ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI TAHUN PERTAMA DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN KELIMA BELAS

TITAH DIRAJA

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI

ALMARHUM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH

AL-MAGHFUR-LAH

ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI

TAHUN PERTAMA

DEWAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

KELIMA BELAS

TARIKH:

25 JAMADILAWAL 1444

20 DISEMBER 2022

(SELASA)

MASA:

10.30 PAGI

TEMPAT:

DEWAN NEGERI, ARAS 2

BANGUNAN PERAK DARUL RIDZUAN

JALAN PANGLIMA BUKIT GANTANG WAHAB, IPOH

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

1. Alhamdulillah, dengan limpah rahmat Ilahi, Pilihan Raya Umum Kelima Belas (PRU-15), telah diuruskan dengan sempurna pada 19 November 2022, berlangsung dalam suasana tertib dan aman. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, merangkumi Suruhanjaya Pilihan Raya, anggota perkhidmatan awam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, RELA, pihak media, parti-parti politik dan rakyat jelata keseluruhannya yang telah memperlihatkan sikap bertanggungjawab yang tinggi, membolehkan pilihan raya berjalan lancar tanpa menjejaskan rutin harian kehidupan rakyat, juga membolehkan jentera pentadbiran negeri terus berfungsi secara normal. Pilihan Raya yang berlangsung dalam suasana tertib dan aman, dan bilangan pemilih yang turun mengundi, menunjukkan rakyat semakin matang menerima budaya dan semangat demokrasi yang membolehkan rakyat memilih kerajaan.

2. Daftar pemilih di peringkat negara meningkat empat puluh satu perpuluhan tujuh peratus (41.7%), dari empat belas perpuluhan sembilan juta (14,940,624) pemilih semasa PRU-14, kepada dua puluh satu perpuluhan dua juta (21,173,638) pemilih semasa PRU-15; manakala daftar pemilih di negeri Perak meningkat tiga puluh empat perpuluhan sembilan peratus (34.9%), dari satu perpuluhan lima juta (1,510,392) semasa PRU-14, kepada lebih dua juta (2,036,872) pemilih semasa PRU-15. Buat julung kalinya warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas, secara automatik layak mengundi dan berpeluang mengambil bahagian memilih pemimpin. Hampir lima puluh satu peratus (51%) pemilih berada dalam usia 39 tahun ke bawah; enam perpuluhan enam peratus (6.58%) berada dalam lingkungan usia 18 ke-20 tahun.

3. Bilangan yang turun mengundi di seluruh negara meningkat dari sebelas perpuluhan lima juta (11,447,150) pemilih semasa PRU-14, kepada lima belas perpuluhan tiga juta (15,341,705) pemilih semasa PRU-15. Satu perpuluhan lima juta (1,506,442) pemilih membuang undi di negeri Perak semasa PRU-15 berbandingan satu perpuluhan satu juta (1,139,061) pemilih semasa PRU-14, untuk memilih 24 orang ahli Parlimen dan 59 orang ahli Dewan Negeri.

4. Gabungan parti politik yang bertanding atas nama PERIKATAN NASIONAL (PN) memenangi 26 kerusi Dewan Negeri, PAKATAN HARAPAN (PH) memenangi 24 kerusi, dan BARISAN NASIONAL (BN) memenangi 9 kerusi. Daripada segi jumlah undi yang diraih di peringkat negeri, PAKATAN HARAPAN memperoleh 632,885 undi, diikuti PERIKATAN NASIONAL memperoleh 455,734 undi, disusuli BARISAN NASIONAL memperoleh 380,816 undi. Maha Suci Allah Subhanahu Wata’ala yang berkuasa dan menjadi penentu atas segala yang berlaku selaras dengan firman yang terkandung dalam ayat 82-83 surah Yasin yang bermaksud:

“Sesungguhnya urusan Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya; “Jadilah!” maka jadilah sesuatu itu. Maha Suci (Allah) yang di tangan Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada Nya kamu dikembalikan”.

5. Pada 21 November 2022, PAKATAN HARAPAN dan BARISAN NASIONAL telah mempersembahkan hasrat mahu bergabung untuk menubuhkan Kerajaan, dan menamakan ahli Dewan Negeri Kota Tampan dipertimbangkan mendapat perkenan Beta untuk dilantik sebagai Menteri Besar. Berpandukan Perkara XVI (2)-(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada timbangan Beta, ahli Dewan Negeri Kota Tampan telah mendapat kepercayaan sebahagian besar ahli-ahli Dewan Negeri, maka Beta telah memberi perkenan beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak pada 21 November 2022. Selanjutnya, sepuluh orang ahli Dewan Negeri diperkenankan mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 22 November 2022.

6. Tiga puluh lima orang ahli Dewan Negeri Perak kelima belas ialah ahli baharu, sementara 24 orang ialah ahli-ahli yang terus mendapat kepercayaan rakyat untuk mewakili mereka; dua orang daripadanya iaitu ahli Dewan Negeri Kota Tampan dan ahli Dewan Negeri Kepayang merupakan ahli paling lama berkhidmat, menganggotai Dewan ini untuk penggal keenam berturut-turut. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada ahli-ahli yang telah mendapat kepercayaan rakyat menganggotai Dewan yang mulia ini. Kepada yang berjaya, banyakkan bersyukur menghargai kurniaan Ilahi. Kepada yang tidak memperoleh kemenangan, banyakkan bermuhasabah memeriksa kelemahan dan kesilapan diri, dengan keinsafan bahawa Allah itu tidak zalim sifatnya. Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri begitu juga ahli-ahli Dewan Negeri keempat belas atas khidmat yang telah dilaksanakan selama tempoh diamanahkan menganggotai Dewan yang mulia ini.

7. Pemimpin telah dilantik, kerajaan telah dibentuk. Mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk menjadi ahli Dewan Negeri merupakan suatu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipenuhi, serta menuntut pengorbanan yang besar. Penuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan perlembagaan – berteraskan undang-undang. Jauhi sifat-sifat angkuh dan bongkak dengan tidak mengamalkan budaya yang menang, menang semua; di sebaliknya, hendaklah bersifat adil mengagihkan peruntukan dan melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis – tanpa diskriminasi – tanpa penindasan kepada mana-mana pihak, kerana setiap pengundi ialah makhluk Ilahi dan setiap inci bumi di negeri ini terletak di bawah naungan takhta pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak. Oleh itu rakyat jangan dihukum untuk menanggung kesusahan, di sebaliknya dengan menjunjung semangat demokrasi, kepentingan dan kebajikan setiap rakyat jelata hendaklah berada di hati pemimpin dan senantiasa diutamakan.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

8. Penduduk di negeri Perak berjumlah dua perpuluhan lima dua juta (2,521,700) orang, mengandungi tiga kaum terbesar, enam puluh satu perpuluhan lima peratus (61.5%) Melayu dan bumiputera, dua puluh enam perpuluhan tujuh peratus (26.7%) Cina, dan sebelas perpuluhan tiga peratus (11.3%) India. Rakyat yang berbilang kaum ini, mengamalkan pegangan agama yang berlainan, mewarisi budaya yang beraneka dan menguasai pelbagai bahasa. Banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama. Jika perbezaan yang mahu diberikan fokus, maka kita sebenarnya memilih menulis resipi untuk melahirkan warga yang akan berselisih, berkonflik, dan berpecah belah. Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, kita sebenarnya telah memilih membina tembok pemisah untuk tidak memungkinkan terbinanya masyarakat yang bersatu, masyarakat yang menerima dan meraikan perbezaan, masyarakat yang menghormati realiti kepelbagaian, dan masyarakat yang melihat kepelbagaian secara positif yang mengandungi kekayaan dan kekuatan. Di sebaliknya, jika secara bijak, perbezaan berjaya didandan dan dipintal, akan teranyam hamparan keharmonian yang indah lagi berwarna-warni.

9. Persefahaman dan hubungan yang harmoni antara kaum merupakan faktor penentu untuk menjamin suasana hidup bernegara dan bernegeri yang aman dan harmoni. Negara dan negeri yang warganya hidup dalam aman dan harmoni akan dapat menumpukan fikiran, tenaga dan usaha, untuk menarik pelabur dan pelancong, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan negeri dan melimpahkan kemakmuran kepada rakyat. Oleh yang demikian pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama, berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan. Tindakan tegas lagi segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum. Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan; langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid (acidic) yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama. Tindakan segera Polis Diraja Malaysia pasca pilihan raya, mengambil langkah-langkah preventif untuk menjamin ketenteraman awam, merupakan tindakan yang tepat.

10. Negara ini memiliki elemen yang begitu mudah dieksploitasi untuk mencetuskan anarki. Kerukunan perhubungan kaum yang telah diasaskan sejak era pra-merdeka dan terus dipupuk sepanjang era pascamerdeka, tidak boleh diperjudikan kerana permainan politik yang berunsur meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat. Oleh itu, setiap individu berperanan untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk. Warga di negara ini, terutamanya generasi muda perlu diberikan bimbingan dan fahaman mengenai sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan doktrin demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan; serta pentingnya warga memahami dan menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara untuk dijadikan pedoman dalam usaha mahu memupuk warga yang bersatu padu, hidup penuh harmoni dalam sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman lagi makmur.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

11. Islam hendaklah dilihat sifatnya sebagai rahmatan lil-alamin, iaitu rahmah bagi keseluruhan alam. Islam berpegang teguh kepada prinsip keadilan sejagat, menyeru kepada keamanan dan mempelopori kedamaian. Daripada perspektif Islam, kewujudan beraneka agama dan budaya, merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran Ilahi yang menjadikan alam ini dan penghuninya berbagai-bagai rupa dan bangsa, seperti yang terkandung dalam ayat 118, Surah Hud yang bermaksud:

“Dan sekiranya Tuhan mu menghendaki, nescaya Ia jadikan manusia (semua) satu umat, tetapi tetap mereka berselisih (berbeza-beza),”
(Surah Hud, Ayat 118).

12. Asas hubungan antara umat Islam dan bukan Islam adalah toleransi, ihsan dan juga perdamaian. Pergaulan umat Islam bersama bukan Islam bukanlah perkara baharu, malah telah berlaku sejak zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam pelbagai urusan seperti muamalat, perjanjian dan perdamaian. Bahawa tidak ada salahnya mengadakan hubungan baik dengan bukan Islam untuk kebaikan bersama agar warga dapat hidup dalam suasana aman dan damai, malah usaha menyatukan ummah merupakan salah satu tuntutan Ilahi berpandukan firman Allah dalam ayat 8, Surah al-Mumtahanah yang bermaksud:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.

13. Ambillah iktibar hikmah yang tersirat di sebalik Perjanjian Hudaibiyah yang membuka jalan kepada pembebasan Mekah dan penyatuan perhubungan orang Islam dengan kabilah Arab lain, membolehkan masyarakat hidup secara aman dan damai. Corak kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam sewaktu memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan berlainan agama di Madinah, perlu dijadikan teladan. Semangat kerjasama antara kaum yang berlainan agama ini menjadi asas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan pencapaian kemerdekaan pada tahun 1957 yang disusuli pada tahun 1963 dengan pembentukan negara Malaysia. Segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetus pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik, hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

14. Ekonomi dunia 2023 masih tidak menentu, dikatakan berada di perairan yang sangat bergelora. Dijangkakan langit ekonomi dunia pada tahun 2023 berkemungkinan besar berawan mendung. Pada tahun 2023, dunia diramalkan menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan malah mungkin menguncup. Kelembapan ekonomi akan berlaku. Pendapatan syarikat dan individu berkemungkinan berkurangan, permintaan luar negara mungkin menyusut, dan perbelanjaan pengguna mungkin menurun.

15. Politik dan ekonomi mewujudkan hubungan saling berkait antara satu sama lain. Kajian dan pengalaman di negara-negara membangun mendapati, pembangunan ekonomi boleh dicapai melalui kestabilan politik. Kestabilan politik merupakan penentu kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi. Menyedari senario tersebut, kerajaan Beta akan berusaha memastikan ekosistem politik berada dalam keadaan yang stabil. Ekonomi negara pasca Covid-19 telah menunjukkan momentum pemulihan. Semoga momentum pemulihan ekonomi negara akan dapat diperkukuhkan setelah berakhirnya PRU-15 dan tertubuhnya kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan juga negeri. Semoga akan berlaku kestabilan landskap politik yang membolehkan negara lebih banyak dapat menumpukan fikiran, usaha dan sumber untuk menjahit luka dan menyembuhkan parut ekonomi yang dialami disebabkan pandemik Covid-19 yang dikembari ketidakstabilan politik.

16. Rakyat memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap untuk membolehkan kegiatan ekonomi kembali rancak. Rakyat mahukan kerajaan yang berupaya dan bertenaga untuk mentadbir urus negara membawa pertumbuhan ekonomi yang bermakna. Rakyat mahukan kerajaan yang bijak mengurus sumber-sumber negeri, dan tegas mengawal ketirisan dan kebocoran sumber, serta bersungguh mengelakkan pembaziran. Rakyat mahukan urus tadbir yang telus dan amanah serta bebas daripada perbuatan pecah amanah dan perlakuan rasuah. Amatlah penting untuk kerajaan Beta mendengar dan memahami keresahan yang sedang dihadapi rakyat, antaranya pengangguran, kos sara hidup yang tinggi, jaminan bekalan dan keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar, juga kemudahan-kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan serta perhubungan awam dan komunikasi digital yang berkualiti. Oleh itu kerajaan Beta akan memikirkan langkah-langkah strategik bersama Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang meyakinkan semoga dapat menambah peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup rakyat, serta mengikhtiarkan langkah yang dapat menjamin bekalan dan keselamatan makanan, juga menambah baik kemudahan-kemudahan sosial dan perkhidmatan. Penuhilah harapan rakyat – penuhilah amanah rakyat.

17. Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, dalam situasi negara sedang menghadapi bebanan hutang yang tinggi, perbelanjaan negeri akan memberikan fokus kepada perkara-perkara yang menghasilkan manfaat langsung kepada rakyat di samping melaksanakan secara bersungguh langkah-langkah berjimat cermat dan menghentikan perbelanjaan-perbelanjaan berunsur pembaziran. Kerajaan Beta akan mengambil ingatan mesej utama rakyat semasa PRU-15 yang menolak amalan rasuah, ketirisan kewangan, salah guna kuasa dan perbuatan pecah amanah.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,

18. Dewan Negeri ialah sebuah institusi perundangan. Dewan Negeri bertanggungjawab menimbang, membahaskan dan meluluskan enakmen negeri. Ahli-ahli Dewan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kemuliaan dewan ini, menjadikannya dewan syura yang penting lagi dihormati, membincangkan perkara-perkara yang substantif dalam adab dan budaya yang tertib lagi bersopan, tanpa perlu menggunakan kata-kata yang tidak sopan atau meninggikan suara. Ahli-ahli Dewan Negeri dipilih oleh rakyat, dan berperanan sebagai juru bicara bagi pihak rakyat. Dewan ini berperanan penting memenuhi peranan semak dan imbang kepada cabang eksekutif, membolehkan ahli-ahli menyuarakan teguran dan menyampaikan maklum balas mengenai program-program yang dilaksanakan oleh cabang eksekutif. Masa perbahasan yang cukup perlu diberikan kepada ahli-ahli dewan untuk dapat mengambil bahagian secara membina semasa perbahasan. Pada masa yang sama dewan ini bukan juga tempat untuk senantiasa mencari kesalahan sehingga masa perbahasan dibazirkan bercakap perkara-perkara picisan yang remeh temeh.

19. Demi memastikan budaya demokrasi terus segar dan subur di bumi ini, ahli-ahli Dewan hendaklah mengambil tanggungjawab berada di barisan hadapan, mewakili suara kesederhanaan – mendendangkan lirik persefahaman, mengalunkan simfoni keharmonian ke arah membina persekitaran beragama dan berbudaya yang mencerminkan semangat keterangkuman (inclusiveness) dan saling menghormati antara kaum – antara agama di negara ini.

20. Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan dilimpahi rahmat, keamanan dan kemakmuran, serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah. Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Pembukaan Tahun Pertama, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas.

%d bloggers like this: