Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2008 Bahagian Ketiga

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke bahagian ketiga Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2008.

3. Seramai 6,950 graduan memenuhi kriteria untuk dianugerahkan ijazah dan diploma dalam konvokesyen tahun 2008; 115 penerima Ijazah Doktor Falsafah, 1359 penerima Ijazah Sarjana, 5281 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 195 penerima Diploma.

4. Dalam sesi ini, 714 graduan akan dianugerahkan Ijazah Sarjana. Lulusan peringkat ijazah tinggi pada tahun 2008 meningkat enam peratus, dari 1393 graduan dalam tahun 2007 kepada 1474 graduan. Pada hakikatnya, angka-angka tersebut memperlihatkan pencapaian dalam konteks memenuhi sasaran kuantitatif.

5. Selaras dengan langkah mahu mempertingkatkan status Universiti Malaya sebagai universiti penyelidikan yang cemerlang, fokus wajib diberikan kepada aspek kualiti, bermula dari proses tapisan pengambilan pelajar, membangunkan tenaga fakulti, merangka kandungan dan kaedah pengajian, membina jaringan strategik antarabangsa serta menghasilkan penyelidikan dan penerbitan. Universiti Malaya perlu mengorak langkah secara lebih terancang untuk berupaya bersaing di peringkat antarabangsa. Universiti hendaklah memberi perhatian penting kepada jaringan kerjasama strategik dengan universiti atau pusat penyelidikan terkemuka dunia dalam bidang-bidang Malaysia boleh menjadi peneraju seperti program pembangunan desa, pembasmian kemiskinan, perubatan tropika dan biodiversiti tropika. Pengukuhan jaringan secara strategik dapat membantu usaha untuk menempatkan Universiti Malaya diiktiraf setanding dengan universiti atau pusat penyelidikan ternama dunia.

6. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan hendaklah dijadikan aktiviti utama. Kumpulan penyelidik yang berorientasikan inovasi dan berupaya menjana penemuan pengetahuan baru, perlu dilahirkan. Para penyelidik yang dilahirkan oleh Universiti Malaya hendaklah memiliki minat, kecenderungan, keghairahan dan budaya penyelidikan yang tinggi dan berintegriti agar penyelidikan yang dihasilkan dapat memberikan sumbangan penting kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara juga dunia.

7. Universiti juga wajar merangkaikan jaringan strategik di kalangan penyelidik di dalam Universiti. Kajian kemiskinan umpamanya, boleh dilaksanakan secara lebih menyeluruh lagi berintegrasi merangkumi pelbagai disiplin, menyentuh aspek-aspek ketuhanan dan keagamaan, sosiobudaya, psikologi, ekonomi dan perniagaan, serta perubatan dan kesihatan. Diramalkan dunia akan menghadapi kemelut ekonomi yang besar jika harga minyak serta harga tenaga terus meningkat dan manusia juga perlu menghadapi krisis bekalan dan harga bahan makanan. Tsunami kemiskinan berkemungkinan berlaku yang bakal mengancam kehidupan majoriti penduduk dunia. Dalam keadaan sedemikian, kajian kemiskinan secara menyeluruh, faktual, objektif dan telus diperlengkap dengan kaedah penyelesaian amatlah penting dilakukan. Universiti Malaya boleh bersifat proaktif merintis pendekatan kajian kemiskinan secara lebih komprehensif. Para penyelidik dari Universiti berada di luar kotak birokrasi dan dipercayai berupaya bersifat lebih neutral dan bebas untuk menyuntik paradigma, dimensi dan kaedah kajian yang lebih bertepatan dengan suasana sosial, ekonomi dan politik semasa. Hasil dari pendekatan kajian secara berintegrasi boleh menjadi sumber maklum balas lebih tepat kepada kerajaan dalam merangka program-program pembasmian kemiskinan negara.

8. Para graduan kini telah memiliki nilai tambah dan menambahkan aset modal insan negara. Peningkatan tahap ilmu sepatutnya seiring dengan peningkatan tahap intelektual. Seorang Sarjana bukan sekadar pemegang ijazah malah mestilah menjadi pemikir yang senantiasa peka dengan nasib bangsa, negara dan tamadunnya serta berupaya merangkaikannya dalam konteks maya yang lebih luas. Universiti dan negara tidak sewajarnya berbangga dengan kelahiran ramai graduan berijazah tinggi sekiranya pemikiran para graduan terkurung dalam sangkar ilmu yang sempit dan tidak berupaya menerokai kehidupan insan dan kehidupan alam yang lebih menyeluruh. Seseorang intelek itu bukan sahaja ahli dalam bidang disiplin pengajiannya, malahan dia juga peka dengan permasalahan negara bangsanya, tajam daya taakulannya, bertenaga mencerna limpahan idea dan fakta, menguasai kemahiran berkomunikasi secara tulisan dan lisan, tinggi pegangan prinsip dan tahap keimanannya. Binalah daya intelek dan kekuatan intelek berbekalkan ijazah yang dimiliki ini.

9. Beta mengucapkan tahniah kepada semua graduan. Hargailah jasa ibu bapa dan para guru, abadikan diri untuk berkhidmat kepada negara bangsa dengan ikhlas lagi berintegriti. Semoga saudara-saudari senantiasa mendapat keredaan ILAHI dan dibimbing menemui jalan yang diredai.

Wabillahi Taufiq Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

%d bloggers like this: