TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
IBNI
ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
AL-MAGHFUR-LAH
ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI
TAHUN KEDUA
DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN
KELIMA BELAS
TARIKH:
13 SYAABAN 1445 / 23 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)
JAM:
9.00 PAGI
TEMPAT:
DEWAN NEGERI, ARAS 2
BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN
JALAN PANGLIMA BUKIT GANTANG WAHAB, IPOH
Yang Dipertua Dewan Negeri,
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana 3.7 peratus pada tahun 2023, dalam suasana menghadapi persekitaran luaran yang mencabar, perdagangan global yang lebih perlahan, kitaran menurun teknologi global, ketegangan geopolitik dan dasar-dasar monetari yang lebih ketat. Meskipun menghadapi persekitaran luaran yang mencabar, Bank Negara Malaysia melaporkan, lebihan akaun semasa kekal 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disokong oleh kepelbagaian struktur eksport merentas pasaran dan produk. Kekukuhan kedudukan luaran juga dicerminkan melalui hutang luar negara yang menurun kepada 68.2 peratus daripada KDNK, serta pelaburan antarabangsa bersih lebih tinggi, 6.6 peratus daripada KDNK. Kadar pengangguran menurun ke paras sebelum pandemik, iaitu 3.3 peratus. Bank Negara mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bertambah baik pada tahun ini, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran. Daripada segi faktor luaran, Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global kembali meningkat daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus pada 2024. Bersama-sama dengan peningkatan kitaran teknologi, permintaan luaran yang lebih kukuh dan sektor pelancongan yang bertambah baik, akan memberikan sokongan kepada eksport Malaysia. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan projek jangka panjang oleh sektor swasta dan awam serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelbagai pelan induk nasional.
2. Di peringkat negeri Perak, kutipan hasil semakin meningkat, mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Beta. Selama dua tahun berturut-turut, Kerajaan Beta berjaya menutup akaun dengan surplus 29.6 juta ringgit bagi tahun kewangan 2022, dan surplus 62.4 juta ringgit bagi tahun kewangan 2023. Kutipan hasil 1.21 bilion ringgit pada tahun 2023, merekodkan kutipan hasil tertinggi yang pernah diperoleh di negeri Perak, mengatasi tujuh peratus sasaran 1.13 bilion ringgit yang diunjurkan. Kutipan hasil yang tinggi serta status kewangan surplus dicapai melalui tadbir urus kewangan yang cekap dan kaedah kutipan hasil yang berkesan.
3. Apa juga hasil negeri yang diperoleh akan dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat. Kedudukan kewangan yang kukuh, telah mengupayakan Kerajaan Beta membentangkan Belanjawan Negeri tertinggi dalam sejarah. Dewan ini, telah meluluskan peruntukan belanjawan 1.4 bilion (RM1,347,000,000.00) ringgit bagi tahun 2024; 865 juta ringgit belanja mengurus, dan 491 juta ringgit belanja pembangunan. Semoga Kerajaan Beta terus meningkatkan usaha menambahkan hasil, di samping mengamalkan langkah belanja berhemah dengan mengamalkan budaya berjimat cermat serta budaya tidak membazir.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
4. Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Kedua Belas telah memperuntukkan 1.59 bilion ringgit pada tahun 2023 untuk membiayai pelbagai projek pembangunan di negeri Perak. Daripada jumlah tersebut, 1.34 bilion ringgit, bersamaan 84 peratus telah dibelanjakan sepanjang tahun 2023.
5. Sebahagian besar peruntukan memberi manfaat kepada institusi pendidikan di negeri ini. Projek Kampus Tetap Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, telah disiapkan pada Februari 2023 dan mula beroperasi pada November 2023. Politeknik Bagan Datuk, telah disiapkan pada Oktober 2023. Demi keselesaan dan kesejahteraan murid, guru serta warga sekolah, lima puluh enam (55,650,000) juta ringgit diperuntukkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tandas dan kemudahan di 795 buah sekolah.
6. Jambatan Sultan Nazrin Shah sepanjang 10.5 kilometer di Bagan Datuk dibiayai pembinaannya oleh Kerajaan Persekutuan, telah mula digunakan pada 31 Mei 2023. Jambatan Sultan Nazrin Shah di samping telah memudahkan perhubungan rakyat dari Pekan Bagan Datuk ke Lumut dan Manjung, serta menjimatkan 50 minit masa perjalanan antara Ipoh dan Bagan Datuk, turut memberikan lonjakan ekonomi setempat.
7. Jabatan Pengairan dan Saliran telah melantik perunding untuk melaksanakan kajian menghasilkan pelan induk saliran mesra alam yang akan menyediakan panduan komprehensif untuk menyelesaikan dan mengurangkan impak banjir kilat serta permasalahan kualiti air melalui Rancangan Pelan Induk Sistem Saliran Lekir, daerah Manjung serta Pelan Induk Sistem Saliran Pulau Pangkor (Drainage Master Plan Development For Pulau Pangkor).
8. Perancangan pembangunan secara lestari perlu mengambil kira Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM). Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, lima daripada sebelas lembangan sungai utama di Negeri Perak sedang dalam proses penyediaan Pelan IRBM. Lembangan-lembangan sungai yang terlibat ialah Sungai Perak, Sungai Bernam, Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Sungai Manjung. Hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan dan dengan pewujudan Pelan IRBM, Kerajaan Beta akan dapat merancang pembangunan negeri secara lebih sistematik dan mampan dengan menyelaras keperluan pengurusan banjir, saliran mesra alam, sumber air dan alam sekitar. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trolak, sedang dilaksanakan secara reka dan bina. Rancangan Tebatan Banjir Bagan Datuk, Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Beruas, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kinta Fasa 2 dan Rancangan Tebatan Banjir Teluk Intan akan dilaksanakan pada tahun 2024.
9. Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan 450 juta ringgit untuk pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, berserta kuarters anggota di Meru Raya. Beta telah menzahirkan nasihat agar reka bentuk dan susun atur Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak ini memiliki identiti yang mengandungi elemen-elemen seni bina negeri Perak. Beta menghargai perhatian yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Kangsar dengan meluluskan peruntukan dua puluh (RM20,262,470.00) juta ringgit.
10. Kerajaan Beta menghargai perhatian yang diberikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membantu usaha-usaha menyejahterakan penduduk di negeri Perak, melaksanakan Program Sentuhan Kasih menerusi projek-projek pemuliharaan kemudahan-kemudahan awam di kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Dalam tahun 2023, sembilan puluh lima juta ringgit diperuntukkan untuk membiayai 942 projek, antaranya menaik taraf pasar besar Teluk Intan, membina semula pasar awam Taiping, menaik taraf sistem pencahayaan Bandar Seri Manjung dan Lumut, menyelenggarakan kolam tadahan air Taman Muhibah Jaya Kuala Kangsar dan membina kiosk penjaja di Jalan Gapis, Seri Manjung; juga telah meluluskan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak peruntukan 5.8 juta ringgit bagi penambahbaikan kemudahan rumah pangsa di negeri Perak.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
11. Daerah Kerian yang selama ini dikenali sebagai jelapang padi, insyaAllah bakal bertukar wajah susulan pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika membentangkan belanjawan 2024 untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi Kerian (Kerian Integrated Green Industrial Park) meliputi kawasan seluas 2,400 hektar. Kerajaan Persekutuan sedang memproses urusan pengambilan tanah seluas 400 hektar untuk pembangunan fasa pertama. Pembukaan kawasan perindustrian ini berpotensi menarik minat pelabur-pelabur baharu terutama dalam sektor berteknologi tinggi yang akan memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi di utara Perak.
12. Pembangunan Automotive High Technology Valley (AHTV) di Proton City, di selatan Perak akan menjenamakan bandar Tanjong Malim sebagai Hab Automotif Global untuk kenderaan tenaga baharu (New Energy Vehicles – NEV) dengan jangkaan pelaburan asing bernilai tiga puluh dua bilion ringgit. AHTV diyakini akan menjadi destinasi para pelabur sektor automotif berteknologi tinggi, dijangka dapat menyediakan lima belas ribu peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, yang akan memberi manfaat kepada generasi belia yang mempunyai kelayakan dalam Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Inisiatif gerak kerja awal telah dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama institusi-institusi pendidikan tinggi untuk menjalinkan kolaborasi strategik bersama pihak industri dalam hasrat mahu menyediakan tenaga kerja berkemahiran.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
13. Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah menandatangani Perjanjian Pemegang Saham Usaha Sama (Joint Venture and Shareholders Agreement) dengan Port of Antwerp-Bruges International pada 11 Disember 2023 untuk menubuhkan syarikat tujuan khas, LuMIC Development Sendirian Berhad, bertujuan membangun dan mengurus Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) secara bersepadu. Kesatuan Eropah menunjukkan keyakinan terhadap potensi besar negeri Perak dalam industri maritim dengan meluluskan geran bernilai 9.7 juta ringgit kepada Port of Antwerp-Bruges International dan PKNPk bagi menjalankan kajian pelaksanaan Lumut sebagai hab logistik dan perindustrian maritim. Pembangunan LuMIC menyokong usaha memacu pertumbuhan ekonomi melalui peluang pekerjaan dan perniagaan yang bakal diwujudkan, di samping membawa limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar dan masyarakat setempat.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
14. Menjadi tanggungjawab Kerajaan Beta untuk melindungi dan memelihara alam sekitar. Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) berperanan penting semasa perancangan projek-projek pembangunan untuk menilai kesan-kesan negatif yang mungkin berlaku ke atas alam sekeliling. Langkah-langkah untuk menghindar, mengurangkan dan mengawal kesan negatif terhadap alam sekeliling perlu dipatuhi. Dasar alam sekitar yang mengutamakan udara dan air bersih, serta ruang hijau, bukan sahaja penting untuk masa hadapan yang mampan, tetapi secara langsung menyumbang kepada kesihatan dan kecergasan rakyat.
15. Dunia kini diancam dengan impak negatif ke atas alam sekitar akibat penggunaan plastik sekali guna (single use plastic) yang tidak terkawal. Kebanyakan bahan plastik tidak akan musnah sepenuhnya, sebaliknya hanya terurai kepada partikel lebih kecil yang dikenali sebagai microplastics, yang kini ditemui dalam organ-organ dalaman manusia. Kesan jangka panjang microplastics ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar perlu diberikan perhatian serius.
16. Atas kesedaran tersebut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) telah merintis usaha untuk meminimumkan penggunaan plastik sekali guna. Sekolah-sekolah agama berasrama penuh di Negeri Perak, diarahkan untuk tidak membenarkan para pelajar menggunakan minuman dan makanan dalam botol dan bungkusan plastik. Inisiatif MAIPK dan JAIPK menerapkan budaya mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, hendaklah dijadikan contoh oleh semua jabatan dan agensi di negeri Perak. Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia, masjid, surau, rumah-rumah ibadat, NGO, sewajibnya mendidik dan menyemaikan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk mengamalkan budaya hidup lebih sihat dengan mempergiatkan kempen ‘TIDAK MENGGUNAKAN PLASTIK SEKALI GUNA’ dalam kalangan rakyat Beta.
17. Dalam memenuhi agenda menangani isu perubahan iklim dunia, Kerajaan Beta komited menyokong usaha negara untuk mencapai matlamat sifar bersih karbon menjelang tahun 2050. Antara inisiatif yang dijalankan adalah menerusi pemetaan nilai stok karbon hutan menggunakan kaedah Remote Sensing dan Geographic Information Systems (GIS). Ketersediaan data ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan mengenai keupayaan jajaran hutan Perak sebagai zon penampan perubahan iklim, malah akan memacu pembuat dasar ketika merangka strategi yang komprehensif dalam usaha menjadikan Negeri Perak sebagai sebuah negeri yang lestari. Kerajaan Beta juga sedang meneliti potensi perdagangan kredit karbon hutan, selain turut memfokuskan kepada industri tenaga boleh baharu seperti solar dan hidroelektrik yang semakin meluas penggunaannya.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
18. Mineral merupakan antara sumber pendapatan negeri. Royalti daripada bahan mineral menunjukkan trend peningkatan; meningkat dari 88.2 juta ringgit pada tahun 2021 kepada 101.5 juta ringgit pada tahun 2022, dan terus meningkat kepada 129.5 juta ringgit pada tahun 2023.
19. Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) merupakan sumber mineral baharu, berpotensi menjana hasil negeri yang berdaya saing tinggi. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Perak, menganggarkan terdapat 1.69 juta tan metrik deposit NR-REE di negeri Perak, dengan anggaran nilai 40 bilion ringgit. Pelaksanaan projek perintis di kawasan seluas 88 hektar, telah menghasilkan pengeluaran hampir enam ribu dua ratus tan metrik karbonat REE. Berdasarkan dua belas peratus royalti yang dikenakan daripada harga jualan, Kerajaan Beta telah memperoleh kutipan royalti berjumlah 25.2 juta ringgit bagi tahun 2023. Dalam tahun 2024, Kerajaan Beta menyasarkan perolehan royalti melalui sumber mineral baharu ini akan mencecah lima puluh juta ringgit.
20. Potensi NR-REE tidak harus bertumpu kepada pengeluaran dan pengeksportan sumber mentah semata-mata. Kerajaan Beta kini berusaha merintis pembangunan ‘Loji Pemprosesan Pusat’ (Central Processing Plant-CPP) di peringkat sektor industri pertengahan dan pembangunan kilang-kilang berteknologi tinggi di peringkat sektor industri hiliran, bertujuan meningkatkan nilai harga pasaran bahan mineral berkaitan. Beberapa lokasi strategik, dikenal pasti untuk pembangunan Loji Pemprosesan Pusat. Dalam usaha merintis membangunkan industri pertengahan dan hiliran, Kerajaan Beta bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, di samping merintis usaha menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat yang memiliki kepakaran dan teknologi khusus.
21. NR-REE yang begitu berharga telah menarik perhatian pihak-pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pencerobohan, melakukan operasi mengeluarkan mineral secara haram. Pencerobohan dan operasi secara haram ini akan menyebabkan ketirisan hasil negeri, di samping menyebabkan berlakunya aktiviti perlombongan tidak terkawal dan tidak mengikut garis panduan yang dibimbangkan berpotensi memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan masyarakat. Tindakan tegas dan pantas perlu diambil oleh agensi-agensi penguat kuasa terutama oleh Jabatan Perhutanan. Perbuatan ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ jika berlaku dalam kalangan pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan peneroka haram, hendaklah segera disiasat, dikenal pasti dan diambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
22. Bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit. Selagi ada rakyat yang miskin, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan. Agenda menoktahi kemiskinan menjadi salah satu matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat. Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan Kerajaan Beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat. Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik.
23. Dalam usaha memakmurkan negeri, perlu diberikan perhatian kesalingan hubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan (social determinants of health) yang membentuk kesejahteraan rakyat. Kesihatan yang baik bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi keadaan holistik yang merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Perlu disedari health outcomes tidak ditentukan semata-mata oleh perkhidmatan kesihatan yang disediakan, sebaliknya tahap kesihatan seseorang dipengaruhi oleh penentu-penentu lain antaranya, tempat dilahirkan dan tempat membesar, begitu juga suasana hidup, bekerja dan menua. Untuk membina masyarakat berdaya tahan dan berkembang maju, terutama dalam persiapan menghadapi masyarakat negeri ini yang semakin menua, amatlah penting diberi perhatian kepada penentu-penentu sosial kesihatan.
24. Pendidikan ialah asas dalam usaha membentuk kesihatan yang baik. Rakyat yang berpendidikan bukan sahaja berupaya membuat pilihan kesihatan yang bermaklumat, tetapi berupaya memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan negara. Pendidikan berperanan penting dalam usaha mengubah landskap kemiskinan, mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan dan menaik taraf kehidupan rakyat. Oleh itu pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan untuk kesihatan dan kemakmuran rakyat. Walaupun dasar berkaitan pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Beta juga boleh melaksanakan inisiatif untuk membantu memastikan kadar tinggi kehadiran murid ke sekolah, dan menyediakan pelbagai insentif untuk menarik minat murid agar terus berada di bilik darjah. Tumpuan perlu diberikan kepada agenda pendidikan terutamanya kepada generasi kedua, agar kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi akan datang; di sebaliknya akan berlaku mobiliti sosial keluarga ke tingkat yang lebih tinggi.
25. Usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh Kerajaan Beta telah menyinarkan cahaya keyakinan. Berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 ialah seramai 9,402 Ketua Isi Rumah. Berdasarkan sumber data yang sama, sehingga 31 Disember 2023, jumlah tersebut telah menurun kepada 3,911 Ketua Isi Rumah, menunjukkan penurunan lima puluh lapan peratus. Penurunan angka kemiskinan tegar ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha dan inisiatif oleh pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen yang tinggi. Semoga melalui kerjasama proaktif dari pelbagai pihak, merangkumi sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan, tidak ada rakyat Beta yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negeri.
26. Tempat tinggal yang selesa dan kondusif berperanan penting dalam menentukan kesejahteraan hidup rakyat. Rumah sangat penting dalam kehidupan insan. Menyediakan rumah mampu milik yang sangat diperlukan oleh rakyat berpendapatan rendah merupakan tanggungjawab fardu kifayah yang sangat dituntut untuk dipenuhi. Kerajaan Beta perlu tegas melaksanakan program perumahan rakyat. Memenuhi keperluan perumahan rakyat hendaklah diutamakan dan didahulukan, berbanding memenuhi agenda komersial mengaut keuntungan oleh pemaju. Dalam tempoh lima tahun, dari 2018 sehingga 2023, sebanyak 8,030 unit rumah mampu milik siap dibina di Perak. Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menganggarkan 57,407 unit rumah diperlukan menjelang tahun 2030. Ramai pembeli berada dalam status pendapatan tidak sepadan dengan harga rumah yang ditawarkan. Faktor ini adalah antara penyebab, pembeli gagal mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan. Dalam hasrat menangani masalah ketidaklayakan mendapatkan pinjaman, LPHP telah memperkenalkan Skim Sewa Perak Sejahtera (SSPS), meletakkan kadar sewaan dua puluh peratus lebih rendah daripada kadar pasaran. Pada masa yang sama Yayasan Perak melaksanakan Program Sayangi Rumahku, ia itu program bantuan perumahan baharu secara percuma dan program baik pulih dan pembaikan rumah kepada golongan miskin. Program Rumah Perakku Prihatin pula menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah kepada golongan sasar yang layak. LPHP turut menghantar cadangan tapak kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membina Program Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa lokasi. Dengan persetujuan KPKT, melalui pembinaan tiga Program Perumahan Rakyat, dijangkakan 1,200 unit rumah dapat disediakan kepada rakyat di negeri Perak.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
27. Keterjaminan makanan bukan sahaja untuk memastikan tiada rakyat yang tidur dalam kelaparan, tetapi untuk memastikan setiap keluarga mempunyai akses kepada makanan yang selamat dan berkhasiat. Masalah kekurangan zat makanan (malnutrition) menjadi penyebab kepada penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser yang semakin meningkat tinggi. Perlu diterokai langkah-langkah inovatif untuk menambah baik pengagihan makanan, meminimumkan pembaziran dan memastikan rakyat mudah mendapat akses kepada makanan segar lagi berkhasiat.
28. Kerajaan Beta senantiasa berusaha meningkatkan pengeluaran sumber makanan. Pada tahun 2023, pengeluaran hasil komoditi sayur-sayuran meningkat tiga peratus (dari 116,764 metrik ton pada tahun 2022 ke 120,121 metrik ton pada tahun 2023); hasil komoditi tanaman kontan meningkat 11.7 peratus (dari 79,518 metrik ton tahun 2022 ke 88,807 metrik ton tahun 2023); kadar sara diri negeri bagi beras berada pada paras 98 peratus (pengeluaran padi meningkat dari 269,790 metrik ton pada tahun 2022 ke 272,764 metrik ton pada tahun 2023). Negeri Perak merupakan pengeluar utama negara bagi tanaman-tanaman jagung manis, ubi keledek, sengkuang, mangga dan bendi.
29. Sektor ternakan berperanan penting membekalkan sumber makanan berasaskan protein. Negeri Perak merupakan penyumbang utama sumber makanan berasaskan ternakan di negara ini, khususnya daging ayam dan telur. Terdapat 315 ladang ayam pedaging dengan kapasiti maksimum 26,360 juta ekor ayam, menghasilkan 322,612 tan metrik ayam; jumlah pengeluaran yang melebihi keperluan 130,848 metrik ton dalam negeri Perak. Terdapat 21 ladang ayam penelur dengan kapasiti 11.3 (11,250,500) juta ekor ayam menghasilkan 2.1 bilion biji telur setahun, melebihi keperluan satu bilion biji setahun dalam negeri Perak. Industri ternakan lembu tenusu mengeluarkan 6,918 juta liter susu segar setahun berbanding keperluan 5,724 juta liter di negeri Perak. Antara rahmat kurniaan Ilahi kepada negeri ini, ialah pantai sepanjang 398 kilometer bersama 32 pulau di perairan negeri. Kawasan perairan yang luas telah menghasilkan tiga ratus ribu tan metrik ikan yang didaratkan, meletakkan negeri Perak sebagai negeri pengeluaran ikan tertinggi di Malaysia.
30. Sesungguhnya, dan bersyukurlah kerana Malaysia ialah negara yang dikurniakan Ilahi dengan iklim tropika, bekalan air yang cukup dan tanah yang subur, merupakan aset-aset berharga untuk menjayakan program keterjaminan makanan, dan meletakkan Malaysia sebagai lembah rezeki pertanian. Rakyat hendaklah disedarkan dengan kurniaan Ilahi ini, digerakkan secara agresif untuk sama-sama menghijaukan bumi bertuah ini dengan menanam bahan-bahan makanan. Rakyat wajib digerakkan untuk berada di barisan hadapan menjayakan program bumi hijau. Sekolah, masjid dan badan-badan belia berperanan kritikal untuk menyedarkan para pelajar dan generasi muda terhadap pentingnya partisipasi rakyat menghasilkan bahan makanan. Para belia, pelajar dan ahli-ahli kariah masjid hendaklah disemaikan minat dan didedahkan pengetahuan untuk menghijaukan bumi dengan bahan-bahan makanan. Usaha menghasilkan bahan makanan ialah ibadah, fardu kifayah yang wajar dilaksanakan demi menjamin survival ummah.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
31. Masjid merupakan institusi penting dalam pembinaan tamadun dan peradaban umat manusia. Masjid tidak harus membatasi peranan sebagai tempat bersolat semata-mata, tetapi hendaklah berperanan sebagai penjana intelektualisme dan daya kreativiti masyarakat setempat. Masjid hendaklah dibangunkan menjadi tempat untuk pelbagai acara pendidikan, ekonomi dan sosial. Masjid tidak harus berimej hanya menyajikan menu kegiatan yang sesuai untuk warga emas dan para pesara, di sebaliknya aktiviti di masjid hendaklah memiliki daya tarikan kepada generasi muda. Masjid hendaklah menjadi pusat untuk menyemai persefahaman dan mengeratkan perpaduan sesama ummah dan antara ummah dengan rakyat bukan Islam. Dalam hasrat tersebut Beta telah memperkenankan penubuhan Majlis Perundingan Masjid pada 30 Ogos 2023, berperanan sebagai forum untuk menerokai idea-idea inovatif, menyuntik nilai tambah, memperkenalkan program pengimarahan masjid yang lebih dinamik, yang berjaya menarik minat dan penyertaan para belia.
32. Hampir empat puluh dua peratus penduduk di negeri Perak terdiri daripada golongan belia. Aspirasi para belia amatlah penting diberikan perhatian. Belia ialah khazanah penting masyarakat dan tabungan kekayaan masa hadapan negara. Oleh itu para belia hendaklah diberikan pendedahan dan pengalaman, dilatih dan dibimbing untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dengan membuka ruang dan peluang dilantik menyertai pelbagai jawatankuasa dan pelbagai acara yang dianjurkan oleh Kerajaan Beta.
33. Sukan berperanan menyemarakkan semangat patriotik dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Sukan menyediakan ruang dan peluang untuk mengintegrasikan pelbagai kaum memahami erti kerjasama, perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan bersama, di samping menyuntik nilai-nilai disiplin, kesetiaan, semangat setia kawan dan semangat berpasukan. Majlis Sukan Negeri mengambil langkah strategik, memberi fokus mengupayakan dan memperkasakan sukan berprestasi tinggi, antaranya program pembangunan atlet dan jurulatih, mewujudkan prasarana sains sukan dan peralatan berteknologi tinggi, serta memperkukuhkan persatuan dan pengurusan kejohanan di pelbagai peringkat. Majlis Sukan Daerah telah diaktifkan semula, bertujuan memastikan setiap kegiatan sukan dilaksanakan secara lebih sistematik dan mencapai objektif. Penubuhan empat puluh Pusat Latihan Daerah merupakan inisiatif berkesan demi memastikan program pembangunan sukan dilaksanakan secara konsisten dan komprehensif. Kerajaan cakna akan keperluan penyediaan kemudahan sukan yang kondusif dan selamat. Dengan kerjasama, bantuan dan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan, beberapa projek pembinaan dan menaik taraf kemudahan sukan telah dilaksanakan di negeri Perak, antaranya Pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk, projek naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak dan projek naik taraf Kompleks Rakan Muda Kampar.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
34. Beberapa Pihak Berkuasa Tempatan turut berperanan mengharumkan nama negeri. Bandaraya Ipoh kini berada dalam peta muzik dunia setelah berjaya menerima pengiktirafan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UNESCO Creative Cities Network-UCCN) bagi kategori muzik pada 31 Oktober 2023. Pengiktirafan peringkat antarabangsa ini memperkenalkan keunikan serta kemeriahan dunia muzik tempatan yang merentas generasi dan latar budaya. Majlis Bandaraya Ipoh turut meraih beberapa anugerah penting di peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, antaranya Anugerah Kepimpinan Terbaik, Anugerah Commonwealth Association of Planner (kategori Planning for the Conservtion of Built and Natural Environment and Cultural Heritage) dan anugerah Smart City Early Adopter 2023 (kategori Bandar Pintar Perintis). Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut mengiktiraf usaha Majlis Bandaraya Ipoh dengan dua anugerah semasa berlangsungnya Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023.
35. Majlis Perbandaran Taiping diiktiraf sebagai ‘Best Muslim Friendly Nature Destination’ sempena Majlis World Tourism Awards 2023. Majlis Daerah Selama mencipta kejayaan menerima tiga anugerah inovasi di peringkat negeri dan kebangsaan melalui usaha menggerakkan kegiatan ekopelancongan berasaskan komuniti yang melibatkan 49 pengusaha tempatan sebagai rakan strategik pelancongan; pendekatan yang telah meningkatkan dua puluh enam peratus kedatangan pelancong ke Selama dalam tahun 2023.
Yang Dipertua Dewan Negeri,
36. Negara menghadapi cabaran besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Tata kelola yang baik sangat diperlukan untuk membina keyakinan pelabur. Langkah-langkah tegas pencegahan rasuah memberi isyarat penting akan kesungguhan kerajaan mahu memupuk persekitaran perniagaan yang telus lagi adil. Negara tidak terkecuali mendepani cabaran landskap ekonomi global yang lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa-kuasa besar. Malaysia tidak terlepas daripada kesan negatif akibat peperangan Ukraine-Rusia serta konflik berpanjangan Palestin-Israel yang menjadi bertambah berat dengan peperangan yang sedang berlaku di Gaza. Usaha-usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektor-sektor pertumbuhan baharu merupakan inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara lebih berdaya saing di peringkat global. Mengatasi segala-galanya, amatlah penting untuk Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni.
37. Negara yang stabil, aman dan harmoni akan berupaya membangunkan negara yang makmur, dan melimpahkan kemakmuran negara untuk manfaat rakyat jelata. Negara yang stabil, aman dan harmoni akan dapat membangunkan warga yang kuat untuk membina negara yang kuat. Negara yang kuat ialah negara yang warganya memiliki kematangan untuk menerima kelainan dan perbezaan, warga yang memiliki kedewasaan untuk menerima hakikat bahawa setiap warga memiliki kelemahan di samping kekuatan, tetapi warganya berminda pintar, memilih untuk menggabungkan kekuatan dan tidak membesar-besarkan kelemahan. Warga yang memiliki semangat patriotik terhadap negara dan bangsanya akan memilih untuk bersatu daripada berpecah. Bangunkan negeri Perak ini dalam semangat menggabungkan kekuatan yang ada sesama kita, menghayati semangat ‘BERSATU TEGUH – BERCERAI ROBOH’.
Dengan lafaz , Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas.