Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala; Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat ke Bahagian Ketiga, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2009.
3. Seramai 6,863 graduan telah memenuhi kriteria untuk dianugerahkan ijazah dan diploma pada konvokesyen kali ini. Daripada jumlah tersebut, 160 merupakan penerima ijazah Doktor Falsafah, 1475 penerima Ijazah Sarjana, 5008 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 220 penerima Diploma. Konvokesyen kali ini juga menyaksikan Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menerima ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan manakala Profesor Ho Peng Yoke dan Profesor Dato’ Dr. Haji Mohamed Abdul Majid dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus. Dalam sesi ketiga ini, 799 graduan akan dianugerahkan Ijazah Sarjana.
4. Kepimpinan politik negara telah memperkenalkan konsep SATU MALAYSIA. Pada 30 Jun 1979, Raja Tan Sri Azlan Shah, ketika itu masih seorang Hakim, dalam pidato yang dizahirkan di Dewan Tunku Canselor ini, ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Kesusasteraan (Kehormat) oleh Universiti Malaya, telah menyatakan bahawa untuk menjadikan masyarakat Malaysia suatu masyarakat yang kuat, dinamik dan tahan lasak, maka seluruh masyarakat di dalamnya perlulah bersatu padu di bawah satu bendera – bendera Malaysia; di bawah satu ketua negara – Yang DiPertuan Agong; di bawah satu bahasa – Bahasa Malaysia; di bawah satu lagu – lagu Negaraku; di bawah satu kebudayaan – kebudayaan yang berteraskan kebudayaan Melayu; di bawah satu lambang – ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ [1]
5. Kerukunan sesebuah negara bergantung kepada kebijaksanaan, kecekapan, keikhlasan dan ketelusan amalan urus tadbir negara yang berteraskan undang-undang. Perlembagaan Negara adalah undang-undang utama dalam negara ini. Perlembagaan sesebuah negara bukanlah merupakan satu koleksi atau himpunan ayat-ayat suci yang sedap di baca atau enak di dengar,[2] ia adalah sandaran utama untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada semua pihak yang berhasrat membina sebuah negara yang aman, rukun, stabil dan tenteram.
6. Keamanan, kerukunan, kestabilan dan ketenteraman di negara ini hingga membolehkan warganya hidup bersatu padu, penuh muhibah dan saling menghargai, hingga dapat pula melimpahkan kemakmuran, adalah kerana kerajaan dan warga selama ini, mengamalkan sikap menghormati dan mematuhi undang-undang. Adalah membahayakan negara, jika undang-undang serta penguat kuasa undang-undang mahu diketepikan dan warga mula mengambil tindakan di tangan sendiri berasaskan emosi, sentimen dan hawa nafsu ataupun undang-undang hanya diterima dan dihormati apabila memberi kemenangan kepada diri atau kumpulan sendiri, tetapi menolak jika keputusan berpihak kepada pihak lawan. Keadaan tersebut jika tidak dibendung secara berkesan lagi tegas akan meruntuhkan budaya bernegara secara sivil untuk diambil alih oleh kaedah bernegara yang mengamalkan budaya hukum rimba; membolehkan yang lemah menjadi makanan kepada yang kuat. Oleh itu, undang-undang perlu dipertahankan sebagai instrumen penimbang tara; tidak harus sama sekali dijadikan instrumen politik atau dipolitikkan. Kriteria pertimbangan untuk menggubal, menghapus atau meminda undang-undang hendaklah diasaskan kepada kepentingan negara, kepentingan keselamatan dan kepentingan rakyat jelata.
7. Kedaulatan undang-undang ialah satu istilah yang lumrah, mudah disebut dan enak didengar.[3] Walaupun demikian, istilah yang sama itu juga susah hendak ditakrifkan, susah hendak diimplementasikan dan amat sukar hendak difahami dalam erti kata sebenarnya. Kadang kala istilah kedaulatan udang-undang itu diberi takrifan yang mengandungi unsur-unsur emosi untuk menyesuaikan dengan kehendak sesuatu pihak dan bukannya takrifan yang adil, benar, tepat dan berani yang berpandukan kepada prinsip-prinsip undang-undang. Lalu berlaku amalan-amalan yang menyimpang dari semangat pemerintahan yang adil dan saksama; hingga membolehkan terjadinya perbuatan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan penindasan. Di pihak rakyat jelata pula, berlaku pula perbuatan-perbuatan yang bukan sahaja tidak lagi menghormati undang-undang malah secara provokatif mencabar undang-undang dengan tujuan mahu mencetuskan huru-hara dan kekacauan agar Kerajaan yang sah tidak dapat berfungsi secara berkesan.
8. Para graduan dari universiti ini dan warga di gedung ilmu ini hendaklah berupaya melakukan pentakrifan bijak akan perkembangan yang sedang berlaku di dalam negara ketika ini. Warga di negara ini perlu membuat pertimbangan secara arif akan peristiwa-peristiwa yang dicetuskan secara tersurat dengan niat tersembunyi yang tersirat. Warga yang arif dan bijaksana perlu melihat sesuatu isu yang dibangkitkan dan tindak tanduk politik yang sedang berlaku dari segi konsistensi suara dan konsistensi perjuangan supaya negara yang aman lagi makmur, tidak terjerumus dalam kancah huru-hara yang berterusan hinggakan sumber negara menjadi kurang produktif. Pada akhirnya rakyat juga yang menderita.
9. Universiti adalah sebuah gedung ilmu bukan sekadar untuk mencetak ijazah. Universiti adalah pusat untuk mengasuh insan-insan supaya dapat berfikir secara rasional, dengan menggunakan kebijaksanaan akal, berasaskan fakta-fakta yang tepat, serta menjadi insan-insan yang berintegriti. Universiti Malaya adalah universiti tertua di negara ini. Universiti Malaya telah membina sejarah gemilang sejak lebih 100 tahun lalu. Sejarah gemilang tersebut dibina atas budaya ilmu yang mengutamakan integriti. Oleh itu sebarang penyimpangan amalan akademik yang boleh menjejaskan nama baik Universiti Malaya, haruslah ditangani secara tegas dan pantas. Pihak yang melakukan kesalahan tidak harus dilindungi. Perbuatan yang menggadaikan nama baik Universiti adalah sangat tidak bertanggung jawab. Tidak harus ada sebarang kompromi dalam mempertahankan integriti, reputasi dan nama baik universiti. Jika tolak ansur dibenarkan, maka Universiti secara langsung telah membenarkan mutu keilmuan dikorbankan. Jika ini berlaku, ia bukan sahaja akan menjejaskan reputasi para graduan yang bakal keluar dari Universiti ini, malah ia juga boleh memberi malu kepada puluhan ribu graduan, para pemegang ijazah Universiti yang sedia ada. Universiti Malaya pula terpaksa membayar harga yang mahal, kerana standing Universiti dalam liga akademik tentunya akan jatuh merudum. Mereka yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang boleh mencemarkan integriti dan reputasi Universiti perlu dinasihatkan berundur dari memegang amanah tersebut, sementara pihak berkuasa Universiti hendaklah melaksanakan setegas-tegas tindakan termasuk tindakan perundangan dengan segera.
10. Masyarakat dan juga negara meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi terhadap kewibawaan Universiti Malaya. Untuk itu, Universiti hendaklah kekal menerajui budaya kecemerlangan dan kegemilangan ilmu, budaya yang mengutamakan penyelidikan, kepakaran dan inovasi. Universiti Malaya hendaklah terus mempertahankan reputasi dan terus berusaha memenuhi harapan dan kepercayaan masyarakat dan negara, memenuhi amanah berfungsi sebagai pusat menambahkan aset negara dalam bentuk modal insan dan modal intelektual.
11. Beta mengucapkan tahniah kepada semua graduan. Bersyukurlah atas nikmat kurniaan ILAHI dan atas kejayaan yang telah dicapai ini dan berbekalkan kejayaan ini, penuhilah kehidupan dengan melakukan amal makruf dan menjauhkan diri dari melakukan kemungkaran. Amalkan sifat merendah diri dan jauhkan diri dari sifat angkuh dan takbur setelah dianugerahkan kejayaan. Perlihatkan sifat insan berilmu yang bertindak di atas fakta dan kebenaran. Wujudkan sifat saling bantu-membantu dan bekerjasama untuk membangunkan masyarakat dan negara secara seimbang, memenuhi tuntutan jasmani dan rohani – duniawi dan ukhrawi. Amalkan budaya bersyukur, budaya berterima kasih, budaya yang menghargai jasa dan bakti para pensyarah dan para guru serta mengenang pengorbanan ibu bapa dan keluarga serta semaikan semangat patriotik terhadap negara-bangsa dan menumpahkan kesetiaan kepada Raja dan negara.
12. Semoga kita sentiasa dirahmati dan diberkati serta diberi petunjuk dan perlindungan ILAHI.
Wabillahi taufiq walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
******************