Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Kali Kelima Puluh Dua Bahagian Pertama

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, begitu juga kepada para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

2. Konvokesyen Universiti Malaya kelima puluh dua akan menganugerahkan 4,449 ijazah dan diploma. Konvokesyen kali ini turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Azman Hashim, Ijazah Kehormat Doktor Seni Bina kepada Dato’ Ar. Dr. Kenneth Yeang Kin Mun, Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa kepada Dr. Surin Pitsuwan, Ijazah Kehormat Doktor Kemanusiaan kepada Puan Yang Terutama Irina Bokova serta gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Hashim Musa.

3. Istiadat Konvokesyen adalah peristiwa bersejarah. Ia adalah istiadat pengijazahan para graduan yang telah memenuhi piawaian akademik menurut yang ditetapkan oleh sesebuah institusi ilmu. Pada masa yang sama, bilangan siswazah yang berjaya dianugerahkan ijazah, mencerminkan hasil dari sifat dedikasi tenaga akademia, secara jujur lagi bersungguh menyempurnakan amanah mengilmukan insan. Penganugerahan Ijazah Kehormat demikian juga gelaran Profesor Emeritus merupakan pengiktirafan tinggi universiti terhadap tokoh-tokoh yang mencapai tahap ‘towering personality’ serta telah memberikan sumbangan bermakna dalam bidang kepakaran masing-masing. Kejayaan saudara saudari tidak sekadar mencetus rasa gembira dalam diri setiap individu, tetapi ia turut memenuhi harapan tinggi anggota keluarga. Beta mengucapkan tahniah kepada setiap graduan, begitu juga kepada penerima ijazah kehormat dan gelaran Profesor Emiritus.

4. Beta turut mengucapkan tahniah di atas pengiktirafan yang telah dicapai oleh Universiti Malaya. Berdasarkan QS Asian University Rankings 2012, Universiti Malaya kekal mendahului Institut Pengajian Tinggi Awam lain di negara ini, berada di tangga ketiga puluh tiga berbanding di tangga ketiga puluh lima pada tahun sebelumnya dari kalangan lebih 7,000 universiti di Asia. Universiti Malaya juga telah berjaya memperkenalkan program Dual PhD dengan universiti di luar negara. Graduan sulung program tersebut, akan dianugerahkan ijazah Dual PhD dalam sesi pagi ini.

5. Sejak ditubuhkan, Universiti Malaya telah menghasilkan 206,250 graduan. Tidak boleh dinafikan bahawa graduan Universiti Malaya adalah modal insan yang telah berperanan penting lagi utama membantu membangunkan sebuah negara Malaysia yang aman lagi stabil; maju lagi makmur. Ilmu yang dibekalkan ketika berada di kampus ini, telah melengkapkan para graduan sebagai insan berpengetahuan yang layak diberikan kepercayaan dan amanah untuk mengisi pelbagai jawatan, memenuhi pelbagai peranan, melaksanakan pelbagai tanggung jawab, mengesahkan ungkapan kata Aristotle;

Petikan:

“All who have meditated on the art of governing mankind have been convinced that the fate of empires depends on the education of youth”.

6. Ilmu berperanan membimbing minda untuk berfikiran rasional – berfikiran objektif. Ilmu telah menyemaikan disiplin untuk insan berupaya menilai antara yang hak dengan yang batil, antara permata dengan kaca, antara kebenaran dengan kepalsuan, antara fakta dengan rekaan. Ilmu juga telah mengupayakan berlakunya pelbagai inovasi, pelbagai reka cipta – pelbagai perkembangan teknologi.

7. Perkembangan teknologi berlaku secara paling rancak dan paling dinamik; berlaku pada kadar amat pantas dan amat mempengaruhi budaya hidup, budaya kerja, budaya komunikasi dan budaya pelbagai urusan alam dan kehidupan. Teknologi telah memudahkan atur urusan kehidupan alam – kehidupan insan, hingga tidak ada lagi yang boleh dianggap jauh; segala-galanya bertambah dekat dan mudah dicapai dalam tempoh masa yang pantas.

8. Teknologi terletak di bawah kawalan dan pengawasan insan. Secara bersendiri, teknologi sekadar berfungsi sebagai instrumen. Teknologi laksana pedang bermata dua; boleh digunakan untuk membawa rahmat, juga tidak terlepas disalah guna untuk mencetus bencana. Penggunaan teknologi dipengaruhi oleh niat dan matlamat insan-insan yang menguasai dan menggunakannya. Hatta berlaku keadaan teknologi bukan sahaja memudahkan ilmu, pengetahuan dan maklumat yang tepat dapat diakses oleh penduduk dunia, teknologi juga terbukti menjadi saluran penyebaran fitnah yang sangat berpengaruh.

9. Pada 30 Oktober 1938, penerbit dan pelakon George Orson Welles mencetuskan histeria besar di Amerika Syarikat apabila beliau menerbitkan dan menyiar drama radio dengan menggunakan kaedah ilusi teater tentang pendaratan dan pencerobohan makhluk asing dari MARS di New Jersey. Mempercayai ia adalah berita benar, penduduk berpusu-pusu lari meninggalkan rumah. Orson Welles disifatkan tidak bertanggung jawab kerana telah mencetuskan satu histeria nasional. Orson Welles menganggap beliau tidak sepatutnya dipersalahkan; bagi beliau orang ramai sewajibnya terlebih dahulu menyemak kesahihan sesuatu fakta.

10. Mencetus kegemparan berasaskan teknologi 1938 memerlukan perancangan yang lama, perbelanjaan yang besar dan sekadar tersebar dalam kawasan liputan yang masih terbatas. Teknologi hari ini telah membolehkan kegemparan dicetuskan dalam beberapa saat serta berupaya menembusi kawasan yang lebih luas. Bagaimana berita palsu kematian Morgan Freeman dan Jackie Chan, begitu mudah dipercayai, hingga terhimpun ribuan perutusan takziah yang diabadikan kepada mereka, sedangkan kedua-dua mereka masih hidup dalam sihat sejahtera.

11. Insiden pemalsuan berita kematian Morgan Freeman dan Jackie Chan, hanyalah dua dari ribuan insiden pemalsuan cerita yang kini berlaku di serata dunia. Bumi Malaysia tidak terkecuali dari dilanda penyebaran pelbagai bahan di media sosial. Penyebaran berita palsu, maklumat terpesong serta fitnah kini semakin berlaku di dalam media sosial negara, mengakibatkan berlaku reaksi tidak rasional hingga ke peringkat mencetuskan ‘tension’ yang menjejas hubungan kaum dan hubungan agama di kalangan warga negara ini. Ayat 191 dan ayat 217 Surah Al- Baqarah jelas menyatakan bahawa fitnah adalah dosa yang lebih besar daripada membunuh.

12. Fitnah pada hari ini diolah secara sofistikated hingga berjaya mempengaruhi dan memerangkap kalangan insan yang berpelajaran tinggi. Malah fitnah juga turut diolah dari kalangan mereka yang berpelajaran tinggi. Oleh itu, ketika berhadapan sesuatu berita yang menggemparkan, sewajibnya insan pada hari ini mengambil iktibar dari peringatan ILAHI seperti yang terkandung dalam ayat 6, Surah Al Hujurat, bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (49:6)

13. Sebagai insan berilmu, minda saudara saudari hendaklah dicanai agar berfikiran secara bijaksana, berupaya menilai kesahihan dan ketepatan sesuatu cerita. Falsafah utama pendidikan adalah untuk membina personaliti yang berdiri di atas prinsip fakta dan kebenaran. Jean Jacques Rousseau, ahli falsafah Perancis keturunan Swiss di abad kelapan belas (1712-1778), menyifatkan jika tumbuhan dibentuk melalui kaedah semaian, manusia dibentuk oleh kaedah pendidikan yang mereka alami. Rousseau berpendirian bahawa segala yang tidak dimiliki oleh insan ketika dilahirkan tetapi diperlukan apabila mereka dewasa, diperoleh melalui pendidikan. Komponen dan matlamat pendidikan, dirumuskan oleh Rousseau melalui ungkapan kata:

Petikan:

“Teaching people how to think correctly, to use language carefully, to work out the truth for themselves is a pretty good start for education”

14. Memahami kebenaran, dan memastikan kebenaran didirikan di atas realiti turut ditegaskan oleh Albert Einstein untuk dijadikan prinsip asas pendidikan. Einstein menegaskan bahawa falsafah pendidikan hendaklah ditegakkan atas prinsip kebenaran berasaskan fakta nyata.

15. Dalam menghadapi gelombang penyebaran fitnah yang semakin melanda, aspek yang menekankan nilai kebenaran wajib diberikan perhatian oleh setiap institusi pendidikan. Mungkin perlu dilukiskan garis pemisah yang membezakan di antara insan berpelajaran dengan insan berpendidikan, di antara insan berpengetahuan dengan insan berilmu. Insan berpelajaran mungkin menguasai pelbagai pengetahuan tetapi tidak merasa salah untuk menyalahgunakan pengetahuan bagi kepentingan diri sendiri, meski mencetuskan kesengsaraan kepada insan lain dan kehidupan alam; sementara insan berpendidikan adalah insan berilmu yang dilengkapi komponen roh, lalu menyedari akan etika dan batas yang wajib dihormati.

16. Dari ibnu Mas’ud Radiallahuanhu, akan sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam yang bermaksud,

“Sesungguhnya kebenaran – baik yang berupa ucapan atau perbuatan – menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan itu menunjukkan ke syurga…

dan sesungguhnya berdusta itu menunjukkan kecurangan dan sesungguhnya kecurangan itu menunjukkan kepada neraka..”

17. Menegakkan kebenaran adalah seruan yang terkandung dalam semua agama dan semua budaya; Di dalam INJIL terkandung peringatan:

“These are the things you shall do: Speak the truth to one another; render in your gates judgements that are true and make for peace.”[1]

Terkandung dalam Yajur Veda, kata-kata:

“Truth cannot be suppressed and is always the ultimate victor”[2]

 

Gautama Buddha telah mengungkap pesanan:

“Three things cannot be long hidden: the sun, the moon and the truth”

18. Setelah meninggalkan alam universiti, saudara-saudari berhadapan dengan pilihan, untuk selanjutnya membina watak insan terpelajar dan berpengetahuan atau membina watak insan berpendidikan dan berilmu. Saudara-saudari akan menghadapi pelbagai godaan dan dugaan dalam hasrat mahu membina watak insan berpendidikan, insan berilmu, insan syumul. Dalam menghadapi godaan dan dugaan, saudara-saudari perlu memiliki kekuatan azam, perlu memiliki daya tahan, perlu membina pohon keimanan yang kukuh. Jadikan ingatan untuk tidak mudah terperangkap dengan formula ‘kejayaan segera – kekayaan segera – kemewahan segera – kekuasaan segera’. Bahawa kejayaan, kekayaan, kemewahan dan kekuasaan yang dimiliki melalui usaha tulen, melalui titik jerih dan kesabaran, lebih kekal, lebih afdal dan lebih sejahtera sifatnya.

19. Sesungguhnya kejayaan yang anda peroleh pada hari ini adalah anugerah dari Allah Subhanahu Wata’ala; lafazkanlah kalimah kesyukuran kepada yang Maha Pencipta semoga saudara-saudari akan terus mendapat rahmat dan petunjuk daripada Nya.

20. Beta menzahirkan penghargaan kepada para pendidik, para pentadbir dan seluruh warga kerja Universiti yang telah memberikan khidmat terbaik, memastikan proses pembelajaran dan iklim pendidikan terlaksana dengan sempurna dan seterusnya memungkinkan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ini. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kita pohonkan untuk senantiasa membimbing kita menemui jalan yang diredai.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

  1. Zechariah; 8:16
  2. Petikan dari Yajur Vida.
%d bloggers like this: