Salam Sejahtera
Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali kelima puluh lima, berlangsung, ketika Universiti Malaya mencapai usia 111 tahun penubuhannya, berasaskan tarikh penubuhan, the King Edward VII Medical College of Medicine, di Singapura, pada 28 September 1905. Raffles College pula, ditubuhkan pada tahun 1928. Dua kolej tersebut, dicantumkan pada 8 Oktober 1949, untuk menjadi sebuah universiti, dinamakan Universiti Malaya.
2. Suruhanjaya Carr-Saunders yang memperakukan penubuhan Universiti Malaya, dalam laporan yang dikemukakan pada tahun 1948, merumuskan;
“The University of Malaya would provide for the first time a common centre where varieties of race, religion and economic interest could mingle in joint endeavour….For a University of Malaya must inevitably realise that it is a university for Malaya”.
3. Universiti Malaya telah melalui fasa perkembangan yang pesat. Pada 15 Januari 1959, ditetapkan untuk di bina dua kampus berasingan yang memiliki autonomi tersendiri, satu di Singapura dan satu di Kuala Lumpur. Pada tahun 1961, Parlimen Malaysia meluluskan Akta penubuhan Universiti Malaya, dan Universiti Malaya Kuala Lumpur ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1962. Dalam tempoh 54 tahun usianya bertapak di Kuala Lumpur, Universiti Malaya berada di bawah naungan empat orang Canselor dan dipimpin oleh sebelas orang Naib Canselor. Beta menghargai, kesediaan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato Seri Hajjah Dr. Aishah Ong, membantu Beta dengan terus bersedia mengambil tanggungjawab sebagai Pro Canselor untuk penggal keempat.
4. Universiti Malaya telah berjaya memenuhi peranan penubuhannya untuk mengendalikan pendidikan peringkat tinggi kepada warga daripada pelbagai agama, kaum dan latar belakang. Sejak ditubuhkan, pelbagai kejayaan telah dicapai. Universiti Malaya berjaya melonjak kedudukan ranking dunia, daripada tangga 146 pada tahun 2015, ke tangga 133 dalam QS World University Rankings 2016. Sementara di peringkat Asia, ranking meningkat, daripada tangga 29 pada tahun 2015, ke tangga 27 pada tahun 2016. Prestasi cemerlang turut diperolehi dalam bidang-bidang tertentu; berada pada tangga 30 terbaik dunia, bagi subjek Pengajian Pembangunan, serta pada tangga 37 terbaik dunia, dalam bidang Elektrikal dan Elektronik.
5. Laporan ASEAN Research Lanscape, oleh Thompson Reuters, menunjukkan, peningkatan 594% dalam landskap penyelidikan di Malaysia antara tahun 2005 hingga 2014. Laporan tersebut, menyaksikan Malaysia mendahului rakan-rakan ASEAN dalam bidang penyelidikan. Perangkaan menunjukkan, Universiti Malaya mendahului 20 universiti awam lain dengan menghasilkan 25% daripada jumlah keseluruhan penerbitan universiti awam di negara ini. Sementara itu, dalam tahun 2015, 132 paten telah didaftarkan, termasuk 4 di peringkat antarabangsa. Universiti Malaya terbukti menerajui gagasan penyelidikan berimpak tinggi, dengan mencipta nama sebagai Universiti Penyelidikan terunggul di Malaysia. Sehingga Jun 2016 sahaja, para penyelidik di Universiti Malaya berjaya menerbitkan 1,592 penerbitan dalam jurnal-jurnal terindeks, dan mempunyai rekod indeks petikan (citation index) tertinggi, dalam kalangan universiti berstatus penyelidikan, semenjak tahun 2011.
6. Warga Universiti Malaya turut mencapai pelbagai kejayaan lain. Pandelela Rinong, pelajar Pusat Sukan, berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio de Janeiro. Saiful Anwar Abdul Rani, pelajar Akademi Pengajian Islam, mendapat pingat emas dalam pertandingan The 13th Business Case Competition (Harvard Business Review) di Kookmin University Korea. Mohamad Azwan bin Kamarudin, pelajar Fakulti Bahasa dan Linguistik telah dianugerahkan Pendebat Terbaik dalam kategori bukan penutur jati, Kejohanan Debat Bahasa Arab Universiti-Universiti Sedunia 2015, di Doha. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan seluruh warga Universiti atas komitmen, untuk mengharumkan nama Universiti. Semoga setiap kejayaan yang telah dicapai, dijadikan sumber inspirasi untuk warga Universiti mencipta kejayaan yang lebih gemilang.
7. Hubungan universiti dan masyarakat sentiasa diperkukuh. Kepakaran yang ada di universiti, telah digerakkan untuk membantu masyarakat dan kerajaan. Fakulti Kejuruteraan, telah memperkenalkan Projek Sistem Penapis Air Ultraturasan, berupaya menukar sumber air mentah, sama ada air banjir, air sungai, air telaga atau air tasik kepada air bersih yang setanding dengan kualiti air paip. Hasil penyelidikan ini, telah berjaya membantu mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Sarawak untuk mendapatkan bekalan air bersih, selain berpotensi dijadikan aset penting ketika berlakunya banjir.
8. Kemajuan sesebuah negara, bergantung kepada tiga elemen penting; pertama: penemuan baru, kedua: sumber manusia terlatih dan ketiga: kepakaran pengetahuan.[1] Universiti berperanan sebagai sumber, membekalkan ketiga-tiga elemen tersebut. Universiti moden, pada era pasca industri, ialah institusi pusat dan instrumen utama menentukan tahap pencapaian kemajuan sesebuah masyarakat.[2] Justeru itu, amatlah penting untuk universiti bersifat peka, turut mengamati serta memahami, dan selanjutnya melakukan sesuatu langkah untuk membetulkan sebarang kepincangan sosial yang sedang melanda masyarakat. Penyakit sosial dalam masyarakat perlu ditangani, melalui kebijaksanaan mengimbangi sifat individualisme dan sifat persaingan, dengan nilai-nilai yang mementingkan semangat kerjasama dan semangat tanggungjawab kemasyarakatan. Untuk menangani penyakit sosial, negara memerlukan warga yang memiliki nilai-nilai moral dan warga yang mengamalkan tanggungjawab sivik yang tinggi.
9. Ketika merangka dan melaksanakan program membangunkan sumber manusia, Universiti jangan sama sekali melupakan falsafah asas pendidikan yang kudus lagi suci. Konsep melahirkan insan berilmu, lebih luas dan lebih dalam, berbanding konsep membekalkan manusia dengan pengetahuan, yang terbatas kepada sasaran memperkayakan maklumat. Tamadun-tamadun agung terdahulu, baik di Yunani, di Parsi, di Lembah Indus, di China, begitu juga falsafah pendidikan Islam amat menekankan aspek pembangunan insan yang menyeluruh. Tamadun Yunani, memperkenalkan konsep paidea, menekankan pendidikan budaya untuk membangunkan insan secara menyeluruh, mencakupi intelek, moral dan agama. Konfusianisme, mengutamakan etika sosial dan etika politik, menegaskan moral individu dan moral kerajaan, hubungan sosial yang betul, keadilan, tradisi, kejujuran dan kemanusiaan. Status seseorang, ditentukan bukan daripada darah keturunan atau kekayaan, tetapi oleh meritokrasi yang didukung oleh tahap pendidikan dan karakter peribadi insan. Falsafah Hindu menegaskan hubungan tertib guru dan murid, guru dikenali sebagai ayoha, menegaskan muridnya wajib menghormati setiap kehidupan dan mencari kebenaran.
10. Islam, menegaskan usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, mengasuh peribadi, dan membina kemahiran diri, bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, bagi membentuk diri, sikap, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba ALLAH yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, membangun masyarakat, membangun alam sekitar dan membangun negara, ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Islam menegaskan aspek kebenaran, keikhlasan, ketelusan serta amanah, dan tidak sama sekali mengizinkan perlakuan pecah amanah, rasuah, penipuan dan ketidakadilan.
11. Nyatalah, bahawa seseorang insan itu hanya sempurna taraf keilmuannya, apabila diperlengkapkan dengan roh akhlak, berkait dengan tatacara hubungan antara manusia dengan manusia, hubungan manusia dengan makhluk lain, merangkumi tumbuhan dan haiwan, dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Akhlak berperanan sebagai pelengkap dan penyempurna, membimbing segala perbuatan dan perilaku manusia. Apabila komponen akhlak, tidak disemaikan dalam sanubari insan, lahirlah manusia yang tidak dapat membezakan antara nilai yang betul dengan nilai yang salah, menyebabkan ada di kalangan mereka tergelincir akidah, hingga terlupa, bahawa sumber sebenar kuasa dan rezeki, datangnya daripada Tuhan Yang Maha Pencipta.
12. Dunia semakin menyaksikan berlakunya ketempangan akhlak dan kelompangan spirituil, berlaku di kalangan mereka yang terpelajar dan mereka yang berpengetahuan, dilakukan oleh mereka yang memiliki ijazah tinggi dan menyandang jawatan penting. Rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, pilih kasih, penipuan, dilaporkan semakin berlaku, disebabkan akhlak semakin berada pada tahap rendah atau tidak dijiwai lagi. Perlumbaan keduniaan, telah mengalpakan manusia, hingga manusia menjadi terlalu materialistik. Fenomena ini amat membimbangkan. Tercatat pelbagai peristiwa dalam sejarah, fenomena kerendahan akhlak, menjadi punca keruntuhan sesuatu tamadun dan punca kemusnahan sesebuah negara bangsa.
13. Para graduan yang telah bertambah ilmu pengetahuan, wajib diperlengkapkan dengan akhlak mulia, supaya diri tidak akan dibenarkan menjadi hamba kepada kehendak nafsu, sehingga sedia menggadaikan maruah diri, dan akhirnya jatuh ke lembah kehinaan. Impian untuk mencapai kejayaan hidup, jangan sampai ke peringkat menghalalkan apa sahaja tindakan. Matlamat jangan sekali-kali diizinkan untuk menghalalkan cara. Berpegang teguhlah pada nilai agama yang suci dan nilai budaya bangsa yang murni. Hidup bersendikan adat, adat bersandarkan Kitabullah.
14. Kejayaan para graduan pada hari ini, bukanlah atas usaha persendirian semata-mata. Semangat mahu mencurahkan ilmu oleh warga akademik, telah membolehkan lahirnya lebih ramai insan yang kaya ilmu di taman pendidikan ini. Keluarga para graduan telah memberikan sebesar-besar dorongan dan pengorbanan untuk memastikan saudara-saudari mencapai kejayaan. Kegembiraan ibu bapa atas kejayaan anak-anak, mengatasi keriangan saudara-saudari sekalian. Hargailah jasa bakti para guru dan pengorbanan besar ibu bapa serta anggota keluarga. Tuhan telah memakbulkan doa mereka, dan ibu bapa hendaklah terus mendoakan agar anak-anak terus mendapat panduan, petunjuk dan perlindungan ILAHI.
15. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi serta ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor serta seluruh tenaga akademik, begitu juga kepada staf pengurusan, staf sokongan dan setiap warga Universiti Malaya yang telah memberikan khidmat terbaik dalam usaha memastikan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, terlaksana dengan sempurna.