Konvokesyen Universiti Malaya Bahagian Kedua

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Mengetahui dan Maha Menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya pada hari ini. Istiadat pagi ini merupakan Sesi Kedua dari sejumlah sembilan sesi Istiadat Konvokesyen Tahun 2004. Bagi tahun 2004, Universiti Malaya menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 7,404 orang graduan; 86 bagi Ijazah Doktor Falsafah, 1,257 Ijazah Sarjana, 5,905 Ijazah Sarjana Muda dan 148 Diploma.

3. Untuk Sesi pagi ini, seramai 787 orang graduan akan dianugerahkan ijazah peringkat Sarjana dalam bidang-bidang sastera, bahasa, pengajian Islam, ekonomi, perakaunan, sains dan teknologi, serta pelbagai disiplin dalam bidang perubatan. Di samping itu, seramai 95 orang graduan akan dianugerahkan ijazah Sarjana Muda bagi bidang pendidikan dan kesenian.

4. Istiadat Konvokesyen adalah satu tradisi Universiti yang penuh berwarna. Ia adalah saat dan ketika menggembirakan dan merupakan hari istimewa kepada setiap graduan; hari penuh kebanggaan kepada ibu bapa dan anggota keluarga. Istiadat Konvokesyen adalah satu pengiktirafan kepada ketekunan usaha yang telah dilaksanakan untuk sekian lama. Ini adalah ketikanya untuk mengimbas kembali hasil perolehan ketika berada di Universiti, terutama mengenang keikhlasan dan kesungguhan para pensyarah dan tenaga pengajar, serta sokongan dan doa dari ibu bapa dan keluarga. Lebih penting dari itu, adalah untuk para graduan merenung masa hadapan. Masa hadapan yang dapat memberikan satu pengharapan cerah untuk meraih peluang dan menghadapi cabaran dengan berbekalkan keupayaan intelek. Para graduan adalah barisan muka yang akan berperanan utama mengisi barisan kepimpinan negara baik di bidang sosial, di dalam perkhidmatan awam, di sektor swasta, mahupun di bidang politik.

5. Dalam setiap negara moden, universiti berperanan menyediakan prasarana pendidikan untuk membangunkan intelek warga. Tidak akan terbina sebuah negara yang bertamadun lagi moden tanpa prasarana pendidikan yang berkualiti. Di negara ini, program pendidikan telah menyediakan gagasan kukuh hingga Malaysia berjaya muncul sebagai salah sebuah ekonomi yang pesat membangun dan berkembang. Hari ini penumpuan diberikan kepada pendidikan berkualiti dalam hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.

6. Malaysia kaya dengan lapisan rakyat yang dinamik lagi berpotensi untuk menguasai dan menyerap ilmu, menyerap teknologi dan menyerap kemahiran baru. Dinamisme dan potensi tersebut tentu dapat ditransformasikan menjadi barisan sumber manusia bertenaga lagi produktif jika dapat diperlengkap dengan prasarana pendidikan yang baik dan fasilitator pendidikan yang ulung. Dengan Dasar Pendidikan Negara yang bijak lagi strategik, warga Malaysia akan dapat berada di barisan hadapan, menerokai perkembangan sains dan pembangunan teknologi di peringkat global di abad ini.

7. Universiti Malaya yang diambang mencapai usia seratus tahun penubuhannya, tentulah memiliki cukup kematangan dan pengalaman untuk menyediakan prasarana pendidikan dan barisan fasilitator pendidikan, membantu usaha negara menghadapi cabaran global dan liberalisme di abad ini; abad yang memperlihatkan kemajuan di bidang teknologi maklumat dan teknologi komunikasi- sekali gus memecah benteng hingga menjadikan dunia bagaikan tidak lagi ada tembok sempadan.

8. Pendidikan semakin bersifat sejagat. Universiti-universiti di Malaysia tidak harus berada di pinggiran. Universiti Malaya hendaklah mengambil langkah, terus membina daya saing, mengambil posisi sebagai satu pusat kecemerlangan pendidikan dalam pelbagai bidang. Program pengajian perlu terus dinilai dan diperkemas selaras dengan dinamik yang sedang berlaku di dunia hari ini. Program pengajian perlu disesuaikan dengan keperluan dan kehendak semasa dan sensitif kepada perubahan dan persekitaran. Secara kolektif tenaga akademik Universiti Malaya hendaklah bertunjangkan kekuatan kepada akar ilmu, pengetahuan dan pengalaman, disuburkan dengan hasil penyelidikan dan penerbitan berkualiti tinggi.

9. Bahawa keupayaan menguasai teknologi, kecekapan menangani pengurusan yang semakin kompleks dan kebijaksanaan melakukan inovasi akan menentukan tahap pencapaian kemajuan sesebuah negara. Negara yang kekal mengamalkan sistem pengurusan dan teknologi yang telah jumud dan tidak berani membuat anjakkan paradigma membawa perubahan, akan ketinggalan dan terpinggir. Kesedaran inilah yang perlu dihayati oleh sesebuah universiti yang dinamik. Para graduan pula perlu menyedari realiti ini untuk dijadikan peringatan sepanjang masa, supaya para graduan terus kekal dalam perlumbaan yang semakin mementingkan kualiti serta kecemerlangan.

10. Seyogia diingatkan bahawa pendidikan bukanlah satu hasil, ia bukan satu ijazah, bukan juga satu pekerjaan atau satu imbuhan. Pendidikan adalah satu proses yang tidak ada akhirnya. Ia terus berkembang – terus berubah – terus mencipta pembaharuan. Universiti adalah satu prasarana; prasarana yang membantu menyediakan persediaan awal kepada proses pembelajaran sepanjang hayat. Waktu-waktu berada di universiti telah menyediakan satu asuhan minda dan pembentukan budaya dalam membina insan berilmu dan insan yang kasihkan ilmu. Rasa kasih kepada ilmu hendaklah dipupuk hingga terjalin ikatan cinta setia dengan ilmu buat selamanya, kerana ikatan kasih dan tautan cinta kepada ilmu akan menentukan martabat para graduan di dunia pasca universiti.

11. Ilmu itu memiliki nilai kekayaan yang tersendiri. Ia memiliki kesan langsung terhadap kekayaan material – kekayaan insani – kekayaan negara. Ia berperanan besar sebagai agen membawa perubahan. Ia adalah instrumen penting untuk melindungi dan memperkayakan budaya dan tamadun bangsa. Para graduan berpeluang menjadi agen untuk membawa perubahan dan meningkatkan kekayaan intelek warga dan negara bangsa. Para graduan perlulah menjadikan tanggung jawab untuk terus melindungi keunggulan tamadun bangsa di samping terus berusaha membina tamadun negara bangsa yang lebih agung. Masa hadapan negara adalah milik generasi para graduan hari ini. Hadapilah segala cabaran secara bijaksana – laksanakan segala tanggung jawab secara penuh amanah.

12. Para graduan telah tekun berusaha untuk mencapai tahap kejayaan ini. Satu hari yang tidak terlalu jauh, para graduan akan berada di tempat dan kedudukan penting untuk menentukan masa hadapan negara bangsa. Ketika itu para graduan tidak harus lupa akan tanggung jawab sosial, tanggung jawab moral dan tanggung jawab etika. Para graduan perlu memastikan jati diri bangsa dan nilai-nilai murni tetap dipertahankan, seiring dengan sifat manusia berilmu; senantiasa berpegang kepada prinsip, bersifat adil lagi saksama, berlandaskan pemikiran rasional dan penilaian objektif, serta menghindar sama sekali amalan salah guna kuasa serta menjauhkan diri malah memerangi amalan rasuah. Ketika berada di puncak kejayaan dan kegemilangan, janganlah lupa sama sekali akan sifat seorang hamba di sisi Allah, akan jasa ibu bapa dan ahli keluarga, akan khidmat murni para guru, akan negara bangsa yang telah menyediakan segala kemudahan. Pada setiap masa, ingatkan diri, bahawa pengajian di peringkat universiti mungkin telah tamat tetapi ia tidak bermakna saudara akan lulus segala ujian dalam seluruh kehidupan.

13. Beta mengucapkan tahniah kepada setiap graduan dan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, anggota keluarga, tenaga pengajar dan setiap warga universiti yang telah berada di belakang dan di samping setiap graduan yang telah mencapai kejayaan. Semoga kejayaan yang telah dicapai akan menjadi asas untuk membina kejayaan yang lebih gemilang.

Wabillahi Taufiq Walhidayah

Wassalmualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*************

%d bloggers like this: