Maka bagi ALLAH jualah segala pujian. …Dan (ingatlah) Allah memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya; Allah Maha Luas pemberian Nya lagi Maha Mengetahui.[1] Dan Dialah Yang Berkuasa atas sekalian hamba Nya (dengan tadbir dan takdir) dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.[2] Dialah Allah Yang Menciptakan sekalian makhluk, Yang Mengadakan (daripada tiada kepada yang ada), Yang Membentuk rupa (makhluk Nya menurut yang dikehendaki Nya), bagi Nya nama-nama yang paling baik dan mulia, segala yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.[3] Maka, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhan Mu Yang Maha Besar.[4]
YA MALIK, YA QAHHAR, YA HAKAM, YA AZIM,
2. Dengan kebesaran Asmaul Husna, sifat-sifat mulia Mu, hamba-Mu melafazkan kalimah syukur atas anugerah rahmat Mu, memungkinkan hamba-Mu menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-67. Dengan ihsan Mu jua, hamba-Mu dianugerahkan keafiatan, dikurniakan darjat – dilimpahi daulat, bersemayam di takhta pemerintahan. Dengan rahmat Mu, negeri Perak Darul Ridzuan berada dalam keadaan sentosa lagi sejahtera.
3. Dipohonkan daripada Mu Ya Allah, agar lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Raja Muda, dan ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar, menyuntikkan tenaga dan meningkatkan ketabahan, mengupayakan hamba-Mu yang serba daif ini, menyempurnakan sebaik mungkin tanggungjawab fardu kifayah yang diamanahkan sebagai Amirulmukminin. Lengkapkan hamba-Mu ini, dengan para wazir, pembesar, ulama dan umara yang amanah lagi beriman, jujur lagi ikhlas, berilmu lagi berpengetahuan, cekal menyembahkan sebaik nasihat – secantik pandangan, agar hamba-Mu berupaya melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, berteraskan hukum – bersendikan adat. Lindungilah hamba-Mu ini Ya ALLAH, daripada terseret bersubahat, dengan sebarang muslihat, khilaf dan salah laku para wazir, para pembesar, para ulama dan para umara.
4. Institusi raja berperlembagaan diperkenalkan di bumi ini ketika Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat pada 31 Ogos 1957. Kuasa mutlak pemerintahan beraja dikongsi bersama rakyat menerusi gagasan demokrasi berparlimen. Institusi raja berperlembagaan baharu mencecah usia 66 tahun. Dalam usia muda tersebut, institusi raja berperlembagaan telah membuktikan kematangan, kedewasaan serta kebijaksanaan, berjaya menangani pelbagai ujian, mengharungi perairan yang belum dipetakan, dan merungkai kekusutan yang tidak ada duluan.
5. Dalam sejarah demokrasi Malaysia, keputusan Pilihan Raya Umum Kelima Belas yang berlangsung pada 19 November 2022, menyaksikan buat pertama kalinya Parlimen Malaysia tergantung, disebabkan tiada gabungan politik boleh menubuhkan kerajaan. Ketika suasana politik negara dilambung gelombang ketidaktentuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempamerkan kebijaksanaan, membantu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan menzahirkan titah nasihat pada 22 November untuk dibentuk kerajaan perpaduan. Kuasa muktamad baginda telah membolehkan Perdana Menteri kesepuluh mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 dan selanjutnya membentuk kerajaan baharu. Takhta juga berperanan membolehkan kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan ditubuhkan tiga hari pasca pilihan raya dalam keadaan Dewan Negeri tergantung.
6. Nyatalah Raja berperlembagaan telah memenuhi keperluan perlembagaan dan perundangan secara simbolik – secara fungsi; bertanggungjawab memastikan Perlembagaan diluhurkan dan undang-undang didaulatkan. Raja Pemerintah terbukti berperanan sebagai kunci kestabilan negara dengan mencipta formula berimbang yang memanfaatkan institusi raja, kerajaan, rakyat dan negara, lantas menghalang bertapaknya sebarang fahaman politik ekstrem yang berhaluan kiri atau kanan. Ternyata Raja berperlembagaan tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja – rakyat bersultan, tetapi merupakan institusi yang mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara, berupaya menggunakan budi bicara, memberi kata putus ketika negara menemui jalan buntu.
7. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan. Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbolik, berbentuk hiasan atau ceremonial, sebaliknya menjadi pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara.
8. Al-Sultan Abdullah Ra’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat yang tidak ada duluan ketika baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI. Baginda berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri, di samping memperkenankan lantikan tiga orang Perdana Menteri. Dalam tempoh pemerintahan baginda, dunia dilanda wabak Covid-19, yang memerlukan rakyat di negara ini dikenakan perintah kawalan pergerakan. Ketika berhadapan isu-isu penting negara, Baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput Raja Pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat dalam semangat gunung sama didaki – berat sama dipikul.
9. Baginda telah membuktikan Raja Pemerintah bukan simbol perpaduan yang abstrak tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat yang hidup, antara rakyat, negara dan takhta; yang baginda buktikan semasa baginda bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menjayakan program ‘Kembara Kenali Borneo’, bercemar duli berangkat mengadakan lawatan ke Sabah dan Sarawak selama 11 hari, pada 3 hingga 13 September 2023. Rakyat daripada pelbagai lapisan hidup berpanas-berhujan, membuktikan rasa kasih dan taat setia, menyambut keberangkatan baginda. Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia. Sifat baginda berdua menyantuni rakyat, bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuhkan hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja. Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024. Atas nama takhta, dan bagi pihak kerajaan dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan, Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Al-Sultan Abdullah begitu juga kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan baginda berdua, mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong. Semoga baginda berdua dilimpahi rahmat Ilahi dalam keadaan keafiatan; semoga segala amal yang disempurnakan, dikurniakan Ilahi ganjaran dunia – ganjaran akhirat.
10. Majlis Raja-Raja ditubuhkan pada tahun 1948, menggantikan Mesyuarat Durbar yang ditubuhkan pada 1 Julai 1896. Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Suffian Mohamed Hashim (Allahyarham) menyifatkan Majlis Raja-Raja sebagai perhimpunan paling luhur dalam negara kita. Majlis Raja-Raja menjadi lebih luhur dan penting, apabila Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI, sering kali berkenan merujuk pandangan Raja-Raja apabila baginda perlu membuat keputusan penting pada saat genting, meletakkan Raja-Raja, juga Majlis Raja-Raja berperanan menjadi institusi penyelamat dalam merungkai kekusutan yang tersimpul mati, yang di luar keupayaan penyelesaian oleh institusi-institusi perundangan, kehakiman dan eksekutif.
11. Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 pada pagi Jumaat, 12 Rabiulakhir 1445 Hijrah, bersamaan 27 Oktober 2023 Masihi, telah mengisytiharkan Sultan Johor Darul Takzim, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII berkuat kuasa 31 Januari 2024. Berasaskan pengalaman dan keprihatinan baginda terhadap rakyat jelata, dipercayai Sultan Ibrahim berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan. Pendirian tegas dan konsisten baginda mengenai rakyat negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, serta pendirian baginda yang menolak amalan perkauman dan mementingkan amalan toleransi antara kaum dan kebebasan agama lain, pastinya memberikan jaminan dan keselesaan, bahawa rakyat pelbagai kaum dan pelbagai agama akan diberikan perlindungan dan layanan secara adil – secara saksama. Semoga baginda dilimpahi nur dan petunjuk Ilahi, meneruskan kesinambungan institusi Yang di-Pertuan Agong yang selama ini menjadi pelindung amalan demokrasi, tiang seri keharmonian rakyat dan nadi perpaduan negara, serta mempertemukan pemimpin dan rakyat jalan lurus yang mendapat keredaan Ilahi.
12. Dunia kini sedang sakit dan dibimbangkan berkemungkinan menjadi tenat, jika krisis persaingan dan pergolakan terus berlaku, sedangkan keganasan serta malapetaka kemanusiaan gagal dibendung. Amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat bumi Palestin akibat perbuatan zalim Rejim Zionis Israel yang kita tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia. Penderitaan yang dialami oleh insan-insan tidak berdosa di bumi Palestin mengembalikan ingatan kepada kata dua yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi,
“The strong do what they can and the weak suffer what they must”.
Penduduk Pulau Melos yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri telah dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh, dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba.
13. Sikap yang mementingkan diri dan sikap yang merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan. Membenci dan bermusuhan bagaikan pilihan kalangan yang memiliki kuasa, yang kelihatan lebih cenderung untuk bersaing daripada bekerjasama. Akibatnya usaha-usaha membangun insan, menghapuskan kemiskinan, mengatasi kekurangan makanan, dan membasmi kejahilan serta buta huruf, menjadi bertambah sukar. Dunia juga sedang menghadapi masalah bekalan perkhidmatan dan barangan, terutama bahan makanan yang semakin sukar diperoleh, menyebabkan kos sara hidup terus meningkat, mengakibatkan rakyat di serata dunia menanggung kesusahan.
14. Dunia yang tenat dilanda krisis perlu diubati dengan suara perdamaian. Bermuafakat lebih baik daripada bersengketa, bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah, dan bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam. Insaflah! Kedamaian lebih baik daripada peperangan; Insaflah! akar kemanusiaan hanya tumbuh dalam suasana persahabatan dan kerjasama; Insaflah! Kedamaian akan tinggal dalam impian jika tidak ada rasa muhibah dalam hati insan.
15. Dunia ini perlu dilimpahi dengan cahaya kedamaian yang menjamin harapan. Perdamaian akan hanya wujud apabila manusia memilih untuk memahami antara satu sama lain. Suara kebenaran di tengah-tengah arus yang memilih untuk berkonflik, dan usaha perdamaian dalam dunia yang memilih untuk berperang, memerlukan kekuatan, ketabahan dan beranian luar biasa, mengatasi kekuatan, ketabahan dan keberanian seorang soldadu di medan perang.
16. Allah mencipta manusia memiliki hati. Jauh di lubuk hati setiap manusia, terkandung perasaan keinsanan – perasaan belas – perasaan kasih sayang. Terkandung di mata hati, perasaan kemanusiaan dan keinsanan yang harus digabungkan dan dijelmakan secara kata-kata dan perbuatan. Hentikan perlumbaan mencari keburukan, hentikan perbuatan aib mengaibkan, hentikan kerja-kerja menyebar fitnah, hentikan usaha meruntuh dan memusnahkan, hentikan konspirasi jatuh menjatuhi, agar dunia lebih aman, negara lebih tenteram dan rakyat hidup lebih sejahtera.
17. Memahami denyut jantung dan denyut nadi rakyat jelata, serta keupayaan secara arif mentakrif pelbagai peristiwa yang berlaku di serata negara dan di seluruh dunia, juga keupayaan mengenal pasti kebenaran yang hakiki, merupakan satu tanggungjawab berat. Tanggungjawab berat ini, insya-Allah dapat diringankan dengan adanya semangat nasihat menasihati, bantu-membantu dan saling memelihara nama baik dan kemuliaan takhta, melalui peranan bersama Raja Muda, Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, ahli Dewan Negara dan Orang Besar negeri.
18. Demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat, Menteri Besar berserta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, hendaklah menjunjung setia kepercayaan Beta, dan tidak mengecewakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi. Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang, berintegriti, bersih rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa, hendaklah direalisasikan secara bersama oleh ahli-ahli Dewan Negeri, para hakim, para ulama, para umara, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini dimakmurkan dan warga hidup sejahtera. Demikian jua seruan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia, badan-badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.
YA WAHHAB, YA ALIM, YA AZIM, YA JALIL,
19. Hamba-Mu, memohon ihsan dari Mu, agar dikurniakan hikmah, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah, untuk mengupayakan hamba-Mu ini melaksanakan pemerintahan secara adil lagi saksama, memiliki ketegasan menegakkan yang makruf – memiliki keberanian mencegah yang mungkar. Semoga negeri dan rakyat Perak Darul Ridzuan senantiasa mendapat lindungan daripada Mu jua, dan dilimpahi segala keberkatan fid-dunia wal-akhirat.
Termaktub di Istana Iskandariah
Kuala Kangsar
5.11.2023