Bismillahi Rahmani Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping Ke-27.
2. Beta terlebih dahulu merafakkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala atas limpahan rahmat dan nikmat-Nya ke atas negeri pemerintahan Ayahanda Beta, Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Demikian juga Beta merafakkan rasa syukur kerana anak negeri dan rakyat sekalian terus berada dalam keadaan makmur dan sejahtera. Semoga negeri ini terus aman sentosa selamanya.
3. Beta mengucapkan syabas kepada warga kerja Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah yang telah berjaya mengadakan majlis Hari Anugerah pada hari ini. Beta juga mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya mencipta kejayaan yang membanggakan. Oleh sebab itulah para pelajar ini wajar diberi penghargaan oleh semua pihak, khususnya oleh pihak sekolah atas usaha gigih mereka itu.
4. Sebagaimana yang sedia dimaklumi Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah merupakan sebuah sekolah kluster kecemerlangan. Hal ini bermakna sekolah ini telah mencipta kejayaan sehingga diiktiraf sebagai sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya. Walau bagaimanapun Beta percaya sekolah ini boleh mencapai satu lagi pengiktirafan negara iaitu mencapai taraf Sekolah Berprestasi Tinggi, sebagaimana yang diperoleh beberapa buah sekolah di negara kita baru-baru ini.
5. Berdasarkan NKRA Kementerian Pelajaran Malaysia, Beta maklum bahawa empat bidang keberhasilan utama telah digariskan supaya pendidikan Negara terus maju. Bidang pertama ialah pendidikan prasekolah, diikuti oleh LINUS yakni Literasi Numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Bai’ah atau akujanji Pengetua dan Guru Besar. Keempat-empat bidang ini mempunyai signifikannya kepada sekolah-sekolah di negeri Perak ini. Namun Beta percaya Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah tentu tiada masalah dengan bidang pertama dan kedua kerana Beta difahamkan bahawa para pelajar di sini merupakan pelajar terpilih sejak dari sekolah rendah lagi. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri Perak dan segelintir dari negeri berdekatan untuk menimba ilmu pengetahuan di sini.
6. Sekolah Berprestasi Tinggi merupakan antara NKRA (National Key Result Areas) atau Bidang Keberhasilan Utama Nasional sebagaimana yang Beta nyatakan tadi. Oleh sebab SBT merupakan sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti yang tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan, Beta percaya Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah juga mampu menjana kesungguhan untuk berada dalam kelompok SBT. Beta percaya dengan kepimpinan Puan Pengetua yang dinamis dan berkesan tentu sahaja dapat memacu seluruh warga sekolah untuk mencipta kejayaan. Demikian juga pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan kurikulum yang cemerlang dapat dilaksanakan secara tersusun dan efisien serta membuat pemantauan dan penyeliaan ke atas setiap kerja buat seluruh warga sekolah dengan baik dan berhemah. Pengurusan yang tersusun dan berkesan akan membantu para pelajar membina potensi diri yang seimbang sebagaimana yang diharapkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
7. Generasi muda hari ini merupakan generasi yang akan terus memajukan Negara amnya dan negeri khususnya. Justeru generasi muda negeri Perak, khasnya yang sedang menimba ilmu di sekolah ini mestilah dibangunkan potensi dan bakat mereka hingga ke peringkat kebangsaan bahkan ke peringkat antarabangsa sesuai dengan satu lagi kriteria SBT. Generasi muda ini mesti diberi seberapa banyak peluang untuk menonjolkan kebolehan dalam apa-apa jua bidang, baik bidang akademik mahupun kokurikulum. Walau bagaimanapun Beta dimaklumkan bahawa pasukan hoki Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah telah berjaya mencipta nama di peringkat kebangsaan. Lebih membanggakan Beta apabila tiga orang pemainnya terpilih mewakili negeri Perak ke pertandingan hoki peringkat kebangsaan. Beta berharap pasukan hoki sekolah ini mesti terus dibangunkan sementelahan permainan ini merupakan permainan yang diminati dan diberi perhatian oleh Ayahanda Beta Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan Beta sendiri.
8. Akhir titah, sekali lagi Beta mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah pada hari ini. Beta juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja dan semua pihak yang terlibat menjayakan majlis pada hari ini. Beta berharap semua pihak akan terus bersama-sama memberi sumbangan dan sokongan padu demi pembangunan negeri Perak Darul Ridzuan di samping mempertingakatkan usaha untuk menangani apa-apa jua cabaran yang dihadapi.
Wabillahi Taufik, walhidayah
Wassalamualikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
**********************