Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala yang Maha Mengetahui dan Maha Menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada para Tabiin dan para ulama.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya pada hari ini. Istiadat petang ini merupakan Sesi Ketiga dari sejumlah sembilan sesi Istiadat Konvokesyen Tahun 2004. Bagi tahun 2004, Universiti Malaya akan menganugerahkan ijazah kepada sejumlah 7,404 graduan; 92 bagi Ijazah Doktor Falsafah, 1,257 Ijazah Sarjana, 5,905 Ijazah Sarjana Muda dan 148 Diploma.
3. Untuk Sesi ini, seramai 802 graduan akan dianugerahkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang-bidang pendidikan, sains komputer dan teknologi maklumat. Dengan penganugerahan ini maka bertambahlah bilangan cerdik pandai negara yang diharapkan dapat memainkan peranan positif dalam kepimpinan masyarakat serta pembangunan ekonomi dan sosial negara.
4. Istiadat Konvokesyen adalah istiadat yang memberi pengiktirafan kepada kejayaan para graduan dan kejayaan universiti menghasilkan graduan. Saat ini merupakan saat penuh kegembiraan dan kesyukuran atas pengiktirafan kepada usaha tekun lagi gigih yang telah dilakukan. Ia adalah saat yang dinantikan – saat yang diimpikan ketika para graduan mula melangkah masuk ke alam universiti. Saat tersebut kini menjadi realiti. Satu kejayaan telah tercipta dalam perjalanan hidup saudara-saudari. Berada bersama mereka yang mencipta kejayaan adalah ketika yang sungguh menggembirakan. Setiap tahun Beta berpeluang bersama menjayakan saat kejayaan yang sungguh menggembirakan.
5. Beta ucapkan tahniah kepada para graduan. Beta juga menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa dan anggota keluarga serta kepada tenaga akademik, tenaga pengurusan serta tenaga sokongan universiti, sebagai pendorong dan penggerak yang telah memberikan segala sokongan dan pengorbanan di atas kejayaan yang dicapai oleh para graduan. Segala pengorbanan, ketekunan dan usaha telah memperlihatkan hasil yang pastinya menjadi satu kebanggaan kepada individu, kepada keluarga, kepada institusi dan kepada negara.
6. Saudara-saudari adalah sebahagian dari warga Universiti Malaya – sebuah institusi pendidikan yang unggul di negara ini. Universiti Malaya kini menghampiri usia seratus tahun penubuhannya; bermula dari sejarah penubuhan Kolej Perubatan King Edward dan Kolej Raffles di Singapura. Sejak penubuhannya, Universiti Malaya telah memenuhi satu tanggung jawab utama, membekalkan sumber intelek dan tenaga penggerak yang bertanggung jawab membina sebuah negara merdeka yang kekal berdaulat, maju, stabil lagi makmur. Saudara-saudari selepas ini bertanggung jawab mempertahankan nama baik Universiti Malaya malah dalam memenuhi tugas dan peranan dalam profesion masing-masing, berada dalam kedudukan untuk membuktikan keunggulan produk yang dihasilkan oleh Universiti Malaya.
7. Universiti Malaya telah memenuhi moto ‘Ilmu Punca Kejayaan’. Falsafah Universiti kekal dipertahankan dalam usaha berterusan Universiti menerokai disiplin ilmu yang pelbagai dan mempelopori penemuan-penemuan baru di bidang ilmu. Universiti amat berbangga dengan input dan peranan tenaga akademik; kerana di samping berusaha melahirkan barisan intelek muda, mereka secara komited dan dedikasi meneruskan usaha penyelidikan dan berjaya menghasilkan penemuan-penemuan baru. Kumpulan akademik yang produktif dan bertenaga seperti inilah yang telah mengharumkan nama Universiti. Dinamik kumpulan ini telah meletakkan Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pendidikan yang dihormati dan diiktiraf di peringkat antara bangsa.
8. Universiti di negara ini berupaya mencipta kejayaan lebih gemilang menghasilkan penyelidikan jika mendapat sokongan dan dukungan lebih bermakna dari pelbagai pihak selain kerajaan. Kerja-kerja penyelidikan memerlukan tajaan kewangan yang besar. Dalam hasrat menjadi sebuah negara maju, Universiti perlu mendapat geran penyelidikan yang lebih besar. Badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta dapat membantu usaha Universiti melalui sumbangan berbentuk kewangan dan tajaan atau menyediakan kemudahan-kemudahan kepada kerja-kerja penyelidikan. Pihak swasta boleh menjadi rakan bestari pembangunan universiti; begitu juga universiti boleh menjadi rakan bestari kepada pembangunan pihak swasta. Perbelanjaan melakukan penyelidikan wajar ditakrif sebagai satu pelaburan untuk kepentingan nasional dalam usaha bersama meningkatkan martabat dan kedaulatan sebuah negara bangsa.
9. Di Istiadat Konvokesyen ini, para graduan memperlihatkan kesamaan dalam pakaian akademik yang seragam. Dalam dunia sebenar, mereka yang berani melakukan sesuatu kelainan melalui cetusan idea dan pendekatan baru akan mara dan maju jauh ke hadapan. Para graduan wajarlah memiliki keberanian melakukan pembaharuan dan membawa perubahan. Jika ini tidak dilakukan, masyarakat dan negara akan terus statik, kehilangan daya saing dan akhirnya terpinggir.
10. Universiti telah memenuhi tanggung jawab dengan membekalkan para graduan dengan ilmu dan pengetahuan. Ilmu dan pengetahuan hendaklah dijadikan sandaran dan rujukan membantu para graduan dalam mengharungi realiti hidup terutama dalam menghadapi profesion dan alam pekerjaan. Para graduan hendaklah terus berusaha memperkayakan diri dengan ilmu. Insan yang kaya dengan ilmu tidak akan miskin dengan idea untuk membawa pembaharuan bagi membina dunia yang lebih selesa. Insan yang kaya dengan ilmu akan berani membawa perubahan untuk membawa kehidupan yang lebih bahagia.
11. Saudara-saudari berada dalam kedudukan untuk membawa perubahan dan memperkenalkan pembaharuan. Idealisme yang ada hendaklah diterjemahkan melalui tindakan konstruktif lagi produktif. Saudara-saudari adalah barisan yang akan menerajui berbagai peringkat kepimpinan di pelbagai institusi dan agensi baik di sektor awam, sektor swasta, di bidang sosial, ekonomi, perdagangan, kewangan dan politik. Yakinkan diri dan senantiasa gigih dengan azam untuk mencipta dunia yang lebih selesa dan kehidupan yang lebih bahagia.
12. Saudara-saudari telah sampai ke tahap kejayaan ini kerana bijak dalam memajukan potensi yang ada dalam diri. Potensi untuk terus melonjak maju masih banyak yang belum diterokai. Dalam setiap persimpangan kehidupan, saudara-saudari akan menemui peluang. Dalam setiap persimpangan kehidupan juga saudara-saudari perlu melakukan keputusan. Kebijaksanaan mengenal pasti peluang dan kebijaksanaan memilih keputusan yang tepat merupakan kunci yang akan membuka pintu kejayaan yang lebih besar. Ilmu yang dikuasai adalah laksana cahaya penyuluh untuk mata hati dapat mengenal pasti peluang; ilmu juga akan dapat membisikkan suara kepada hati untuk melakukan pilihan keputusan yang bijak. Jadikanlah ilmu teman setia dalam bekerja dan ketika melalui perjalanan hidup, tambahkanlah teman setia itu selagi hayat dikandung badan.
13. Para graduan telah tekun berusaha untuk mencapai tahap kejayaan ini. Satu hari yang tidak terlalu jauh, para graduan akan berada di tempat dan kedudukan penting untuk menentukan masa hadapan negara bangsa. Ketika itu, para graduan tidak harus lupa akan tanggung jawab sosial, tanggung jawab moral dan tanggung jawab etika. Para graduan perlu memastikan jati diri bangsa dan nilai-nilai murni tetap dipertahankan, seiring dengan sifat manusia berilmu; senantiasa berpegang kepada prinsip, bersifat adil lagi saksama, berlandaskan pemikiran rasional dan penilaian objektif, serta menghindar sama sekali salah guna kuasa serta menjauhkan diri malah memerangi rasuah.
14. Ketika berada di puncak kejayaan dan kegemilangan, janganlah lupa sama sekali akan sifat seorang hamba di sisi Allah, akan jasa ibu bapa dan ahli keluarga, akan khidmat murni para guru, akan negara yang telah menyediakan segala kemudahan. Pada setiap masa, ingatkan diri, bahawa pengajian di peringkat universiti mungkin telah tamat tetapi ia tidak bermakna saudara akan lulus segala ujian dalam seluruh kehidupan.
15. Beta mengucapkan tahniah kepada setiap graduan dan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, anggota keluarga, tenaga pengajar dan setiap warga universiti yang telah berada di belakang dan di samping setiap graduan yang telah mencapai kejayaan. Semoga kejayaan yang telah dicapai akan menjadi asas untuk membina kejayaan yang lebih gemilang.
Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalmualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
****************