Salam Sejahtera
Ketika dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu tidak mempunyai universiti. Penubuhan universiti di negara ini, bermula dengan tertubuhnya cawangan Universiti Malaya Singapura, di Kuala Lumpur, pada tahun 1959. Pada tahun 1961, Parlimen, meluluskan Akta Universiti Malaya, membolehkan Universiti Malaya ditubuhkan secara rasmi, sebagai sebuah universiti awam pada 1 Januari 1962; meletakkan Universiti Malaya sebagai institusi pengajian tinggi awam pertama, bertaraf universiti di negara ini.
- Setelah 61 tahun negara mencapai kemerdekaan, kini terdapat 483 Institusi Pengajian Tinggi; terdiri daripada 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan 53 Institusi Pengajian Tinggi Swasta bertaraf universiti, di samping 38 buah kolej universiti, sepuluh buah cawangan universiti luar negara beroperasi di Malaysia, dan 362 buah kolej swasta[1].
- Konvokesyen pertama Universiti Malaya Kuala Lumpur, yang berlangsung pada tahun 1963, menyaksikan hanya 270 orang penerima ijazah, 263 orang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda, sementara 7 orang lagi dianugerahkan Ijazah Sarjana; berbanding Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya yang berlangsung pada 20 Oktober 2018, menyaksikan 5,279 orang graduan dianugerahkan ijazah, 540 daripadanya ijazah Doktor Falsafah. Universiti Sultan Azlan Shah, pada pagi ini, akan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 1,274 orang graduan, hampir lima kali ganda lebih ramai daripada bilangan graduan Universiti Malaya pada tahun 1963.
- Angka-angka ini menunjukkan sektor pengajian tinggi, berkembang pesat sejak negara mencapai kemerdekaan. Pada hari ini, boleh dirumuskan, peratusan terbesar keluarga di Malaysia, mempunyai setidak-tidaknya seorang ahli keluarga yang telah berpeluang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi. Program pendidikan merupakan salah satu program pembangunan yang diberi fokus oleh Kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan. Program pendidikan merupakan salah satu program yang sangat berjaya menangani masalah kemiskinan. Program pendidikan juga telah berjaya melahirkan lebih ramai bilangan kelas menengah di dalam negara.
- Walaupun pada era awal kemerdekaan, negara menghadapi ancaman kegiatan militan Parti Komunis Malaya, kemudiannya menghadapi ancaman konfrontasi dari Indonesia, dan pada tahun 1969, menghadapi tragedi pertempuran kaum 13 Mei, negara tetap mengutamakan pembangunan pendidikan berbanding program pembesaran angkatan bersenjata. Sumber kewangan negara diutamakan untuk membina sekolah, maktab dan universiti daripada memperbanyakkan berek tentera, pembesaran angkatan tentera dan pembelian senjata.
- Pimpinan negara berpendirian, negara akan lebih aman dan rakyat dapat hidup dalam harmoni, sekiranya rakyat diperlengkap dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran. Pembangunan prasarana pendidikan berlaku secara pesat, dan rakyat mendapat manfaat langsung. Program pembangunan sumber manusia, sekali gus meningkatkan modal insan, modal sosial dan modal budaya, berperanan penting sebagai input membantu melonjakkan prestasi pencapaian dan kemajuan negara. Negara menuai pulangan dividen yang tinggi melalui pelaburan yang mengutamakan pembangunan sumber insan.
- Suasana negara yang aman dan hubungan harmoni antara rakyat berbilang kaum dan berbilang agama, adalah antara faktor yang membolehkan sumber dan hasil negara ditumpukan kepada sektor-sektor pembangunan yang lebih produktif, daripada digunakan untuk membesarkan pasukan keselamatan dan angkatan pertahanan. Sejak era pra merdeka, walaupun Pemerintah Inggeris melalui dasar pecah dan perintah, memisahkan masyarakat berbilang kaum, hidup secara berasingan dan terpisah, orang Melayu di desa, orang Cina di bandar, orang India di estet, namun pemisahan penempatan secara fizikal dan secara pekerjaan, tidak sama sekali menyemaikan semangat permusuhan antara kaum. Anak Melayu atau anak Cina tidak berasa khuatir untuk berbasikal dalam kawasan estet, anak India dan anak Cina tidak berasa takut untuk masuk ke kampung Melayu, begitu juga anak Melayu dan anak India tidak berasa bimbang untuk berjalan-jalan di dalam Kampung Baharu Cina. Tiga kaum utama, meskipun tinggal dalam penempatan yang terpisah, namun tidak sama sekali membina dinding pemisahan daripada jalinan kemanusiaan dan hubungan keinsanan. Tidak wujud perasaan kebencian bersuhu tinggi, tidak ada rasa curiga yang ekstrem hingga merasakan nyawa terancam, tidak ada anggapan permusuhan yang keterlaluan, hingga ke tahap mahu berbunuh-bunuhan. Generasi terawal, generasi ibu bapa kita, walaupun kurang ramai yang berpendidikan tinggi, tetapi menghargai nilai-nilai anyaman harmoni dan cukup bijaksana untuk mengelak daripada berlakunya persengketaan antara kaum – antara agama, masing-masing mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain daripada segi amalan agama – amalan budaya.
- Insan yang bijak hendaklah menjadikan alam semesta ini sebagai guru. Beberapa buah negara yang sama-sama mencapai kemerdekaan, dalam zon masa yang sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, pasca Perang Dunia Kedua, pada hari ini, terbantut pembangunannya, mundur ke belakang, terjejas kemakmurannya, disebabkan krisis yang berpunca oleh faktor-faktor konflik agama, konflik kaum dan konflik kumpulan politik. Pengalaman pahit yang berlaku di negara tertentu, wajib dijadikan teladan – dijadikan sempadan.
- Pasca Perang Dunia Kedua, melihat rakyat yang sebelumnya berada di dalam sebuah negara, dan di bawah satu pemerintahan di India, terpisah menjadi dua buah negara, dengan tertubuhnya Pakistan. Pemisahan tersebut, selanjutnya mencetuskan peperangan menuntut wilayah Jammu dan Kashmir, pada tahun 1947 ke tahun 1948, disusuli dengan proses migrasi yang berlaku secara berterusan sehingga ke tahun-tahun sembilan belas enam puluhan. Hampir dua juta jiwa terkorban berikutan keputusan pemisahan India dengan Pakistan, baik secara langsung melalui pertempuran, atau disebabkan jangkitan penyakit yang melanda penghuni di kem-kem pelarian. Dicatatkan seratus ribu orang wanita menjadi mangsa rogol, melalui tindakan membalas dendam atau yang berniat mahu menghina pihak lawan. Tujuh dekad telah berlalu, namun kecurigaan antara penduduk di dua buah negara masih berlaku. Orang-orang Islam di India dicurigai memberikan lebih kesetiaan ke Pakistan, sementara penduduk Hindu di Pakistan merasakan keselamatan mereka senantiasa terancam. Status Kashmir terus menjadi pertelingkahan, dan kedua-dua negara berlumba memperlengkapkan diri dengan senjata nuklear.
- Bangladesh Liberation War tercetus dalam bentuk konflik bersenjata dan revolusi Nasionalis Benggali, menentang apa yang mereka sifatkan genosid Benggali di Pakistan Timur yang dilakukan oleh junta tentera dari Pakistan Barat. Konflik yang berlangsung selama sembilan bulan, telah mengakibatkan sepuluh juta Benggali menjadi orang pelarian di India, 30 juta lagi terpaksa berpindah randah dari tempat ke tempat, dan tiga juta nyawa terkorban, sebelum tentera Pakistan menyerah kalah, dan Pakistan Timur mengisytiharkan negara baharu, Bangladesh yang merdeka.
- Ketika mencapai status negara merdeka pada Februari 1948, Sri Lanka, yang dikenali dengan Ceylon, dianggap antara negara baharu yang paling maju. Sri Lanka menghadapi perang saudara, antara tahun 1983 ke tahun 2009, berpunca daripada tuntutan pemisahan yang dicetuskan oleh Liberation Tigers of Tamil Eelam, sebuah pertubuhan militan. Perang saudara yang berlaku telah mengakibatkan hampir seratus ribu nyawa terkorban, tiga ratus ribu orang berstatus pelarian, meninggalkan 1.6 juta, ranjau letupan darat (land mines) di wilayah utara dan timur Sri Lanka, di samping melibatkan kos 200 bilion dolar Amerika. Sri Lanka sepatutnya hari ini berstatus negara maju, sekiranya 200 bilion dolar Amerika, tidak dibazirkan untuk membiayai perbelanjaan perang yang berpunca daripada hasutan perkauman. Barah rasisme dan cauvinisme, telah mengakibatkan kematian dan kemusnahan, yang terpaksa dibayar dengan harga yang amat tinggi oleh rakyat Sri Lanka, yang menjadi mangsa persengketaan politik. Sri Lanka turut menanggung kos melepas (opportunity cost), disebabkan kurang kecenderungan pelaburan di negaranya, begitu juga kehilangan pelancong yang pada umumnya memilih tidak akan berkunjung ke tempat yang dianggap tidak selamat. Kini konflik antara agama mengambil dimensi baharu di Sri Lanka dengan diskriminasi dan penindasan yang dilakukan terhadap umat Islam.
- Konflik berasaskan kaum, agama, mazhab dan kumpulan politik yang berlaku di Rwanda, di Bosnia, di Iraq, di Iran, di Yemen, di Myanmar, di China, di Kampuchea, di Israel dan di banyak negara lagi dalam tempoh satu abad yang lalu, telah mengakibatkan kematian lebih 62 juta orang manusia.[2]
- Warga Malaysia, terutama yang diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai pemimpin, hendaklah tidak menjadi dalang, melakukan provokasi, yang boleh menyalakan puntung kebencian, antara warga berbilang kaum, dan api permusuhan, antara warga berbilang agama di negara ini.
- Amatlah mendukacitakan, satu suasana harmoni yang begitu berharga, yang telah sekian lama merupakan budaya hidup yang diamalkan oleh majoriti rakyat di negara ini, kini mahu dimusnahkan, semata-mata disebabkan persaingan politik; berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam. Sebaliknya pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan ILAHI secara terhormat.
- Ada negara yang menghadapi konflik hingga hancur musnah kerana perselisihan yang berpunca daripada perbezaan mazhab, ada yang disebabkan kerana berlainan agama, ada yang berkonflik kerana kelainan kaum, ada yang berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah, dan ada yang berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik. Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik. Namun para pemimpin terdahulu, memilih untuk tidak berkonflik. Para pemimpin yang mengasaskan negara merdeka ini, memilih untuk menerokai titik persamaan dan menyuburkan semangat bekerjasama. Kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah (wisdom) membangunkan sebuah negara yang rakyatnya berjaya disatukan, hendaklah terus kita pupuk, agar kita juga dapat mewariskan, sebuah negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur kepada generasi akan datang.
- Para graduan yang telah ditambah mindanya dengan pengetahuan, hendaklah menggunakan pengetahuan tersebut untuk menjadi warga berilmu; warga berilmu yang berfikiran rasional, warga berilmu yang tidak mudah diracuni minda untuk terlibat mencetuskan persengketaan berdasarkan emosi, warga berilmu yang arif mengelakkan diri daripada diperalatkan untuk memenuhi nafsu orang-orang yang berfikiran cetek, juga orang-orang yang tidak berwawasan jauh.
- Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan, begitu juga menzahirkan penghargaan kepada anggota keluarga yang berada di belakang kejayaan para graduan. Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada setiap warga USAS, Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan anggota akademik, begitu juga kepada staf pengurusan dan kakitangan sokongan yang telah memberikan komitmen, terus meningkatkan kejayaan USAS. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan setiap kita dengan petunjuk dan rahmat agar menemui jalan yang lurus,
[1] Sumber: Bahagian Governan Kementerian Pendidikan Malaysia.
[2] Bhavani Krishna Iyer, “Let racism be a thing of the past”, THE SUN, 27.11.2018, page 8.