Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH yang Maha Esa, tiada sekutu bagi NYA. Maha Suci ALLAH dan puji-pujian berterusan bagi NYA. Maha Suci ALLAH yang memiliki Kerajaan langit dan bumi. Kepada Mu jua hamba-Mu memohon perlindungan; kepada Mu jua hamba-Mu mohon pedoman. Dengan ingatan yang bening – dengan hati yang hening, Hamba-Mu melafazkan setulus kalimah kesyukuran atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, membolehkan istiadat menyambut hari ulang tahun keputeraan kali kelapan puluh tiga, Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dapat dilangsungkan.

2. Bahawa, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam itu adalah Rasul Junjungan, penghulu kami, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.

Ya Rafi’udd Darajat

Daulat Tuanku Syah Alam.

3. Menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam dengan penuh daulat dan darjat, kebesaran dan kemuliaan di atas singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

4. Ya-AZIM, Ya-AZIZ, Ya-MALIK, Ya-WALI, dengan berkat keagungan nama-nama Mu, dipohon kurnia dari Mu, agar Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa berada dalam keafiatan, dikurniakan kearifan – dikurniakan kebestarian, berjaya menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin, memayungi negeri – menaungi warga, secara adil – secara bijaksana.

Ampun Tuanku

5. Institusi Raja adalah payung negeri. Paduka Anakanda mengikuti akan dinamik politik yang sedang berlaku di bumi ini. Paduka Anakanda berpandangan adalah penting untuk Institusi Raja berpendirian tegas memastikan takhta kekal berada di atas politik. Tugas tersebut bukanlah ringan; ia memerlukan kearifan dan hikmah, pengalaman dan kedewasaan. Tugas tersebut bertambah mencabar dalam menghadapi demografi warga yang berlatar belakangkan pelbagai kaum – pelbagai agama; ditambah pula dengan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi. Pada hari ini, pemahaman warga terhadap Institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai relevansinya, ada pula yang kabur akan peranannya.

6. Paduka Anakanda turut mengikuti krisis kepimpinan yang sedang berlaku di beberapa negara di Asia Barat ketika ini. Di antara negara-negara tersebut, ada yang mengamalkan sistem Republik sementara ada yang di bawah naungan Raja. Negara-negara Mesir, Yaman, Tunisia dan Libya, di satu masa lalu, memiliki Institusi Raja. Kemudiannya, Raja di negara-negara tersebut digulingkan kerana dianggap gagal melaksanakan pemerintahan secara baik. Hari ini, di kalangan pemimpin yang menghadapi desakan rakyat untuk berundur di negara-negara tertentu, bukan lagi dari kalangan Raja. Malah ada di kalangan mereka yang pada hari ini didesak untuk berundur, pernah terlibat baik secara langsung atau tidak langsung melakukan rampasan kuasa menggulingkan Raja di suatu masa dahulu.

7. Pada hemat Paduka Anakanda, Raja Pemerintah itu terdiri dari rangkaian institusi dan individu. Kesilapan individu boleh dilakukan oleh Raja dan boleh dilakukan oleh pemimpin dari kalangan bukan Raja. Sejarah mencatatkan apabila kesilapan individu itu dilakukan oleh seorang Raja, maka bukan sahaja Raja secara individu dihukum untuk berundur, tetapi Raja sebagai institusi pemerintahan turut dihapuskan. Sejarah juga merakamkan, betapa ketidakadilan masih berlaku meskipun pemerintahan di bawah naungan Raja, telah dihapuskan.

8. Pada hemat Paduka Anakanda, para pengasas kemerdekaan negara ini telah mendapat petunjuk ILAHI, dengan wawasan bijak membentuk Kerajaan Merdeka di bawah naungan Raja Berperlembagaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggung jawab Raja Pemerintah untuk memperlihatkan kepada warga akan relevansi Institusi Raja, terutama dalam memenuhi peranan semak dan imbang dalam urus tadbir kerajaan yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

9. Pada masa ini, dari jumlah 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya empat puluh tiga (43) negara masih mempunyai Institusi Raja; Enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, empat (4) sistem Raja Separa Autonomi, dan tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja Secara Mutlak. The Economist Intelligence Unit Democracy Index mencatatkan: tujuh dari sepuluh negara di tangga teratas yang mengamalkan demokrasi sepenuhnya adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan[1]; sementara penemuan Transparency International’s Corruption Perception Index mencatatkan tujuh dari sepuluh negara yang berada di tangga terbaik adalah negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan[2]. Sebelas dari dua puluh negara dalam UNDP Human Development Index yang berada di tangga teratas, adalah negara-negara yang mempunyai Institusi Raja Berperlembagaan[3], dan sembilan dari dua puluh negara di tangga teratas mengikut yang dikategorikan oleh Heritage Foundation’s Index of Economic Freedom memiliki Institusi Raja Berperlembagaan[4].

10. Dalam tempoh dua puluh tujuh tahun bersemayam di takhta Kerajaan Negeri, Paduka Seri Ayahanda telah membuktikan peranan relevan yang boleh disempurnakan oleh Raja di era moden. Paduka Seri Ayahanda telah memberikan teladan bahawa Raja berperanan untuk menstabilkan warga, mempertahankan integriti negara dan meneruskan kesinambungan negara bangsa. Dalam negara yang berpegang kepada doktrin pemisahan kuasa, antara kuasa legislatif, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman, Paduka Seri Ayahanda telah memberikan panduan betapa penting bagi Raja Pemerintah berada di atas ketiga-ketiga cabang kerajaan tersebut. Di mana sesuai dan ketika diperlukan, Paduka Seri Ayahanda telah secara arif, bertindak sebagai penimbang tara kepada sebarang konflik yang timbul. Dapatlah dirumuskan bahawa Paduka Seri Ayahanda dalam menyempurnakan amanah membuktikan bahawa Raja yang berdaulat, meskipun tidak memiliki kuasa eksekutif, tetap berupaya menyempurnakan peranan secara berkesan.

11. Pada hemat Paduka Anakanda, dalam suasana dinamik politik yang sedang berlaku ketika ini, Institusi Raja sedang melalui satu lagi evolusi. Paduka Anakanda yakin bahawa dengan pengalaman dan hikmah Paduka Seri Ayahanda, bersama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Institusi Raja di bumi ini, akan menemui paksi baru untuk melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah.

12. Demikian tanggung jawab dan demikian ujian yang sedang Paduka Seri Ayahanda hadapi. Paduka Anakanda amat memahami tanggung jawab dan ujian yang sedang Paduka Seri Ayahanda hadapi untuk memastikan kelangsungan institusi dan memastikan kestabilan negeri. Di istiadat ini, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar penuh taat – penuh setia, mendukung bersama beban tugas yang sedang digalas di bahu Paduka Seri Ayahanda; di samping setiap seorang bertekad dan sekaliannya berazam seia – sekata, cekal mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Melayu dari sebarang tindakan menghina apatah lagi sebarang usaha yang mahu meruntuhkan sistem berkerajaan dan bernegara yang telah lama berakar di bumi ini.

13. Ya-GHAFFAR, Ya-LATIF, Ya-QAYYUM, Ya-WAHID, Hamba Mu sekali lagi memohon ihsan dari Mu, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun terus berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku Syah Alam

Wabillahitaufik, walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar.

19. 4. 2011

  1. The Economist Intelligence Unit, “Democracy Index 2010 – Democracy in Retreat”, www.eiu.com/democracy.
  2. Transparency International, “Corruption Perception Index 2010, http://www.tranparency.org/policy research/surveys indices/cpi/2010/results
  3. UNDP, “Human Develoopment Report 2010 – The Real Wealth of Nations: Pathways to Human Development”, http://hdr.undp.org/en/report/global/hdr2010/
  4. The Heritage Foundation, “2011 Index Econ0mic Freedom-Promoting Economic Opportunities & Prosperity” http://www.heritage.org/index/
%d bloggers like this: