Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Kelima Puluh Tiga Bahagian Pertama

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Opening of Speech

2. Beta menzahirkan kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya ke hadrat ALLAH Subhanahu Wata’ala yang telah menganugerahkan kemuliaan ke atas diri Beta dimasyhurkan sebagai Canselor Keempat Universiti Malaya, Universiti tertua – Universiti pertama yang ditubuhkan di negara ini. Kurniaan ILAHI ini amat Beta hargai kerana ia memberi ruang kepada Beta untuk berdamping rapat dengan dunia ilmu dan para ilmuwan. Sesungguhnya Universiti itu adalah institusi ilmu yang terulung lagi penting, tempat terhimpunnya khazanah dan modal intelek yang dimiliki oleh sesebuah negara bangsa.

3. Kepada Paduka Ayahanda, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Paduka Anakanda merafakkan sembah junjungan kasih atas perkenan Paduka Ayahanda mengamanahkan kepercayaan dan tanggung jawab, melantik Paduka Anakanda sebagai Canselor Universiti Malaya. Dengan petunjuk dan hidayat ILAHI, juga nasihat rundingan daripada Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor serta Senat Universiti, Paduka Anakanda akan berusaha sedaya upaya memenuhi kepercayaan dan menyempurnakan tanggung jawab yang telah Paduka Ayahanda amanahkan ke atas batang tubuh Paduka Anakanda.

4. Beta diamanahkan sebagai Canselor Universiti Malaya, menggantikan Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang telah dimasyhurkan sebagai Canselor Ketiga pada 8 Februari 1986. Ayat 35 Surah Al-Anbiyaa bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”[1]

5. Demikian kalam ILAHI yang tidak boleh disangkal; ajal maut itu ditentukan oleh ILAHI. Bila sampai waktunya, tidak berupaya manusia untuk melengahkannya walau sesaat sekalipun. Bahawa ketetapan yang tersirat oleh ILAHI telah disuratkan pada hari Rabu, 28 Rejab 1435 Hijrah, bersamaan 28 Mei 2014, dengan kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

6. Menghargai jasa bakti serta khidmat murni, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah, yang telah memberikan naungan kepimpinan sebagai Canselor selama 28 tahun 3 bulan, dipohonkan dengan segala keikhlasan untuk kita bertafakur sambil membacakan Surah Al-Fatihah, semoga apa jua ganjaran ILAHI daripada amal tersebut, disampaikan kepada roh Almarhum, dengan doa agar roh Almarhum dicucuri segala rahmat – dilimpahkan segala ihsan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Al-Fatihah.

7. Istiadat Konvokesyen ini turut memasyhurkan Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya Seri Agar DiRaja, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Ramli bin Ngah Talib sebagai Pro Canselor Universiti Malaya. Beta menzahirkan ucapan tahniah dan berkeyakinan bahawa khazanah pengetahuan dan himpunan pengalaman yang dimiliki beliau, merupakan aset berharga untuk membantu kemajuan Universiti.

8. Konvokesyen kelima puluh tiga Universiti Malaya akan menganugerahkan 5,257 ijazah dan diploma. Dua ‘towering personalities’ akan dianugerahkan Ijazah Kehormat; Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Kamil bin Jaafar akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa dan Yang Berbahagia Datuk Rasammah Noami Bhupalan Rajendrem Nee Navarednam akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan. Dua graduan, akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja, Izhar Mustaqin Madisa, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dan Lim Dwem Wei, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

9. Setiap seorang siswazah telah mendaki gunung ilmu dan telah mencapai tahap ketinggian mercu masing-masing. Ketika berada di mercu ketinggian, seseorang insan berada dalam dua kemungkinan; kemungkinan pertama: dipengaruhi kebanggaan yang melonjak, beranggapan telah berada di puncak yang tinggi, penglihatan menjadi sempit kerana dilambung ego kejayaan; kemungkinan kedua: dipengaruhi kesyukuran atas kejayaan mendaki salah satu tangga kejayaan dengan keinsafan bahawa mereka belum sampai ke puncak pendakian dan masih ada pendakian lebih tinggi yang perlu terus dilakukan.

10. Mereka yang terperangkap dalam kemungkinan pertama akan berakhir sebagai insan yang bersifat angkuh, terlalu awal merasakan dirinya pandai – terlalu cepat menganggap dirinya pakar, lalu memiliki minda tertutup, cerdiknya sukar diikut – dangkalnya tidak boleh diajar. Mereka yang berada dalam kemungkinan kedua, adalah insan yang terus merasakan dirinya kerdil dan belum sempurna, memahami bahawaitu milik ILAHI, terlalu luas lagi dalam, yang mungkin tidak dapat diselami sehingga ke dasar sepanjang hayat kehidupan seseorang insan. Mereka akan mempunyai minda terbuka serta memiliki sifat untuk belajar dan terus belajar. Ilmuwan tersohor biasanya memiliki sifat senantiasa merendah diri, tetap bersedia menjadi makmum walaupun telah diiktiraf sebagai imam.

11. Minda terbuka adalah satu keperluan untuk memupuk persefahaman dan keharmonian baik di peringkat keluarga, tempat bekerja, di dalam masyarakat, di dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Minda terbuka dapat memerdekakan jiwa individu daripada sebarang prejudis dan buruk sangka. Minda terbuka akan mengupayakan seseorang memahami malah menghormati pandangan pihak lain betapa berlainan sekalipun. Minda terbuka akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui. Minda terbuka akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif. Minda terbuka adalah komponen amat penting untuk membantu mengukuhkan amalan demokrasi di dalam sesebuah negara. Malah minda terbuka adalah faktor yang telah memungkinkan tertubuhnya sebuah negara bangsa melalui kejayaan mencantumkan rakyat daripada pelbagai agama, negeri, kaum, budaya dan bahasa menjadi satu warga kepada sebuah negara Malaysia yang merdeka; minda terbuka juga berjaya menyatukan matlamat di kalangan sembilan Raja yang bersemayam di istana dengan rakyat jelata di serata kota dan desa. Nyatalah minda terbuka adalah aset sementara minda tertutup adalah liabiliti. Oleh itu, Universiti bertanggung jawab untuk mewujudkan iklim ilmu dan iklim pembelajaran yang berjaya membentuk insan yang memiliki minda terbuka.

12. Untuk melahirkan graduan berminda terbuka, Universiti jangan sama sekali memiliki identiti dan mencerminkan karakter sebuah ladang. Ladang menumpukan tanaman yang terbatas, serupa dan sama, disusun menurut kontur dan barisan yang tegar (rigid), dituai hasilnya secara bermusim, diracun dan dibunuh apa juga tumbuhan lain yang cuba menjalar di persekitaran ladang. Universiti hendaklah memiliki identiti dan mencerminkan karakter sebuah taman, mengandungi kekayaan pelbagai flora dan fauna, hidup subur dan tumbuh segar, dari pepohon besar kepada tumbuhan renek, merimbun lagi melata, dengan pelbagai bentuk, saiz, warna, bunga dan bauan.

13. Para Profesor dan tenaga akademik hendaklah memiliki prinsip dan hikmah untuk menyuburkan taman ilmu ini, memiliki karakter seorang penjaga taman yang tidak menebang dahan dan mencabut akar tetapi sekadar memotong ranting yang reput atau daun yang lusuh untuk membolehkan pepohon terus subur merendang; supaya ketika sampai musim luruh (autumn) akan terserlah penjelmaan dedaun pohon dalam aneka rupa, mencantumkan pelbagai warna dalam keindahan yang amat harmoni.

14. Universiti juga adalah gedung terkumpulnya khazanah intelek dan modal intelek. Khazanah intelek perlu diurus tadbir dengan minda terbuka, inovatif lagi kritikal, sementara modal intelek harus dilaburkan melalui budaya yang membolehkan berlakunya kemerdekaan intelek untuk berani menerokai penemuan baru, idea baru dan eksplorasi baru. Universiti adalah gelanggang untuk mengasah minda berfikiran merdeka, berani mengambil risiko dan berani untuk terus bereksperimen. Kepimpinan Universiti wajib memiliki hikmah dan kebijaksanaan untuk berjaya mencantum dan mempertemukan kepelbagaian pendapat dan pandangan dalam satu simfoni yang penuh harmoni agar percanggahan tafsiran tidak berakhir dengan konfrontasi, sementara kelainan pegangan tidak menjejaskan semangat kesetiaan kepada negara bangsa.

15. Justeru itu, Zon Keterbukaan (atau Zones of Openness), adalah karakter yang wajib ada pada setiap Universiti, diperkenalkan sejak terbentuknya University Bologna (pada tahun 1088) dan Studia Generalia di Paris (pada tahun 1150), yang berjaya menarik minat para pelajar dari Medieval Europe untuk mempelajari disiplin-disiplin undang-undang, perubatan, teologi dan falsafah, disiplin-disiplin pengajian yang merentasi negara dan sempadan.[2]

16. Autonomi adalah karakter asal penubuhan sesebuah Universiti. Universiti memerlukan pengaliran bakat dan idea secara berterusan tanpa menghadapi halangan yang keterlaluan, sehingga menjejaskan kebebasan akademik, selaras dengan resolusi yang dirumuskan dalam Global Colloquium of University Presidents pada tahun 2005, yang bersandarkan the Enlightenment Ideals and the Humboldtian concepts of ‘Lernfrenheit und Lehrfreinheit’ dan Magna Charta Universitatum yang dirumuskan oleh Rektor-Rektor Universiti semasa persidangan yang berlangsung di Bologna pada tahun 1988:

Quote:

Academic Freedom may be defined as the freedom to conduct research, teach, speak, and publish. Subject to the norms and standards of scholarly inquiry, without interference or penalty, wherever the search for truth and understanding may lead”[3]

17. Cabaran yang dihadapi adalah untuk memastikan wawasan membina sebuah negara bangsa yang teguh bersatu tidak akan tergelincir semata-mata atas tuntutan mahukan autonomi universiti dan kebebasan akademik. Autonomi dan kebebasan wajib dikembarkan dengan tanggung jawab. Universiti juga ada tanggung jawab dan akauntabiliti terhadap negara. Kerana itu, penentuan sempadan perlu digariskan, perimbangan dasar perlu ditimbangkan secara bijaksana agar universiti tidak berkesudahan dengan imej ‘a glorified high school’.

18. Oleh itu, komponen kenegaraan perlu diberikan pengukuhan. Elemen-elemen nilai yang menyemaikan unsur-unsur makna dan tujuan sesebuah negara bangsa hendaklah ditekankan, dengan menegaskan aspek-aspek falsafah, ideologi, sejarah dan budaya yang menjadi teras pegangan negara, mengimbangkan modul pendidikan agar tidak hanya tertumpu pada nilai tambah ekonomi hingga mengabaikan aspek-aspek patriotisme terhadap negara bangsa.

19. Para bijak pandai universiti perlu membantu negara dalam usaha bina negara. Usaha bina negara tidak bermakna memahat dalam minda setiap warga untuk wajib memihak kepada mana-mana parti politik. Usaha bina negara adalah usaha menyemaikan semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara, betapa berlainan dan berbeza pegangan dan asosiasi politik mereka. Demokrasi membenarkan dan menghalalkan wujudnya kepelbagaian kumpulan politik, tetapi kepelbagaian itu jangan sampai ke peringkat yang mencetuskan iklim permusuhan di kalangan warga. Universiti wajar membantu memberikan tafsiran yang saksama lagi objektif akan erti dan makna kesetiaan kepada negara agar terbina semangat kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity).

20. Beta mengucapkan tahniah kepada para penerima Ijazah Kehormat serta para graduan. Bersyukurlah di atas kejayaan yang telah dianugerahkan oleh ILAHI dan berterima kasihlah kepada ibu bapa serta keluarga yang turut mendoakan dan sama-sama berkorban untuk memungkinkan saudara saudari mencapai kejayaan. Hargailah jasa bakti tenaga pengajar yang telah memberikan segala komitmen membimbing saudara saudari dalam pengembaraan di alam ilmu.

21. Beta menzahirkan penghargaan kepada tenaga akademik, tenaga pentadbir, tenaga sokongan dan seluruh warga kerja Universiti yang telah memberikan khidmat terbaik memastikan proses pembelajaran terlaksana dengan sempurna hingga memungkinkan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen ini.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran: Surah Al-Anbiya (21:35)
  2. Drew Giplin Faust, “The Role of the University in a Changing World”, Harvard University; (Speech 2010); (Speech 2010)
  3. Professor Emeritus Uppsala University Sweden, Ingemund Hagg, “Academic Freedom and Univeristy Autonomy Necessary in the Liberal Open Society”, paper presented at the Think Tank Seminar: Liberal International Congress 2009.
%d bloggers like this: