tidak, negara wajib dimerdekakan.

8. Alhamdulillah, perpaduan di kalangan warga di negara merdeka telah berjaya dipupuk hingga terjalin satu keharmonian, terbina satu kerukunan; menjadi gagasan teguh, membolehkan negara melonjakkan usaha-usaha pembangunan hingga mencapai kemakmuran ekonomi lalu menyejahterakan kehidupan warga. Perpaduan warga adalah komponen penting untuk menstabilkan sesebuah negara-bangsa. Banyak negara di dunia menghadapi perang saudara kerana tercetusnya pergeseran antara agama, antara mazhab, antara kaum, antara ideologi dan antara kelas ekonomi. Ada negara yang hilang kemerdekaannya kerana campur tangan kuasa asing disebabkan tercetusnya perang saudara yang berpunca dari pergeseran sesama warga.

9. Nyatalah perpaduan warga tidak semestinya kekal selamanya jika usaha-usaha memelihara keharmonian diringankan. Perpaduan warga rapuh sifatnya. Perlu disedari bahawa generasi kelahiran selepas merdeka semakin sehari semakin ramai. Dalam konvokesyen kali ke 44 ini sahaja, di kalangan para graduan yang bakal menerima ijazah, majoritinya adalah generasi yang dilahirkan dan didewasakan di era selepas negara merdeka. Generasi pra merdeka, demikian juga generasi pasca merdeka, semakin hari, semakin kecil peratusnya dalam komposisi warga Malaysia. Tapak-tapak mendaki tangga kemerdekaan semakin kurang difahami malah jauh dari dihayati. Laluan dan perjalanan menuju kemerdekaan kini menjadi cerita lama, merupakan bahan sejarah, dijadikan disiplin pengajian di bilik darjah dan di dewan kuliah.

10. Dalam senario semasa ini, dibimbangkan semangat perpaduan di antara warga mungkin tidak sekukuh dahulu. Lebih dibimbangkan, jika semangat tersebut semakin hari semakin terhakis. Jika perpaduan warga diambil ringan, ditambah pula dengan suara dan tindakan bernada politik kumpulan tertentu untuk mengeksploitasi suasana, berkemungkinan besar, gagasan utama yang menjadi tunggak kekuatan negara akan bergoyang. Keadaan sedemikian sama sekali tidak harus dibenarkan berlaku.

11. Universiti merupakan perkampungan kumpulan intelek dan elit di dalam sesebuah negara. Graduan yang dihasilkan oleh universiti akan berperanan penting di peringkat kepimpinan institusi dan kepimpinan masyarakat. Mereka merupakan ‘opinion makers’ yang akan mempengaruhi minda warga. Untuk itu amatlah kritikal bagi universiti mengambil langkah pro aktif, menganjurkan program-program yang dapat menyuburkan hubungan harmoni dan memperkukuhkan ikatan perpaduan di antara warga. Program-program yang dilaksanakan oleh universiti perlu mencerminkan dan beridentiti warga Malaysia yang pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

12. Universiti merupakan perhentian terakhir dalam perjalanan warga muda melalui proses menimba pengetahuan, proses warga muda mematangkan minda dan proses warga muda membentuk sahsiah diri. Jika di perhentian terakhir ini, satu pemikiran dan jiwa berlandaskan realiti masyarakat Malaysia masih tidak terbina, maka harapan negara untuk mereka dapat membawa suara kesederhanaan, bernada terbuka – berirama rasional, mungkin tidak akan tercapai. Lebih-lebih lagi apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan dan memilih tempat kediaman yang terhimpun di dalam kaum yang sama dan di kalangan penganut agama yang serupa.

13. Isu hubungan kaum dan hubungan agama di negara ini masih belum selesai sepenuhnya. Isu-isu antara agama dan antara kaum amat ‘explosive’ sifatnya, begitu mudah menyentuh emosi. Isu-isu ini perlu ditangani secara bijak – secara berhemah. Ia perlu dirundingkan, dibincangkan dengan fikiran terbuka dan dada yang tenang, dengan semangat saling memahami dan saling menghormati; tanpa ada pihak yang merasakan kalah atau menang semua. Amatlah silap, jika isu-isu seperti ini memilih pendekatan, siapa yang lebih kuat dan siapa yang lebih berkuasa, kerana pendekatan demikian mungkin berakhir dengan keadaan menang menjadi arang – kalah menjadi abu. Peristiwa 13 Mei 1969, yang hampir memusnahkan kestabilan negara-bangsa telah meninggalkan satu parut luka yang amat perlu dipantau agar luka itu tidak akan berdarah semula.

14. Universiti sebagai perhentian terakhir, dalam proses perjalanan warga muda dan warga muka, memperlengkapkan diri mereka, sebelum melangkah ke alam pekerjaan dan ke dunia kedewasaan, bertanggung jawab melahirkan warga muda yang rasional, warga muda yang memahami realiti bumi mereka berpijak. Sebagai universiti tertua di dalam negara, Universiti Malaya wajib memperlihatkan contoh, memperkenalkan modul pengajian yang dirangka secara ‘participative’ mengenai hubungan antara kaum, hubungan antara budaya dan hubungan antara agama, lalu dijadikan pengajian wajib. Skop pengajian tersebut janganlah semata-mata untuk lulus peperiksaan berbentuk teori, tetapi dilaksanakan secara amali dengan memberikan pendedahan secukupnya kepada setiap graduan melalui dan mengalami pengalaman hidup berlandaskan realiti masyarakat Malaysia.

15. Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan. Ijazah yang diterima adalah hasil dari ketekunan dan kesungguhan yang telah saudara-saudari lakukan dalam tempoh mengikuti pengajian. Ia adalah anugerah ILAHI kepada hamba-hambanya yang telah melaksanakan usaha secara gigih. Bersyukurlah atas kejayaan ini. Berterima kasih kepada jasa para pensyarah dan pendidik. Hargailah pengorbanan, sokongan serta doa dari ibu bapa dan anggota keluarga. Semoga saudara-saudari menjadi aset penting kepada negara dan manusia sejagat. Jadilah warga berguna, warga yang patuh kepada perintah dan suruhan Tuhannya, warga yang setia kepada Raja dan setia kepada negara.

16. Semoga Allah Subhanahu Wataala melimpahkan rahmat dan memberikan petunjuk dan perlindungannya. Amin Ya Rabul Alamin.

Wabillahi Taufiq Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

******************

%d bloggers like this: