Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kesepuluh

Dengan izin dan rahmat ILAHI, Istiadat Konvokesyen kali kesepuluh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dapat berlangsung pada hari ini.  Sehingga istiadat Konvokesyen Kesembilan pada tahun 2016, seramai 2,252 graduan telah menerima diploma daripada institusi ini. Istiadat Konvokesyen kali kesepuluh, mencipta sejarah baru.  Buat pertama kalinya, USAS akan menganugerahkan graduan dengan ijazah, 41 ijazah Sarjana dan 17 ijazah Sarjana Muda, bersama 785 penerima diploma.

 

  1. Bermula daripada sebuah kolej, dinaiktaraf kepada kolej universiti dan seterusnya bertaraf universiti, USAS terus melangkah maju. Jumlah pelajar kini meningkat kepada 6,089 orang, 121 daripadanya sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah, dan 225 mengikuti pengajian peringkat Sarjana.  Pencapaian berbentuk kuantitatif pastinya menghampar cabaran besar terhadap kawalan kualiti.

 

  1. Universiti adalah satu perkampungan ilmu yang menghimpunkan anggota masyarakat terpelajar. Penubuhan universiti telah melalui proses yang panjang, diistilahkan pada era permulaannya, sebagai komuniti Masters and Scholars atau dikenali sebagai Scholastic Guilds di pelbagai Kingdom di Eropah.  Universiti pada peringkat awalnya, bukan ruang fizikal berbentuk sebuah kampus seperti yang difahami pada hari ini, tetapi adalah himpunan individu yang terikat sebagai universitas, perkataan Latin, bermaksud alam semesta keseluruhannya; mengiktiraf segolongan komuniti yang berusaha untuk bijak ilmu, serta berpegang kuat kepada kod integriti.

 

  1. Universiti kemudiannya berwajah baru, dibangunkan dalam kawasan kampus yang menjadi perkampungan kepada anggota masyarakat yang berhasrat mendalami ilmu. Urusan utama sesebuah universiti adalah untuk menjana, memulihara dan memindahkan ilmu.  Reputasi kegemilangan sesebuah universiti tidak ditentukan semata-mata oleh bilangan siswazah yang berjaya dihasilkan, tetapi lebih dipengaruhi dari sudut kualiti siswazah yang dihasilkan; ia itu siswazah yang berwibawa serta berintegriti, siswazah yang memiliki daya analisis, pemikiran kritikal, serta berpegang kepada prinsip yang berteraskan fakta, tegas lagi berani menyatakan kebenaran.  Pihak berkuasa universiti ada tanggungjawab dan akauntabiliti dari sudut legal dan moral untuk menjamin kredibiliti sesebuah institusi ilmu yang bergelar universiti.

 

  1. Dunia akademik berkembang pesat apabila usaha mendapatkan ilmu tidak lagi disebabkan semata-mata kerana faktor cintakan ilmu dan kecintaan untuk menyebar ilmu; tetapi ilmu semakin dilihat sebagai tangga untuk mencapai status sosial dan status ekonomi yang lebih tinggi. Permintaan untuk mendapatkan tempat pengajian di universiti terus meningkat lalu membuka ruang kepada para usahawan untuk menubuhkan universiti-universiti swasta.  Universiti kini telah berkembang sebagai satu industri di dalam bidang pendidikan, dan ada yang ditubuhkan dengan tujuan komersial, beroperasi sebagai entiti perniagaan untuk meraih keuntungan.

 

  1. Perkembangan yang sedang berlaku, semestinya mencetuskan kebimbangan kepada para ilmuwan tulen yang amat menghargai ilmu kerana ilmu, terutama daripada sudut nilai, keaslian dan kesahihan. Ilmuwan tulen amat bimbang akan kemungkinan berlakunya pencemaran kepada dunia ilmu, terutama di dalam universiti yang bertanggungjawab sebagai kustodian atau pemelihara ilmu.  Ilmuwan tulen amat prihatin dan amat bimbang tentang ancaman yang berpotensi menghakis kehormatan masyarakat kepada institusi ilmu yang dikenali sebagai universiti.

 

  1. Kebelakangan ini, perbuatan plagiarisme atau penjiplakan semakin banyak dilaporkan berlaku. Di Jerman, mantan Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Parlimen Eropah, meletakkan jawatan selepas mereka dikesan memplagiat di dalam disertasi ijazah Doktor Falsafah masing-masing.  Di United Kingdom, seorang pendaftar universiti dikenakan hukuman penjara setelah didapati menjual ijazah palsu kepada seorang wanita Afrika sebagai imbalan untuk memuaskan nafsunya; sementara itu, London School of Economics terpaksa menangani dakwaan plagiarisme di dalam tesis PhD, Saif el-Islam Gaddafi, anak kedua Muammar Gaddafi.  Di Pakistan, lebih daripada seratus empat puluh orang penggubal undang-undang di dapati bersalah kerana memiliki ijazah palsu.

 

  1. Plagiarisme semakin membentangkan cabaran kepada dunia pendidikan setelah bermulanya World Wide Web, dengan maklumat tersangat mudah diperoleh secara elektronik melalui Internet.[1] Pada masa ini, maklumat begitu mudah disalin, ditiru dan ditampal dalam kerja kursus dan laporan yang disediakan oleh para pelajar.  Dengan berbilion jumlah bahan yang terkandung di dalam Internet, adalah amat menyulitkan warga akademik untuk dapat menyemak sepenuhnya kesahihan dan keaslian kerja kursus dan bahan penyelidikan yang dihasilkan oleh para pelajar di bawah pengawasan mereka, apatah lagi jika jumlah pelajar begitu ramai, dan nisbah pelajar – pengajar begitu tinggi.

 

  1. Plagiarisme adalah satu jenayah akademik, satu perilaku mungkar terhadap ilmu dan para ilmuwan, yang wajib ditangani secara tegas. Plagiarisme  wajib diberikan perhatian serius dan lebih wajib diformulasikan kaedah pemantauan yang berkesan demi memastikan integriti dan kredibiliti sesebuah universiti terus terpelihara.  Barang dijauhkan ILAHI nama baik USAS daripada tercemar dengan perbuatan plagiarisme, baik di kalangan pelajar, lebih-lebih lagi di kalangan warga akademik.

 

  1. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya memenuhi keperluan akademik masing-masing dan layak dianugerahkan ijazah dan diploma pada hari ini. Dalam kegembiraan merayakan kejayaan ini, hargailah jasa kedua ibu bapa dan para guru; laksanakan penghargaan tersebut walau berbentuk sepatah ungkapan terima kasih, atau satu dakapan yang penuh kasih, atau satu bacaan surah Al-Fatihah kepada roh mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.  Jadikan pedoman akan kata-kata hikmat  Imam Al-Ghazali, bahawa ibu bapa kita adalah guru pertama di dalam hidup kita, sementara para guru adalah ibu bapa kedua kita.  Pada saat merayakan kejayaan ini, kenangilah waktu-waktu indah yang dilalui ketika menimba ilmu di kampus USAS, pengetahuan yang diperoleh di dalam ruang kuliah dan pengalaman yang ditimba di luar dewan kuliah.  Buktikan rasa terima kasih, daripada hati yang penuh ikhlas, dengan azam untuk mewakafkan kepada Tabung USAS sebahagian kecil rezeki yang diperoleh, walau bermula hanya dengan satu ringgit setiap tahun, agar rezeki bertambah berkat.

 

  1. Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir, berbekalkan pengalaman sebagai seorang ahli akademik sebelum ini, telah berjaya memberikan pimpinan berwawasan kepada USAS; latar belakang beliau, daripada seorang anak nelayan di Pulau Pangkor, yang telah berjaya membina modal intelek, modal sosial dan modal budaya melalui bidang pelajaran, menjadikan beliau seorang pemimpin yang peka lagi prihatin, mahu menyediakan kemudahan pelajaran kepada seramai mungkin anak-anak pelajar dengan yuran yang berpatutan; atas kapasiti sebagai Menteri Besar, beliau telah meluluskan dana kewangan yang besar daripada Kerajaan Beta untuk membiayai operasi USAS. Beta menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah, Naib Canselor dan warga akademik, serta tenaga pengurusan dan tenaga sokongan universiti, yang berkhidmat dengan penuh komitmen, mendukung wawasan besar untuk memastikan kejayaan USAS.

 

Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala menunjukkan setiap kita ke jalan yang lurus,

Ihdinas Sirotal Mustaqim;

 

 

[1] Tshepo Batane, “Turning to Turnitin to Fight Plagiarism among University Students, Educational Technology & Society, 13(2), 2010, 1-12.

%d bloggers like this: