Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Kali Kelima Puluh Satu Bahagian Pertama

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, begitu juga kepada para Tabiin dan para ulama; semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dari Nya juga, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya, kali kelima puluh satu dapat berlangsung pagi ini.

3. Konvokesyen Universiti Malaya kali kelima puluh satu akan menganugerahkan 5,795 ijazah; 353 graduan akan dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah, 1,785 graduan Ijazah Sarjana dan 3,657 graduan Ijazah Sarjana Muda. Konvokesyen kali ini turut menganugerahkan Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Yohei Sasakawa, Dato’ Seri Selvamany Navachitra Soudamany dan Profesor Dato’ Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid serta Gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Lee Sing dan Dato’ Dr. V. Sivanesaratnam Vallipuram.

4. Hari pengijazahan adalah hari bersejarah dalam hayat seseorang insan. Para graduan telah memperlihatkan kejayaan memenuhi piawaian akademik yang telah ditetapkan oleh institusi. Bagi para mahaguru di universiti, Istiadat Konvokesyen ini adalah mercu tanda hasil dari ketekunan dan dedikasi serta sifat jujur lagi tulus dalam menyempurnakan amanah mengilmukan warga bangsa. Kejayaan saudara saudari tidak sekadar mencetus rasa gembira dalam diri masing-masing, tetapi ia sebenarnya telah menyuburkan dan melengkapi harapan anggota keluarga. Penganugerahan Ijazah Kehormat demikian juga gelaran Profesor Emeritus merupakan pengiktirafan tinggi universiti terhadap tokoh-tokoh yang mencapai tahap ‘towering personality’ dan telah memberikan sumbangan bermakna dalam bidang kepakaran masing-masing. Beta mengucapkan tahniah kepada setiap seorang dari penerima pelbagai Ijazah dan penghormatan di Istiadat Konvokesyen kali ini.

5. Beta turut mengucapkan tahniah di atas beberapa pengiktirafan yang telah dicapai oleh Universiti Malaya. Universiti Malaya kekal berada di tangga teratas di kalangan institusi pengajian di negara ini berdasarkan QS Asian University Rankings 2012 dan berada pada kedudukan ke-35 dari kalangan lebih 7000 universiti di Asia.

6. Universiti Malaya turut mencatatkan pencapaian inovasi penyelidikan. Penyelidik-penyelidik universiti ini telah memenangi 8 pingat emas, 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam International Invention, Innovation & Technology Exhibition 2012 (ITEX 2012). Sekumpulan 8 penyelidik telah memenangi 2 pingat emas, 3 pingat perak dan 3 pingat gangsa dalam Malaysia Technology Expo 2012.

7. Warga universiti berperanan penting merealisasikan wawasan murni universiti terutama dalam merintis dan menerokai usaha-usaha memperkayakan khazanah ilmu. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang meningkatkan minat dan kecintaan terhadap ilmu hendaklah terus di perkenalkan hingga ke peringkat berjaya menyemaikan budaya sentiasa dahagakan ilmu dan sifat tidak jemu untuk terus menimba ilmu di kalangan para mahasiswa dan para graduan. Universiti bukan sekadar gedung penyimpanan khazanah ilmu tetapi adalah pusat membangunkan ilmu serta ibu kandung untuk melahirkan ilmuwan.

8. Ilmu yang dikuasai wajib dihayati dan diaplikasikan untuk membina hidup insan yang lebih baik, memenuhi keperluan dunia yang tidak bercanggah dengan tuntutan akhirat. Ia harus dihayati secara luhur selaras dengan kesucian falsafah ilmu dan kesucian nilai ilmu. Falsafah dan nilai ilmu wajib dihubungkan dengan realiti kehidupan harian. Keupayaan merangkaikan konsep-konsep ilmu dengan kehidupan harian adalah penentu – adalah tanda aras- adalah kayu ukur sebenar akan tahap kedalaman penghayatan ilmu. Bersandarkan semangat tersebut, universiti-universiti di negara ini turut mempunyai tanggung jawab menyemaikan nilai-nilai integriti yang tinggi di kalangan graduan yang dihasilkan.

9. Kemajuan sesebuah negara tidak lengkap jika diukur semata-mata dengan angka-angka pencapaian ekonomi dan tahap kemajuan teknologi. Aspek moral, integriti dan ketelusan adalah aspek-aspek yang wajib diberikan keutamaan. Universiti hendaklah mempunyai benteng kukuh, secara tegas menyekat dari diserap budaya yang mengizinkan berlakunya sebarang manipulasi kerana mahu memenuhi sasaran data berbentuk kuantitatif.

10. Media tempatan pada 30 Jun lalu, melaporkan penemuan kaji selidik yang dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, atau PEMANDU (Performance Management Unit) mengenai persepsi rasuah. Kajian tersebut dilakukan ke atas 1800 mahasiswa. Keputusan kajian tersebut bukan sahaja mengejutkan tetapi amatlah membimbangkan. Majoriti dari mereka yang disoal selidik menganggap perlakuan menawar dan menerima rasuah adalah tidak memudaratkan.

11. Para mahasiswa bakal menjawat jawatan penting di pelbagai sektor. Jawatan-jawatan yang bakal dijawat disertai dengan pelbagai kuasa. Jika dari alam universiti, mahasiswa tidak menganggap rasuah sebagai satu perilaku jijik, dibimbangkan mereka akan terlalu mudah merelakan diri terjebak melakukan rasuah tanpa sebarang rasa bersalah.

12. Akhbar-akhbar pada 26 September lalu melaporkan empat pegawai dari sebuah agensi penguat kuasa kerajaan telah disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana melakukan rasuah. Mereka dijatuhkan hukuman, paling ringan 2 tahun penjara berserta denda 10,000 ringgit, paling berat 12 tahun penjara berserta denda 361,400 ringgit. Kes mereka mula di sebut dua tahun yang lalu ketika mereka dalam usia 24 ke 30 tahun. Di kalangan mereka, ada yang telah melakukan 31 kali perbuatan rasuah. Bermakna pegawai-pegawai berkaitan telah mula terlibat dengan rasuah pada usia yang begitu muda, ketika masih di peringkat awal di alam pekerjaan.

13. Empat pegawai yang telah disabitkan dengan jenayah rasuah tersebut, berkemungkinan adalah satu cebisan kecil dari keadaan sebenar yang membenarkan berlakunya pelbagai kompromi dan toleransi, hingga ke peringkat para penguat kuasa bersedia mengetepikan peraturan dan undang-undang. Akibatnya negara dan warga terpaksa membayar dengan harga tinggi. Kebanjiran pendatang asing, pusat hiburan yang beroperasi sehingga awal pagi dengan aktiviti tidak bermoral yang mencurigakan, muatan lebih berat di kalangan operator pengangkutan, penyeludupan, pengedaran dadah, malah pelbagai aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang kelihatan bukan sahaja semakin berlaku, malah kelihatan ketara berlaku secara terang lagi bersuluh. Malah lebih membimbangkan apabila perbuatan rasuah telah turut berjangkit di kalangan pegawai-pegawai penguatkuasaan agama hatta di peringkat Mahkamah Syariah.

14. Sesungguhnya rasuah adalah salah satu musuh utama negara. Rasuah membawa impak negatif kepada usaha membangunkan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan rasuah berpotensi meruntuhkan hasrat untuk membina tamadun yang agung. Ia telah terbukti sebagai salah satu penyebab utama yang meruntuhkan empayar dan warga bangsa seperti yang berlaku kepada Empayar Roma, Empayar Uthmaniah dan Dinasti Ming.

15. Laporan Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menunjukkan dalam tahun 2011, Malaysia berada ditangga ke 60 daripada kalangan 183 negara. Negara telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional pada tahun 2004 dengan menggariskan pelan komprehensif, bertujuan menyemai etika dan integriti sebagai budaya hidup di kalangan warga. Negara sedang merintis pelbagai usaha untuk memerangi rasuah. Usaha negara untuk membina etika dan integriti serta usaha negara memerangi rasuah akan hanya tercapai melalui kesungguhan, ketegasan dan komitmen dari pelbagai pihak.

16. Universiti adalah institusi penting untuk melengkapi usaha pembangunan sesebuah negara. Universiti sering kali dirujuk sebagai “School of Universal Learning” berperanan sebagai pusat pengembangan pelbagai ilmu. Universiti seharusnya menjadi tanda aras ketamadunan dan ketinggian intelektual masyarakat dan warga bangsanya. Universiti wajib berada di barisan hadapan menjuarai usaha menyemaikan etika murni dan integriti tinggi di kalangan warga di bawah pengawasannya. Nilaian universiti terbaik adalah universiti yang berupaya menghasilkan impak bukan sahaja terhadap warga universiti malah turut juga memberi kesan limpahan bermakna kepada masyarakat umumnya.

17. Universiti hendaklah melihat rasuah bukan sekadar barah sosial tetapi barah jenayah. Universiti turut mempunyai tanggungjawab untuk membantu menyemai nilai murni dan membina integriti di jiwa sanubari mahasiswa sebagai melengkapi usaha negara membina integriti dan usaha negara memerangi rasuah.

18. Beta mengucapkan tahniah kepada para penerima Ijazah Kehormat, penerima gelaran Prof Emeritus serta para graduan yang telah mencipta kejayaan. Sesungguhnya kejayaan yang anda peroleh pada hari ini adalah anugerah dari Allah Subhanahu Wata’ala dan seharusnya menjadi adab kepada setiap diri seorang hamba yang telah dianugerahkan kejayaan untuk melafazkan kalimah kesyukuran kepada yang Maha Pencipta. Semoga kita akan terus mendapat rahmat dan petunjuk daripada Nya untuk membimbing kita menemui jalan yang diredhai.

 

19. Beta menzahirkan penghargaan kepada para pendidik, para pentadbir dan seluruh warga kerja Universiti yang telah memberikan khidmat terbaik dalam memastikan proses pembelajaran terlaksana dengan sempurna dan seterusnya memungkinkan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ini.

 

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

%d bloggers like this: