Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera
Bismillahi Rahmani Rahim.
Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam yang menguasai segala khazanah ilmu dan lautan pengetahuan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda seterusnya kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.
2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke Majlis Anugerah Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan, Taman Melati lalu membolehkan Beta mengenali warga di Sekolah ini; semoga dapat juga membolehkan Beta memahami dan menyaksikan sendiri persekitaran kehidupan sekolah dan persekitaran masyarakat di Taman Melati yang secara lokasinya berada di pinggiran kota raya yang pesat membangun.
3. Dunia dicipta oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan segala kepelbagaian; muka bumi yang berlainan – cuaca yang bermusim, air laut yang masin – air tasik yang payau, hutan tropika yang hijau – padang pasir yang gersang dan bermacam kepelbagaian lagi; dari helang yang terbang tinggi kepada tempua yang bersarang rendah; dari kuda yang berlari kencang kepada kekura yang merayap lembab; dari karang di dasar lautan kepada penyu yang bertelur di pantai, dari landak yang berduri tajam kepada arnab yang berbulu gebu.
4. Demikian pula dengan pelbagai tumbuhan, tanaman, ternakan dan kehidupan. Dunia aman dan alam semesta harmonis kerana penerimaan alam akan realiti kepelbagaian ciptaan ILAHI; tiap satunya ada peranan – tiap satunya ada fungsi, saling membantu – saling memerlu dalam simfoni muzik kehidupan penuh harmoni, dalam rentak tari di pentas dunia begitu seimbang.
Demikian hakikat – demikian realiti hukum alam ciptaan ILAHI. Demikian juga penciptaan ILAHI akan makhluknya yang bernama manusia, bermula dari Adam dan Hawa berkembang kepada 6.7 bilion penduduk dunia di hari ini. Manusia bukan sahaja dijadikan lelaki dan perempuan, berbagai bangsa – berbagai budaya, berbagai rupa – berbagai sifat; tetapi mereka juga memiliki bakat, kecenderungan, minat dan kebolehan yang pelbagai.
5. Salah satu kejayaan negara maju, adalah keupayaan negara tersebut menerima realiti kepelbagaian warganya lalu menyediakan prasarana pendidikan yang dapat mengoptimumkan perkembangan dan pembangunan potensi yang pelbagai dan berbeza. Kerana itu, sistem dan pendekatan pendidikan di negara maju memberikan ruang dan membenarkan berlakunya fleksibiliti untuk membangunkan potensi modal insan dari peringkat usia yang paling awal. Kerana itu negara maju tidak sekadar berjaya melahirkan cerdik pandai dan cendekiawan yang agung; malah di negara-negara maju jugalah lahirnya majoriti jaguh-jaguh agung di bidang sukan, seni, sastera, lakonan, teater, pereka fesyen dan bermacam-macam bidang lagi. Masyarakat di negara maju mentafsir dan memahami secara lebih mendalam falsafah yang tersirat di sebalik khazanah alam yang tersurat ini, lalu menerima realiti kepelbagaian insan, lalu memberikan segala dorongan, lalu membina prasarana untuk tunas-tunas muda berbakat itu dapat berkembang.
6. Beta sering berangkat menghadiri Majlis-Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang Sekolah. Hari ini Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati memilih 45 pelajar yang dianggap telah memenuhi kriteria untuk menerima anugerah. Apakah pula bentuk pengiktirafan kepada 1000 pelajar lain yang tidak terpilih menerima anugerah, bukan di sekolah ini sahaja, malah di sekolah-sekolah lain di serata negara. Apakah usaha yang perlu dirintis untuk membuatkan mereka juga merasakan diri mereka ada nilai – ada harga dan berguna kepada keluarga, kepada sekolah, kepada masyarakat dan kepada negara bangsanya. Sistem penilaian yang terlalu taksub kepada prestasi pencapaian akademik semata-mata adalah bercanggah dengan hukum alam, membuatkan pandangan pendidik menjadi kabur – bersifat ‘short sighted’ lalu gagal mentafsir falsafah pendidikan yang lebih luas lagi komprehensif.
7. Data memperlihatkan dalam tahun 2006, bilangan pelajar yang mendaftar masuk ke Darjah Satu berjumlah 495,000 orang sementara pengambilan pelajar Ijazah Pertama ke Institusi Pengajian Tinggi di negara ini bagi tahun 2007 hanyalah seramai 76,597 orang. Ini adalah realiti; bahawa tidak semua pelajar akan berjaya menjadi mahasiswa malah realitinya lebih ramai bilangan pelajar yang tidak berpeluang menjejakkan kaki di kampus universiti. Apakah dan dimanakah mereka ini disalurkan. Bahawa Negara, malah dunia tidak dapat berfungsi sepenuhnya jika kesemua warga dunia menjadi profesor di universiti. Jika kesemua insan telah menjadi profesor di Universiti, siapakah pula yang akan menghasilkan padi di sawah, mengeluarkan kapas untuk membuat pakaian; jika setiap insan mahu dijadikan ‘pilot’, siapakah pula yang akan memandu teksi bila penumpang turun di KLIA.
8. Beta sering mengingatkan bahawa setiap insan masing-masing berperanan penting di dunia ini. Bahawa setiap pekerjaan dan tugas adalah mulia. Sebelum seorang pesakit mendapat rawatan doktor, dia bergantung pada pemandu ambulans untuk memastikan dia sampai ke hospital dengan selamat. Sebelum pembedahan dapat dilakukan, ada petugas yang bertanggung jawab menolak troli ke dewan pembedahan. Lukisan seorang arkitek tidak akan menjelma dalam bentuk bangunan jika tidak dibantu pembinaannya oleh pekerja dari peringkat membancuh simen dan menyusun bata. Hatta sampai ke urusan menguruskan jenazah, penggali kubur tidak kurang penting peranannya dengan imam yang membaca talkin.
9. Oleh itu Sekolah hendaklah menjadi tapak semaian untuk membangunkan pelbagai bakat – untuk mengiktiraf pelbagai potensi – untuk mengembangkan pelbagai minat. Sekolah hendaklah berperanan sebagai dusun yang membolehkan semua pohon tumbuh subur membuahkan hasil. Setiap anak didik perlu diiktiraf kebolehan dan keupayaan mereka kerana setiap mereka ada peranannya dalam masyarakat dan dalam negara. Bentuk pengiktirafan perlu diperkenalkan secara bijak lagi menyeluruh, supaya dapat memperlihatkan bahawa setiap pelajar dan setiap anak diberikan perhatian, dilimpahkan kasih sayang oleh pendidik dan oleh ibu bapa, dihargai oleh masyarakat dan negara.
10. Anak-anak tidak minta dilahirkan di dunia ini. Mereka lahir hasil dari hubungan kasih sayang ibu dan bapa. Anak-anak adalah amanah ILAHI kepada ibu bapa yang telah membawa mereka ke dunia ini. Dewasakan mereka dengan rasa kasih – rasa sayang, supaya akan terbina satu rasa jaminan diri, satu stabiliti di jiwa mereka. Banyak masalah disiplin dan masalah sosial di kalangan remaja berpunca kerana ketandusan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak; kerana anak-anak merasa tersisih dan terpinggir dalam arus perdana yang telah kita sempitkan dengan memberi pengiktirafan hanya kepada kecemerlangan akademik lalu membunuh pertumbuhan bakat dan potensi mereka di bidang lain ketika melalui alam sekolah. Bahawa anak-anak yang merasakan diri mereka dikasihi dan disayangi, dihargai dan diiktiraf, akan turut mengasihi dan menyayangi ibu dan bapa mereka, dan merasakan mereka ada harga dan nilai kepada sekolah dan negara bangsanya.
11. Masalah disiplin di sekolah umumnya tidak berpunca di sekolah. Suasana dalam rumah dan dalam keluarga adalah antara punca awal. Keluarga yang kurang harmoni akan menekan jiwa dan emosi anak-anak. Tidak ada pendidik yang lebih utama dalam membangunkan minda dan jiwa anak-anak melainkan ibu bapa. Guru-guru hanyalah pemudah cara yang cuba membantu memperkukuhkan minda dan jiwa anak-anak. Oleh itu amatlah tidak wajar untuk menyerahkan tanggung jawab mendidik anak-anak sepenuhnya kepada guru-guru. Ibu bapa wajib mendampingi dan memberikan contoh terbaik untuk dapat dijadikan teladan. Anak-anak yang berjaya umumnya mempunyai keluarga yang harmoni dan ibu bapa yang senantiasa memberikan perhatian, bimbingan dan kasih sayang. Anak-anak yang diberikan pengiktirafan akan tahap keupayaan dan bakat mereka, akan menjadi insan yang lebih yakin kepada diri sendiri.
12. Beta mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang telah mencapai tahap kejayaan melayakkan mereka menerima anugerah pada hari ini. Beta menghargai jasa bakti dan komitmen para guru yang membantu kejayaan anak-anak ini. Beta menghormati peranan ibu bapa yang menjadi pendorong dan mendoakan kejayaan anak-anak. Kepada anak didik yang berjaya, jadilah insan yang mengenali istilah kesyukuran dan hargailah jasa ibu bapa, jasa guru, jasa sekolah dan jasa negara. Jadikanlah diri aset berharga untuk negara bangsanya. Jadikanlah kejayaan awal untuk mencipta kejayaan yang lebih besar. Jauhkan diri dari bersifat riak setelah memperoleh kejayaan. Taatlah kepada seruan ILAHI, jadilah anak yang soleh, jadilah warga yang setia kepada Raja dan negaranya.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
*******************