Istiadat Perlantikan Menteri Besar Perak

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Maha suci ALLAH yang menguasai segala Kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu;[1] Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.[2] Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda, begitu juga kepada para ulama dan para tabiin; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan.

2. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir telah menghadap Beta pada jam 10.00 pagi Isnin, 6 Mei 2013; menyembahkan kepada Beta keputusan Pilihan Raya Umum Kali Ketiga Belas yang telah disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai keputusan rasmi bagi 59 kawasan Dewan Undangan Negeri Perak. Keputusan tersebut menunjukkan, BARISAN NASIONAL (BN) telah memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri, sementara PARTI TINDAKAN DEMOKRAT (DAP) memenangi 18 kerusi, PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) memenangi 5 kerusi dan PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR) memenangi 5 kerusi. Pihak yang layak membentuk Kerajaan Negeri adalah pihak yang memenangi majoriti mudah sekurang-kurangnya 30 kerusi yang dipertandingkan. BARISAN NASIONAL (BN) telah memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri.

3. Setelah meneliti keputusan tersebut, pada timbangan Beta, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk diperkenankan dilantik sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan selaras dengan Fasal (1) dan Fasal (2) Perkara XII; dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

4. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir yang telah diperkenankan untuk diberikan amanah dan tanggung jawab sebagai Menteri Besar kepada Kerajaan Beta. Beta juga mengucapkan tahniah kepada semua calon dari semua parti yang telah berjaya mendapat kepercayaan rakyat dipilih menjadi ahli Dewan Undangan Negeri.

5. Setiap seorang calon yang dianugerahkan kejayaan mempunyai tanggung jawab yang perlu dilaksanakan dan amanah yang wajib dipenuhi. Laksanakan tanggung jawab dan penuhi amanah tersebut dengan penuh berintegriti selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 27, Surah al-Anfal:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan Rasul Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada mu, sedang kamu mengetahui”[3].

6. Tanggung jawab dan amanah tidak harus sama sekali di pandang ringan atau diringankan. Jadikanlah pedoman dan pegangan akan peringatan ILAHI yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka semuanya enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”[4].

7. Alhamdulillah, Pilihan Raya Umum kali ketiga belas berjalan dengan aman dan tenteram. Ia telah memberi kemenangan kepada setiap warga yang telah berjaya memperlihatkan kematangan lalu membolehkan proses memilih kerajaan secara demokrasi dapat dilangsungkan. Sepanjang berkempen, masing-masing pihak yang bertanding telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan untuk mendapatkan sokongan pengundi. Mungkin berlaku percakapan dan perbuatan yang telah menyinggung perasaan di antara satu sama lain. Pilihan Raya telah pun selesai. Selaras dengan ajaran Islam yang menuntut manusia untuk membina ukhuwah sesama insan, amatlah baik untuk diperlihatkan semangat saling bermaaf-maafan dan setiap pihak mulai hari ini berusaha untuk menyatukan warga, agar sama-sama bergerak membina sebuah negara merdeka yang berdaulat, makmur, aman lagi sejahtera.

8. Semoga Kerajaan Beta yang telah mendapat amanah baru dari rakyat akan berusaha untuk membangunkan Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai sebuah negeri yang sejahtera dan mendapat keampunan ILAHI seperti mana yang digambarkan dalam maksud ayat 15 Surah Saba’

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan ILAHI) yang terdapat di tempat tinggal mereka; ia itu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Lalu dikatakan kepada mereka): ‘Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada Nya. (Negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”.

Wabillahi taufik, wal hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran, Surah Al-Mulk (Kerajaan) (67:1)
  2. Al-Quran, (67-2)
  3. Al-Quran, Surah Al-Anfaal (8:27)
  4. Al-Quran, Surah Al-Ahzab (33:72)
%d bloggers like this: