Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Dan Penganugerahan Khas Darjah Kebesaran Jubli Perak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Dengan ingatan yang jernih – dari hati yang damai, dengan segala kedaifan dan dalam serba kekerdilan seorang makhluk, Hamba-Mu ini, melafazkan seikhlas tutur – menzahirkan setulus kalam, akan kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya, atas rahmat dari Mu jua Ya Allah, mengurniakan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah berada dalam keafiatan, memungkinkan dapat dilangsungkan, istiadat menyambut Jubli Perak pemerintahan Baginda, di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

2. Selawat kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian; demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk yang mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.

Ya Rafi’udd Darajat

Daulat Tuanku Syah Alam.

3. Dipohonkan perkenan, membolehkan Anakanda merafakkan sembah, dengan penuh takzimnya menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, Sultan, Yang Di Pertuan dan Raja Pemerintah yang bersemayam dengan penuh daulat dan darjat, kebesaran dan kemuliaan di atas singgahsana Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Dengan segala rasa kasih – rasa sayang, anakanda merafakkan sembah menghadap Paduka Bonda, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

4. Ya-Malik, Ya-Aziz, Ya-Azim, Ya-Wali, hamba-Mu ini, mohon ihsan dari kebesaran Asmaul Husna, berkat kemuliaan nama-nama Mu Ya-Allah, semoga Paduka Seri Ayahanda dilimpahkan hidayat, berupaya memenuhi amanah sebagai Amirulmukminin, menyempurnakan pemerintahan secara adil lagi saksama, arif lagi bijaksana, memayungi negeri – menaungi warga; dan barang dilimpahkan kemakmuran dan keberkatan. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa dikasihi rakyat dan turut pula melimpahkan kasih dan sayang kepada rakyat jelata. Amin, Ya Rabul Alamin.

Ampun Tuanku

5. Salasilah Raja Pemerintahan Negeri Perak Darul Ridzuan bermula dengan Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528. Sepanjang tempoh empat ratus lapan puluh satu tahun sejarah Kesultanan Perak, dengan penentuan dari ILAHI jua, Paduka Seri Ayahanda merupakan Sultan Perak keempat, yang bersemayam di takhta pemerintahan, melintasi tempoh dua puluh lima tahun. Sebelum ini, Sultan Perak kedua, Paduka Seri Sultan Mansur Shah I, bersemayam di takhta Kerajaan selama 28 tahun (1549 – 1577), Sultan Perak kesebelas, Paduka Seri Sultan Mahmud Iskandar Shah bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun (1653 – 1720) dan Sultan Perak kedua puluh sembilan, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I, bersemayam di takhta pemerintahan selama 29 tahun (1887 – 1916).

6. Sempena istiadat sambutan Jubli Perak Pemerintahan Paduka Seri Ayahanda ini, Anakanda, Paduka Ayahanda Raja DiHilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Di Raja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar taat setia, sedia menjunjung titah – sedia melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, bersandarkan hukum – berlandaskan adat; dan akan sama-sama memelihara kemuliaan dan nama baik pemerintahan Paduka Seri Ayahanda, di samping memastikan bahawa tradisi negeri bersultan – rakyat beraja yang merupakan identiti kepada sistem berkerajaan di bumi Melayu ini terus mendapat pengiktirafan dan penerimaan warga.

7. Kesultanan Melayu Melaka mula berakar sejak tahun 1400[1]. Dalam tempoh lebih 600 tahun kewujudan Kesultanan Melayu, selama 446 tahun, bumi warisan bangsa ini melalui sejarah pahit penjajahan. Empat ratus empat puluh enam tahun adalah satu tempoh yang panjang, satu tempoh cukup lama yang boleh mempengaruhi pemikiran bangsa. Namun Kesultanan Melayu terus mendapat lindungan ILAHI, berjaya menghadapi pelbagai ujian, dan kekal diberikan pengiktirafan pada setiap liku ujian yang dilalui. Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Hugh Clifford ketika berucap dalam Majlis Undangan Persekutuan antara lain telah menyatakan:

Petikan:

“Negeri-negeri ini merupakan negeri yang diperintahkan oleh Raja-Raja Islam, ….Begitulah keadaan mereka pada hari ini dan keadaan ini mestilah diteruskan. Tiada mandat yang telah diberi kepada kami oleh Raja-Raja, pembesar-pembesar atau rakyat untuk mengubah sistem kerajaan yang telah wujud di tanah-tanah jajahan ini semenjak zaman purbakala lagi…. Bagi saya, mengekalkan kedudukan, kuasa dan martabat Raja-Raja Melayu adalah merupakan dasar utama supaya kita tidak mengkhianati orang-orang Melayu”[2]

Demikian petikan kata-kata yang telah diungkapkan oleh Sir Hugh Clifford pada tahun 1927.

8. Adalah merupakan fakta sejarah bahawa Kerajaan Melayu dan Alam Melayu telah bertapak di rantau ini sejak kurun pertama Masihi. Bahawa kedudukan Baginda-Baginda Sultan sebagai Raja-Raja yang berdaulat terkandung dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu setelah rancangan penubuhan Malayan Union gagal dilaksanakan.[3]

9. Bahawa institusi Raja memenuhi keperluan perlembagaan secara simbolik – secara fungsi. Selaku Ketua Negeri di peringkat negeri dan Ketua Negara di peringkat nasional, Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan – sumber keadilan, teras perpaduan – payung penyatuan. Kehadiran Raja membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman yang diwujudkan di negara ini, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi – berakarkan doktrin pengasingan kuasa.

10. Paduka Seri Ayahanda telah memperlihatkan contoh, memastikan agar kata dan laku seorang Raja itu tidak disalah tafsir dan tidak disalah lihat. Paduka Seri Ayahanda secara konsisten memastikan bahawa demi menjamin berlakunya keadilan di kalangan warga, Raja hendaklah bersifat tidak memihak – tidak partisan – tidak berkepentingan. Paduka Seri Ayahanda nyata memahami denyut nadi – denyut jantung warga dari pelbagai agama, pelbagai kaum dan pelbagai budaya, yang berada di bawah payung naungan pemerintahan Paduka Seri Ayahanda. Ketinggian takhta tidak pernah memisahkan ingatan Paduka Seri Ayahanda akan nasib rakyat bawahan; pagar istana tidak pernah menghalang pandangan Paduka Seri Ayahanda melihat realiti yang berlaku di serata negeri. Sepanjang tempoh pemerintahan, Paduka Seri Ayahanda senantiasa berpegang kepada prinsip keadilan berlandaskan kedaulatan undang-undang, mementingkan perpaduan – mementingkan kerjasama, mengutamakan permuafakatan – mengutamakan perundingan.

11. Paduka Seri Ayahanda senantiasa memberikan ingatan bahawa kuasa itu adalah amanah ILAHI dan kuasa itu disertai dengan tanggung jawab, yang akan dinilai di hari kebangkitan. Oleh itu kuasa hendaklah digunakan untuk melaksanakan amalan-amalan yang baik. Anakanda juga senantiasa diperingatkan bahawa kemuliaan dan kehormatan, darjat dan daulat seseorang Raja itu tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek. Bahawa kemuliaan yang sejati itu lahir dari rasa hormat yang tulen – terpancar dari rasa kasih yang suci, atas sifat keperibadian murni seseorang insan dan bukannya terletak pada pangkat, jawatan, gelaran mahupun takhta.

12. Bahawa sepanjang tempoh dua puluh lima tahun berada di takhta pemerintahan, Paduka Seri Ayahanda tidak sekadar mewarisi institusi kesultanan dan budaya berkerajaan di bumi ini, malah telah memberikan dimensi yang dinamik akan relevansi kewujudannya dalam era moden dunia semasa. Paduka Seri Ayahanda telah membuktikan bahawa institusi Raja yang terus dikekalkan, pada mulanya di Persekutuan Tanah Melayu, kemudiannya di bumi Malaysia merdeka, bukan sekadar untuk meneruskan kesinambungan tamadun, bukan sekadar untuk melengkapkan nilai sejarah dan bukan sekadar untuk memenuhi nilai sentimental bangsa, malah institusi Raja itu berupaya menyuntik roh, membentuk wajah, meletakkan identiti, terutamanya, lambang mengekalkan warisan sejarah kerajaan Melayu di bumi ini. Bahawa kebijaksanaan dan kearifan Paduka Seri Ayahanda akan anakanda jadikan teladan, dijadikan peringatan selama hayat di kandung badan.

Ampun Tuanku

13. Ya-Wahid, Ya-Ghaffar, Ya-Latif, Ya-Qayyum, Hamba Mu sekali lagi memanjatkan doa, agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik – dilimpahkan hidayah. Semoga di bawah naungan pemerintahan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, rakyat berbilang kaum – berbilang agama, kukuh bersatu – cekal berpadu, hidup harmonis – saling menghormati. Semoga negeri Perak Darul Ridzuan mencapai kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi dari mala petaka dan sebarang bencana. Semoga Paduka Seri Ayahanda dan Paduka Bonda senantiasa mendapat lindungan ILAHI, bersemayam di atas takhta singgahsana dengan penuh keberkatan fid-dunia wal-akhirat.

Wabillahitaufik, walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Termaktub di Istana Iskandariah

Kuala Kangsar.

3. 2. 2009

  1. Victor Purcell, The Chinese in Malaya, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967, 16.
  2. Rupert Emerson, Malaysia: A Study in Direct and Indirect rule, University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1966, 174 – 175; N.J. Ryan, The Making of Modern Malaysia and Singapore, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1971, 191.
  3. Leon Comber, Peristiwa 13 Mei, Sejarah Perhubungan Melayu – Cina, IBS BUKU SDN. BHD, Petaling Jaya, 2007, xxi
%d bloggers like this: