Konvokesyen Universiti Malaya Bahagian Keempat

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Mengetahui dan Maha Menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya pada hari ini. Istiadat pagi ini merupakan Sesi Keempat dari jumlah sembilan sesi Istiadat Konvokesyen Tahun 2004. Bagi tahun 2004, Universiti Malaya menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 7,404 graduan; 92 bagi Ijazah Doktor Falsafah, 1,257 Ijazah Sarjana, 5,905 Ijazah Sarjana Muda dan 148 Diploma. Untuk Sesi ini, seramai 764 graduan akan dianugerahkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang-bidang alam bina, kejuruteraan dan sains sukan.

3. Setiap graduan telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing, memenuhi keperluan akademik untuk layak dianugerahkan ijazah. Tahap pencapaian yang diperoleh oleh setiap graduan melambangkan tahap usaha yang telah dilaksanakan oleh diri masing-masing. Saudara-saudari yang melaksanakan usaha yang lebih dari segi masa, tenaga, dan tumpuan telah berjaya mencatat prestasi pencapaian yang lebih cemerlang. Ini adalah bukti keadilan ILAHI yang mengurniakan anugerah mengikut tahap amalan setiap insan.

4. Prestasi pencapaian yang berbeza itu, adalah satu pengajaran paling penting. Dalam dunia kehidupan dan dalam dunia pekerjaan, tahap pencapaian turut memperlihatkan perbezaan. Mereka yang lebih maju ke hadapan adalah dari kalangan insan-insan yang tekun dan komited dalam setiap tugasan yang diberikan. Kerana ketekunan, mereka menjadi lebih produktif. Kerana komitmen, mereka melaksanakan tugas secara lebih teliti lalu menghasilkan produk yang lebih berkualiti. Setiap hasil kerja adalah lambang terhadap sikap, sifat dan keperibadian seseorang insan. Hasilkanlah sesuatu tugas dengan cemerlang hingga dapat dibanggakan dan saudara-saudari juga boleh berbangga dengan tugasan yang dihasilkan.

5. Saudara-saudari telah menjejak satu lagi tangga kedewasaan. Saudara-saudari merupakan tenaga muda Malaysia yang bernas dan memiliki kelulusan akademik peringkat universiti dari sebuah universiti ternama di negara ini. Ijazah yang diperoleh akan menjadi bekalan untuk mendaki tangga kehidupan pasca universiti. Proses pembelajaran di universiti telah memperkayakan saudara-saudari dengan ilmu dan pengetahuan. Dunia menantikan ilmu dan pengetahuan tersebut untuk diuji di peringkat gunaan – di peringkat perlaksanaan – di peringkat tindakan.

6. Budaya mengutamakan kualiti amatlah penting bagi graduan di bidang-bidang kejuruteraan, seni bina, juru ukur, teknologi rekaan dalam pelbagai bidang serta sains sukan. Jaminan keselamatan ramai insan, bergantung kepada tahap ketepatan pengetahuan saudara-saudari dan sifat bertanggung jawab saudara-saudari ketika melaksanakan tugas. Jangan sama sekali berkompromi dari segi mutu dan tahap piawaian kerana perlakuan demikian boleh membawa bencana dan meninggalkan kesengsaraan kepada ramai pihak.

7. Sewaktu melalui perjalanan hidup dan mendaki alam pekerjaan, binalah diri menjadi insan yang teguh memegang etika dan prinsip – tekun dan rajin, jujur dan amanah. Majikan dan masyarakat akan dapat membezakan di kalangan mereka yang tekun dan rajin, yang bersedia berkorban masa dan tenaga untuk menghasilkan sesuatu pekerjaan berkualiti tinggi. Majikan dan masyarakat juga dapat menilai di kalangan mereka yang jujur dan amanah, yang tidak menyalah gunakan kuasa dan tidak mengamalkan rasuah.

8. Saudara-saudari adalah pemimpin hari ini dan berpotensi menjadi pemimpin besar di masa hadapan. Dalam tempoh masa yang tidak begitu lama dari sekarang, saudara-saudari akan mengambil tanggung jawab menentukan rupa bentuk dan arah haluan negara bangsa. Amatlah merugikan, jika kelulusan akademik yang diperoleh tidak didukung dengan etika dan prinsip yang betul. Laksanakanlah perkara yang betul secara berani – secara tegas, di mana juga saudara-saudari berada. Penentuan etika dan prinsip yang dilakukan hari ini akan mencorakkan karakter saudara-saudari di masa muka .

9. Hari ini merupakan satu lagi detik saudara-saudari merayakan kejayaan. Kejayaan lebih besar InsyaAllah akan terus dicapai. Ketika berada di puncak kejayaan, jangan lupa sama sekali akan sifat kerdil seorang hamba di sisi Allah, akan jasa ibu bapa dan ahli keluarga, akan khidmat murni para guru, akan negara yang telah menyediakan segala kemudahan. Amalkanlah sifat merendah diri. Amalkanlah sifat senantiasa bersyukur kepada anugerah yang telah dinikmati. Jangan terlalu lena dibuai dengan mimpi kejayaan kerana mereka yang merasakan diri telah begitu berjaya, besar kemungkinan menjadi manusia yang bongkak, sombong, angkuh dan takbur. Pada setiap masa melalui liku-liku kehidupan, ingatkan diri, bahawa pengajian di peringkat universiti mungkin telah tamat tetapi ia tidak bermakna saudara-saudari akan lulus segala ujian dalam seluruh kehidupan.

10. Beta mengucapkan tahniah kepada setiap graduan dan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, anggota keluarga, tenaga pengajar dan setiap warga universiti yang telah berada di belakang dan di samping setiap graduan yang telah mencapai kejayaan. Semoga kejayaan yang telah dicapai akan menjadi asas untuk membina kejayaan yang lebih gemilang.

Wabillahi Taufiq Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

%d bloggers like this: