Majlis Anugerah Cemerlang Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh Kali Ke 39

“PELAJARAN DAN PENDIDIKAN: MENYUNTIK ROH KEILMUWAN”.

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Segala puji bagi ALLAH. Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang telah mengajarkan Al-Quran; Dia menciptakan manusia; membolehkan manusia berbicara, memberi dan menerima penyataan.[1]

2. Selawat kesejahteraan ke atas Rasul Junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian, kurniakan rahmat ke atas Baginda demikian juga ke atas ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Mu jua Ya ALLAH sehingga ke hari kebangkitan.

3. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan inayat dan penentuan dari Nya juga, Beta dan Raja Puan Besar diizinkan berangkat ke majlis ilmu, sempena sambutan HARI KECEMERLANGAN SEKOLAH BERASRAMA PENUH KALI KETIGA PULUH SEMBILAN. Semoga Majlis ini diterima sebagai amal makruf di sisi ILAHI. Semoga setiap seorang yang telah menzakatkan masa untuk hadir di majlis ini, dirahmati ILAHI kerana telah menghayati Sabda Nabi Sallallahu Alai Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Dzar bermaksud:

Petikan:

“Menghadiri majlis orang berilmu, lebih utama daripada mendirikan solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan bertakziah seribu jenazah”

begitu juga petikan kata-kata dari Atha yang bermaksud:

“Sesuatu majlis ilmu itu akan menutupkan dosa tujuh puluh majlis yang sia-sia”

4. Raja-Raja Melayu mempunyai hubungan bersejarah dengan rancangan penubuhan sekolah berasrama penuh. Moyanganda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ketika itu, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (Al-Marhum) telah menzahirkan ketidakgembiraan Baginda terhadap dasar pelajaran British kepada orang Melayu, sekadar untuk melahirkan petani dan nelayan yang lebih baik dari generasi sebelumnya. Perkara yang disuarakan oleh Baginda semasa berlangsungnya Persidangan Raja-Raja (DURBAR) pada tahun 1903 di Kuala Lumpur telah mendapat persepakatan kata dari Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Selangor dan Yam Tuan Negeri Sembilan dari Negeri-Negeri Bersekutu di Tanah Melayu. Susulan dari Persidangan DURBAR 1903 itu, sekolah berasrama penuh pertama, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) telah ditubuhkan pada Januari 1905. Sama-samalah kita menghargai jasa bakti Duli-Duli Yang Maha Mulia itu dengan membacakan Suratul Fatihah dan apa jua ganjaran dari bacaan tersebut, semoga disampaikan kepada roh-roh keempat-empat Almarhum tersebut. Al-Fatihah.

5. Ilmu adalah kunci sakti yang dapat membuka pintu potensi seseorang insan. Ilmu berperanan penting dalam mempengaruhi tahap pencapaian kemajuan seseorang insan dan sesebuah negara. Dalam era pra industri, kaedah menyampaikan ilmu bersifat elitis. Peluang mendapatkan ilmu berbentuk eksklusif, di bawah pengawasan dan pelaksanaan golongan agama, golongan pemerintah dan golongan bangsawan. Raja, Ketua Agama dan Para Pendeta mengambil tanggung jawab, mewariskan ilmu kepada kumpulan kecil lagi terpilih, dalam menyediakan barisan pelapis untuk mengambil alih tanggung jawab dan meneruskan tradisi.

6. Menyediakan kemudahan memperoleh ilmu secara meluas, dengan memperkenalkan program pelajaran yang lebih berstruktur dan sistematik, adalah fenomena yang mula berkembang sejak seratus lima puluh tahun terakhir. Di dunia ketiga, perkembangan ini baru berlaku dalam tempoh lima puluh tahun terakhir. Namun ia masih belum menyeluruh, kerana masih berlaku diskriminasi dari segi gender, dari segi lokasi, dari kumpulan sasar yang mendapat manfaat; di samping kurikulum, kemudahan prasarana, kualiti pengajaran serta nisbah murid guru, masih berada di tahap rendah.

7. Mendapatkan pelajaran di iktiraf sebagai hak asasi setiap insan. Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam sidang bertarikh 10 Disember 1948, secara khusus telah menyentuh aspek pendidikan. Artikel 26, Deklarasi Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa setiap insan mempunyai hak mendapat pendidikan. Pendidikan percuma perlu disediakan sekurang-kurangnya di peringkat rendah dan pendidikan rendah diwajibkan kepada setiap insan. Pendidikan teknikal dan pendidikan profesional hendaklah disediakan, sementara pendidikan tinggi dipermudahkan secara saksama kepada setiap insan berasaskan merit.

8. Alhamdulillah, kita berada dalam sebuah negara yang memberikan prioriti kepada agenda pendidikan. Secara konsisten, setiap tahun, enam belas peratus Bajet Negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan program pendidikan. Dalam tahun semasa, Parlimen telah meluluskan peruntukan 37.3 bilion ringgit kepada Kementerian Pelajaran. Data semasa Kementerian Pelajaran mencatatkan, pada hari ini terdapat 7,723 sekolah, 236,313 guru dan 2,804,405 murid di peringkat rendah, sementara di peringkat menengah terdapat 2,296 sekolah, 176,407 guru dan 2,281,775 murid. Bermakna murid yang sedang berada di bawah pengawasan sistem persekolahan Kementerian Pelajaran berjumlah lebih lima juta, merupakan 17.4 peratus dari jumlah penduduk negara. Lima juta murid ini adalah satu angka besar yang diamanahkan tanggung jawab lebih besar untuk mendidik kepada lebih empat ratus ribu guru, di tapak semaian ilmu, di ladang sekolah, agar tumbuh segar menjadi pepohon yang subur lagi rendang di taman negara, berbungakan pengetahuan – berbuahkan kemahiran.

 

9. Lima puluh tahun yang lalu, kejayaan hidup insan masih boleh dicapai tanpa penguasaan ilmu yang luas – tanpa penguasaan kemahiran. Hari ini ekonomi berteraskan pengetahuan, dipacu oleh sains dan teknologi tidak mengizinkannya lagi. Hari ini, enam puluh peratus anak-anak dari keluarga miskin yang gagal diperlengkap dengan ilmu dan kemahiran akan berakhir dengan kemiskinan yang lebih buruk apabila mencecah usia dewasa.[2] Program mengilmukan insan adalah elevator sosial yang sangat bertenaga, berupaya mengangkat martabat insan ke darjat yang lebih tinggi dan amat menepati maksud yang terkandung dalam ayat 11, Surah Al-Majaadilah:

Petikan:

“…nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”[3] (58:11)

10. Begitu juga telah dirawikan oleh Abu Naim dari Anas akan Sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam yang bermaksud:

Petikan:

“Bahawa ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia orang yang mulia dan meninggikan seorang budak sampai ke tingkat Raja-Raja”[4]

11. Di serata dunia, program pendidikan telah melalui proses evolusi secara berterusan. Setiap negara memperkenalkan pelbagai pengubahsuaian, melakukan pelbagai adaptasi, menggubal kurikulum dan menambah baik kaedah pedagogi dalam hasrat memenuhi visi dan misi agenda pembangunan negara masing-masing.

12. Sejak negara ini diasaskan, Perdana Menteri pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) mengutamakan agenda pendidikan. Meskipun negara ketika itu, menghadapi cabaran keselamatan secara ideologi – secara militan dari Parti Komunis Malaya dan sekutunya, Yang Teramat Mulia Tunku memilih menyalurkan peratusan besar perbelanjaan negara untuk membina sekolah dan pusat pengajian daripada membina berek tentera dan membeli senjata. Tun Abdul Razak Husein (Allahyarham), Perdana Menteri kedua, selaku Menteri Pelajaran ketika negara diambang mencapai kemerdekaan, telah mengetuai Jawatankuasa Pelajaran yang dibentuk oleh Parti Perikatan untuk merangka dasar pelajaran dengan matlamat untuk menyatukan anak-anak dari semua kaum melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

13. Seawal tahun 1956, Dasar Pendidikan Negara yang komprehensif telah dirangka, terkandung dalam Penyata Razak, dengan memperlihatkan betapa pimpinan negara menyedari akan pentingnya warga disatukan, melalui instrumen pendidikan yang mantap. Penyata Razak; selanjutnya diperlengkap dengan Laporan Rahman Talib 1960, dijadikan asas falsafah pendidikan negara, dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Dasar Pendidikan Negara digubal bersandarkan fahaman akan latar belakang komposisi warga di negara ini yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya, berbilang bahasa. Pendidikan diakui sebagai instrumen penting berupaya memupuk perpaduan untuk menyatukan warga dalam sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

14. Asas dan falsafah pendidikan yang komprehensif ini terus diperkukuhkan untuk bersifat holistik dengan memastikan berlaku perimbangan di antara kekuatan lahiriah dan kekuatan rohaniah insan. Persidangan Dunia mengenai pendidikan Muslim yang dianjurkan buat pertama kalinya, berlangsung di Jedah dari 31 Mac hingga 8 April 1977. Persidangan tersebut telah menghasilkan Pengisytiharan Mekah. Pengisytiharan Mekah, menetapkan bahawa matlamat pendidikan hendaklah merangkumi perkembangan seimbang dalam keseluruhan peribadi insan melalui latihan rohaniah, intelek, rasional, perasaan dan indera; dan wahyu serta akal berperanan sebagai sumber pendidikan.

15. Laporan Jemaah Menteri mengenai pelajaran dalam tahun 1979, memperlihatkan unsur keselarian dengan Pengisytiharan Mekah, memulakan era pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih menyeluruh. Faktor keseimbangan dan kesepaduan, dimanifestasikan dalam falsafah pendidikan negara yang dirumuskan dalam tahun 1988 dan dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1996. Bahawa pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

16. Satu kenyataan misi yang lengkap, mengandungi rangkaian kata tersusun mantap. Terkandung lima kata kunci,

Pertama: Memperkembangkan potensi

Kedua: Menyeluruh dan bersepadu.

Ketiga: Insan seimbang.

Keempat: Harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan

jasmani

Kelima: Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

17. Kejayaan merealisasikan misi berkaitan, memerlukan komitmen dan ketegasan politik, sumber kewangan yang setimpal serta tenaga pelaksana yang memahami lagi menghayati kata kunci-kata kunci tersebut. Kejayaan merealisasikan misi berkaitan, memerlukan gabungan pelbagai komitmen; di peringkat pimpinan tertinggi negara, jentera teknokrat dan birokrasi negara, sokongan padu ibu bapa, keluarga dan masyarakat serta dedikasi para pendidik.

18. Misi ini adalah kompas yang menetapkan arah tuju pendidikan untuk bukan sahaja memperkembangkan potensi anak didik, malah mereka juga diperlengkap dengan roh insaniah, agar mereka menjadi insan murni lagi mulia, insan bertakwa; insan yang apabila telah dewasa, apabila telah memiliki kuasa, apabila telah diserahkan amanah, akan menggunakan kuasa dan menjunjung amanah dalam semangat suci menyempurnakan fardu kifayah secara jujur – secara ikhlas, mengamalkan perilaku mulia, merendah diri dan lebih utama memiliki kekuatan dalaman, menghindarkan diri dari melakukan mungkar, dari melakukan pembohongan, dari sifat mencuri tulang, dari menyalah guna kuasa, dari melakukan pecah amanah, dari melakukan rasuah.

19. Salah guna kuasa, pecah amanah, rasuah dan jenayah bermula dengan perlakuan kesalahan-kesalahan kecil yang tidak segera dibendung; ia bermula dengan pembohongan kecil seperti menyerahkan cuti sakit palsu, perbuatan yang dilakukan melalui persekongkolan di antara seorang doktor yang terpelajar dengan seorang pegawai yang terpelajar, tetapi diketahui oleh anak, isteri, rakan dan jiran yang turut terpalit dengan lumpur pembohongan tersebut. Ia bermula dengan mencuri lima minit waktu bekerja yang tidak diganti, sedangkan memenuhi waktu minimum bekerja dengan kadar imbuhan yang telah ditetapkan, wajib hukumnya, dan wajib diganti jika tidak dipenuhi, seperti mana hukum mengqada puasa apabila tidak dilengkapkan. Ia boleh bermula dengan manipulasi tuntutan perjalanan, ia boleh bermula dengan menyalah gunakan satu rim kertas milik sekolah, ia boleh bermula dengan pelbagai perbuatan lagi. Hakikatnya telah berlaku pecah amanah yang mula menghidupkan sel-sel barah yang bakal merebak kepada perkara lebih besar seperti yang dicerminkan dalam gurindam lama Melayu:

Siakap senohong, gelama ikan duri

Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

20. Alam sekolah adalah makmal memudah cara, memungkinkan berlakunya proses metamorfosis ke atas diri insan. Alam sekolah mengandungi tiga komponen utama; pertama: murid, kedua: guru dan ketiga: bahan pelajaran yang disampaikan; dirujuk sebagai kurikulum. Bertanyalah pada diri, berikan jawapan ikhlas, akan tahap penumpuan yang berupaya dilaksanakan di bilik-bilik darjah pada hari ini dalam rangkaian interaksi di antara guru, murid dan kurikulum. Apakah sebenarnya murid, guru dan sekolah sedang berhadapan dengan satu jurang yang amat luas antara memenuhi misi yang terpahat indah dengan tekanan kerja sebenar untuk memenuhi tuntutan realiti tugas yang lebih menekankan kepada pencapaian kuantitatif.

21. Pendidikan adalah lebih menyeluruh. Pendidikan menyentuh komponen pembangunan insan secara lahiriah – secara rohaniah; melibatkan elemen-elemen pembentukan sifat, watak, karakter dan iman. Pendidikan melibatkan komponen-komponen asuhan, didikan, bimbingan dan amal. Tanggung jawab pendidikan tidak akan lengkap dan sempurna jika sepenuh tanggung jawab diletakkan kepada sekolah – kepada guru. Ibu bapa, keluarga, masyarakat dan pelbagai institusi lain, sama-sama mempunyai tanggung jawab dan wajib melengkapkan tugas guru dan tugas sekolah.

22. Program Dialog Nasional Pendidikan Negara yang sedang berlangsung ketika ini bersifat inklusif dengan menggalakkan penyertaan umum, satu langkah bijak selaras dengan semangat yang disuarakan oleh Perdana Menteri bahawa Era Kerajaan Mengetahui Semua telah berlalu. Dialog ini dilaporkan bertujuan mendapatkan maklum balas untuk membantu usaha Negara merangka program pendidikan yang lebih berupaya memenuhi keperluan generasi muka. Partisipasi pihak umum terutama generasi muda amat penting untuk membolehkan kerajaan mendapat maklum balas yang luas lagi relevan. Perkara yang dirumuskan akan menentukan rupa bentuk negara bangsa di masa hadapan. Agenda pendidikan hendaklah ditafsirkan secara luas – secara menyeluruh, dan tanggung jawab melaksanakan agenda pendidikan yang lebih holistik tidak lagi wajar diletakkan sepenuhnya kepada sekolah dan seratus peratus di bahu guru.

23. Dalam hasrat mahu melaksanakan penambahbaikan, perlu ada kekuatan untuk mengakui wujudnya kelemahan, perlu ada sifat bersedia mengakui kesilapan sendiri dan perlu ada sifat tidak meletakkan kesalahan kepada pihak lain. Dalam usaha mahu melakukan penambahbaikan, perlu ada sifat kolektif mengambil tanggung jawab secara bersama, perlu ada semangat bersedia memikul beban secara bersama, perlu ada keterbukaan minda untuk menerima teguran secara positif, perlu ada fleksibiliti untuk melakukan penghijrahan paradigma. Agenda pendidikan negara adalah agenda yang melibatkan pelaburan penting membangunkan modal insan dan amat penting untuk dirumuskan secara objektif. Perlu diambil ingatan bahawa kenyataan-kenyataan yang terlalu cenderung memuji kejayaan, laksana masuk bakul angkat sendiri. Ia mudah membuatkan pandangan menjadi kabur dan memungkinkan pendengaran menjadi tuli. Kata-kata pujian boleh membawa kepada ketagihan untuk mendapatkan pujian demi pujian, lalu menjadi madat yang melalikan, membawa manusia ke alam khayal dengan fantasi indah yang sangat jauh dari alam realiti. Kerana itu, ajaran Islam menganjurkan bahawa segala puji dan puja itu semata-mata milik ALLAH, bahawa segala yang baik itu, datangnya dari ALLAH Subhanahu Wata’ala, agar manusia tidak cepat bersifat riak – tidak mudah berlagak bongkak.

24. Hari ini tidak dapat dinafikan kejayaan sekolah mengeluarkan ramai lulusan berpengetahuan. Sekolah dan guru dikategorikan cemerlang, jika murid berjaya mencapai gred peperiksaan terbaik. Sistem penilaian yang terlalu memberatkan kepada gred pencapaian akademik, dibimbangkan telah tidak menyediakan cukup ruang untuk memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat lain yang dimiliki oleh anak didik. Sistem penilaian sedemikian turut mempengaruhi budaya kerja majoriti pendidik di bilik darjah. Minda guru dan minda murid lalu terperangkap dalam sangkar pemikiran untuk mencapai gred terbaik peperiksaan. Akibatnya budaya mendidik secara holistik semakin tercicir di alam sekolah.

25. Sensitiviti terhadap aspek-aspek kebersihan, disiplin, adab dan sopan dikompromikan. Hari ini bagaikan norma yang boleh diterima, melihat bilik darjah bertingkap pecah, melihat siling kaya bersawang dan lantai berlambak sampah, melihat longkang tersumbat dan padang sekolah berumput panjang, melihat perabot buruk dan kerusi patah tertera di lambak di segala sudut. Senario sedemikian kini semakin menjadi senario yang semakin kelihatan di premis sekolah dan bagaikan boleh diterima berlaku di sekolah. Lantas imej fizikal sekolah di hari ini, amatlah berbeza berbanding dengan imej fizikal sekolah empat puluh tahun yang lalu, ketika Beta mula mengenali alam sekolah.

26. Secara tidak disedari, kita bertanggung jawab membentuk ‘BUDAYA TIDAK KISAH’ dan ‘BUDAYA TIDAK ENDAH’ di kalangan anak-anak didik, hingga mereka menjadi imun kepada senario sedemikian dan tidak lagi sensitif terhadap persekitaran hidup. Kerana buluh telah tidak dilentur semasa rebungnya, apabila mereka dewasa, budaya ini di bawa bersama ke kampus maktab dan ke kampus universiti; budaya ini terus berlanjutan di bawa ke premis pejabat tempat bekerja, dan menjalar ke dalam rumah tempat kediaman. Kepada mereka, memadailah rumah dibersihkan setahun sekali menjelang Hari Raya, memadailah pejabat dibersihkan jika ada pembesar mengadakan lawatan, kerana budaya tersebut telah dicontohi sejak di bangku sekolah; sekolah hanya diceriakan setahun sekali, ketika menyambut tetamu pada Hari Anugerah Cemerlang.

27. ‘BUDAYA TIDAK KISAH DAN BUDAYA TIDAK ENDAH’ ini semakin menjadi budaya nasional. Hari ini, timbunan buangan semakin terlonggok di pinggir jalan, sampah sarap semakin bersepah di serata tempat; sisa pepejal dilupuskan sekehendak hati, mengakibatkan saliran tersumbat dan berlakunya banjir kilat; udara dan air semakin tercemar; sedangkan di setiap perhimpunan pagi, diucapkan ke telinga murid akan pentingnya hidup secara berkualiti, akan wawasan untuk mencapai taraf negara maju; dan negara dipromosikan dengan secantik lukisan kepada pelancong luar untuk berkunjung ke sini. ‘BUDAYA TIDAK KISAH DAN BUDAYA TIDAK ENDAH’ ini tidak boleh dibiarkan merebak hingga menjadi satu budaya nasional berimej negatif. Langkah pencegahan dan langkah pembetulan perlu diambil. Sekolah turut berperanan sebagai tapak menyemai budaya positif. Mungkin, sistem pengauditan kebersihan sekolah perlu diperkenalkan, dikuatkuasakan dan dijadikan salah satu sasaran matlamat yang perlu dicapai di sekolah, dalam hasrat mahu menyemai budaya positif di kalangan murid, agar negara tidak sekadar memiliki prasarana dunia kelas pertama tetapi turut memiliki budaya dunia kelas pertama.

28. Jika didikan asas membentuk budaya insan semakin dipinggirkan, dibimbangkan sekolah sekadar berjaya mengeluarkan barisan teknokrat berfikiran mekanikal, bersifat mekanikal, berwatak mekanikal, dijelmakan sebagai insan mekanikal, tanpa roh – tanpa jiwa. Produk persekolahan sedemikian dibimbangkan bersedia melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat yang diidamkan, termasuk kesediaan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan etika murni sosial, bercanggah dengan nilai moral, bercanggah dengan undang-undang dan bercanggah dengan ajaran agama. Matlamat untuk menghimpun kekayaan material dan nafsu untuk memiliki kuasa, menghalalkan mereka melakukan apa juga. Mereka bersedia melakukan penipuan, melakukan pecah amanah, melakukan rasuah. Mereka sanggup melakukan manipulasi, tipu helah, fitnah, malah mereka sedia melakukan keganasan dan pembunuhan apabila berhasrat mendapatkan kuasa.

29. Dunia telah menyaksikan pelbagai bencana akibat perbuatan zalim manusia termasuk perbuatan dari kalangan individu yang dikatakan terpelajar. Lebih seratus juta nyawa di abad lalu menjadi korban kepada ciptaan teknologi senjata yang lebih memusnahkan. Pesawat yang merempuh Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001, diterbangkan oleh juru terbang yang memiliki ilmu dan kemahiran penerbangan; mengorbankan tiga ribu nyawa – menderitakan enam ribu mangsa. Ia tidak berakhir di situ sahaja. Ia adalah permulaan kepada lebih banyak pengorbanan nyawa dan kemusnahan harta. Peristiwa 11 September memberikan justifikasi kepada Kuasa Besar melakukan pencerobohan di Afghanistan dan di Iraq. Krisis kewangan dunia pada tahun 2007 telah melumpuhkan ekonomi dunia. Ia berpunca dari manipulasi manusia terpelajar, dari kalangan tokoh kewangan dan tokoh perbankan. Berlaku kemelut ekonomi – jutaan manusia kehilangan kerja.

30. Ukuran pencapaian berasaskan markah peperiksaan sebenarnya terlalu linear dan terlalu simplistik untuk dijadikan sumber maklum balas utama bagi membolehkan negara berupaya menyelami dasar masalah dan mengenal pasti simptom sebenar. Kaedah ukuran pencapaian sedemikian telah mengetepikan angkubah-angkubah lain, yang pada hari ini semakin menuntut kepada perlunya negara memperkemaskan DASAR SOSIAL (SOCIAL POLICY) sedia ada, supaya lebih relevan dan lebih menepati.

31. Sekolah tidak terpisah dan terlindung menerima tempias berpunca dari masalah sosial yang sedang berlaku. Lokasi sekolah dibina, kemiskinan keluarga, ibu tunggal, rumah tangga yang tidak rukun; ditambah dengan kemuraman guru yang saban hari menghadapi kesesakan trafik sebelum sampai ke bilik darjah, kelesuan murid kerana terlalu lama berada di dalam bas sekolah, adalah acuan-acuan yang akan mempengaruhi rupa bentuk budaya pembelajaran di sekolah. Di tambah pula kurang keselesaan persekitaran, kesan dari pelebaran jalan dan kesan dari pembinaan bangunan komersial hingga sampai ke pinggir sekolah. Pelbagai angkubah yang berlaku di luar sekolah dan di luar bidang kuasa pihak sekolah, setiap satunya mencetuskan masalah yang terpaksa ditanggung oleh sekolah, guru, dan murid. Sekolah, guru dan murid bagaikan tiada hak untuk mempertahankan teritory mereka, dan kalau adapun suara guru dan suara ibu bapa, suara-suara itu tenggelam ditelan oleh kepentingan kumpulan yang lebih berpengaruh.

32. Hari ini pelajar terbaik dalam sistem peperiksaan memiliki keistimewaan, disaring lalu ditempatkan di sekolah terbaik, disediakan kemudahan terbaik, dibekalkan guru terbaik. Amatlah penting disuarakan dan diberikan perhatian kepada realiti yang sedang berlaku di sekolah-sekolah tidak ternama dan tidak bernama. Betapa berkelana nasib sekolah di pinggiran bandar dan di hulu negeri; ada yang di sekelilingi kawasan setinggan, majoriti muridnya berlatar belakangkan keluarga miskin; anak-anak didik yang tidak memiliki keistimewaan mendapat tuition peribadi, anak-anak didik yang terpaksa melakukan kerja sekolah dalam suasana panas dan kebisingan di rumah pangsa berbentuk kotak merpati. Betapa pentadbiran sekolah saban masa menghadapi vandalisme murid berjiwa rebelious, disebabkan menghadapi tekanan emosi, berpunca dari keluarga yang tidak harmoni. Betapa sokongan yang terbatas dari barisan PIBG baik dari segi idea – baik dari segi material dari kalangan ibu bapa berpendapatan rendah dan tidak memiliki modal budaya yang tinggi. Betapa lebih beratnya tugas yang perlu digalas oleh guru di sekolah yang tidak ternama dan di sekolah yang tidak bernama menghadapi isu sumbang mahram, kehamilan remaja, ponteng sekolah dan gangsterism. Betapa deritanya guru dan murid yang terpaksa mengikuti pelajaran di sesi petang, dalam panas cuaca tropika. Malah bermacam-macam kerenah lagi yang perlu dihadapi dan betapa berat tanggung jawab yang berada di atas bahu para guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah yang tidak ternama dan tidak bernama.

33. Tidak menjadi kehairanan, jika guru, murid dan ibu bapa di sekolah-sekolah sedemikian tidak pernah berpeluang melihat Raja, melihat Menteri atau melihat Pembesar Negeri berkunjung ke sekolah mereka, kerana sekolah sedemikian tidak pernah ada dalam radar keutamaan. Inilah anomali yang sedang berlaku, anomali yang amat perlu ditangani kerana majoriti sekolah, majoriti guru dan majoriti murid berada dalam persekitaran yang sedemikian. Perkara-perkara ini, akan menentukan tahap moral guru, moral murid dan moral ibu bapa. Malah sebenarnya, di sekolah tidak ternama dan di sekolah tidak bernama ini, komponen pendidikan lebih banyak perlu dilakukan, kerana para guru berada di barisan hadapan, berhadapan secara langsung pelbagai masalah sebenar kehidupan insan yang melimpah masuk ke bilik darjah dan kawasan sekolah.

34. Dalam usaha mahu merangka semula formula pendidikan nasional, dalam hasrat mencari titik keseimbangan pembangunan insan secara lahiriah – secara rohaniah, mungkin wajar diimbas dan diambil iktibar, dipungut mutiara-mutiara berharga dari falsafah yang terkandung di sebalik sejarah dan kaedah penyampaian ilmu yang kini terkandung di dalam kitab suci Al-Quran, secara penurunan wahyu dari ALLAH Subhanahu Wata’ala.

35. Kehebatan kaedah pedagogi yang diperlihatkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala tidak ada tandingannya. Ia bermula di Gua Hira, melalui wahyu pertama yang disampaikan oleh semulia-mulia guru kepada semulia-mulia murid; melalui peristiwa yang berlaku di antara Malaikat Jibrail Alaihissalam dengan Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam. Dengan mengulangi tiga kali kalimah IQRA, dengan melakukan sentuhan fizikal, mendakap erat tubuh insan yang bernama Muhammad bin Abdullah, Malaikat Jibrail Alaihissalam telah merintis proses penyampaian ilmu kepada seorang insan mulia; ilmu yang bersumberkan ALLAH Subhanahu Wata’ala, hingga memungkinkan seorang anak Adam, diangkat menjadi Rasul, menjadi pemimpin ulung lagi agung, diperkaya diri Baginda dengan pelbagai hikmah – pelbagai pengetahuan – pelbagai keistimewaan. Pengenalan awal akan ilmu yang diwahyukan terkandung dalam ayat pertama hingga ayat kelima Surah Al-Alaq bermaksud:

Petikan:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan Mu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Dan Tuhan Mu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”[5] (96:1-5)

36. Wahyu tersebut menegaskan nilai ilmu. Betapa kaya dan pemurahnya ALLAH mengurniakan pelbagai ilmu pengetahuan untuk kesejahteraan makhluk, ilmu yang diajar melalui pena – melalui tulisan; manusia diperingatkan bahawa mereka berasal dari segumpal darah dan manusia wajib insaf akan sumber sebenar ilmu, kerana itu manusia tidak harus bersifat angkuh – tidak harus berlagak bongkak setelah dianugerahkan dengan kepandaian menguasai ilmu. Insan berilmu akan senantiasa menginsafi batas kepandaiannya, bersifat lebih bertakwa, lebih beriman dan lebih bertawaduk kepada Yang Maha Pencipta, serta senantiasa menginsafi akan kuasa yang Maha Agung, akan senantiasa mengakui bahawa setiap kejayaan adalah anugerah ILAHI. Peringatan awal dari ILAHI ini wajib dijadikan rujukan supaya manusia tidak sama sekali menyalah gunakan ilmu hingga terbabas dan tergelincir dari melakukan fitrah insani.

37. Khazanah ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran, diperlengkap dengan Sunah Rasul, diperkukuhkan dengan ciptaan langit, alam dan bumi, sebagai dalil kebesaran ILAHI, dapat dihargai oleh insan berilmu seperti yang digambarkan dalam ayat 43, Surah Al-Ankabut yang bermaksud:

Petikan:

“Contoh-contoh itu Kami kemukakan kepada manusia, dan hanya orang-orang berilmu yang memahaminya”[6] (29:43)

38. Pengalaman Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam menempuhi pelbagai lapisan dan kaedah pendidikan, sewajarnya dijadikan pedoman – dijadikan rujukan dalam merangka program pendidikan yang dilengkapkan dengan roh insaniah. Baginda telah menempuh pelbagai proses pendidikan, secara berguru kepada keluarga, secara berguru kepada masyarakat, secara berguru kepada alam, secara berguru kepada pengalaman, secara berguru kepada peristiwa, secara wahyu melalui perantaraan Malaikat dan puncak pengajian Baginda adalah ketika berhadapan secara langsung dengan ALLAH Subhanahu Wata’ala. Setiap kata penghinaan – setiap cacian, dijadikan pengajaran untuk Baginda lebih memahami tabiat manusia; setiap ugutan – setiap ancaman, dijadikan ujian untuk membina kesabaran dan ketabahan.

39. Baginda diputerakan tiada berbapa, menempuh lima tahun pertama usia di bawah asuhan Halimah Sa’diayah seorang wanita dusun, di padang pasir di luar Kota Mekah. Baginda ditempatkan di luar Kota Mekah untuk memastikan semasa usia bayi, Baginda menyedut udara bersih yang terhindar dari pencemaran kota. Baginda dibesarkan dalam persekitaran masyarakat yang berupaya mempengaruhi Baginda bertutur dengan bahasa yang murni.[7] Baginda menjadi yatim piatu pada usia enam tahun apabila bonda Baginda meninggal dunia, dipelihara oleh nenda Baginda yang turut meninggal dunia ketika Baginda berusia lapan tahun, lalu diletakkan di bawah asuhan ayahanda saudara Baginda.

40. Apakah elemen pengajaran yang boleh ditimba dari lapan tahun pertama usia Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam ini. Peristiwa yang berlaku membuktikan pentingnya peranan persekitaran yang sihat disediakan dalam usia awal seseorang bayi dan pentingnya peranan institusi keluarga dalam proses pendidikan seseorang insan. Meskipun Baginda dilahirkan yatim tanpa berbapa, bonda Baginda telah memastikan Baginda di usia bayi dibesarkan dalam persekitaran udara yang bersih dan segar di dusun, dan dalam masyarakat dusun yang budaya bertuturnya murni lagi beradab. Walaupun pada usia enam tahun Baginda menjadi yatim piatu, nenda Baginda Abdul Muthalib mengambil tanggung jawab membesarkan Baginda dan selepas itu tanggung jawab tersebut disempurnakan pula oleh ayahanda saudara Baginda Abu Thalib. Bermakna, vakum kasih sayang keluarga yang disebabkan ketiadaan ayahanda dan bonda, telah diisi oleh anggota lain di dalam keluarga untuk memastikan Baginda tidak ketandusan modal keluarga dan modal budaya yang amat penting peranannya dalam mengukuhkan emosi seseorang insan.

41. Pengalaman menggembala kambing ketika dalam lingkungan usia dua belas tahun membuahkan didikan sangat berharga kerana pengalaman tersebut telah menyemaikan sifat-sifat tabah, cekal, sabar serta tenang. Dengan mengikuti ayahanda saudara Baginda membawa barang dagangan ke Syam, Baginda didedahkan dengan ilmu perniagaan. Kebijaksanaan Baginda menguruskan perniagaan telah menarik kepercayaan seorang hartawan Mekah, Siti Khadijah untuk mengamanahkan Baginda menguruskan barang dagangan beliau. Pengalaman menguruskan perniagaan itu mungkin telah mendorong Baginda untuk menggalakkan umat supaya berniaga kerana menurut Sabda Baginda, sembilan dari sepuluh punca rezeki itu datangnya dari perniagaan.[8]

42. Proses berguru dengan Malaikat Jibrail Alaihissalam tidak berakhir di Gua Hira. Ia adalah pengenalan kepada dimensi baru kaedah pendidikan yang merangkaikan tiga komponen utama ia itu, guru, murid dan kandungan yang disampaikan dari guru kepada murid. Jibrail Alaihissalam berperanan sebagai guru, Baginda berperanan murid dan wahyu yang terkumpul di dalam Al-Quran adalah kurikulum pengajian yang telah ditentukan ILAHI. Kurikulum tersebut mengambil masa hampir dua puluh tiga tahun untuk dilengkapkan. Hari ini, jika dihitung usia tujuh tahun seorang anak mula bersekolah, enam tahun di sekolah rendah, lima tahun di sekolah menengah, satu atau dua tahun di peringkat pra universiti, dan tiga atau empat tahun di peringkat universiti, seorang insan itu secara umumnya, akan menamatkan pengajian ijazah pertama pada sekitar usia dua puluh tiga tahun.

43. Proses pendidikan Baginda Rasul berlaku secara berterusan, dari masa ke masa, dari tempat ke tempat, dari peristiwa ke peristiwa melalui pelbagai pendekatan – melalui pelbagai kaedah. Isra’ dan Mi’raj, adalah peristiwa perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis, kemudiannya diangkat ke langit ketujuh dan ke Sidratulmuntaha. Baginda selanjutnya menemui ALLAH secara langsung, memperlihatkan berlakunya seni perundingan di antara seorang hamba dengan Penciptanya, Baginda bersedia mendengar dan menerima nasihat dari Rasul-Rasul terdahulu, berulang alik, merayu dan memohon pertimbangan ALLAH untuk mengurangkan dari lima puluh ke lima waktu, fardu sembahyang sehari semalam. Segala peristiwa yang berlaku adalah manifestasi kepada kaedah pendidikan yang pelbagai, dan telah membuka tabir rohani pengetahuan Baginda seluas-luasnya. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah pengenalan awal kepada manusia akan ilmu-ilmu telepati, teknologi penerbangan, teknologi angkasa lepas, teknologi transmisi, teknologi faksimile, teknologi komunikasi dan pelbagai teknologi elektronik yang begitu berkembang pada hari ini.

44. Peristiwa meletak Hajarul Aswad di Ka’abah, Peristiwa di Gua Hira, peristiwa Isra’ dan Mi’raj, peristiwa Hijrah, kemenangan Perang Badar, kekalahan Perang Uhud, perbuatan pepat di luar rencong di dalam semasa Peperangan Khandak, Perjanjian Perdamaian Hudaibiyah adalah antara makmal-makmal pengajian yang wajib dijadikan pedoman rujukan. Bahawa proses pendidikan Baginda tidak terbatas di bilik darjah yang sempit di Gua Hira.

45. Hari ini istilah Belajar Sepanjang Hayat semakin ditekankan. Budaya belajar sepanjang hayat bukan perkara baru. Malah adalah begitu prima dalam budaya pendidikan dan kaedah perkembangan ilmu di dalam Islam yang dicerminkan melalui proses penyampaian wahyu ILAHI. Ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masyarakat yang belum memiliki tahap literasi yang tinggi, dan ketika bahan tulis masih begitu terbatas. Wahyu yang diturunkan mengambil masa dua puluh dua tahun, dua bulan, dua puluh dua hari, untuk disempurnakan sepenuhnya. Lapan puluh enam surah (86), mengandungi empat ribu, tujuh ratus lapan puluh (4,780) ayat, meliputi dua pertiga (19/30) dari kandungan Al-Quran diturunkan dalam tempoh masa tiga belas tahun di Mekah. Baki satu pertiga lagi (11/30) terdiri dari dua puluh lapan (28) surah, mengandungi seribu empat ratus lima puluh enam (1,456) ayat, mengambil masa hampir sepuluh tahun, diturunkan di Medina.

46. Wahyu diturunkan secara beransur-ansur, bertujuan untuk memudahkan fahaman dan dapat dihayati. Perintah suruhan dan perintah larangan dilaksanakan fasa demi fasa, disesuaikan dengan peristiwa dan permasalahan. Hasilnya pengajaran yang disampaikan dengan kaedah sedemikian bukan sahaja memudahkan kerja hafalan, malah telah meningkatkan fahaman, dan yang lebih utama dapat dihayati sepenuhnya oleh insan, disemai di dalam jiwa raga dalam membina roh insaniah yang sejati. Proses dan kaedah pendidikan yang dimanifestasikan melalui proses yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dan kaedah penyampaian dakwah yang Baginda amalkan mencerminkan pendidikan adalah satu maraton yang panjang lagi berterusan dan tidak ada garis penamatnya.

47. Antara rahsia kejayaan di Negara Maju adalah keterbukaan menerima realiti bahawa manusia dilahirkan dengan pelbagai perbezaan untuk memenuhi pelbagai peranan. Negara Maju tidak sekadar berjaya melahirkan barisan intelek dan cendekiawan, malah di Negara Maju jugalah munculnya olahragawan dan olahragawati unggul menjuarai kejohanan, di Negara Maju jugalah muncul nama-nama besar di bidang seni, teater, sastera, dan fesyen. Masyarakat di Negara Maju mentafsir secara tepat dan memahami secara mendalam akan kepelbagaian bakat manusia dan memberikan pelbagai dorongan, menyediakan pelbagai prasarana latihan yang membolehkan tunas-tunas muda dalam pelbagai bidang tumbuh subur, berdahan rendang, rimbun menghijau, menghasilkan bunga beraneka warna, mengembangkan kuntum berbau harum. Negara Maju tidak cepat memotong dahan-dahan yang memilih untuk tumbuh melebar dan tidak pula mencantas tumbuhan renek yang mahu menjalar.

48. Negara kita juga, kaya dengan pelbagai bakat modal insan. Bakat yang berlainan tidak boleh dibangunkan melalui program Satu Untuk Semua. Tidak ada sekolah dan tidak ada kaedah pengajaran yang sesuai untuk semua pelajar; dan tidak juga munasabah untuk sekolah menjadi begitu pelbagai dalam hasrat memenuhi cita rasa individu. Yang diperlukan adalah kebijaksanaan mencari garis penengah, titik perimbangan; yang diperlukan adalah kearifan memperkenalkan ruang fleksibiliti dalam program membangunkan potensi insan. Yang diperlukan adalah langkah-langkah radikal bersedia membuka jendela kepada senario pendidikan yang lebih pelbagai, untuk menawarkan opsyen yang lebih pelbagai. Kecemerlangan pendidikan akan lebih terserlah dengan adanya kepelbagaian, bagaikan keindahan pelangi yang berbagai warna, tercantum dalam harmoni, melukis gerbang di kaki langit. Semoga segala usaha inovasi yang sedang dilaksanakan akan mengupayakan sekolah menjadi taman ilmu, berupaya memberikan inspirasi kepada pelajar menemui dan membina falsafah hidup, dan semoga sekolah berjaya mewujudkan persekitaran budaya yang menjadikan taman pilihan anak-anak untuk bersantai.

49. Beta tidak memiliki kesaktian suara Malaikat Jibrail Alaihissalam, Guru yang berupaya menyampaikan ilmu dengan sepatah kalimah iqra kepada semulia-mulia murid, tidak juga Beta memiliki sifat seorang Pendeta Agung yang kata-katanya laksana air terjun yang dingin, diterima mengalir laju sampai ke hilir. Beta seorang hamba ALLAH, ayahanda kepada putera puteri yang masih kecil, Beta adalah insan yang pernah melalui hidup sebagai pelajar di institusi pengajian berasrama, dianugerahkan kelebihan dari ILAHI dengan diputerakan dalam keluarga yang mewarisi modal budaya yang tinggi, dan hari ini Beta membawa suara seorang Ayah, turut meletakkan harapan tinggi kepada peranan guru dan institusi sekolah, agar putera puteri Beta dicanai minda dan dibentuk lakunya, menjadi insan berilmu, bertakwa, beriman, seimbang pembangunan lahir dan batinnya.

50. Beta menzahirkan ucap tahniah kepada para penerima pelbagai anugerah di Majlis ini. Penghargaan lebih utama Beta kepada ayahanda bonda para pelajar yang telah mencipta kejayaan di pagi ini, demikian juga kepada para guru yang besar berjasa, yang merupakan tenaga terpenting, di sebalik kejayaan setiap pelajar; para guru, yang berperanan sebagai kandil kemerlap di malam gelap, para guru yang tekun menabur setanggi budi kepada warga. Bersyukurlah kepada ALLAH di atas pencapaian kejayaan ini, berterima kasihlah kepada ayahanda bonda dengan menjadi anak yang soleh, dan muliakanlah para guru agar hidup dilimpahi berkat. Sempurnakan amanah – laksanakan amal bakti dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang tulus. Kepada ALLAH dipohonkan segala petunjuk dan bimbingan. Amin Ya Rabul Alamin.

Wabillahi taufik, walhidayahWassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran: Surah Ar-Rahman (55:1-4)
  2. James P. Comer, Leave No Child Behind, (New Haven and London: Yale University Press, 2004) 243.
  3. Al-Quran: Surah Al-Mujaadilah (58:11)
  4. Imam Ghazali: Terjemahan Prof. TK.H.Ismail Yakub, Ihya Ulumiddin: Jilid 1, (Kuala Lumpur: Victory Ajensi, 1988) 44.
  5. Al-Quran, Al-Alaq (96:1-5)
  6. Al-Quran: Surah Al-Ankabut (29:43)
  7. Al-Quran dan Terjemahannya: (Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1977) 55.
  8. Hadith (Riwayat Tarmizi)
%d bloggers like this: