Majlis Anugerah Cemerlang Tahun 2015 Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam sejahtera

Opening of Speech

Beta bersyukur ke hadrat ILAHI, kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dan Raja Permaisuri dapat berangkat ke Majlis Anugerah Cemerlang, Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan. Keberangkatan Beta ke sekolah ini, ibarat pinang pulang ke tampuk, bagai sirih pulang ke gagang, menghidupkan ingatan penuh nostalgia akan peristiwa yang berlaku pada 14 Januari 1963. Lima puluh dua tahun yang lalu, di sinilah, Beta telah didaftarkan sebagai seorang murid, diperkenalkan dengan alam persekolahan secara formal, ditempatkan bersama lebih kurang 40 orang pelajar lain di ‘kelas 1C’. Beta memilih mentakrifkan ‘kelas 1C’ membawa maksud ‘kelas satu cemerlang, cerdas, cergas dan cerdik’.

2. Di sinilah bermulanya perjalanan Beta mengembarai dunia ilmu. Di samping dorongan ayahanda dan bonda, para guru di sekolah ini telah berhasil menyemaikan dalam jiwa Beta, benih cinta dan akar kasih terhadap ilmu. Di samping peranan ayahanda dan bonda, para guru di sekolah ini telah berjaya memberikan bimbingan dan panduan, didikan dan asuhan, membina asas untuk memberanikan Beta, melakukan pengembaraan yang jauh, menerokai dunia ilmu, untuk mendaki tangga-tangga pengajian di Universiti Oxford dan Universiti Harvard. Pengembaraan Beta dalam dunia ilmu, tidak berakhir setelah memperoleh Ijazah Doktor Falsafah, kerana semakin jauh perjalanan yang dilalui, jiwa ini semakin insaf, bahawa pengembaraan di dunia ilmu, tidak akan ada garis penamat. Di antara hari ini dan hari esok, ribuan ilmu baru terus ditemui, ribuan penerbitan baru terus dihasilkan, ribuan penyelidikan baru terus diteroka; kerana itu Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam menyeru umat manusia untuk belajar dan terus belajar, menerokai ilmu sepanjang hayat – sepanjang usia, dari buaian hingga ke liang lahad.

3. Hidup segar di dalam memori, himpunan peristiwa yang pernah di alami sebagai seorang murid di sekolah ini; ingatan penuh nostalgia bersama guru-guru dan rakan-rakan, ingatan penuh nostalgia semasa di bilik darjah, di padang dan di kantin sekolah, ingatan penuh nostalgia akan sifat sabar, sifat pemaaf dan sifat kasih setiap guru, kerana setiap kesilapan yang dilakukan murid, diberikan bimbingan oleh guru untuk menemui kebenaran. Pelbagai kisah dan cetera di sekolah ini tetap segar dalam memori dan bertambah segar setiap kali Beta melintasi Sekolah Jalan Kuantan. Berulang kali tersirat hasrat, semoga pada suatu waktu yang sesuai, Beta dapat menjejak kaki sekali lagi ke sekolah ini. Hari ini, hasrat yang sekian lama tersirat itu telah dimakbulkan ILAHI.

4. Dengan penentuan dan kehendak ILAHI, susulan kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, ahli-ahli Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat memilih Beta sebagai pengganti. Pada 28 Mei 2014, Beta telah dimasyhurkan sebagai Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan yang ketiga puluh lima. Sebaik menaiki takhta pemerintahan, Beta telah menyemaikan hasrat untuk berangkat ke Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan, apabila Beta telah sempurna memenuhi istiadat pertabalan, sebagai tanda penghargaan kepada sekolah yang telah berjasa kepada Beta. Majlis ini memberi nilai peribadi yang lebih bermakna dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Zuraina Majid, guru yang mengajar bahasa Inggeris ketika Beta seorang murid di sekolah ini, dan dua orang rakan sesekolah, Dr. Puvanendran Maruthavanar dan Yang Berbahagia Dato’ Azlan Meah.

5. Sepanjang hidup, di samping merasakan amat terhutang budi kepada ayahanda dan bonda, jasa para guru yang telah membimbing Beta secara tekun – secara sabar, secara gigih – secara ikhlas, senantiasa terpahat di hati. Beta senantiasa diingatkan akan kata-kata yang terkandung dalam puisi yang telah dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang (Allahyarham) sempena sambutan Hari Guru pada tahun 1979. Usman Awang melihat guru daripada pancaran mata hati, lalu menyusun kata-kata pujangga yang cantik, terukir dalam bahasa tersangat indah, mendedikasikannya kepada masyarakat guru, antara bait-bait tersebut berbunyi:

Petikan:

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa…

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia…

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di ibu kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara…

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi Kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang: 1979[1]

6. Sempena acara yang amat nostalgik ini, daripada hati yang hening dan dengan ingatan yang bening, Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih secara khusus kepada setiap seorang guru yang telah mendidik Beta; penghargaan dan ucapan terima kasih yang sama ditujukan kepada warga guru keseluruhannya yang telah mengabadikan diri berkhidmat untuk melahirkan insan berilmu. Para guru telah menabur jasa bakti yang sangat besar, menyalakan obor ilmu, mengilmukan insan di serata dunia. Sasterawan Negara, A. Samad Said menyifatkan guru sebagai ‘Obor Hemah’, berdasarkan antara bait-bait puisinya yang menyanjung keluhuran dan kemuliaan guru:

Petikan:

Guru adalah awan indah terbang rendah..

Melimpahkan hujan pada musim gersang

Menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah

Ia renjis embun pada tanah bakat…

Guru-atap ganti ketika pondok bocor..

Senyum penyembuh bagi wabak sengsara

Ia – sungai ransang sentiasa tenang

Menghantar bahtera ke segara dharma…

Guru adalah penelaah yang tekun

Mewariskan dunia sebagai kutubkhanah

Menyediakan kutubkhanah sebagai dunia…

Guru adalah batin suci hati nurani

Penjunjung budi, manusia yang takwa

Obor hemah kehidupan bangsa.

  1. Samad Said: 2 April 1988[2]

7. Sesungguhnya para guru adalah jantung yang menggerakkan nadi sekolah. Kejayaan dan kehebatan sesebuah sekolah tidak terletak pada bangunan yang tersergam besar, makmal sains yang canggih dan peralatan komputer yang mahal. Tanpa guru, sekolah hanyalah bangunan kaku, tanpa jiwa – tanpa nyawa. Ilmu itu berlegar dalam orbit yang amat luas, singgah dan bermastautin daripada minda ke minda melalui perantaraan. Guru adalah perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu. Para guru begitu instrumental mewujudkan persekitaran sekolah yang berupaya memberikan keyakinan untuk memenuhi harapan ibu bapa dan merealisasikan impian anak-anak. Guru adalah satu force, satu tenaga gergasi yang memenuhi amanah dan melaksanakan tanggung jawab penting fardu kifayah untuk membimbing perjalanan, mencanai minda dan mencorak-warna identiti seseorang warga kepada sebuah negara bangsa. Negara-bangsa yang berhasrat mencapai kejayaan lebih gemilang, negara-bangsa yang bercita-cita mencapai status maju, negara-bangsa yang mengimpikan untuk membina tamadun agung wajib meletakkan keutamaan, memberikan pengiktirafan yang meyakinkan kepada warga guru. Mantan Ketua Pengarah UNESCO (1987-1999), Federico Mayor Zarogoza, mengingatkan bahawa kita tidak akan tergulung dalam masyarakat berpelajaran dan kita tidak mungkin memasuki era pendidikan selagi guru tidak diberikan pengiktirafan selayaknya.

8. Jasa guru ditabur kepada kita semua, laksana titik-titik hujan yang tidak pernah memilih bumi. Menghargai jasa guru wajib dijadikan budaya, disemai dan ditanam dalam setiap jiwa warga. Amatlah tersasar jika jasa bakti para guru dianggap telah dihargai melalui kenyataan dan pengumuman menyentuh skim perkhidmatan guru dari segi gaji dan peluang naik pangkat yang telah ditambah baik. Bentuk dan kaedah apresiasi kepada jasa bakti para guru perlu diperluaskan dengan membangunkan kesedaran masyarakat secara lebih menyeluruh untuk menghargai khidmat dan pengorbanan para guru.

9. Mohandas K. Ghandi menyifatkan guru ialah sebaik-baik kitab untuk seorang murid sementara pepatah Jepun menyebut ‘sehari bersama guru yang agung mengatasi seribu hari menelaah ilmu secara tekun. Aristotle meletakkan status seorang guru lebih tinggi daripada ibu bapa kerana Aristotle menyifatkan ibu bapa sekadar melahirkan insan ke maya ini, sedangkan guru berperanan besar, melengkapkan hidup insan sehingga insan tersebut bersedia membina hidup sempurna. Budaya menghormati guru adalah budaya sejagat. Peradaban-peradaban awal di Mesopotamia, di Parsi, di China dan di India meletakkan guru pada tahap kemuliaan yang tinggi. Peradaban Mesopotamia meletakkan guru berstatus ‘unmia’, bermaksud ‘bapa sekolah’, peradaban Parsi menyifatkan guru sebagai profesion yang kudus bermartabat tinggi di sisi agama; peradaban Hindu menyifatkan guru sebagai cahaya yang memberikan panduan; masyarakat Cina memandang tinggi kepada Confucius, dinobatkan sebagai tokoh guru teragung. Islam menganjurkan ummah untuk meletakkan guru di martabat yang tinggi. Ajaran Islam menganjur agar ummah senantiasa menghargai jasa para guru dari dunia hingga ke akhirat; anak-anak Islam diingatkan untuk membacakan surah Al-Fatihah sebagai doa untuk kesejahteraan para guru yang masih hidup dan diniatkan agar ganjaran pahala daripada bacaannya dilimpahkan kepada roh para guru yang telah berada di alam barzakh. Oleh itu masyarakat, terutama ibu bapa dan para pelajar wajib tampil mencerminkan semangat yang menghargai jasa bakti para guru.

10. Lima puluh tahun yang lalu, negara kita masih belum ramai jutawan dan hartawan, negara kita masih ketandusan kumpulan profesional dan teknokrat terutama di kalangan masyarakat Melayu, tetapi warga ketika itu kaya dengan adab dan budi bahasa. Pada era Beta di bangku sekolah, ibu bapa mendidik anak-anak supaya menghormati dan bersifat sopan terhadap guru. Ketika berada di bangku sekolah, ayahanda Beta dan bonda Beta tidak pernah menyalahkan guru, malah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru. Pada zaman Beta mula berada di bangku sekolah, ibu bapa walau setinggi mana pangkat mereka, walau sekaya mana harta mereka, mengamalkan sikap menghormati guru. Anak-anak dinasihatkan untuk tidak biadab dan tidak menderhaka kepada guru kerana masyarakat Melayu terutamanya, berpegang bahawa ilmu yang diturunkan oleh guru itu akan hilang berkatnya jika murid bersifat derhaka dan bongkak terhadap guru. Demikian budaya adab-tertib terhadap guru, demikian penghormatan dan pengiktirafan ibu bapa terhadap guru di masa silam.

11. Hari ini, adab dan tertib itu bagaikan sebutir mutiara yang telah hilang. Mutiara yang hilang itu wajib dicari dan digilap semula. Hari ini, beberapa orang pelajar terpilih untuk menerima pelbagai anugerah, dan saban tahun guru menganjurkan acara seumpama ini. Demikian kesungguhan semangat para guru, tidak sekadar memenuhi amanah mengilmukan insan tetapi berusaha pula untuk memberikan pengiktirafan kepada anak didik yang mencapai tahap cemerlang. Beta amat maklum dan sangat menghargai tanggung jawab berat yang dipikul oleh para guru mengusahakan dana untuk membiayai majlis-majlis anugerah cemerlang; betapa cabaran yang mereka perlu hadapi untuk mengadunkan agar kain yang semakin singkat dapat menyelimuti tubuh yang semakin besar. Berapa ramai dari kalangan ibu bapa yang anak-anak mereka telah diasuh dan dididik sebaik mungkin di institusi sekolah, tampil untuk menunjukkan penghargaan walaupun hanya dengan mengutus sepucuk surat terima kasih kepada guru.

12. Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan yang mula beroperasi pada tahun 1960 telah meraut usia 55 tahun. Dalam tempoh tersebut, sekolah ini telah mendidik ribuan pelajar. Antara ribuan pelajar tersebut, Beta percaya, ramai yang telah menjadi insan berjaya. Berapa ramai antara bekas pelajar yang telah pernah mendapat nikmat pendidikan di sini, berkunjung semula ke Alma mater mereka; berapa ramai antara mereka pula yang tampil menghulurkan bantuan untuk membantu memajukan tapak semaian yang pohon ilmu mereka, mula berakar di sekolah ini.

13. Permainan ragbi adalah salah satu jenis sukan yang Beta minati. Beta telah mengikuti Pertandingan Ragbi Piala Dunia 2015 yang telah berlangsung di London pada bulan September dan Oktober lalu. Pasukan ‘ALL BLACKS’, Negara New Zealand muncul seorang bekas pemain ragbi yang pernah mewakili New Zealand. Daripada perbualan dengan pemain tersebut, Beta belajar satu pengetahuan baru. Adalah menjadi amalan dan budaya bagi pemain-pemain ragbi di New Zealand untuk menghadiri majlis makan malam tahunan; dan majlis tersebut menetapkan agar setiap pemain diwajibkan memakai jersi kelab asal yang mereka mula-mula wakili. Majlis makan malam tersebut, nyatalah dianjurkan, tidak sekadar untuk menghidangkan makanan dan minuman, tetapi dijadikan acara untuk menyemaikan nilai mengenang budi kepada kelab yang telah pernah berjasa membantu mereka untuk menjadi pemain ternama.

14. Terkandung dalam salah satu pepatah Cina yang mengingatkan bahawa seekor kuda yang hebat, akan kembali ke sungai yang ia mula-mula meminum air. Pepatah tersebut menjadi falsafah pegangan hidup bangsa Cina; kerana itu alumni berperanan besar membantu pembangunan, perkembangan dan kemajuan sekolah vernakular Cina di negara ini. Setiap alumni mengambil tanggung jawab sosial untuk memajukan Alma mater masing-masing.

15. Aspek menghargai jasa guru oleh ibu bapa dan aspek menghargai jasa sekolah oleh para pelajar, adalah dua nilai yang wajib diterapkan; dua nilai tersebut wajib disuntik sehingga menjadi budaya di kalangan masyarakat Malaysia di negara ini. Dua nilai tersebut hendaklah dijadikan sebahagian daripada komponen dalam kandungan pendidikan negara.

16. Beta mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang telah mencapai tahap kejayaan melayakkan mereka menerima anugerah pada hari ini. Beta menghargai jasa bakti dan komitmen para guru yang membantu kejayaan anak-anak ini. Beta menghormati peranan ibu bapa yang menjadi pendorong dan mendoakan kejayaan anak-anak. Kepada anak didik yang berjaya, jadilah insan yang mengenali istilah kesyukuran dan hargailah jasa ibu bapa, jasa guru, jasa sekolah dan jasa negara. Jadikanlah diri aset berharga untuk negara bangsanya. Jadikanlah kejayaan awal untuk mencipta kejayaan yang lebih besar. Jauhkan diri dari bersifat riak setelah memperoleh kejayaan. Taatlah kepada seruan ILAHI, jadilah anak yang soleh, jadilah warga yang setia kepada Raja dan negaranya.

Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang, Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

  1. Petikan dari puisi Usman Awang, Guru Oh Guru, 1979
  2. Petikan dari Puisi A. Samad Said, Obor Hemah, 1988
%d bloggers like this: