“INSTITUSI RAJA :
MEMPERKUKUH IDENTITI BANGSA –
MEMPERTEGUH PERPADUAN WARGA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Segala puji milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah menentukan darjat dan kemuliaan serta tugas dan tanggung jawab di kalangan makhluk Nya. Ya Allah, Tuhan yang memerintah semesta alam, hamba Mu melafazkan kalimah kesyukuran atas anugerah rahmat Mu memungkinkan hamba Mu menjejak kaki di Majlis ini. Dipohonkan dari Mu jua Ya Allah akan petunjuk dan bimbingan, membolehkan hamba Mu ini, menyempurnakan satu tanggung jawab sebaik mungkin, berpandukan pengetahuan yang masih terbatas – bersandarkan pengalaman yang masih cetek; dengan segala keinsafan lagi penuh kesedaran bahawa masih begitu banyak kelemahan dan kekurangan yang terdapat pada diri Hamba Mu ini.
2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.
3. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya jua, Beta dapat berangkat ke Konvensyen Perdana anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri untuk menzahirkan Titah Utama atas tema ‘Institusi Raja: Memperkukuh Identiti Bangsa – Memperteguh Perpaduan Warga’
4. Sistem kepimpinan beraja[1] adalah antara sistem kepimpinan yang tertua di dunia. Sistem kesultanan juga adalah sebahagian dari sistem berkerajaan dan budaya bernegara dalam sejarah kepimpinan Islam. Pada awal kurun kesembilan belas, terdapat lebih dari 900 buah takhta kerajaan dalam dunia, menurun kepada 240 buah dalam abad kedua puluhan.
5. Pada dekad kelapan abad kedua puluh, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Takhta yang kekal itu kesemuanya telah dapat menyesuaikan pendekatan dan peranan dengan corak dan bentuk berkerajaan dan bernegara dalam bentuk kontemporari – sistem berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan prinsip Perlembagaan. Nyatalah sistem Beraja telah menghadapi evolusi secara dinamik, dibina semula dan mentafsir kembali kewujudannya sejajar dengan perkembangan dunia semasa. Bahawa peranan Raja Pemerintah kini telah diinstitusikan secara formal. Ini membantu Institusi Raja kekal relevan memenuhi peranan sebagai instrumen penyatuan dalam dunia yang senantiasa berubah.
6. Di rantau ini, Raja-Raja Melayu yang bertakhta di singgahsana kerajaan, memberikan identiti akan sejarah Kerajaan Melayu dan kewujudan Alam Melayu. Kerajaan Melayu dan Alam Melayu bertapak sejak zaman Kerajaan Funan pada kurun pertama Masihi dan Kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang Sumatera pada kurun ketujuh Masihi. Alam Melayu di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu itu merangkumi kawasan dan wilayah di Selatan Thailand, di Langkasuka, di Majapahit, di Mentaram, di Brunei, di Campa hingga kepada era kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Melaka di abad ke lima belas.
7. Kesultanan Melayu Islam berjaya menjana tamadun bangsa dalam sistem politik, perundangan, keilmuan, kecendekiawanan dan kesusasteraan di Alam Melayu melalui tamadun yang telah dibina. Kerajaan silih berganti tetapi setiap kerajaan berkembang meneruskan tradisi – mengekalkan identiti bangsa. Kesultanan Melayu itu adalah satu realiti – satu manifestasi – satu lambang keagungan tamadun bangsa.
8. Hari ini hanya tiga negara di dunia yang masih dikuasai oleh pemerintahan Melayu. Pertama, sebuah Kesultanan di Brunei, kedua, sebuah Republik di Indonesia dan ketiga, sebuah Kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia.
9. Dalam konteks negara ini, sistem Kerajaan Raja Berperlembagaan adalah satu kesinambungan kepada semangat berkerajaan dan bernegara yang telah sedia berakar di bumi ini – semangat yang subur sebati di kalangan bangsa Melayu tetapi juga tidak asing kepada kumpulan etnik lain. Kaum-kaum Cina dan India turut mempunyai sejarah yang lama lagi panjang dengan budaya kepimpinan berasaskan Raja. Sesungguhnya institusi Raja adalah sebahagian dari budaya warisan bangsa Melayu dan warga Malaysia.
10. Paduka Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah dalam pidato Baginda ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Persuratan (Kehormat) oleh Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, telah menzahirkan kata-kata berikut:
Quote:
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga Wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan ‘Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Perkataan ‘Malaysia’ itu sendiri pun mempunyai erti Melayu dalam erti ‘Melayu Raya’. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-Negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.”[2]
Unquote.
11. Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan Melayu di tanah dan air warisan bangsa. Atas fahaman tersebut, Tunku Abdul Rahman (Almarhum) ketika merangka formula membentuk kerajaan, mengasaskan sistem berkerajaan dan bernegara atas landasan yang menggabungkan institusi Raja dan institusi rakyat. Konsep Raja Berperlembagaan memberikan wajah baru kepada institusi yang telah lama berakar di bumi ini. Formula yang dipilih oleh Tunku Abdul Rahman (Almarhum), sebenarnya berpegang teguh kepada semangat permuafakatan yang telah sekian lama termeterai antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun – satu kontrak sosial antara Raja dengan rakyat serta rakyat dengan Raja. Satu ramuan persefahaman yang menjalin talian hubungan lalu membina rangkaian kerja yang harmonis lagi seimbang.
12. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu. Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu merasa tergugat akan kedudukan mereka dalam entiti politik di sebuah negara yang komposisi warganya bukan sahaja terdiri dari pelbagai kaum dan pelbagai agama juga mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan satu jaminan yang meyakinkan; bahawa kedudukan mereka sebagai rakyat peribumi tidak terancam dan tidak tergugat. Faktor-faktor agama, bangsa, bahasa dan budaya di samping taraf pencapaian sosioekonomi merupakan komponen penting yang mempengaruhi jiwa dan pemikiran bangsa ketika itu.
13. Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu. Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Perlembagaan Merdeka telah memperkukuhkan kedaulatan Raja-Raja dengan memaktubkan secara tersurat klausa-klausa berhubung Raja. Di samping mengekalkan tradisi Kesultanan di peringkat negeri, satu lapisan sistem Beraja di peringkat persekutuan telah diperkenalkan sekali gus mengangkat institusi Raja ke altar yang lebih tinggi.
14. Keyakinan bangsa diperkukuhkan apabila diperkenalkan konsep Ketua Negara – dikenali sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan hanya boleh diisi dari kalangan Raja-Raja Melayu. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah institusi yang mewakili Raja sementara rakyat diwakili oleh institusi Parlimen. Lalu terbinalah sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Institusi Raja diberikan peranan penting sebagai pelengkap untuk memenuhi aspirasi bangsa – untuk menangani kegelisahan rakyat. Institusi Raja berupaya memberikan satu keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa dan melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja menjadi lambang penyatuan dalam kepelbagaian.
15. Adalah hakikat yang tidak dapat disanggah bahawa bumi ini adalah bumi Melayu pada asalnya, bumi yang telah mencipta satu tamadun – membina satu budaya bangsa yang dikenali sebagai Melayu. Namun realiti juga tidak membolehkan bumi ini secara eksklusif milik bangsa Melayu. Komposisi rakyat Malaysia kini terdiri dari warga pelbagai kaum – pelbagai agama. Raja bertanggung jawab memberi naungan kepada setiap warga yang memperlihatkan kesetiaan kepada Negara serta bersedia menerima hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik berteraskan Melayu.
16. Raja juga telah dimaktubkan sebagai ketua agama Islam. Peranan ini telah diwarisi sejak era Kesultanan Melayu Islam dan tidak pernah dipindahkan bidang kuasanya. Islam adalah petunjuk moral kepada pemerintahan yang harus diterjemahkan melalui sifat adil lagi saksama, tidak melakukan kezaliman – tidak melakukan penindasan – nilai yang sejagat sifatnya – nilai yang terkandung dalam semua agama.
17. Ajaran Islam begitu sebati dengan institusi Kesultanan Melayu kerana telah sedia terkandung perselarian nilai dan amal yang dianjurkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan di era Kesultanan Melayu. Undang-undang Melaka[3] umpamanya menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan itu dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab. Terkandung di dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlulah mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas kasihan. Sifat-sifat pengampun dan belas kasihan adalah antara sifat yang diutamakan di dalam Islam seperti yang diulangkan di dalam kitab al Quran sebanyak 114 kali. Setiap surah di dalam al Quran, melainkan surah ‘At Taubah’ dimulakan dengan kalimah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’[4] – dengan nama Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.
18. Keyakinan rakyat terhadap Institusi Raja terbina hasil dari kebijaksanaan institusi berkenaan memenuhi pengharapan rakyat. Raja dalam memenuhi peranan telah secara bijaksana berjaya memahami denyut nadi dan denyut jantung rakyat yang berada di bawah naungan terutama perkara-perkara yang dianggap tidak membawa kebaikan kepada anak bangsa dan anak negeri.
19. Raja-Raja Melayu mengikuti secara dekat perkembangan yang berlaku bukan sahaja di negeri masing-masing malah di dunia luar. Dasar British yang membuka secara luas kepada para pelabur asing dan kemasukan imigrasi pelbagai bangsa sejak kurun kesembilan belas sehingga pertengahan kurun ke dua puluh, dilihat sebagai pencabar utama kepada ketuanan Melayu. Raja-Raja Melayu pernah menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada tahun 1948 berasaskan kebimbangan Duli-Duli Tuanku itu terhadap apa yang dilakukan oleh Henry Gurney ketika bertugas sebagai Setiausaha Negara di Palestin terhadap penduduk Arab.[5] Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950, menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.[6]
20. Dalam pada itu, amalan kesaksamaan kepada rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa adalah sebahagian dari sifat dan citra Raja Melayu. Kesultanan Melayu Melaka mengiktiraf bahawa kemajuan, kemakmuran, perkembangan intelek sesebuah negara bangsa harus didukung bersama antara pembesar istana, dagang dan senteri serta rakyat jelata baik dari anak negeri mahupun oleh orang luar. Kerana itu Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan dasar perdagangan terbuka lagi bebas dan menggalakkan berlakunya perkembangan intelek dan keilmuan asalkan Raja, adat resam dan undang-undang Melaka dihormati. Di puncak kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, terdapat 80 bahasa yang dipertuturkan di kota pelabuhan tersebut. Melaka merupakan kota kosmopolitan, mempertemukan pedagang timur dan barat – mempertemukan budaya timur dan barat, mempertemukan ilmu timur dan barat.
21. Dalam usaha memperkukuh identiti bangsa, jaminan-jaminan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak membawa erti tanpa didukung dengan rangka kerja strategik dan usaha perlaksanaan secara bersungguh. Kerana itu selepas 12 tahun mencapai kemerdekaan kerana kelekaan dalam melaksanakan program pengukuhan bangsa – negara bergolak. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah letusan reaksi bangsa kepada keadaan ketidak seimbangan dalam agihan hasil kemakmuran selepas negara mencapai kemerdekaan. Kepimpinan politik negara terkejut – disedarkan dari mimpi riang kemerdekaan. Rangka kerja baru diperkenalkan melalui program Dasar Ekonomi Baru untuk mengimbangkan agihan kekayaan di kalangan warga.
22. Dasar Ekonomi Baru adalah dasar yang mendapat perkenan dari Raja-Raja Melayu. Dasar tersebut adalah selaras dengan semangat klausa 153 Perlembagaan, membolehkan kuasa eksekutif melaksanakan pelbagai program untuk kepentingan bangsa. Anak bangsa dibantu untuk menjadi komponen perisian bermakna bagi menjayakan dasar tersebut. Dasar tersebut berhasrat memperkukuh identiti bangsa secara hakiki. Anak bangsa diangkat – ditempatkan mengisi pelbagai jawatan stratigik. Pelbagai peluang diciptakan dalam program mahu mengangkat martabat bangsa. Anak bangsa yang berjaya diharapkan dapat membawa kesan limpahan supaya tahap pencapaian bangsa mencapai kesan perkembangan geometrik. Sudah 34 tahun Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Tidak boleh dinafikan bangsa telah sampai ke tahap pencapaian yang lebih baik dari hari semalam. Namun bangsa tetap bersuara resah bila mengukur tahap pencapaian secara relatif dengan keseluruhan warga Malaysia.
23. Penilaian secara objektif lagi berani perlu segera dilakukan terhadap perlaksanaan program untuk memperkukuhkan kedudukan bangsa. Penilaian dari segi peluang yang disediakan hendaklah disandarkan kepada tahap pencapaian sebenar: tentang kemungkinan berlakunya ketirisan dan dikenal pasti faktor di sebalik berlakunya ketirisan.
24. Apakah pencapaian secara kuantiti turut diperlengkapkan dengan pencapaian berbentuk kualiti. Apakah kualiti dari segi sistem penyampaian dan mutu perkhidmatan telah bertambah baik. Apakah tahap pengurusan, penyelenggaraan dan kecekapan yang dicapai hari ini jauh lebih baik dari era pra Dasar Ekonomi Baru. Apakah pelaksana dasar yang terdiri dari anak bangsa membuktikan ketelitian dan kerapian. Apakah penumpuan lebih banyak menghala kepada rupa bentuk dari kandungan yang lebih bererti. Apakah integriti dari segi ketelusan, rasuah, penyalah gunaan kuasa sudah sampai ke tahap yang tidak dipertikaikan lagi. Banyak lagi persoalan yang boleh disuarakan dan begitu banyak pertikaian yang perlu dirungkai.
25. Pengukuhan identiti menuntut kepada satu tahap piawaian pencapaian yang tinggi – melibatkan isi – melibatkan kualiti – melibatkan kompotensi – melibatkan produktiviti. Bangsa dituntut mencatat prestasi pencapaian yang boleh dijadikan mercu kebanggaan dengan menjelmakan barisan bangsa yang berupaya berdiri tegap di bumi. Bangsa perlu disemai jati diri yang sejati – punya maruah – punya harga diri, tidak boleh dijual beli – tidak mungkin boleh tergadai.
26. Bangsa kini bagaikan lemas menghadapi sistem nilai – bagaikan tergoyang menghadapi godaan kebendaan. Semangat bangsa bagaikan rapuh dalam menghadapi kekencangan angin globalisasi. Bangsa bagaikan tidak konsisten antara ungkapan dengan perbuatan – antara kalam di lidah dengan bisikan di hati. Dalam ketidaksenangan bangsa kepada kehadiran warga asing anak bangsa sendiri memilih untuk menganggur dan membiarkan begitu ramai tenaga asing menampung keperluan tenaga manusia di dalam negara. Dalam jeritan menuntut diberikan bantuan, peluang yang disediakan kelihatan dipersia-siakan.
27. Kukuh atau lemahnya bangsa bergantung kepada bangsa itu sendiri. Allah telah berfirman bahawa nasib sesuatu bangsa itu ditentukan oleh bangsa itu sendiri. Jangan disalahkan ibu mengandung ketika bangsa kembali gusar. Bangsa perlu melakukan perekayasaan (reengineering) minda. Minda perlu diperkukuhkan dalam menghadapi gelombang globalisasi. Bangsa harus bangun dengan azam – dengan tekad, secara jujur – secara ikhlas melahirkan lebih ramai pendekar bersemangat Hang Tuah untuk menghadapi era globalisasi yang menuntut kepada daya saing. Hang Tuah adalah pendekar Melayu yang membina kekuatan sendiri sebelum mendapat pengiktirafan Raja. Bersandarkan kekuatan yang sedia terbina, diperlengkapkan dengan pengiktirafan Raja, Hang Tuah berupaya bersaing di peringkat serantau dan di peringkat global baik secara fizikal, baik dari sudut spiritual – demikian jua di peringkat intelek mahupun dalam muslihat. Hang Tuah bernaung dibawah payung Raja tetapi tidak selamanya berteduh di bawah payung kerana takut dibakar panas – kerana bimbang dibasahi hujan. Kekuatan Hang Tuah tidak luntur ketika dimurkai Sultan sewaktu membawa diri bersembunyi di Hulu Melaka. Malah dalam saat pahit dan getir, Hang Tuah tidak sama sekali tergoyang dari semangat kesetiaan kepada bangsa, kepada Raja dan kepada negara. Hang Tuah cekal dan kekal dengan kesetiaan kepada perjuangan baik di masa senang begitu juga di masa susah.
28. Kejayaan Hang Tuah dilandaskan kepada disiplin – dibina atas kesungguhan – diperkukuhkan dengan kecekalan – diperhebatkan dengan kearifan. Hang Tuah tekad melaksanakan tugas atas nama Raja – atas nama negara – atas nama bangsa. Hang Tuah cekal menuntut ilmu – tekun mengharungi pengalaman, melengkapkan diri dengan kekuatan zahir dan kekuatan batin – kekuatan akal dan kekuatan dalaman. Hang Tuah tidak membina kekayaan diri dan kekayaan keluarga. Hang Tuah adalah lambang kekuatan – lambang kesetiaan kepada perjuangan.
29. Bangsa perlu mengambil pengajaran. Cabaran ekonomi dunia berpaksikan pengetahuan memerlukan bangsa menumpukan agenda pengisian minda dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran. Mengutamakan ilmu dan mementingkan pengetahuan adalah sebahagian dari budaya Melayu. Sejarah menunjukkan bahawa darjat dan daulat seseorang Raja di zaman silam, disandarkan kepada kebijaksanaan Raja menguasai ilmu, hingga membolehkan Raja melaksanakan pemerintahan dengan arif lagi bijaksana. Istana berperanan besar mengembangkan ilmu dan pengetahuan, melahirkan cendekiawan dan pendeta. Istana merupakan gedung khazanah ilmu dan pusat perkembangan ilmu, tempat cerdik pandai dipilih untuk diberikan tanggung jawab utama, berkhidmat membantu Raja melaksanakan urusan negeri. Istana merupakan tempat terkumpulnya ulama dan ilmuwan.
30. Kerana itu Raja sangat menyedari akan kepentingan peranan ilmu dan pengetahuan untuk mengupayakan sistem berkerajaan dapat berfungsi secara cekap lagi berkesan. Membangunkan institusi ilmu adalah antara perkara yang diberikan perhatian oleh Raja. Penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Penubuhan Kolej Tunku Kursiah, Penubuhan Sultan Idris Training College, adalah hasil dari tuntutan Raja-Raja. Tabung pendidikan dan tabung biasiswa ditubuhkan di setiap negeri atas titah Raja-Raja. Perhatian berat Raja-Raja terhadap pendidikan begitu ternyata apabila Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Kelantan, Perlis, Pahang, Selangor berserta Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pemangku Raja Johor, serta Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu, mencemar duli berangkat ke Raffles College di Singapura untuk menyaksikan acara bersejarah penubuhan Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949.
31. Bangsa yang telah kukuh identitinya akan menjadi lebih yakin – lebih bersedia – lebih berani menghadapi persaingan. Kekuatan dalaman akan mengupayakan bangsa sampai ke tahap jatuh ke tanah menjadi bukit – jatuh ke air menjadi pulau. Bangsa yang kekuatannya berupaya mencipta kejayaan, tentunya tidak lagi dipandang rendah.
32. Ketika itu klausa-klausa yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan istimewa bangsa serta naungan Institusi Raja hanyalah berfungsi sekadar ‘supplement’ kepada batang tubuh yang sedia sihat dan kuat. Ingatlah! Kekuatan bangsa tidak boleh dibina semata-mata dengan ‘supplement’. Bahawa pendekatan yang menekankan kepada pergantungan ‘supplement’ akan hanya membina kekuatan palsu. Dibimbangkan batang tubuh akhirnya bertambah lemah kerana berlakunya sindrom pergantungan ataupun ‘dependency syndrom’. Kegagahan Hang Tuah tidak bergantung semata-mata kepada kesaktian ‘Taming Sari’ kerana Hang Tuah adalah ‘Hang Tuah’ dan ‘Taming Sari’ hanya berperanan mengsaktikan batang tubuh yang telah sedia kuat.
33. Program mengilmukan bangsa perlu diberikan fokus. Institusi pendidikan baik yang dilaksanakan oleh kerajaan mahupun swasta, baik aliran kebangsaan mahupun aliran agama hendaklah menekankan aspek kualiti. Kurikulum perlu digubal untuk memenuhi keperluan semasa. Kini dunia berada dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Institusi pendidikan adalah tapak semaian pembangunan minda dan pembangunan intelek. Bahawa usaha membangunkan anak bangsa itu adalah satu perjuangan. Tumpuan sepenuhnya hendaklah dijurus kepada penekanan kualiti. Prasarana pendidikan dari segi lokasi, saiz, tenaga penggerak dan tenaga akademik hendaklah dibangunkan berasaskan penilaian yang selaras dengan matlamat mencapai kualiti. Anak-anak didik tidak harus dijadikan bahan eksperimen dan mangsa kepada muslihat-muslihat lain.
34. Saudara-saudari terlibat secara langsung dalam proses menentukan input kepada Rancangan Pembangunan Negara. Perlu diingat bahawa peralatan senjata dalam peperangan dunia kedua tidak mungkin membawa kemenangan di era peperangan elektronik. Demikian jua formula mengubati masalah sosioekonomi di tahun tujuh puluhan tidak mungkin dapat menangani ujian di tahun 2005. Oleh itu, dalam memenuhi tanggungjawab merangka perancangan negara, saudara-saudari perlu bersifat dinamik, berani membawa perubahan radikal supaya Rancangan yang digubal dapat benar-benar memenuhi wawasan mengukuhkan identiti bangsa secara berkesan.
35. Bersemayam di takhta kerajaan sebuah negara yang aman lagi makmur adalah impian setiap Raja Pemerintah. Faktor perpaduan warga amatlah penting diutamakan. Plan integrasi nasional perlu mendapat sokongan dari setiap lapisan warga. Allah telah mencipta manusia dari lelaki dan perempuan, menjadikan berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya manusia berkenalan, beramah mesra antara satu sama lain.[7] Lebih awal manusia yang berbagai bangsa, dapat dimesrakan diantara satu sama lain, lebih mendalam dan lebih tulin dapat dijalinkan hubungan persaudaraan. Sebaik-baik tempat hubungan antara kaum itu dapat dijalinkan adalah di alam persekolahan. Sekolah kebangsaan dapat secara berkesan merealisasikan program integrasi nasional. Sekolah Kebangsaan perlulah diperlengkapkan dengan perkakasan dan perisian – dengan kepimpinan dan pengurusan, dengan kegiatan dan pendekatan yang dapat menarik keyakinan setiap warga Malaysia. Isu integrasi adalah isu nasional yang perlu didukung oleh setiap lapisan rakyat dari pelbagai kaum dan dari pelbagai fahaman politik. Perpaduan warga perlu dibina dari dalaman hingga tersemai rasa saling mempercayai – saling memahami – saling menghormati antara kaum. Warga yang berpadu lagi bersatu adalah aset penting untuk membantu membina sebuah negara maju yang stabil lagi makmur.
36. Kekuatan bangsa hari ini kelihatan terlalu bergantung kepada kekuatan politik. Kekuatan politik dalam sistem demokrasi boleh sementara sifatnya. Kekuatan politik boleh terancam jika berlakunya terlalu banyak pertelingkahan yang bukan sahaja tercetus di antara parti-parti politik Melayu malah turut berlaku di dalam sesebuah parti. Kekuatan politik akan berada dalam zon yang lebih membahayakan jika kuasa politik boleh dibeli dengan wang dan ringgit. Akan tergadailah prinsip dan matlamat perjuangan bangsa jika kuasa politik sudah boleh diperdagangkan.
37. Bahawa politik negara masih belum dapat dibebaskan dari sentimen perkauman. Isu perkauman masih timbul, masih digunakan oleh setengah pihak bagi meraih keuntungan politik. Isu agama turut diheret dalam gelanggang politik dalam usaha mencari pengaruh. Setiap satunya ini akan senantiasa menjadi ancaman kepada usaha memperkukuh identiti bangsa dan memperteguh perpaduan warga.
38. Dalam dinamik politik yang sedang berlaku, bertambah penting bagi Raja-Raja untuk berada diatas segala yang sedang berlaku – bersifat berkecuali supaya dalam keadaan berlakunya krisis, Institusi Raja dapat memberikan nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan. Sebagai payung negara, Institusi Raja perlu memberi naungan secara saksama kepada setiap warga. Sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung kepada adat Melayu, Institusi Raja bertanggung jawab memastikan kesucian agama tidak tercemar dan identiti bangsa kekal dilindungi. Untuk memenuhi peranan sedemikian payung tersebut yang menjadi lambang kedaulatan negara perlu dijaga secara baik.
39. Pada hemat Beta, atas semangat memelihara lambang kedaulatan negara, Hang Tuah memilih untuk mengorbankan sahabat kesayangannya walau dituduh melakukan kesetiaan melulu. Hang Tuah tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu penderhakaan – menentang perebutan kuasa. Hang Tuah bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan apalah ertinya lagi sebuah negara.
40. Beta senantiasa mengambil ingatan dan menjadikan pedoman ungkapan titah Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1975; “Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi berRaja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium”.[8] Baginda juga memperingatkan bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira Raja atau rakyat[9].
41. Beta senantiasa insaf bahawa kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat Raja-Raja bergantung pada citra serta keutuhan Raja-Raja Melayu. Penghormatan dan kemuliaan kepimpinan DiRaja berlaku secara dua hala, bahawa Raja Adil – Raja disembah. Pendemokrasian pendidikan telah melahirkan masyarakat lebih terbuka. Rakyat semakin terdedah dengan sumber maklumat dan berada dalam kedudukan yang berupaya membuat penilaian terhadap Institusi Raja.
42. Beta amat insaf bahawa Raja dan kerabat DiRaja hari ini tidak lagi bersemayam secara isolasi dalam batasan perkarangan istana. Melalui pendedahan pendidikan berserta pendedahan kepada teknologi maklumat dan komunikasi, Raja sama berpeluang mengikuti pelbagai peristiwa secara langsung tanpa tapisan. Perhubungan rakyat dengan Raja tidak lagi terbatas kepada sekumpulan pembesar istana. Ini adalah satu perkembangan sihat membolehkan Raja memahami realiti, bahawa darjat dan daulat seseorang Raja tidakkan bulat datang menggolek – tidakkan pipis datang melayang. Raja perlu membuktikan satu tahap pencapaian, mempamerkan perilaku dan keperibadian yang sejajar diberikan kemuliaan.
43. Beta mengambil pengajaran bahawa takhta yang kini tinggal dalam sejarah adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar-pembesar istana yang tidak bertanggung jawab, yang menyalah gunakan nama mulia seseorang Raja. Mereka mencari keuntungan bagi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan kepentingan negara. Sejarah juga merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta secara mengambil kesempatan berteduh di bawah payung kuasa dan naungan takhta.
44. Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja bergantung kepada kelemahan dan kekuatan rakyat terutama di kalangan yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat kepada Raja. Sejarah memperlihatkan kebijaksanaan seorang Bendahara bernama Tun Perak yang mempamerkan ketegasan, namun kekal dalam sopan dan santun, dengan tertib dan adab, berdatang sembah kepada Sultan Melaka bahawa tidak akan bertuankan Raja Muhammad, kerana telah membunuh anak beliau. Lalu Sultan pula melandaskan keputusan kepada undang-undang, meski melibatkan darah dan daging sendiri, menjatuhkan hukum, menghantar putera kesayangan Baginda ke negeri Pahang. Hikayat juga mengesahkan kebijaksanaan Bendahara, secara halus mengingkari titah Sultan dengan tidak melaksanakan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah lambang adab dan tertib, dalam mengendalikan urusan-urusan yang rumit lagi kusut, tanpa mengorbankan prinsip, berpandukan amalan budaya, memastikan rambut tidak putus, tepung juga tidak berkocak.
45. Cebisan dari hikayat-hikayat lama dipetik untuk dijadikan renungan dan dijadikan sebaik pengajaran. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui hubungan komunikasi yang berkesan. Beta yakin jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluaskan dan hubungan baik dapat diakrabkan dan Raja dapat berfungsi secara bijak lagi saksama.
46. Dalam merumuskan keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan. Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan budaya kepura-puraan. Oleh itu amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat, secara objektif berlandaskan kebenaran dan fakta. Adalah penting untuk barisan yang dipertanggung jawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam pujian.
47. Dalam mengharungi perjalanan dan memungut pengalaman memenuhi tanggung jawab institusi tersebut, Beta senantiasa mengambil pedoman akan amanat yang diturunkan turun temurun bahawa:-
‘Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul
Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang
Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil
Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata
Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak
Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata
Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja
Menjalankan pemerintahan dengan adil
Memelihara agama – Menjamin keamanan
Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam
Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini
Maka hancur musnahlah negara’
Semoga Raja Kita Selamat Bertakhta.
*************
- Terma ‘Raja’, ‘Sultan’, ‘Pemerintah’ dan ‘Takhta’ digunakan bersilih ganti dalam Kertas ini. ↑
- Raja Tan Sri Azlan Shah, “Pidato Konvokesyen Universiti Malaya”, 30 Jun 1979 ↑
- Teks Abad ke 14 ↑
- Kalimah Bismillahi Rahmani Rahim diulang dua kali dalam Surah An-Naml – pada permulaan Surah dan pada ayat 30. ↑
- Kumar Ramakrishna, “Emergency Propaganda, The Winning of Malaysian Hearts and Minds 1948-1958”, Curzon Press, Surrey, 2002, ms. 56. ↑
- Ibid ms 93 ↑
- Al- Quran, Surah Al-Hujurat- ayat 13 ↑
- Raja Tan Sri Azlan Shah, “Ucapan Wakil Siswazah Kehormatan”, Universiti Sains Malaysia, 25 Jun 1980 ↑
- Ibid ↑