Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Kali Kelima Puluh Empat Bahagian Pertama

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Opening of Speech

Konvokesyen kelima puluh empat Universiti Malaya menganugerahkan 5,478 ijazah dan diploma kepada 5,336 graduan; 442 Ijazah Kedoktoran, 1,672 Ijazah Sarjana, 3,222 Ijazah Sarjana Muda dan 142 Diploma Pascasiswazah. Dua ‘towering personality’, Tan Sri Datuk Seri Panglima Andrew Sheng Len Tao dan Tan Sri Dato’ Seri Rafidah Aziz dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi; sementara gelaran Profesor Emeritus dianugerahkan kepada Datin Dr. Hajah Rahmah Bujang dan Dato’ Dr. Hashim Yaacob. Dua graduan, terpilih untuk menerima Anugerah Pelajaran Diraja, Thomas Chandan Anak Galong, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Soo Alvin, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

  1. Alhamdulillah, Universiti Malaya telah berjaya mencapai ranking lebih baik, meningkat dari tangga 151 pada tahun 2014 ke tangga 146 di dalam QS World University Rankings 2015. Ranking di peringkat Asia, turut meningkat, dari tangga 32 pada tahun 2014 ke tangga 29 pada tahun 2015. Prestasi cemerlang turut diperoleh dalam bidang tertentu. Pada 15 September 2015, ‘Pengajian Pembangunan’ diiktiraf berada pada tangga ketiga puluh dua (32) dunia sementara bidang ‘Kejuruteraan dan Teknologi’ berada pada tangga kelima puluh empat (54) dunia. Beta menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Universiti merangkumi staf akademik, staf pengurusan, staf pelaksana dan para pelajar yang telah secara bersama menumpukan fokus, menggabungkan fikiran, tenaga dan usaha untuk meningkatkan rangking Universiti Malaya.
  2. Permintaan mendapatkan pengajian tinggi terus bertambah dan bilangan institusi pengajian tinggi turut juga bertambah. Pada masa yang sama kos pembiayaan pendidikan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kos perkhidmatan dan barangan. Hari ini prasarana pengajian tinggi tidak hanya terbatas kepada kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan; partisipasi pihak swasta semakin bertambah – semakin ketara, berkembang pada kadar yang pesat. Malah secara perbandingan, dengan sumber kewangan yang sedia dilaburkan, berserta yuran pengajian lebih tinggi yang dikenakan ke atas pelajar, Institusi Pengajian Tinggi Swasta berada dalam posisi yang lebih kukuh untuk menyediakan prasarana yang lebih baik bagi kemudahan pengajar dan pelajar, di samping berada dalam posisi yang berupaya menawarkan skim perkhidmatan yang lebih kompetitif untuk memperoleh tenaga akademik dan tenaga pengurusan terbaik.
  3. Era Universiti Malaya sebagai anak tunggal yang dimanjakan semasa era pasca merdeka, ketika ia adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam negara, kini telah berlalu. Universiti Malaya wajib sedar, pada hari ini, ia hanya berstatus sebagai salah sebuah daripada universiti awam yang telah banyak diwujudkan di dalam negara. Ia tidak lagi memiliki sebarang keutamaan dari segi bajet negara dan keperluan perjawatan; ia tidak lagi berada dalam posisi yang diberikan keistimewaan, ia tidak boleh lagi berharap bahawa keperluannya akan dipenuhi di atas dulang perak. Fenomena ini hendaklah dilihat bukan sahaja sebagai satu cabaran tetapi sebagai satu peluang dan ruang untuk membuka minda Lembaga Pengarah dan pengurusan Universiti Malaya menerokai pemikiran baru.
  4. Dalam menghadapi senario yang lebih bersaing, Universiti Malaya sewajibnya mengambil pendirian seorang abang tua, memperlihatkan sikap berani berdikari dan bersedia mengambil tanggungjawab lebih besar. Telah tiba masanya, Lembaga Pengarah dan pengurusan Universiti mengambil pendekatan menguruskan universiti dengan bajet yang berpremiskan pendapatan berbanding bajet yang terlalu bergantung pada peruntukan kerajaan. Universiti hendaklah bersedia melakukan anjakan minda, memikirkan sumber-sumber pendapatan baru non-konvensional sebagai sumber utama pembiayaan. Universiti wajib memikirkan secara progresif dan merintis usaha secara agresif untuk menambah dan mempelbagaikan sumber pendapatan. Usaha menambah dan memperkukuhkan dana hendaklah dijadikan agenda utama dengan merekayasa semula tata cara pengurusan kewangan yang lebih mengutamakan komponen pelaburan dari sekadar pengawalan perbelanjaan. Universiti hendaklah memajukan aset-aset yang ada untuk dilabur atau dimajukan secara lebih produktif untuk memberikan dividen dan pulangan yang optimum. Universiti hendaklah bersedia mendapatkan khidmat profesional dan pakar luar untuk membantu usaha-usaha memaju dan membangunkan aset-aset universiti. Pada masa yang sama pihak berkuasa Kerajaan hendaklah membantu universiti dengan melihat dan merangka semula mekanisme-mekanisme kawalan yang sudah usang lagi jumud; mekanisme-mekanisme kawalan yang kini sudah tidak lagi relevan, malah bersifat batu penghalang kepada kemajuan universiti.
  5. Tamadun dan peradaban Islam banyak mencatatkan hubung kait institusi wakaf dengan pendidikan ummah.[1] Ia bermula dengan Baginda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam membeli sebidang tanah bagi pembinaan masjid daripada dua saudara yatim, Sahl dan Suhail dengan harga seratus (100) dirham.[2] Baginda merancang untuk masjid berfungsi sebagai pusat pembinaan masyarakat merangkumi aspek-aspek rohani, jasmani dan aqli.[3] Masjid pada era Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam berfungsi tidak hanya sebagai tempat bersolat tetapi turut berfungsi sebagai institusi pendidikan untuk menyampai, menyebar dan mengembangkan ilmu. Oleh itu bolehlah dirumuskan bahawa institusi pendidikan terawal diwakafkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam ialah Masjid Quba diikuti dengan Masjid Nabawi.[4]
  6. Wakaf terbukti berperanan penting membiayai program pendidikan pada era kebangkitan Islam. Pendidikan yang lebih sistematik dilaksanakan pada zaman Khilafah Abbasiyah melalui penubuhan Madrasah al Nizamiyah al-Nuriyah dan al-Nasiriyah.[5] Wakaf berkembang pesat dan membiayai pembangunan pelbagai institusi pendidikan pada zaman empayar Abbasiyyah (tahun 754-1258M), empayar Ayyubiyah (tahun 1171-1249M), empayar Mamalik (tahun 1249-1517M) dan empayar Uthmaniah (tahun 1258-1942M). Universiti Cordova di Andalus, al-Azhar di Mesir, Madrasah Nizamiyah di Baghdad, adalah antara institusi pengajian terkenal yang dibangunkan daripada sumber wakaf. [6]
  7. Pada era kegemilangan Islam, wakaf terbukti banyak digunakan untuk memenuhi keperluan hidup masyarakat.[7] Wakaf bukan sahaja memenuhi peranan sebagai mekanisme pengagihan semula kekayaan tetapi turut berperanan memperkukuhkan keupayaan individu dan keupayaan masyarakat yang memerlukan bantuan. Kemuncak kehebatan amalan wakaf dicapai pada zaman Khilafah Uthmaniyyah yang disimpulkan seperti berikut:‘Seseorang dilahirkan dalam rumah yang diwakafkan, tidur dalam buaian yang diwakafkan, membaca buku-buku yang diwakafkan, mengajar dalam sekolah yang diwakafkan, menerima gaji daripada pentadbiran wakaf dan akhirnya apabila ia mati, urusan jenazahnya adalah atas pentadbiran wakaf dan ia dikuburkan dalam tanah perkuburan wakaf’[8]
  8. Konsep wakaf kemudiannya telah diadaptasi oleh masyarakat Barat dengan menjenamakan wakaf dalam bentuk yayasan, trust dan endowment. Hari ini salah satu instrumen kewangan yang berperanan penting membiayai program kebanyakan universiti ternama dunia ialah endowment. Universiti-universiti Oxford, Cambridge, Harvard, Yale, Stanford adalah antara universiti yang dibangunkan dan berkembang melalui sumber endowment dan mempunyai dana yang kukuh. Alumni Universiti Harvard memberikan sumbangan endowment berjumlah seratus empat puluh enam (145.6) bilion ringgit manakala derma para alumni yang terkumpul untuk Universiti Yale berjumlah lapan puluh tiga (83.2) bilion ringgit. Nyatalah endowment yang berakarkan konsep wakaf yang diubahsuai, telah disuntik dengan pelbagai inovasi dan penambahbaikan. Hari ini endowment bukan sahaja berjaya dikembangkan malah berperanan sebagai penjana untuk menyuntikkan tenaga melonjakkan ranking universiti-universiti tersohor di dunia. Malangnya atas faktor-faktor pengurusan yang kurang cekap dan kurang profesional, ditambah pula dengan kegagalan, terutamanya di kalangan ulama mentafsir dinamik perubahan iklim ekonomi dan atmosfera perniagaan, wakaf yang bermula dan berakar di bumi dan negara Islam, bukan sahaja terbantut pertumbuhannya malah ada yang telah tertimbus, dan ada pula yang mula menjadi liabiliti kepada para pewaris seperti yang disuarakan oleh Mufti Mesir, Profesor Dr. Ali Gom’ah pada tahun 2012:Petikan:

    ‘Hal ehwal wakaf di Mesir akhir kurun kesembilan belas hingga awal kurun kedua puluh, telah diabaikan hingga kedudukan wakaf itu lemah, malah menjadi beban kepada Azhar’[9]

  9. Di negara ini, wakaf sebagai instrumen kewangan bukanlah subjek asing. Wakaf adalah sumber yang membiayai pembangunan institusi-institusi pendidikan tradisi seperti pondok, madrasah, sekolah agama, surau dan masjid. Namun wakaf yang telah memiliki asas dan menunjukkan kejayaan awal, kemudiannya bukan sahaja gagal berkembang malah ia terus menguncup, disebabkan faktor pengurusan yang lemah dan kurang profesional untuk menghadapi senario ekonomi dan perniagaan yang lebih dinamik dan mencabar. Alhamdulillah, kini telah berlaku satu kesedaran, satu kebangkitan, satu kelahiran semula, satu renaisans terhadap instrumen kewangan Islam. Beberapa buah universiti tempatan sedang aktif menggerakkan wakaf di universiti masing-masing. Penyelidikan giat dilakukan untuk memperkenalkan wakaf sebagai instrumen yang berupaya meringankan tanggungan kos pendidikan di kalangan pelajar. Justeru itu amatlah bertepatan bagi Universiti Malaya merintis usaha aktif bersama alumni universiti untuk menubuhkan tabung wakaf dan tabung endowment.
  10. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada penerima Ijazah Kehormat, penerima gelaran Profesor Emeritus, penerima Anugerah Pelajaran Diraja serta para graduan. Bersyukurlah di atas kejayaan yang telah dianugerahkan oleh ILAHI dan berterima kasihlah kepada ibu bapa serta keluarga yang turut mendoakan dan sama-sama berkorban untuk memungkinkan saudara saudari mencapai kejayaan. Hargailah jasa bakti tenaga pengajar yang telah memberikan segala komitmen membimbing saudara saudari dalam pengembaraan di alam ilmu. Berpegang teguhlah kepada prinsip-prinsip Rukun Negara terutama komponen kepercayaan kepada Tuhan agar saudara dan saudari senantiasa diinsafkan akan kuasa sebenar yang lebih agung, mengatasi segala kuasa manusia di muka bumi ini; tumpahkan kesetiaan kepada Raja dan Negara, luhurkan Perlembagaan dan daulatkan undang-undang terutama setelah diserahkan amanah, dan pada setiap masa menjaga adab dan adat budaya bangsa dalam semangat penuh kesopanan dan kesusilaan.
  11. Beta menzahirkan penghargaan kepada tenaga akademik, tenaga pengurusan, tenaga sokongan dan seluruh warga kerja universiti yang telah memberikan khidmat terbaik memastikan proses pembelajaran terlaksana dengan sempurna hingga memungkinkan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ini.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Wan Azmi bin Wan Ahmad, Muhammad Muzakkir bin Othman, Mohd. Hafiz bin Abdul Wahab, Norhashimah binti Shaharuddin, “Pembangunan Waqaf Pendidikan di IPT Malaysia: Satu Alternatif Untuk Mengurangkan Kos Pengajian”, www.uitm.edu.my.
  2. Ibid.
  3. Ibid.
  4. Ibid.
  5. Ibid.
  6. Najibah Mustaffa, Mohd Zamro bin Muda/UMRAN-International Journal of Islamic and Civilizational Studies Vol.1 No.1 (2014) pp 45-57
  7. Ibid
  8. Razali Othman, “The Influences of Colonisation on the Perception and Practices of Wakaf”, Jurnal IKIM, (Kuala Lumpur: IKIM, 2005).
  9. Mufti Mesir, Profesor Dr. Ali Gom’ah, “Kertas Kerja Seminar Wakaf Menjana Ekonomi”, Putrajaya, 16 Julai 2012.
%d bloggers like this: