Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, begitu juga kepada para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dari Nya juga, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya, kali kelima puluh, bahagian kedua, dapat berlangsung pada pagi ini.
3. Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali kelima puluh, menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 6,636 graduan. Dari jumlah tersebut, 309 adalah penerima ijazah Doktor Falsafah, 1,929 penerima ijazah Sarjana, 4,231 penerima ijazah Sarjana Muda dan 167 penerima diploma. Dalam sesi ini, 900 graduan akan dianugerahkan ijazah Sarjana.
4. Saudara-saudari telah memenuhi kriteria akademik dan penyelidikan dalam bidang pengajian masing-masing. Kejayaan ini adalah hasil dari ketekunan usaha di samping pelaburan yang dilakukan dari segi masa dan wang ringgit. Kejayaan yang dicapai ini adalah juga dengan bantuan pelbagai pihak, dari tenaga akademik fakulti, staf pengurusan universiti, ahli keluarga dan juga badan-badan yang membantu memberikan pembiayaan, tajaan ataupun pinjaman kewangan.
5. Sebahagian kecil dari saudara-saudari mungkin meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi sedangkan majoriti akan meninggalkan kampus dan menyertai alam pekerjaan. Suasana pengajian di universiti, secara umumnya, membantu membina pemikiran yang kaya dengan idealisme. Alam pekerjaan adalah ketika untuk mempraktikkan idealisme tersebut.
6. Para graduan akan mula diperkenalkan tanggung jawab yang lebih luas dan lebih besar. Ada di antara graduan, bakal menjawat jawatan penting berkembar dengan kuasa. Jawatan dan kuasa akan menguji dan menilai keikhlasan seseorang insan. Ketika dilantik memegang sesuatu jawatan, ambillah pengajaran dari peristiwa Omar bin Abd. Aziz ketika beliau diangkat menjadi khalifah; beliau mengalirkan air mata ketika menunaikan solatnya, dan apabila ditanya oleh isterinya akan sebab beliau mengalirkan air mata, beliau telah menjawab:
Petikan:
“Wahai Fatimah, Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai-bagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, sakit lagi derita, orang tidak berpakaian yang susah, orang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang ada keluarga ramai sedangkan hartanya sedikit, dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhan ku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasan ku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku menangis[1]”
7. Demikian keinsafan tulus seorang insan akan taraf dirinya sebagai hamba kepada Tuhan yang Maha Pencipta, lalu terlebih dahulu mengingatkan dirinya akan tanggung jawab berat yang berkembar dengan jawatan yang diamanahkan; bahawa lebih tinggi jawatan yang disandang, lebih berat tugas dan tanggung jawab.
8. Di luar kampus ini masih banyak insan yang memerlukan pembelaan. Lebih ramai insan di luar sana yang tidak pernah berpeluang untuk menikmati pengajian di universiti. Saudara-saudari tidak perlu pergi jauh ke kawasan-kawasan luar bandar atau kawasan-kawasan pendalaman; hanya beberapa kilometer di luar radius kampus universiti ini, saudara-saudari akan bertemu dengan wajah-wajah kemiskinan dan wajah-wajah kesusahan rakyat. Mereka boleh di temui di perhentian bas, mereka ramai beratur untuk mendapat rawatan di hospital dan klinik, mereka berada di warung-warung, di pasar tani, di pasar malam dan di pasar harian, mereka berada di pinggir kota – mereka berada di kawasan setinggan.
9. Mereka itu sangat memerlukan perhatian; mereka sangat berharapkan pembelaan. Ketika saudara-saudari menjawat pelbagai jawatan, utamakanlah mereka dalam ingatan; dan fikirkan sebaik rancangan dan sebaik program untuk membantu meringankan bebanan kesusahan mereka. Wujudkan peluang yang saksama kepada mereka dalam segala usaha pembangunan; peluang yang selaras dengan keupayaan kewangan mereka baik dari segi projek perumahan dan peluang menambah baik taraf sosioekonomi mereka, begitu juga ketika menyediakan pelbagai perkhidmatan dari segi pendidikan, perubatan, pengangkutan, kerjaya dan rekreasi. Negara akan lebih stabil dan aman, jika isu kemiskinan dapat di atasi secara lebih berkesan dan jika agihan kemakmuran negara berlaku secara lebih seimbang.
10. Cabaran tersebut akan menjadi sebahagian dari cabaran yang bakal saudara-saudari hadapi ketika melaksanakan tanggung jawab. Saudara-saudari akan menghadapi cabaran besar ini untuk disempurnakan dengan bersungguh, tegas, gigih dan ikhlas. Saudara-saudari perlu memiliki prinsip untuk berani menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Kekuatan negara akan terbina, jika negara ditegakkan di atas tiang-tiang kebenaran; di sebaliknya negara akan lemah jika didirikan di atas tiang-tiang kepalsuan. Oleh itu laksanakan segala tugas dan tanggung jawab di atas prinsip kebenaran dengan mengamalkan sikap penuh bertanggung jawab serta menyisihkan diri saudara-saudari dari menyalahgunakan kuasa, dari perbuatan pecah amanah dan dari melakukan rasuah.
11. Sikap bertanggung jawab hendaklah dibuktikan melalui amalan diri sendiri. Masih ramai di luar sana yang menunggu peluang untuk dapat menikmati pengajian di peringkat tinggi dan ramai di antara mereka menghadapi pelbagai halangan, antaranya dari segi sumber pembiayaan. Oleh itu, di kalangan saudara-saudari yang telah mendapat nikmat pinjaman kewangan dari pelbagai institusi, buktikanlah keikhlasan menyempurnakan tanggung jawab, dengan membayar balik pinjaman kewangan sebaik sahaja mula bekerja. Janganlah bersifat membakar kemudahan yang telah dinikmati oleh diri masing-masing hingga menindakkan generasi terkemudian untuk berpeluang menikmatinya.
12. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada para graduan. Beta menzahirkan penghargaan kepada tenaga akademik, staf pengurusan dan staf sokongan universiti di atas dedikasi dan komitmen memenuhi amanah, menyempurnakan tugas masing-masing. Ibu bapa dan keluarga telah melakukan pelbagai pengorbanan dari segi tenaga, masa dan wang ringgit; mereka adalah tenaga yang menyalakan semangat dan menyuntik kekuatan, serta berada di belakang pencapaian para graduan. Hargailah jasa mereka dengan bersedia melakukan perkara-perkara yang dapat menggembirakan mereka. Setiap kejayaan adalah anugerah ILAHI, sewajibnya kita bersyukur kepada Nya. Semoga kita akan terus mendapat rahmat dan petunjuk ILAHI.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.
- Al-Zahabi, Tarikh al Islam, wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al Kitab al-‘Arabi/1407H. ↑