Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Sukarelawan Polis Siswa/siswi (Suksis) Ipta 2010

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan ketentuan dari Nya juga seramai 1023 anggota dari 19 Institut Pengajian Tinggi Awam Malaysia (IPTA) telah berjaya menamatkan latihan asas Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS).

2. Latihan asas KOR SUKSIS, telah menepati tahap keseragaman memberi input asas kepolisan kepada siswa-siswi di Institusi Pengajian Tinggi, lantaran dapat memberikan pendedahan kepada siswa-siswi akan tugas sebenar POLIS DIRAJA MALAYSIA. Latihan yang dilalui telah memberi peluang kepada POLIS DIRAJA MALAYSIA dengan kerjasama IPTA melahirkan siswa-siswi yang bersedia berkhidmat sebagai pegawai sukarelawan polis selaras dengan moto POLIS DIRAJA MALAYSIA “TEGAS, ADIL DAN BERHEMAH”.

3. Pasukan Polis di abad kedua puluh satu, tidak terkecuali dari menghadapi cabaran baru realiti dunia global; dunia yang dirangkaikan dengan sistem komunikasi moden dan teknologi canggih serta dunia dalam era teknologi maklumat. Kemajuan teknologi turut mencetuskan budaya baru dan sub-budaya baru, lalu mempengaruhi corak ancaman keselamatan dan bentuk jenayah yang berlaku. Pengganas (terrorist) dan penjenayah di era ini lebih mobile sifatnya, memiliki rangkaian antarabangsa merentasi sempadan negara. Di samping itu, kemudahan pendidikan dan teknologi komunikasi turut melahirkan generasi semasa yang lebih berpelajaran, lebih berpengetahuan, lebih terdedah serta mempunyai harapan baru yang melambung (rising expectations).

4. Untuk kekal relevan sebagai Pasukan yang dihormati, Pasukan Polis hendaklah bersedia dan berani melakukan pengubahsuaian untuk menghadapi perubahan-perubahan budaya serta pengaruh global dan pengaruh teknologi yang sedang berlaku dalam konteks sosiopolitik semasa dan setempat. Pada masa yang sama, Pasukan Polis perlu bijaksana untuk tidak pula berkompromi dalam mempertahankan falsafah kewujudannya, prinsip-prinsip asas pasukan dan etika-etika utama dalam memenuhi tanggung jawab untuk menjamin keselamatan, memelihara ketenteraman awam dan membanteras jenayah.

5. Pasukan Polis perlu peka kepada tuntutan yang berkehendakkan satu Pasukan Polis yang cekap lagi berkesan, memiliki integriti, telus, jujur, amanah dan bebas dari rasuah, serta merupakan Pasukan yang boleh dipercayai, dihormati dan bukan ditakuti. Pasukan Polis bukan sahaja perlu melaksanakan tugas secara betul dan tepat tetapi hendaklah turut berupaya memperlihatkan imej secara betul dan tepat. Dalam dunia yang berlandaskan maklumat, adalah menjadi satu keperluan kepada Pasukan Polis untuk mempunyai keupayaan melakukan komunikasi secara tepat, secara telus, secara jelas, secara berkesan. Media perlu dikendalikan secara bijaksana, secara teratur, secara terancang; bersifat proaktif dan bukan reaktif; berkeupayaan menjangka, meramal dan mengelakkan isu-isu yang boleh mencetuskan polemik dan kontroversi. Program komunikasi yang berkesan perlu diamalkan untuk dapat merapatkan jurang maklumat dan salah faham di antara Pasukan dengan masyarakat umum.

6. Usaha memerangi jenayah dipercayai dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan jika masyarakat dapat dilibatkan bersama. Di samping menyampaikan mesej secara telus, jelas dan tepat, maklum balas dan pandangan masyarakat perlu dihargai supaya masyarakat akan dapat memahami, bersimpati dan terus bersama Pasukan.

7. Siswa-siswi adalah generasi yang memiliki idealisme serta berada di taman ilmu dan gedung pengetahuan. Adalah memanfaatkan Pasukan Polis, jika sesi-sesi percambahan fikiran dapat dijadikan sebahagian dari komponen program SUKSIS. Pemikiran dinamik dan pemikiran radikal siswa-siswi di Institusi Pengajian Tinggi wajar diterokai untuk membantu memberikan input bagi menambah baik usaha dan imej Pasukan Polis. Cetusan idea baru yang dihasilkan dari pemikiran lateral akan membolehkan Pasukan Polis senantiasa berada di hadapan dalam menangani perubahan-perubahan yang berlaku. Malah siswa-siswi dapat membantu Pasukan Polis melakukan penyelidikan dan kajian serta memperlengkapkan Pasukan Polis dengan data dan maklumat berharga. Beta percaya gandingan disiplin alam akademik dengan profesion Polis akan dapat membuahkan idea-idea kreatif dan inovatif yang dinamik lagi produktif.

8. Beta menyeru semua pegawai inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi agar sentiasa meneruskan semangat juang mempertahankan kedaulatan Raja dan kemerdekaan negara. Bersamalah menegakkan nama baik POLIS DIRAJA MALAYSIA sebagai profesion yang berintegriti tinggi dan pasukan keselamatan yang dihormati. Semoga saudara-saudari senantiasa mendapat petunjuk dan perlindungan ILAHI.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*****************

 

%d bloggers like this: