Salam Sejahtera
Maka bagi ALLAH jualah segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Tuhan sekalian alam. Dan bagi Nya keagungan di langit dan di bumi…;[1] Dialah yang menurunkan As-Sakinah, ketenteraman ke dalam hati orang yang beriman, agar mereka bertambah iman …, milik ALLAH tentera langit dan bumi, dan ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.[2] Oleh yang demikian, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhan Mu Yang Maha Besar.[3]
Ya Malik, Ya Muhaymin, Ya Mutakabbir, Ya Fattah,
- Dengan kebesaran Asmaul Husna, sifat-sifat mulia Mu, hamba-Mu melafazkan kalimah syukur atas anugerah rahmat Mu, memungkinkan hamba-Mu menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-62. Dengan ihsan Mu jua, hamba-Mu dianugerahkan keafiatan, dikurniakan darjat – dikurniakan daulat, bersemayam di takhta pemerintahan. Dengan rahmat Mu, negeri Perak Darul Ridzuan berada dalam keadaan aman lagi sentosa, makmur lagi sejahtera. Dipohonkan daripada Mu, Ya ALLAH akan hidayah, membolehkan hamba-Mu yang serba daif ini, menyempurnakan sebaik mungkin amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Amirulmukminin. Dipohonkan petunjuk daripada Mu jua, Ya ALLAH, agar hamba-Mu diperlengkap dengan para wazir, pembesar, ulama dan umara yang bersifat amanah lagi beriman, jujur lagi ikhlas, berilmu lagi berpengetahuan, berani menyembahkan seelok nasihat – secantik pandangan, agar hamba-Mu berupaya melaksanakan pemerintahan secara adil – secara saksama, berteraskan hukum – bersendikan adat. Lindungilah hamba-Mu ini Ya ALLAH, daripada terseret bersubahat, dengan sebarang salah laku para wazir, para pembesar, para ulama dan para umara.
- Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar. Istiadat sambutan ulang tahun hari keputeraan Raja Pemerintah, telah diwarisi sejak zaman berzaman. Istiadat yang dilangsungkan ini, melambangkan citra mendaulatkan institusi raja, satu perlanjutan adat – satu kesinambungan budaya, kekal dihidupkan dalam era modenisasi; betapa keindahan adat – betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa, sekali gus mengekalkan identiti pemerintahan, negeri beraja – rakyat bersultan. Adat bernegara, dan budaya berkerajaan berpayungkan Raja, adalah sebahagian daripada adat – sebahagian daripada budaya bernegara dan berkerajaan, yang telah sekian lama berakar di bumi ini, diwarisi, dan kekal diterima oleh warga daripada pelbagai kaum – pelbagai agama.
- Angkatan pemimpin pada era pra-merdeka, berfikiran dalam – berpandangan jauh, memahami dan menghargai sejarah berkerajaan di bumi ini, lalu mengiktiraf peranan Raja-raja yang telah mengasaskan pembentukan negeri-negeri Melayu. Ketika merangka formula membentuk sebuah negara merdeka, Raja-raja Melayu tidak dipinggirkan, malah dilibatkan secara aktif dalam perundingan-perundingan, mencapai kata sepakat untuk penubuhan sebuah negara merdeka, dinamakan Persekutuan Tanah Melayu; sebuah negara baharu, dibina dengan sistem pemerintahan berteraskan doktrin raja berperlembagaan – demokrasi berparlimen. Kuasa raja dan suara rakyat digabung dan diimbang, memperkukuhkan hubungan Raja dan rakyat, selaras dengan semangat permuafakatan yang telah lama terpahat, di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Institusi Raja, dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Merdeka. Institusi Raja didaulatkan, ditempatkan di puncak pemerintahan kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, memastikan berlakunya keadilan dalam pemerintahan, berperanan sebagai penimbang tara, menyemak dan mengimbang, peranan tiga cabang utama kerajaan, ia itu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman; di samping menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan semua warga, yang terdiri daripada pelbagai kaum – menganut pelbagai agama – mengamalkan pelbagai budaya – menguasai pelbagai bahasa.
- Tahun 2018, mencatat sejarah baharu kepada negara yang mencecah 61 tahun usia kemerdekaan. Negara dihampar dengan senario politik baharu, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Majoriti pengundi membuat pilihan menukar kerajaan, di peringkat Persekutuan, demikian juga di kebanyakan negeri. BARISAN NASIONAL, kesinambungan PARTI PERIKATAN, yang mendapat sokongan majoriti rakyat sejak Pilihan Raya 1955, menghadapi defisit keyakinan, lalu kehilangan kuasa. Keputusan PRU 14 mencetuskan kejutan; ketewasan yang sukar dipercayai dalam kalangan pemimpin BARISAN NASIONAL, begitu juga kejayaan di luar jangkaan dalam kalangan pemimpin PAKATAN HARAPAN. Keadaan ketidaktentuan (uncertainty) dalam tempoh 24 jam pertama pasca PRU 14, ditenangkan sebaik sahaja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berpandukan Perlembagaan Persekutuan, memperkenankan Perdana Menteri Malaysia Ketujuh, mengangkat sumpah jawatan, pada malam 10 Mei 2018. Di peringkat negeri, Raja Pemerintah, telah menyempurnakan peranan berlandaskan Perlembagaan Negeri masing-masing, menghormati keputusan majoriti pengundi, dengan memperkenankan lantikan Ketua Kerajaan dan penubuhan Kerajaan.
- Alhamdulillah, peralihan kuasa terlaksana secara aman. Peralihan kuasa terlaksana secara aman, kerana sifat dan jiwa besar pimpinan politik, terutama mereka yang berada di pihak yang tewas, memilih tidak mencetuskan huru-hara, dan tidak melakukan tindakan-tindakan yang boleh menghalang proses peralihan kuasa berjalan secara bertamadun; di sebaliknya, meskipun pahit untuk dimamah, para pemimpin BARISAN NASIONAL menerima realiti keputusan rakyat; sementara pihak yang berjaya mendapat kuasa, menyambut kemenangan dalam semangat syukur, tidak bersifat takbur, dan mengelak melakukan perkara-perkara berunsur provokatif.
- Pemimpin dan rakyat negara ini, berjaya membuktikan kepada dunia, bahawa amalan demokrasi di Malaysia telah sampai usia matang. Semoga pohon demokrasi akan terus berakar kukuh – berdahan rendang. Semoga budaya politik dua-parti akan disuburkan di dalam negara ini, beroperasi dan berfungsi secara konstruktif, agar rakyat mempunyai opsyen semasa berlangsungnya pilihan raya, sama ada, mahu terus mengekal atau menukar sesebuah kerajaan, berdasarkan prestasi.
- Demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera, para pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat. Budaya politik pasca 61 tahun merdeka, menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu. Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan atau lebih Iban; begitu juga persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan. Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar. Rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan. Belajarlah daripada kesilapan mereka yang terdahulu. Amat hampalah rakyat, jika pilihan yang baharu, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk.
- Rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, pemimpin yang lebih amanah. Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak – tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik; rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender – kesaksamaan kaum – kesaksamaan agama – kesaksamaan wilayah; rakyat mengimpikan perkhidmatan-perkhidmatan sosial yang penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, kemudahan pengangkutan awam yang meringankan tanggungan perbelanjaan, serta program perumahan mampu milik yang dilengkapi dengan kemudahan rekreasi dan sosial; dan rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni – saling menghormati – saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum. Kerajaan yang menjadi pilihan rakyat dan kerajaan yang akan terus mendapat sokongan rakyat ialah kerajaan yang dapat memenuhi impian dan hasrat majoriti rakyat.
- Dinamik politik yang sedang berlaku, menuntut kepada budaya ketelusan dan keterbukaan. Oleh itu, teramat penting untuk takhta mentafsir dinamik yang sedang berlaku secara bijaksana lagi tepat, selanjutnya melakarkan ruang peranan dan menetapkan paksi baharu, yang lebih bertepatan dalam era yang sudah berubah. Takhta, bertanggungjawab memberikan naungan saksama kepada setiap warga yang memperlihatkan semangat kesetiaan kepada Raja dan negara, ia itu warga yang menghayati semangat ‘di mana bumi dipijak – di situ langit dijunjung’.
- Takhta perlu menghargai harapan tinggi rakyat yang memohon agar takhta berperanan sebagai penimbang tara, secara adil – secara saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian. Takhta perlu bertenaga, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan, memenuhi harapan rakyat, sebagai pemangkin, mengharmonikan hubungan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Peranan takhta sebagai payung penyatuan dalam kepelbagaian perlu difahami, dilaksanakan dan kelihatan dilaksanakan. Takhta juga wajib memperlihatkan sebaik contoh dalam memenuhi amanah ILAHI, dan dalam memenuhi harapan rakyat, agar kemuliaan takhta tidak tercemar, dan kedaulatan Raja tidak dipersenda.
- Takhta ialah sebuah institusi pemerintahan. Keberkesanan sesebuah pemerintahan memerlukan tanggungjawab yang dilaksanakan secara bersama dalam semangat berat sama dipikul – gunung sama didaki – laut sama diselami; air jernih jangan keruhkan – susu jangan dititik nila. Sembahkan nasihat yang benar secara ikhlas, jujur lagi bertanggungjawab kepada Raja Pemerintah. Jangan Raja Pemerintah dikhayalkan dengan cerita-cerita penghibur telinga – penyedap hati, hingga Raja berada dalam alam tersendiri, jauh daripada realiti, lalu tidak lagi dikasihi dan dimuliakan oleh rakyat. Untuk itu, tanggungjawab berat ini, insya-Allah dapat diringankan dengan adanya semangat nasihat menasihati, bantu-membantu dan saling memelihara nama baik dan kemuliaan takhta, melalui peranan bersama Raja Muda, Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, ahli Dewan Negara dan Orang Besar negeri.
- Begitu juga seruan Beta kepada Menteri Besar berserta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, agar kepercayaan Beta, dan amanah rakyat tidak dikecewakan. Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil lagi saksama berlandaskan undang-undang, hendaklah direalisasikan secara bersama oleh ahli-ahli Dewan Negeri, para hakim, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera. Demikian jua seruan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.
- YA SAMI’, YA BASIR, YA HAFIZ, YA HADI hamba-Mu ini, memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah dalam jiwa hamba-Mu ini, untuk melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, memiliki ketegasan menegakkan yang makruf – memiliki keberanian mencegah yang mungkar. Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan daripada Mu jua, dan dilimpahi segala keberkatan fid-dunia wal akhirat.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar
4.11.2018
[1] Al-Quran,Al-Jaathiyah (45:36 dan 37)
[2] Al-Quran, Al-Fath (48:4)
[3] Al-Quran, Al-Waqiah (56:74)
In the News:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/11/04/sultan-nazrin-learn-of-mistake-of-previous-government/