Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris Kali Keenam Belas (Sesi Pertama)

 

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala, Tuhan sekalian alam yang menyeru manusia untuk membaca dengan menyebut nama Tuhan; dan telah menciptakan manusia dari segumpal darah[1]. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, begitu juga kepada para Tabiin dan para ulama.

2. Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali keenam belas akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 4,337 graduan. Konvokesyen keenam belas, turut memberikan pengiktirafan kepada individu-individu yang telah memberikan pelbagai sumbangan dalam bidang kepakaran masing-masing dengan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Keusahawanan kepada Yang Berbahagia Datuk Hassan bin Harun, Ijazah Kehormat Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional kepada Yang Berbahagia Dato’ Ramly bin Mokni serta gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dato’ Dr. Aminah binti Ayob, Profesor Dr. Othman bin Lebar dan Profesor Dr. Nagendralingan Ratnavadivel.

3. Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan yang telah memenuhi keperluan akademik dan latih amal masing-masing untuk layak dianugerahkan dengan ijazah dan diploma. Enam belas (16 ) Ijazah Doktor Falsafah, 64 Ijazah Sarjana Pendidikan, 182 Ijazah Sarjana Muda dan 74 Diploma Muzik akan dianugerahkan dalam sesi ini.

4. Kehidupan adalah satu pengembaraan yang menempuhi pelbagai stesen perhentian. Para graduan telah melakukan pengembaraan menerokai alam ilmu dan pada hari ini telah menemui salah satu stesen perhentian. Pengembaraan saudara-saudari tidak harus berhenti di sini, malah pengembaraan ini harus diteruskan selagi hayat di kandung badan. Setiap stesen hanyalah perhentian untuk beristirahat menghilangkan lelah; disusuli secepat mungkin dengan menetapkan haluan baru pada kompas pengembaraan untuk memulakan pengembaraan baru.

5. Istiadat Konvokesyen kali ini, diadakan pada waktu negara baru menyambut perayaan ulang tahun kemerdekaan kelima puluh tujuh. Kemerdekaan negara perlu didaulatkan oleh warga yang memiliki minda merdeka – semangat merdeka. Oleh itu semangat kemerdekaan wajib diperkukuhkan oleh minda yang merdeka. Penguasaan ilmu dan penerokaan pengetahuan berupaya memperkayakan minda, membebaskan minda dan memerdekakan minda agar terlepas daripada budaya berfikiran hamba, sekali gus menyemaikan dan memperkukuhkan semangat merdeka dalam jiwa insan.

6. Insan berilmu berupaya menilai baik buruk sesuatu perkara secara rasional; insan berpengetahuan berupaya membuat pertimbangan secara objektif berasaskan fakta akan kesahihan dan kepalsuan sesuatu berita. Insan berilmu dan insan berpengetahuan tidak mudah tenggelam – tidak mudah hanyut dalam gelombang emosi. Mereka memiliki kekuatan minda untuk mengawal dorongan nafsu. Mereka akan menjadi barisan warga yang mengutamakan tanggung jawab. Mereka adalah aset utama untuk mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara bangsa.

7. Institusi Pengajian bukan gudang pencetak sijil, diploma dan ijazah. Institusi Pengajian bukan tempat melatih burung kakak tua mengulangi semula perkataan yang diajar untuk dihafal. Institusi Pengajian yang unggul adalah institusi pengajian yang berjaya melahirkan pemikir, menyemaikan hikmah di dalam jiwa raga graduan, menyuntik nilai tambah kepada ilmu dan pengetahuan serta memperkukuhkan jati diri para graduan, tegas menegakkan prinsip-prinsip kebenaran di samping berani menentang kemungkaran.

8. Setiap kejayaan adalah anugerah kurniaan ILAHI. ALLAH Subhanahu Wata’ala tidak mengurniakan kejayaan tanpa usaha. ALLAH Subhanahu Wata’ala menganjurkan manusia untuk berdoa dan memohon, tetapi doa wajib dikembarkan dengan usaha. Kejayaan saudara saudari adalah kurniaan daripada ILAHI setelah saudara saudari melakukan usaha di samping berdoa, dibantu dengan bimbingan para guru, diperkukuhkan dengan doa ibu bapa yang senantiasa mendoakan kejayaan anak-anak.

9. Jasa bakti guru dan pengorbanan ibu bapa hendaklah senantiasa dihargai. Adab orang berilmu terhadap Pencipta, guru dan ibu bapa terkandung dalam Surah Luqman, kitab Al-Quran. Ayat 12 Surah tersebut memperingatkan manusia untuk senantiasa bersyukur ke hadrat ILAHI, sementara ayat 13 melarang manusia dari mempersekutukan ALLAH. Ayat 14, menegaskan manusia untuk berbuat baik kepada dua orang ibu bapa, terutama kepada ibu yang telah mengandung dan menyusukan anak. Hargailah ibu bapa, mereka adalah sebesar-besar guru dalam kehidupan insan, limpahkan mereka dengan sepenuh kasih sayang. Ayat 18 dan 19 Surah yang sama memperingatkan manusia bahawa ALLAH tidak suka orang-orang yang sombong, angkuh dan bangga, di sebaliknya ALLAH menyeru manusia bersifat sederhana.

10. Singkaplah falsafah pengajaran yang terkandung di dalam Surah Luqman setelah ALLAH mengurniakan saudara saudari dengan kejayaan. Semoga saudara saudari terus mendapat kejayaan dunia dan keberkatan akhirat; semoga saudara saudari ditunjuk oleh ILAHI menemui jalan yang lurus[2].

11. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah secara kolektif memenuhi amanah menyempurnakan tanggung jawab untuk menghasilkan para graduan; terutamanya tenaga akademik, tenaga pengurusan dan tenaga sokongan Universiti, pelbagai institusi yang menyediakan pembiayaan dan dana kewangan, ibu bapa dan anggota keluarga yang senantiasa memberikan dorongan. Semoga segala khidmat bakti dan pengorbanan setiap seorang yang telah menabur jasa, diterima oleh ILAHI sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan dunia – keberkatan akhirat.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  1. Al-Quran: Surah Al’alaq (96: 1&2)
  2. Al-Quran: Surah Al-Faatihah (2:6)
%d bloggers like this: