Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga, para sahabat Baginda, para Tabiin, para Ulama dan kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat.
2. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat untuk menzahirkan Titah Utama di Konvensyen Mahasiswa Anak Perak 2004.
3. Tema-tema perbincangan dalam Konvensyen ini merangkumi aspek-aspek pendidikan, ekonomi, pembangunan insan dan kepimpinan politik. Beta memilih untuk menyentuh aspek Raja Berperlembagaan, asal usul akar sejarahnya, hubung kait, peranan dan kesesuaiannya dengan sistem kerajaan yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen.
4. Sewaktu Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Ayahanda Beta, Raja Azlan Shah yang ketika itu menjawat jawatan Hakim Besar Malaya dianugerahkan ijazah Doktor Persuratan (Kehormat) oleh Universiti Malaya, Baginda dalam menyampaikan pidato telah menzahirkan kata-kata berikut:-
Quote,
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga Wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak keSultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Perkataan ‘Malaysia’ itu sendiri pun mempunyai erti Melayu dalam erti Melayu Raya. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.
Unqoute.
5. Semenjak abad kedua hinggalah kepada abad ke lima belas, Kerajaan Melayu telah wujud di rantau ini, merangkumi kawasan dan wilayah di Selatan Thailand, di Langkasuka, di Kedah Tua, di Kalimantan Timur, di Srivijaya, di Majapahit hingga kepada kegemilangan Empayar Melayu Islam Melaka di abad ke empat belas dan lima belas. Pada hari ini, tiga negara di dunia masih dikuasai oleh pemerintahan Melayu, sebuah Kesultanan di Brunei, sebuah Republik di Indonesia serta sebuah Kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia.
6. Sistem kepimpinan beraja adalah antara sistem kepimpinan yang tertua di dunia. Sistem kesultanan juga adalah sebahagian dari budaya berkerajaan dan bernegara dalam sejarah kepimpinan Islam. Di negara ini, sistem kepimpinan beraja telah lama bertapak dan kekal diiktiraf peranannya meskipun kini berwajah baru. Budaya beraja tidak hanya terbatas kepada orang Melayu, malah kumpulan etnik utama di negara ini, Cina dan India turut mempunyai sejarah yang lama lagi panjang dengan sistem kepimpinan beraja. Sesungguhnya Institusi Raja adalah sebahagian dari budaya warisan bangsa Melayu dan warga Malaysia.
7. Kerana itu, Tunku Abdul Rahman (Almarhum) ketika merangka formula pembentukan sebuah kerajaan merdeka di Tanah Melayu, mengasaskan sistem berkerajaan dan bernegara atas landasan kukuh, berpaksi kepada perlembagaan yang menggabungkan institusi Raja dan institusi rakyat, dengan konsep Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Formula yang diasaskan oleh Tunku, sebenarnya berpegang teguh kepada semangat permuafakatan antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, satu kontrak sosial yang sedemikian lama termaktub antara Raja dan rakyat serta rakyat dan Raja; satu formula yang membina talian hubungan dan rangkaian kerja yang harmonis lagi seimbang.
8. Formula tersebut mudah difahami – formula tersebut senang diterima oleh kumpulan etnik bukan Melayu kerana tamadun dan budaya mereka juga amat sebati dengan sistem pemerintahan beraja, baik di Cina mahupun di India. Sistem Maharaja di Cina, begitu juga di India telah membina satu keagungan tamadun kepada dua benua tersebut, sebelum dimusnahkan kerana resapan ideologi luar yang secara sengaja meracuni fikiran rakyat, memisahkan ikatan taat dan hubungan setia rakyat dengan raja, dengan matlamat mahu melemahkan rakyat. Raja disisihkan, rakyat dipecahkan, lalu usaha penjajahan menjadi mudah.
9. Usaha yang sama berlaku di Tanah Melayu. Dari penjajahan yang bermula di Melaka hinggalah kepada pelbagai tipu muslihat, melakukan ugutan, mengadudombakan Raja dengan rakyat, semuanya dengan tujuan memisahkan Raja dari rakyat. Dalam usaha membentuk Malayan Union, Mac Michael mengugut Raja-Raja, menghalang Raja dari mendapat pandangan yang betul, malah tindakan Mac Michael, secara tergesa-gesa, menghimpunkan Raja-Raja Melayu di Station Hotel Kuala Lumpur boleh dianggap sebagai tindakan menculik, menggunakan senjata ugutan, memaksa Raja-Raja untuk merestui penubuhan Malayan Union. Perspektif dan tafsiran sejarah ini amatlah perlu dinilai secara saksama – secara objektif. Tidaklah adil, jika Raja-Raja digambarkan sebagai bersubahat dengan Inggeris untuk menjayakan rancangan penubuhan Malayan Union.
10. Dato Onn Jaafar (Allahyarham) tercatat dalam tinta sejarah berhasil menyatupadukan bangsa Melayu melalui tindakan yang teratur lagi tersusun. Dato Onn merupakan wira bangsa, memimpin secara berkesan gerakan membatalkan usaha penubuhan Malayan Union. Kemuncak penyatuan bangsa tersebut adalah usaha Dato’ Onn menghadap Raja-Raja Melayu di Station Hotel di Kuala Lumpur. Kebijaksanaan Dato’ Onn telah menghasilkan penyatuan pendirian antara Raja dan rakyat, lalu secara bersama menentang rancangan penubuhan Malayan Union. Sesungguhnya Dato’ Onn memilih pendekatan yang bersumberkan semangat permuafakatan, dilandaskan kepada semangat sumpah setia Raja dan rakyat, yang sekian lama terijab kabul. Kebijaksanaan pendekatan kepimpinan tersebut, menghayati semangat bersatu teguh – bercerai roboh, telah memberi kemenangan kepada bangsa – kemenangan kepada negara; ular dimatikan, buluh tidak patah, tanah jua tidak lekuk.
11. Persepakatan Raja dan rakyat yang dibina semula oleh Dato Onn telah diperkukuhkan oleh Tunku Abdul Rahman. Ini terbukti melalui rombongan merundingkan kemerdekaan dengan Kerajaan Inggeris yang diwakili oleh wakil Raja-Raja Melayu bersama barisan pemimpin yang mewakili rakyat; Raja dan rakyat kembali bersatu dalam fikiran – bersatu dalam tindakan; bersama dalam bergerak – bersama dalam melangkah; persepakatan yang memudahkan tuntutan kemerdekaan dapat dicapai.
12. Demikianlah sifat dan sikap, pendekatan dan kematangan, kebijaksanaan dan kearifan seorang pahlawan berjiwa dan bersemangat jati Melayu, mencerminkan keperibadian luhur seorang pemimpin yang berbudaya lagi bertamadun, secara penuh beradab lagi bersopan, menyelamatkan bangsa, menyelamatkan Raja, menyelamatkan negara. Kejayaan Dato’ Onn menyatukan Raja dan rakyat, telah membuatkan ada di antara Raja-Raja menitiskan air mata, kagum, menghargai semangat, menghargai kesetiaan, seorang pahlawan Melayu sejati, lalu bara semangat bangsa semarak menyala, membakar hangus hasrat Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union. Demikianlah nilai semangat kesatuan yang dapat membina satu kekuatan, menyelamatkan bangsa – menyelamatkan negara.
13. Lalu terbinalah sistem berkerajaan dan bernegara yang kukuh lagi harmoni di bumi ini hingga membawa kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Sebuah negara bangsa yang berpegang kepada prinsip keadilan berlandaskan kedaulatan undang-undang, mementingkan perpaduan – mementingkan kerjasama, mengutamakan permuafakatan – mengutamakan perundingan. Sebuah negara bangsa yang harmoni berlandaskan institusi Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, diimbangkan antara kuasa perundangan, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman; yang menjadi penentu kepada sistem berkerajaan dan bernegara yang adil lagi saksama, menjadi tempat bumi dipijak – langit dijunjung oleh warga dari pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa, hidup dalam naungan keberkatan ILAHI, makmur lagi sejahtera, rukun lagi damai.
14. Raja-Raja Melayu kekal menjadi ketua kepada sembilan negeri. Bersama Yang Di Pertua dari empat buah negeri, forum yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja telah diwujudkan, membolehkan Raja-Raja berperanan secara lebih berstruktur mengikut semangat Perlembagaan. Majlis Raja-Raja ditubuhkan melalui mesyuarat pertama yang berlangsung di Kuala Kangsar pada 13 Julai 1897. Majlis Raja-Raja merupakan institusi perlembagaan tertua di negara ini, mendahului perlembagaan negara itu sendiri. Majlis Raja-raja merupakan satu warisan, satu sejarah, satu keunikan kerana Majlis tersebut merupakan satu-satunya institusi yang terdapat di dunia; menerima dan mengamalkan lunas-lunas syura dalam Islam serta diubah suai mengikut prinsip perundingan dan demokrasi dalam memenuhi fungsi dan tugas.
15. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang dipilih secara demokratik dalam Majlis Raja-Raja ialah seorang Raja berdaulat, mempunyai kedudukan tertinggi dalam Persekutuan. Baginda adalah lambang negara, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tunggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan. Baginda juga merupakan payung naungan kepada cabang perundangan, cabang eksekutif dan cabang kehakiman. Baginda adalah pemerintah tertinggi angkatan tentera, pelindung agama Islam, dalam ruang lingkup peranan yang diperuntukkan oleh perlembagaan.
16. Institusi Raja adalah salah satu prinsip utama dalam Rukun Negara. Institusi Raja dapat memberikan kestabilan dengan memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang, di samping memastikan prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman terus dapat dipertahankan. Kerana itu amatlah penting bagi kepimpinan istana membina satu keyakinan akan kedudukan tertinggi sebagai Ketua Negara yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan, dengan senantiasa mengamalkan sikap berkecuali supaya dapat terus menjadi payung tempat rakyat bernaung.
17. Kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat Raja-Raja bergantung pada citra serta keutuhan Raja-Raja Melayu. Penghormatan dan kemuliaan kepimpinan DiRaja berlaku secara dua hala, dalam semangat perjanjian antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun, bahawa Raja Adil – Raja disembah. Pendemokrasian pendidikan telah melahirkan masyarakat lebih terbuka. Rakyat semakin terdedah dengan sumber maklumat dan berada dalam kedudukan yang berupaya membuat penilaian terhadap Institusi Raja. Kerana itu jugalah ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang dari Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980, Paduka Seri Ayahanda Beta, Raja Azlan Shah, yang ketika itu masih menjawat jawatan Ketua Hakim Malaya, telah secara terbuka memperingatkan bahawa
Quote
‘Selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati institusi beraja, selama itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium’.
Unquote
18. Kata-kata tersebut menjadi pedoman hidup Beta selama ini. Bahawa Raja dan kerabat DiRaja hari ini, tidak lagi bersemayam secara isolasi dalam batasan perkarangan istana. Melalui pendedahan pendidikan berserta pendedahan kepada teknologi maklumat dan komunikasi, Raja turut berpeluang mengikuti pelbagai peristiwa dunia secara langsung tanpa tapisan. Perhubungan rakyat dengan Raja tidak lagi terbatas kepada sekumpulan pembesar istana. Ini adalah satu perkembangan sihat untuk membolehkan Raja memahami realiti, bahawa darjat dan daulat seseorang Raja tidakkan bulat datang menggolek – tidakkan pipis datang melayang. Raja perlu membuktikan satu piawai pencapaian, mempamerkan perilaku dan keperibadian yang sejajar diberikan kemuliaan.
19. Sejarah menunjukkan bahawa darjat dan daulat seseorang Raja di zaman silam, disandarkan kepada kebijaksanaan Raja menguasai ilmu, hingga membolehkan Raja melaksanakan pemerintahan dengan arif lagi berkesan. Istana berperanan besar dalam mengembangkan ilmu dan pengetahuan, melahirkan cendekiawan dan pendeta. Adalah menjadi kebanggaan Raja mempunyai barisan pembesar yang berilmu, berpengetahuan dan berpengalaman supaya Raja mendapat sebaik-baik nasihat dalam menjalankan urusan negeri. Di zaman Kesultanan Melayu, istana merupakan gedung khazanah ilmu dan pusat perkembangan ilmu, tempat cerdik pandai dipilih untuk diberikan tanggung jawab utama, berkhidmat membantu Raja melaksanakan urusan negeri. Istana merupakan tempat terkumpulnya ulama dan ilmuwan. Undang-undang digubal – dikuatkuasakan. Istana adalah tempat timbang tara kepada perselisihan dan pertikaian. Istana adalah tempat mencorakkan sistem pemerintahan.
20. Kerana itu Raja sangat menyedari akan kepentingan peranan ilmu dan pengetahuan untuk mengupayakan sistem berkerajaan dapat berfungsi secara cekap lagi berkesan. Membangunkan institusi ilmu terbukti adalah antara perkara yang diberikan perhatian oleh Raja. Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Penubuhan Kolej Tunku Kursiah, Penubuhan Sultan Idris Training College, adalah hasil dari tuntutan Raja-Raja. Tabung pendidikan dan tabung biasiswa ditubuhkan di setiap negeri atas titah Raja-Raja. Perhatian berat Raja-Raja terhadap pendidikan begitu ternyata apabila Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor berserta Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Johor, beserta Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, mencemar duli berangkat ke Raffles College di Singapura, untuk menyaksikan acara bersejarah penubuhan Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949. Hari ini, perkenan Raja-Raja memenuhi peranan Canselor kepada universiti-universiti adalah satu penerusan dan kesinambungan kepada peranan Raja di bidang ilmu. Sewajarnyalah Raja terus menjadi lambang kepimpinan pengetahuan dan berada di mercu singgahsana keilmuan.
Para peserta konvensyen,
21. Sesungguhnya takhta merupakan suatu institusi yang termaktub di dalam perlembagaan. Sebelum perlembagaan dan undang-undang wujud, Raja yang bertakhtalah secara perundingan dengan pembesar istana menggubal perlembagaan dan undang-undang. Undang-Undang Melaka telah digubal oleh Raja yang bertakhta satu kurun sebelum didatangi penjajah Portugis. “Undang-Undang 99’ digubal oleh Raja yang mula bertakhta di negeri Perak. Nyatalah pemerintah Kesultanan Melayu itu sendiri didasarkan kepada sistem kerajaan berperundangan dan telah lama mengamalkan konsep demokrasi. Budaya demokrasi, budaya berperlembagaan, sesungguhnya telah sedia berakar dan subur berumbi di bumi Melayu.
22. Struktur institusi Raja di negeri Perak memperkukuhkan hujah akan telah lama wujudnya amalan demokrasi yang menjadi pegangan dan amalan Kesultanan di negeri Perak. Peranan Dewan Negara yang menentukan pelantikan seseorang Sultan apabila berlaku kekosongan, kewujudan bakal-bakal Sultan, kewujudan gelaran Raja-Raja Bergelar, diperkukuhkan pula dengan kewujudan Orang Besar Empat, Orang Besar Delapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua; dengan diberi tanggung jawab mewakili Sultan dan mewakili rakyat di setiap Jajahan adalah hakikat yang memperlihatkan satu sistem perwakilan yang cukup tersusun, cukup demokratik dan cukup komprehensif telah lama diamalkan dalam budaya Melayu berkerajaan dan bernegara.
23. Sejarah turut memberi pengajaran bahawa takhta yang telah tinggal dalam sejarah adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar-pembesar istana yang tidak bertanggung jawab, yang menyalah gunakan nama mulia seseorang Raja. Mereka mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan kepentingan negara. Sejarah juga merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta secara mengambil kesempatan berteduh di bawah payung kuasa dan naungan takhta. Seyogia diingatkan bahawa perbuatan sedemikian tidaklah berlaku hanya kepada kepimpinan istana malah turut berlaku dalam segala bentuk pemerintahan termasuk di era moden berkerajaan dan bernegara, baik di dalam apa sistem sekalipun, meski di barat mahupun di timur.
24. Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja bergantung kepada kelemahan dan kekuatan rakyat terutama di kalangan yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat kepada Raja. Sejarah memperlihatkan kebijaksanaan seorang Bendahara bernama Tun Perak yang mempamerkan ketegasan, namun kekal dalam sopan dan santun, dengan tertib dan adab, berdatang sembah kepada Sultan Melaka bahawa tidak akan bertuankan Raja Muhammad, kerana telah membunuh anak beliau. Lalu Sultan Melaka pula melandaskan keputusan kepada undang-undang, meski melibatkan darah dan daging sendiri, dengan hati yang berat menjatuhkan hukum, menghantar putera kesayangan Baginda ke negeri Pahang. Hikayat juga mengesahkan kebijaksanaan Bendahara, secara halus mengingkari titah Sultan dengan tidak melaksanakan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah lambang adab dan tertib, dalam mengendalikan urusan-urusan yang rumit lagi kusut, tanpa mengorbankan prinsip, berpandukan amalan budaya, memastikan rambut tidak putus, tepung juga tidak berkocak.
25. Cebisan dari hikayat-hikayat lama dipetik untuk dijadikan renungan dan dijadikan sebaik pengajaran. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui hubungan komunikasi yang berkesan. Beta yakin jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluaskan dan hubungan baik dapat diakrabkan.
26. Raja dalam mencapai keputusan bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan. Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat. Oleh itu amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat, secara objektif berlandaskan kebenaran dan fakta. Adalah penting untuk barisan yang dipertanggung jawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam pujian.
27. Dalam hubungan ini, Beta bersyukur dalam usia Beta meraut kematangan dan dalam perjalanan Beta menimba pengalaman, Beta mendapat panduan dan nasihat yang ikhlas dari kalangan pembesar negeri, baik dari kalangan ulama mahupun dari kalangan umarak. Beta amat menghargai panduan dan pandangan yang disembahkan dari masa ke masa oleh Orang Kaya Bendahara Sri Maharaja, ayahanda Tun Syed Zahiruddin yang berperanan besar memastikan darjat takhta KeSultanan Perak kekal berdaulat.
28. Kerjasama erat antara Baginda Sultan dan Kerajaan Negeri serta hubungan kasih antara Raja dan rakyat di negeri Perak jelas terjalin. Untuk itu Beta amat menghargai kearifan dan kebijaksanaan Memanda Menteri Besar, Dato’ Seri Di Raja Mohammad Tajol Rosli yang telah memberikan pimpinan berkesan hingga berjaya membina satu keharmonian hubungan antara institusi Raja dan institusi rakyat. Pimpinan bijaksana lagi berkesan tersebut banyak membantu meningkatkan keprihatinan institusi Istana terhadap rakyat dan pada masa yang sama meningkatkan daulat dan kebesaran Raja Pemerintah dengan adanya sokongan padu dari rakyat jelata.
29. Para mahasiswa satu hari nanti akan berperanan dalam pelbagai kapasiti untuk menjadi penasihat kepada pemimpin, malah dalam masa yang tidak terlalu jauh berpeluang menjadi pemimpin. Ketika menjadi penasihat, amalkanlah sifat amanah dan bertanggung jawab, bersifat jujur – bersifat ikhlas, mengutamakan kepentingan umum dari kepentingan diri. Sampaikan suara dan nasihat berlandaskan kenyataan dan kebenaran dengan cara beradab – cara bersopan, mempamerkan kekayaan budaya bangsa yang bertamadun. Apabila diangkat menjadi pemimpin, berhati-hati dengan pujian, jangan terlalu ghairah dengan berita gembira, jangan cepat amarah dengan cerita duka, kerana kebenaran adalah satu hakikat, tidak semestinya semua berunsur gembira. Jangan terlalu ghairah menghisap madu, jangan terlalu cepat membuang hempedu. Berhatilah dengan mereka yang terlalu memuji, hargailah sama kepada teguran betapa pahit sekalipun untuk ditelan.
30. Semoga Konvensyen ini dapat mempertemukan pelbagai pandangan dan pendapat dan menghasilkan rumusan yang dapat menjadi suluh dan panduan kepada kehidupan yang lebih sejahtera.
31. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Mahasiswa Anak Perak 2004.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**************************