Majlis Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah Tahun 2011 The Malay College Kuala Kangsar

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera

Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, juga kepada para Tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan di hari kebangkitan.

2. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dan rahmat dari Nya jua, Beta dapat berangkat ke Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

3. Ketika menyampaikan titah di Majlis yang sama pada tahun 2005, Beta telah menzahirkan kesediaan Lembaga Pengelola untuk melaksanakan program International Baccalaureate (IB) di MCKK. Alhamdulillah, hasrat tersebut kini dimakbulkan ILAHI. MCKK, dengan rahmat dan izin dari ILAHI juga, bakal mencipta sejarah baru. Pada 27 Jun nanti, program International Baccalaurette, InsyaAllah akan dimulakan dengan pengambilan kumpulan pertama 20 pelajar. Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah secara bersama melakukan pelbagai usaha merealisasikan hasrat untuk memperkenalkan program International Baccalaurette di MCKK.

4. Program International Baccalaurette ini hendaklah ditakrifkan sebagai satu gerbang untuk membolehkan MCKK menerokai potensi melebarkan jaringan hubungan di peringkat antara bangsa. Dunia Melayu dan orang Melayu tidak terbatas di bumi Malaysia ini sahaja. Ketika menzahirkan titah dalam tahun 2005, Beta turut menzahirkan pandangan bahawa MCKK di abad ke dua puluh satu, harus dibangunkan hingga mencapai status antarabangsa, berupaya menawarkan tempat pengajian kepada pelajar Melayu dari serata dunia; dan peranan MCKK wajar dilonjakkan untuk dapat dijadikan tapak semaian tunas muda Melayu merentasi batas sempadan negara.

5. MCKK dengan perkenan dan sokongan kuat Raja-Raja Melayu dari Negeri-negeri Bersekutu mula beroperasi pada 2 Januari 1905. Sejak penubuhannya, MCKK, melalui sistem persekolahan berasrama penuh yang diperkenalkan itu, telah menjadi tapak semaian yang berjaya mencantumkan minda tunas-tunas muda Melayu dari pelbagai negeri. Di sinilah, lima puluh dua (52) tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, batas kenegerian di kalangan anak Melayu mula diseberangi. Majoriti lulusan MCKK merupakan kumpulan awal inteligensia Melayu yang diberikan amanah, mewarisi tanggung jawab mengurus tadbir negara ini dari pegawai-pegawai Inggeris. Amat bertepatan jika ditafsirkan bahawa semangat kebangsaan senegara telah mula disemai dalam institusi ini; hingga kemudiannya menyenangkan fahaman dan memudahkan penerimaan apabila usaha dirintis untuk sebelas negeri mahu digabungkan dalam sebuah Persekutuan yang dikenali Persekutuan Tanah Melayu.

6. Bandar Diraja Kuala Kangsar ada kekeramatannya. Di Bandar Diraja ini juga, empat Raja Melayu dari Negeri-negeri Bersekutu telah mengadakan Durbar pertama pada 13 Julai 1897. Di Bandar Diraja ini, MCKK menjadi taman ilmu menyemaikan benih-benih terbaik bangsa Melayu untuk disatukan dalam ladang keilmuan. Semoga Bandar Diraja Kuala Kangsar, sekali lagi dapat diterokai potensinya untuk menjadi tapak semaian yang subur mencantumkan dan menyatukan pemikiran dunia Melayu, dengan turut memberikan ruang untuk menempatkan pelajar-pelajar Melayu yang beragama Islam dari serata dunia. Potensi ini hendaklah diterokai, selaras dengan wawasan negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan ulung di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.

7. Pendidikan berperanan kritikal dalam usaha mempersiapkan generasi masa hadapan. Anak-anak yang berada di MCKK berada dalam usia formatif – usia yang amat kritikal untuk disemaikan dengan nilai-nilai positif. Dalam hasrat memenuhi sasaran pencapaian gred dan pemarkahan akademik, aspek-aspek kemanusiaan, kenegaraan, amanah serta menghargai alam sekitar wajib diperlengkap di dalam jiwa mereka. Dalam sebuah institusi pendidikan berasrama penuh, tanggung jawab tersebut turut terletak di bahu para pendidik.

8. Anak-anak yang terpilih belajar di sini adalah dari kalangan zuriat bangsa Melayu yang paling terserlah. Mereka bakal mengambil tanggung jawab besar di dalam negara di masa hadapan. Sifat kemanusiaan dan patriotik terhadap negara adalah satu keperluan demi menjamin mereka berada di landasan yang betul apabila mewarisi tanggung jawab penting di dalam negara di suatu hari nanti. Sifat amanah wajib disemai supaya apabila mereka memiliki kuasa, kuasa tidak akan disalah gunakan hingga boleh mengakibatkan kesengsaraan kepada kehidupan insan dan kemusnahan kepada negara bangsa.

9. Kesedaran perlu ditingkatkan di dalam diri anak-anak terhadap alam sekitar yang semakin tercemar yang menjadi antara penyebab kepada pemanasan global; dan betapa pemanasan global yang gagal di kawal, kini menjadi ancaman baru terhadap keselamatan dunia. Sikap untuk tidak mencemar alam sekitar dan sikap untuk menghargai alam sekitar wajib dibudayakan melalui amalan hidup harian anak-anak di asrama. Melalui jalinan kerjasama dengan pihak-pihak berkuasa berkaitan, MCKK hendaklah memperkenalkan program kitaran semula secara serius di kalangan warganya. MCKK hendaklah menerokai program meminimumkan buangan sisa dan meminimumkan penggunaan bahan-bahan yang boleh mencemarkan alam. Setiap anak didik di MCKK hendaklah ditingkatkan kesedaran terhadap nilai alam sekitar dan menggalakkan mereka untuk menjaguhi program memelihara alam sekitar. Budaya menghargai alam sekitar hendaklah dijadikan satu lagi identiti kepada institusi ini. MCKK hendaklah berada di barisan hadapan, mencatat satu lagi sejarah sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempelopori program membudayakan insan menghargai alam sekitar. Beta yakin, melalui kesedaran yang berjaya disemaikan, anak-anak didik di MCKK akan dengan sendirinya berperanan sebagai duta kepada kegiatan menghargai alam sekitar.

10. Tahun ini MCKK melangkau usia seratus enam (106) tahun penubuhannya. Dalam tempoh usia tersebut, MCKK telah mencipta pelbagai kecemerlangan. Warga MCKK di hari ini adalah pewaris kepada sejarah kecemerlangan tersebut. Suburkan niat – semaikan azam untuk terus mencipta kecemerlangan yang lebih gemilang. Semoga segala niat dan azam yang disusuli dengan usaha yang bersungguh akan mendapat keberkatan dan rahmat ILAHI.

Wabillahi taufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*******************

%d bloggers like this: