Majlis Konvensyen Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan

 

“KE ARAH MEMPERKASAKAN INTEGRITI”

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera.

Maha Suci ALLAH yang menciptakan manusia, diperlengkap dengan akal, dibekalkan panduan – diwahyukan peringatan, supaya menyempurnakan amanah serta memenuhi tanggung jawab secara berintegriti. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda, begitu juga kepada para ulama dan para tabiin; semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari bangkitan.

2. Perkataan integriti berasal dari perkataan Latin, interger bermaksud sesuatu yang sempurna, memiliki kesyumulan, jati diri yang didukung oleh sifat-sifat kejujuran, keikhlasan, ketulusan, ketelusan dan keutuhan. Integriti adalah subjek menyentuh akhlak. Tiga komponen asas yang ditekankan dalam pendidikan Islam adalah Tauhid, Syariat dan Akhlak.

3. Aspek integriti berulang kali diperingatkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam Al-Quran; turut terkandung dalam Sunah-sunah Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Ayat 27, Surah al-Anfal bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) ALLAH dan Rasul Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada mu, sedang kamu mengetahui”[1]

4. Integriti ditegaskan oleh semua agama, semua fahaman, semua budaya dan semua tamadun. Di dalam INJIL terkandung peringatan:

“So you will walk in the way of the good and keep to the paths of the righteous. For the upright will inhabit the land, and those with integrity will remain in it….”[2]

5. Terkandung dalam Bhagavad Gita, kitab rujukan penganut Hindu, kata-kata:

“In battle, in the forest, at the precipice in the mountains, on the dark great sea, in the midst of javelins and arrows, in sleep, in confusion, in the depths of shame, the good deeds a man has done before, defend him”[3]

6. Guru Nanak memperingatkan pengikutnya dengan pesanan:

“He prospers for a while through unrighteousness, then he gains great good fortune, next he conquers his enemies, but, at last he perishes, branch and root; so follow the path of honesty”[4]

7. Terkandung dalam ajaran Buddha kata-kata:

“They should esteem public morality, honor virtuous conduct, listen to honorable teachers and make offerings to them.[5]

The fragrance of a flower does not float against the wind; but the honor of a good man goes even against the wind into the world”[6]

8. Confucious menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara itu dibina melalui amalan integriti yang wajib disemai nilainya bermula dari rumah. Demikian pentingnya integriti dalam membina jati diri insan, sebagai komponen kekuatan sesebuah negara bangsa; asas untuk membangunkan tamadun yang agung. Terdapat pelbagai peristiwa berlaku di serata dunia yang wajib diambil iktibar, dijadikan pedoman – dijadikan panduan, selaras dengan kata bidalan orang-orang tua dahulu:

Penakik pisau seraut

Ambil galah batang lintabung

Upih diambil ke nyiru

Air setitik jadikan laut

Tanah sekepal jadikan gunung

Alam semesta jadikan guru.

9. Bersandarkan semangat ‘alam semesta jadikan guru’, Beta memilih memetik beberapa kajian kes, semoga dapat dijadikan pengajaran.

10. Kajian Kes Pertama: Di kalangan negara Asia, Filipina memiliki instrumen pencegahan rasuah paling banyak, 7 undang-undang dan 19 agensi penguatkuasaan.[7] Presiden Ferdinand Marcos turut memperkenalkan lima Agensi Pencegah Rasuah dalam tempoh pemerintahannya (1965-1986).[8] Namun ia tidak bermakna bumi Filipina tidak dimendungi awan rasuah. Malah perlakuan rasuah memuncak dalam masa dua puluh satu tahun pemerintahan Presiden Marcos.[9] Amalan kronisme amat ketara berlaku di era pemerintahan beliau. Sanak saudara dan kenalan rapat dilantik mengetuai pelbagai agensi dan perbadanan; masing-masing lebih cenderung mengumpul kekayaan peribadi. Rekod menunjukkan, pasangan suami isteri Ferdinand dan Imelda Marcos telah memindahkan 27 juta US Dolar dari The Philippine National Bank untuk kegunaan sendiri.[10]

11. Imelda Marcos berbelanja mewah di serata dunia. Dicatatkan, pernah dalam satu hari pada tahun 1982, Imelda membeli skarf dan coklat di Moscow bernilai 7,800 US Dolar; dalam satu hari pada September 1982, membeli emas dan permata bernilai 190,000 US Dolar di Manhattan dan turut membayar 62,000 US Dolar untuk membeli lukisan; pada Julai 1983, Imelda membelanjakan 1 Juta US Dolar sebagai bayaran muka menempah lukisan Michelangelo.[11] Sedangkan dokumen rasmi menunjukkan gaji Presiden Filipina hanyalah 57,750 pesos (menyamai 1,321 US Dolar) sebulan.[12] Ketika digulingkan dari jawatan Presiden, Ferdinand Marcos diunjurkan telah menggelapkan 5 ke 10 bilion US Dolar; serta diunjurkan mengumpul 15 bilion US dolar kekayaan peribadi; mengatasi lebih dari separuh hutang negara.[13]

12. Filipina memperoleh kemerdekaan pada 4 Julai 1946; digambarkan sebagai salah sebuah negara kaya di Asia tetapi bertukar menjadi negara miskin dalam tahun lapan puluhan apabila Filipina memperkenalkan dasar ekonomi yang tidak betul, mengamalkan sikap berbelanja boros, diburukkan dengan amalan rasuah yang berleluasa.[14] Akibatnya, hutang negara Filipina dalam tempoh tiga tahun, meningkat dari 17 bilion US Dolar pada tahun 1982 kepada 26 bilion US Dolar pada tahun 1985.[15]

13. Kajian Kes Kedua: Pada 13 Mac 2001, bertempat di Imperial Hotel Delhi, Tehelka.com mengadakan sidang akhbar, mendedahkan skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata. Rakaman video mendedahkan penglibatan pemimpin-pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera. Dua wartawan Tehelka.com, Anirudha Bahal dan Mathew Samuel menyamar sebagai agen Syarikat West End International, berpura-pura untuk mendapatkan kontrak kerajaan bagi membekalkan peralatan keselamatan. Tiga kamera dipasang secara sulit untuk merakamkan transaksi rasuah yang berlaku. Rakaman video mendedahkan Bangaru Laxman, Presiden Parti Bharatiya Janata telah menerima sogokan Rs 100,000 (2,170 US Dolar).[16]

14. Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah yang berlaku di Kementerian Pertahanan India. Rakaman video memperlihatkan pegawai-pegawai kanan tentera meminum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur di dalam majlis yang diaturkan oleh Tehelka.com. Rakaman video turut mendedahkan 16 pegawai tentera menerima sogokan antara September ke Disember tahun 2000.[17] Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya Janata, empat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja.[18]

15. Kajian Kes Ketiga: Pada 4 Februari 1976, Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat dimaklumkan bahawa Lockheed Aircraft Corporation telah melakukan bayaran yang menyalahi undang-undang untuk mempromosikan jualan pesawat ketika Lockheed begitu terdesak menghadapi kemuflisan. Dokumen-dokumen menunjukkan Lockheed membayar lebih 10 juta US Dolar kepada Yoshio Kodama, agen sulit mewakili Lockheed, berperanan sebagai perantaraan di antara Lockheed dan Marubeni Corporation.[19] Pada 6 Februari 1976, Naib Presiden Lockheed, A. Karl Kotchian memaklumkan kepada Jawatankuasa Senat bahawa seorang pegawai kanan Kerajaan Jepun telah menerima dua juta US Dolar dari Marubeni Corporation kerana Marubeni Corporation memerlukan pertolongan orang perantaraan, Kenji Osano, teman rapat Perdana Menteri Kakuei Tanaka, untuk mendapatkan jasa baik Tanaka mempengaruhi All Nippon Airways membeli 21 pesawat Airbus Lockheed’s L-1001 Tristar.[20]

16. Susulan dari pendedahan tersebut, Jabatan Pendakwa Raya Daerah Tokyo, Ibu Pejabat Polis Metropolitan dan Biro Cukai Nasional telah melakukan siasatan. Pada 13 Mac 1976, Yoshio Kodoma didakwa kerana tidak mengisytiharkan pendapatan komisen 6.3 juta US Dolar yang diperoleh dari Lockheed. Dalam bulan Jun 1976, Toshiharu Okubo dari Marubeni Corporation dan Yuji Sawa dari All Nipon Airways telah ditahan; di samping itu, 16 petugas Maribuni Corporation dan All Nipon Airlines turut didakwa.[21]

17. Pada 27 Julai 1976, Kakuei Tanaka ditangkap. Pada 16 Ogos, Tanaka didakwa di Mahkamah Daerah Tokyo, kerana melakukan kesalahan di bawah The Foreign Exchange Law serta menerima rasuah 500 juta Yen (2.1 juta US Dolar). Beliau dikenakan ikat jamin 200 juta Yen. Setelah melalui proses perbicaraan yang mengambil masa tujuh tahun, pada 12 Oktober 1983 Tanaka disabitkan dengan kesalahan, dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen.[22] Tanaka mengemukakan rayuan. Pada 29 Julai 1987, Mahkamah Tinggi Tokyo mengesahkan keputusan Mahkamah Daerah Tokyo.[23] Tanaka sekali lagi mengemukakan rayuan.

18. Tiga kajian kes berlatar belakangkan senario tiga negara Asia; Filipina, negara sedang membangun; India, terkenal sebagai demokrasi terbesar di dunia; Jepun, negara maju dengan pencapaian ekonomi yang tinggi serta dikenali mengamalkan budaya disiplin yang ketat. Bagaimanakah kesudahan kepada kes-kes tersebut.

19. Ferdinand Marcos digulingkan, meninggalkan negaranya pada tahun 1986, meninggal dunia di Honolulu pada 28 September 1989. Imelda Marcos menghadapi 32 dakwaan menyelewengkan 863 juta US Dolar yang disimpan di Swiss Bank.[24] Perbicaraan Imelda memakan masa 17 tahun. Keputusannya, penghakiman Hakim Silvino Pampilo pada 10 Mac 2008, mendapati Imelda tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan.[25] Namun di mata dunia, imej Imelda dengan rasuah tidak terpadam. Masih terbayang gambar yang dipaparkan oleh akhbar-akhbar, mempamerkan koleksi 3000 pasang kasut berjenama, lima rak beg tangan Gucci belum dipakai, malah masih memiliki tag harga, koleksi minyak wangi dan krim muka Christian Dior, lima ratus coli (kebanyakannya berwarna hitam) yang tersusun dalam almari, serta pelbagai item lagi yang ditinggalkan di Istana Malacanang.[26]

20. Di negaranya sendiri, Imelda menawarkan diri bertanding jawatan Presiden pada tahun 1992 dan 1998. Bermodalkan sumber kekayaan yang dimiliki, Imelda Marcos berjaya mendapat sokongan, dipilih sebagai ahli Kongres bagi Provinsi Leyte pada tahun 1995, dan bagi Provinsi Ilocos Norte pada tahun 2010.

21. Tehelka.com mendapat pujian rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah di peringkat tertinggi; tetapi Kerajaan yang berkuasa ketika itu menguar-uarkan Tehelka.com sebagai alat parti pembangkang; berperanan sebagai agen kepada Pakistan dan agen kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat memburukkan Kerajaan India.[27] Direktorat Badan Perisikan India dan Pihak Berkuasa Percukaian India melakukan pelbagai siasatan. Siasatan turut dilakukan oleh Jabatan Kastam, Polis dan Pihak Berkuasa Percukaian terhadap para pelabur dalam Tehelka.com. Jawatankuasa Khas yang dibentuk oleh Kerajaan lebih menumpukan siasatan terhadap etika kewartawanan dari memberi fokus kepada perlakuan rasuah yang didedahkan.[28]

22. Kesudahannya, atas keberanian mendedahkan perlakuan rasuah, Ketua Pengarang Tehelka.com, Tarun Tejpal terpaksa membayar dengan harga yang tinggi. Tarun Tejpal didakwa pada September 2001 atas kesalahan moral menawarkan pelacur kepada pegawai tentera.[29] Shanker Sharma, penaja kewangan terbesar Tehelka.com dipenjarakan tanpa dakwaan.[30] Bilangan staf Tehelka.com menguncup dari 120 orang pada tahun 2001 kepada 4 orang pada tahun 2003; di samping itu aset yang tinggal hanyalah tiga unit komputer dan beberapa kerusi berdebu.[31] Tehelka.com hancur musnah kerana bertindak sebagai whistle blower. Pihak-pihak yang didedahkan terlibat dengan rasuah terlepas dari sebarang hukuman, malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan.[32]

23. Dua bulan selepas disabitkan kesalahan rasuah dan dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Daerah Tokyo, Tanaka memenangi pilihan raya pada Disember 1983, dipilih sebagai ahli parlimen (DIET) bagi kawasan Niigata dengan kemenangan majoriti besar.[33] Meskipun disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Daerah dan Mahkamah Tinggi Tokyo, Tanaka terlepas dari menjalani sebarang hukuman kerana walaupun prosiding perbicaraan telah melewati 17 tahun, proses rayuannya masih belum selesai ketika Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993; [34] malah respons kepada soal selidik yang dilakukan pada Januari 1995 oleh akhbar Yomiuri Shimbun mendapati, di kalangan rakyat biasa Jepun, populariti Tanaka, berada teratas berbanding Perdana Menteri-Perdana Menteri Yoshida Shigeru, Sato Eisaku dan Ikeda Hayato.[35] Di kalangan penyokong, Tanaka disanjung sebagai pemimpin yang mengambil berat nasib rakyat; dianggap pemimpin politik Jepun paling popular di era pasca Perang Dunia Kedua.

24. Apakah moral di sebalik kes-kes yang telah dihuraikan? Ia menyentuh aspek integriti. Filipina, memiliki begitu banyak instrumen untuk membanteras rasuah. Namun undang-undang bagaikan dakwat yang hanya tertulis di kertas sementara agensi pelaksana wujud hanya pada nama. Bahawa undang-undang dan agensi, jika berperanan kosmetik, tidak memberi erti, malah akan hanya menambahkan kos pengurusan kepada negara. Rasuah bukan sahaja tidak dapat dibendung, malah semakin berkembang; apatah lagi jika wang begitu berpengaruh sehingga berupaya membersihkan nama, serta pelaku rasuah kembali memperoleh sokongan, meskipun pernah disingkir kerana terlibat dengan rasuah.

25. India terkenal sebagai demokrasi terbesar di dunia, memberi ruang kebebasan yang luas kepada warga untuk bersuara. Malangnya kebebasan demokrasi dan kebebasan bersuara tidak membantu untuk rasuah berjaya dibendung secara berkesan; bagaikan tersirat, berlakunya sifat mengaku kalah, tidak berupaya membasmi rasuah; lalu amalan rasuah terus menjalar sebagai parasit yang subur hidup di setiap pepohon pentadbiran dan pengurusan negara. Ia dibimbangkan semakin merebak, seperti yang terdedah dalam perbelanjaan Sukan Komanwel Delhi 2010, tercatat dalam sejarah sebagai Sukan Komanwel yang melibatkan kos paling tinggi, melonjak dari bajet asal 5 juta US Dolar, mencecah 5 bilion US Dolar.[36] Akbar The India Today menyiarkan maklumat dalaman, bagaimana penganjur telah membayar 80 US Dolar untuk satu gulung kertas toilet, 125 US Dolar untuk 1 unit First-Aid Kit hinggalah kepada 23,000 US Dolar untuk satu mesin treadmill;[37] sedangkan 250 juta rakyat India dilaporkan tidak mempunyai makanan yang cukup dan dua puluh satu peratus penduduk negara berada dalam kategori kurang pemakanan (undernourished).[38]

26. Jepun sebuah negara maju. Indeks Persepsi Rasuah Transparency International, menempatkan Jepun di kalangan negara Asia, berada di tangga ketiga selepas Singapura dan Hong Kong dari segi bersih rasuah.[39] Jepun bagaikan berada dalam paradoks; dianggap hampir mencapai status sifar rasuah di peringkat petty corruption di kalangan pegawai bawahan tetapi terdapat rasuah struktural atau structural corruption secara besar-besaran yang melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun memerlukan modal besar untuk survival, untuk menampung perbelanjaan aktiviti politik dan untuk mendapatkan sokongan politik.[40] Structural corruption begitu endemik dalam sistem yang dikawal oleh oligarki yang mengamalkan politik naungan dan budaya imbuhan;[41] lalu terbina segi tiga yang reput ataupun the rotten triangle, persepakatan atau collusion di antara ahli politik, anggota birokrasi dan tokoh peniagaan.

27. Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah binasa umat terdahulu sekiranya yang mencuri itu berpangkat tinggi, lalu mereka dibiarkan sahaja, tetapi jika yang mencuri itu dari kalangan mereka yang lemah, lalu dengan segera dijatuhkan hukuman ke atasnya. Demi ALLAH, yang aku di dalam kekuasaan Nya, kalaulah Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku kudungkan tangannya”.[42]

28. Adakah rasuah barah yang tidak boleh dicegah? Adakah rasuah penyakit yang tidak dapat diubati? Apabila seorang doktor diminta merawat pesakit, doktor perlu mengenal pasti penyakit secara tepat, bersedia memberikan preskripsi sebenar, berani bertindak menyembuhkan pesakit. Tindakan pengubatan (curative measures) perlu dilakukan secara pantas – secara tegas walaupun pesakit terpaksa menanggung perit atau terpaksa kehilangan organ, hatta organ yang paling disayangi. Antara organ paling berharga kepada wanita adalah keindahan payudara kurniaan ILAHI. Tetapi apabila payu dara diserang barah, ia perlu dipisahkan kerana menyimpan payu dara yang telah dihinggapi barah, akan hanya memusnahkan seluruh tubuh pesakit hingga akhirnya membawa maut. Oleh itu tugas doktor jangan diganggu.

29. Beta memilih memetik tiga kajian kes yang boleh dijadikan contoh tentang kesungguhan dan ketegasan negara, kerajaan dan pemimpin untuk membasmi rasuah.

30. Kajian Kes Pertama: HANBO Iron and Steel Company adalah syarikat keluli kedua terbesar dan konglomerat keempat belas terbesar di Korea Selatan. Hutang terkumpul syarikat pada Januari 1997, mencecah 5.6 bilion US Dolar dan syarikat diisytiharkan bankrap. Pengasas HANBO, Chung Tae-Soo disabitkan kesalahan, dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara kerana melakukan sogokan kepada tokoh-tokoh politik, pengarah dan pengurus bank untuk meluluskan pinjaman yang besar kepada HANBO.[43] Sembilan individu lain termasuk anak Chung Tae-Soo dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara kerana kesalahan rasuah dan menggelapkan wang. Kim Hyun Chol anak Presiden Kim Young-Sam turut disabitkan, dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan denda 1.5 juta US Dolar.[44]

31. Skandal HANBO telah memusnahkan mitos yang menganggap konglomerat besar tidak boleh dijatuhkan. Di samping HANBO, Syarikat KIA yang merupakan konglomerat ketujuh terbesar di Korea Selatan turut diisytiharkan bankrap pada Julai 1997. Skandal HANBO disusuli pengisytiharan bankrap 10 konglomerat lain adalah antara pencetus kepada krisis kewangan 1997 di Korea Selatan.[45] Skandal tersebut turut mendedahkan bahawa sektor pembuatan tidak tebat (insulated) dari aktiviti rasuah; dan betapa pertimbangan urus niaga yang sepatutnya diasaskan kepada analisis kredit telah dinodai oleh pengaruh politik.[46] Komuniti kewangan antarabangsa merumuskan, terdapat empat kelemahan dalam sistem ekonomi Korea Selatan ketika itu:[47]

  1. Pergantungan konglomerat kepada pinjaman kewangan secara berlebihan.
  2. Berlaku konspirasi antara tokoh politik dengan konglomerat.
  3. Amalan kurang telus akaun perniagaan.
  4. Mekanisme kawalan bank yang tidak efektif.

32. Skandal HANBO menjejaskan legitimasi dan kredibiliti Presiden Kim Young Sam. Ketika mengambil alih kepimpinan negara pada Februari 1993. Presiden Kim Young Sam berazam untuk membasmi rasuah; Kim Young Sam berjanji untuk memisahkan politik dengan perniagaan. Imej Kim Young Sam lebih tercemar apabila anaknya sendiri turut disabitkan, kerana falsafah Confucianisme menegaskan bahawa seorang ayah itu adalah sumber autoriti moral keluarga.[48] Dalam pada itu, pendirian Kim Young Sam tidak melindungi anak kandungnya dari menghadapi proses undang-undang dan menjalani hukuman penjara, adalah sifat negarawan yang wajib dicontohi.

33. Korea Selatan mengamalkan demokrasi selepas Presiden Roh Tae-Woo mengambil alih pemerintahan pada tahun 1988. Walaupun Skandal HANBO memusnahkan ilusi yang menganggap rasuah akan berakhir dengan berakhirnya pemerintahan autoritarian,[49] namun tidak juga dinafikan bahawa transformasi politik dari sistem autoritarian kepada sistem demokrasi, telah memberikan opsyen kepada rakyat boleh menukar pemerintahan yang dilihat gagal mengawal rasuah[50]. Kim Young-Sam adalah Presiden pertama dari kalangan awam apabila dipilih pada Februari 1993. Beliau diganti oleh Kim Dae-Jung pada Februari 1998, beralih kepada Roh Moo Hyun pada Februari 2003, bertukar kepada Lee Myung-Bak pada Februari 2008, dan pada Februari 2013, Korea Selatan buat pertama kalinya memilih seorang Presiden Wanita, Park Geun-hye.

34. Setiap kali diadakan pilihan raya, calon-calon yang bertanding, berikrar untuk menghapuskan rasuah, namun masih terdapat jurang antara kata dan kota. Usaha mahu menubuhkan agensi pencegah rasuah yang bebas, berkecuali dan berautonomi belum tercapai sepenuhnya; penghalang utama kepada hasrat tersebut adalah Jabatan Pendakwa Raya dan Agensi Polis Nasional yang berpendirian bahawa tugas mencegah rasuah adalah di bawah bidang kuasa mereka;[51] di samping kegagalan mendapat sokongan dari anggota National Assembly.[52] Rakyat Korea Selatan berpegang bahawa rasuah akan dapat dihapuskan apabila pemimpin tertinggi, baik di bidang politik begitu juga di dalam kerajaan dapat mengamalkan gaya hidup bermoral, beretika dan menjadi model mengamalkan integriti dan kejujuran. Pimpinan politik Korea Selatan masih dalam usaha mencari perimbangan untuk memulakan langkah yang lebih berani – lebih tegas.

35. Kajian Kes Kedua: Pada bulan April 1973, Ketua Superintenden Peter F. Godber, Timbalan Komander Polis Daerah Kowloon, Hong Kong, dilaporkan menghantar wang keluar negara. Pada akhir Mei 1973, Pejabat Pencegah Rasuah mendapati sejak tahun 1968, Godber telah mendepositkan wang ke dalam akaun-akaun bank di Hong Kong dan di luar negara berjumlah 650,000 Hong Kong Dolar. Maklumat lebih lengkap diperoleh setelah siasatan terperinci dilakukan; pada 9 Jun 1973, Godber dilapur memiliki kekayaan mencecah lebih 4.4 juta Hong Kong Dolar. [53] Godber dan isterinya menyelinap lari meninggalkan Hong Kong pada 7 Jun 1973. Media Hong Kong mendedahkan berita pelarian Godber sementara pelajar-pelajar mengadakan protes mendesak Perdana Menteri Britain menghantar Godber balik ke Hong Kong untuk dibicarakan.

36. Gabenor Jeneral, Sir Murray MacLehose peka dengan tuntutan rakyat Hong Kong. Beliau lalu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan yang diketuai oleh Sir Alastair Blair Kerr. Suruhanjaya mengenal pasti bagaimana Godber dapat membolos kawalan keselamatan hingga berjaya melarikan diri. Suruhanjaya turut mengkaji kelemahan Prevention of Bribery Ordinance (POBO) kerana tidak memperuntukkan proviso membolehkan Godber dihantar balik ke Hong Kong. [54]

37. Antara perkara yang diperakukan oleh Suruhanjaya Siasatan adalah penubuhan The Independent Commission Against Corruption (ICAC) pada Februari 1974. ICAC ditubuhkan dengan dua tujuan utama, pertama: membasmi rasuah; kedua: mengembalikan keyakinan umum terhadap Kerajaan. Ia memiliki autonomi, bertanggung jawab secara langsung kepada Gabenor Jeneral. Proviso tertentu telah diperuntukkan kepada ICAC untuk membolehkan ICAC merintis usaha memastikan Godber tidak terlepas dari di hadap ke muka pengadilan. [55]

38. Pada 29 April 1974, Godber didakwa di London kerana menerima 15,000 Hong Kong Dolar dari Superintenden Cheng Hon-kuen untuk menempatkan Chen sebagai Ketua Polis Daerah Wan Chai, penempatan yang memberi peluang luas melakukan rasuah. Selepas sembilan belas bulan melarikan diri ke Britain, Godber akhirnya di bawa balik ke Hong Kong pada 7 Januari 1975 untuk didakwa. Godber disabitkan dengan kesalahan rasuah, dijatuhkan hukuman empat tahun penjara.[56]

39. Sebelum penubuhan ICAC amalan rasuah di Hong Kong diterima sebagai satu kelaziman – satu budaya – satu struktur – satu norma; berlaku bagaikan sindiket yang diinstitusikan. Usaha menyiasat, membawa balik, mendakwa dan mensabitkan Godber memanifestasikan titik permulaan untuk membuktikan tidak ada sesiapa berada di atas undang-undang. Penubuhan ICAC mencetuskan perubahan signifikan, membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk mengambil tindakan, melakukan siasatan dan menguatkuasakan undang-undang tanpa gentar – tanpa pilih kasih.

40. ICAC memberi fokus kepada tiga perkara, pertama: siasatan, kedua: pencegahan, ketiga: pendidikan. Hong Kong kini berjaya mencerminkan imej pentadbiran yang berintegriti. Walaupun usaha untuk menangani rasuah pada mulanya dianggap mustahil dicapai, berdasarkan sejarah bumi Hong Kong yang begitu bertoleransi dan persekitaran budaya di Hong Kong yang begitu sebati bergelumang dengan rasuah, tetapi kini terbukti, bahawa tidak ada gunung curam yang tidak boleh didaki, kalau ada niat yang gigih – kalau ada azam yang kukuh, membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, namun gunung didaki juga. Ia tercapai kerana adanya azam dan ketegasan politik, diperlengkap dengan pentadbiran awam yang telus, serta diperkukuhkan dengan peranan media, badan-badan bukan kerajaan dan pemerhati bebas, paling utama badan siasatan, badan pendakwaan dan mahkamah yang berada di atas politik. Keberkesanan ICAC telah membersihkan Hong Kong dari imej negatif; berjaya meletakkan Hong Kong pada hari ini berimej bersih rasuah; di kalangan negara Asia, berada di tangga kedua selepas Singapura.[57]

41. Kajian Kes Ketiga: Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International, Singapura dikategorikan sebagai negara yang paling kurang berlakunya rasuah. Namun ia tidak bermakna rasuah tidak berlaku.

42. Sejak diisytiharkan merdeka sebagai sebuah Republik pada tahun 1965, Kerajaan Singapura telah bertindak tegas terhadap empat pemimpin tertinggi The People Action Party (PAP). Seawal tahun 1966, Menteri Pembangunan Negara, Tan Kia Gan disyaki terlibat membantu kenalan beliau dalam urusan pembelian pesawat Boeing MALAYSIAN AIRWAYS.[58] Walaupun tidak dapat disabitkan kerana saksi-saksi tidak bersedia memberikan keterangan, Tan Kia Gan diarah meletakkan jawatan, dianggap telah mencalarkan nama baik Kerajaan. Dalam tahun 1975, Minister of State, Wee Toon Boon, didakwa menerima sogokan dari pemaju, disabitkan kesalahan, dihukum empat setengah tahun penjara.[59] Dalam tahun 1979, Ahli Parlimen dan Ketua Kesatuan Sekerja Phey Yew Kok disiasat kerana melakukan pecah amanah. Phey melarikan diri keluar negara; sehingga hari ini masih bertaraf pelarian (fugitive).[60]

43. Paling dramatik adalah kes Menteri Pembangunan Negara Singapura (1979 – 1986), Teh Cheang Wang. Kontraktor binaan Liu Cho Hit menawarkan sogokan satu juta Dolar Singapura kepada seorang lagi kontraktor, Liaw Teck Kee meminta persefahaman Liaw untuk melindungi Teh Cheang Wang dari siasatan rasuah. Liaw bukan sahaja menolak tawaran tersebut malah membuat laporan kepada The Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB).

44. Teh Cheang Wang disoal siasat. Teh Cheang Wah membunuh diri pada 14 Disember 1986. Semasa sesi Parlimen bertarikh 4 Mac 1987, Chiam See Tong, Anggota Parlimen Potong Pasir dari parti pembangkang bertanyakan sama ada Perdana Menteri Lee Kuan Yew ada konspirasi mahu melindungi kebenaran di sebalik kes rasuah yang berakhir dengan Teh Cheang Wang membunuh diri. Lee Kuan Yew memberikan jaminan bahawa Kerajaannya tidak berhasrat melindungi sesiapa juga yang terlibat dengan rasuah. Pada 26 Mac 1987, Presiden Wee Kim Wee melantik tiga anggota Suruhanjaya Siasatan dan Chiam turut diberikan peranan membantu menggariskan terma rujukan Suruhanjaya yang ditubuhkan.[61]

45. Dalam testimoni kepada Suruhanjaya Siasatan, Pengarah CPIB melaporkan bahawa 157 orang telah ditemu duga dan 134 kenyataan direkodkan. Beliau merumuskan bahawa perlakuan rasuah tersebut tidak melibatkan pihak-pihak lain.[62] Liaw Teck Kee selaku saksi utama mengaku kepada Suruhanjaya Siasatan bahawa beliau berperanan orang tengah dua kali menyampaikan sogokan kepada Teh Cheang Wan, setiap kali bernilai 500,000 Dolar Singapura; dan dari jumlah satu juta dolar Singapura itu, Teh memberi komisen 200,000 Dolar Singapura kepada Liaw.[63] Saksi ketiga Penolong Pengarah Kanan CPIB Tan Ah Leak, memaklumkan kepada Suruhanjaya bahawa Teh Cheang Wang mengaku menerima sogokan, menawarkan diri untuk meletak jawatan dan bersedia memulangkan terimaan rasuah 800,000 Dolar Singapura, jika Lee Kuan Yew berjanji tidak mendakwanya di mahkamah. Dalam memoirnya Lee Kuan Yew mencatatkan:

Petikan:

“We had established a climate of opinion which looked upon corruption in public office as a threat to society. Teh preferred to take his life rather than face disgrace and ostracism. I never understood why he took this S$800,000. He was an able resourceful architect and could have made many millions honestly in private practice”.[64]

46. Kerajaan Singapura seterusnya menggubal The Corruption (Confiscation of Benefits) Act 1989, pada 3 Mac 1989, membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah menyita harta yang terbukti diperoleh secara rasuah. Singapura diiktiraf berjaya melaksanakan langkah berkesan membendung rasuah dengan mencatatkan pencapaian 9.3 mata, berada di tempat pertama bersama Denmark dan New Zealand di kalangan 178 negara dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2010.[65] Penentu utama adalah kesungguhan dan ketegasan politik. Walaupun CPIB ditempatkan di bawah pengawasan Perdana Menteri, ia bebas melakukan siasatan kepada setiap aduan; tidak ada sesiapa diberikan pengecualian – tidak ada pihak diberikan kekebalan.

47. Setelah memetik enam kajian kes yang memperlihatkan ketidaksungguhan dan kesungguhan menangani rasuah di enam negara Asia, huraian ini tidak lengkap jika Beta tidak bersedia mengambil contoh di negara sendiri agar Konvensyen ini tidak bersifat melihat tungau di seberang lautan, melupakan gajah di hadapan mata.

48. Dalam tahun 1964, negara menyaksikan Menteri Pelajaran merangkap Menteri Kesihatan Abdul Rahman Talib (Allahyarham) kalah dalam perbicaraan kes sivil melawan S.P. Seenivasagam, memberi implikasi Abdul Rahman Talib terlibat dengan rasuah. Abdul Rahman Talib (Allahyarham) mengundur diri dari menjadi anggota Jemaah Menteri.

49. Dalam pilihan raya umum tahun 1969, sokongan terhadap parti pemerintah, PERIKATAN, merosot. Tun Abdul Razak (Allahyarham) peka membaca mesej rakyat. Tun Abdul Razak meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang PARTI PERIKATAN dan menyerang Kerajaan semasa kempen pilihan raya, lalu segera bertindak melakukan langkah-langkah pembetulan. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada mana-mana juga anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Dato’ Harun Hashim, MAJLIS GERAKAN NEGARA (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), untuk membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.[66] Menteri Besar Perak, Dato’ Ahmad Said didedahkan memiliki wang sejumlah hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (1,138,403.00 ringgit); sebanyak tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (329,979.00 ringgit) wang tersebut telah disita kerana didapati diperoleh secara rasuah.[67] Dato’ Ahmad Said meletakkan jawatan Menteri Besar Perak pada Februari 1970.

50. Dalam bulan Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti selama dua bulan dan selepas itu jawatan Menteri Besar Terengganu digantikan dengan Mahmood bin Sulaiman.[68] Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah Menteri pada September 1970.[69] Sepanjang tahun 1970, BPR melakukan 3,265 inkuiri, 319 siasatan penuh, melakukan tangkapan 115 individu dan 67 penjawat awam; sementara tindakan disiplin dikenakan terhadap 87 pegawai.[70] BPR turut diarah melakukan siasatan terhadap kontraktor dan pembekal yang memanipulasikan proses tender Kerajaan.[71]

51. Pendekatan preventif disuntik untuk meningkatkan integriti serta daya tahan pegawai awam dari godaan rasuah. Skala gaji baru diperkenalkan dengan mengambil kira kos sara hidup, diperlengkap dengan kemudahan skim pinjaman perumahan, agar kakitangan awam boleh membeli rumah tanpa perlu bergantung pada sumber kewangan dari pihak lain.[72] Pada awal tahun 1971, Dato’ Harun Hashim merumuskan bahawa kempen memerangi rasuah telah mencapai matlamat. Kesungguhan beliau memerangi rasuah dihargai. Dato’ Harun Hashim diangkat ke kerusi Hakim Mahkamah Tinggi pada Mac 1971.[73]

52. Dalam tahun 1976, Dato’ Harun Idris (Allahyarham) disabitkan dengan kesalahan rasuah. Dato’ Harun dibicarakan di hadapan Paduka Ayahanda Beta, ketika itu Hakim Raja Azlan Shah. Hakim Raja Azlan Shah menghadapi tugas berat. Tertuduh, bukan sahaja mempunyai sokongan politik tetapi seorang individu yang tidak asing kepada Baginda. Ketika menjatuhkan hukuman antara lain Hakim Raja Azlan Shah menyatakan:

Petikan:

“ It is painful for me to have to sentence a man I know. I wish it were the duty of some other judge to perform that task.

To me this hearing seems to re-affirm the vitality of the rule of law. But to many of us, this hearing also suggests a frightening decay in the integrity of some of our leaders.

It has given horrible illustrations of Lord Acton’s aphorism ‘power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely’, and has focussed concern on the need of some avowed limitations upon political authority.

..the law is no respector of persons. Nevertheless it will be impossible to ignore the fact that you are in a different category from any person that I have ever tried. It would be impossible to ignore the fact that, in the eyes of millions of our countrymen and women, you are a patriot and a leader. Even those who differ from you in politics look upon you as a man of high ideals. You had every chance to reach the greatest height of human achievement. But half-way along the road, you allowed avarice to corrupt you. It is incomprehensible how a man in your position could not in your own conscience, recognise corruption for what it is. In so doing, you have not only betrayed your party cause, for which you have spoken so eloquently, but also the oath of office which you have taken and subscribed before your Sovereign Ruler, and above all the law of which you are its servant”.[74]

53. Petikan dari penghakiman tersebut mengandungi kata-kata bukan sekadar mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukum. Petikan kata-kata tersebut mengandungi komponen khutbah nasihat, khutbah teguran, khutbah peringatan, khutbah amaran, agar dijadikan teladan. Tentulah berat bagi lidah Hakim Raja Azlan Shah untuk menzahirkan ungkapan kata-kata sedemikian keras dan tegas terhadap tertuduh, yang turut Baginda kenali; tetapi Hakim Raja Azlan Shah perlu lebih mengutamakan kedaulatan undang-undang dan kepentingan umum dari batang tubuh seorang kenalan.

54. Integriti dapat diperkasakan jika pentadbiran negara diterasi atas tiang perundangan, dikuatkuasakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih; tanpa halangan – tanpa campur tangan politik. Kesungguhan pemimpin menangani rasuah, serta langkah tegas pemimpin berani mengeluarkan sel rasuah dari anatomi pentadbiran, sebenarnya akan lebih mengukuhkan kedudukan pemimpin, di samping membina imej positif kerajaan, serta meningkatkan penghormatan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, sekali gus meningkatkan integriti pemimpin di mata rakyat.

55. Tun Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Dato’ Seri) mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Antara agenda utama paling awal yang ditegaskan, adalah integriti dan keazaman memerangi rasuah. Penubuhan Institut Integriti Malaysia diisytiharkan pada 5 November 2003, lima hari selepas menjawat jawatan Perdana Menteri. Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia ditubuhkan pada Februari 2004, bertujuan mengembalikan imej, reputasi dan integriti Polis Diraja Malaysia.

56. Pilihan Raya kesebelas berlangsung dengan latar belakang imej pemimpin dan imej Kerajaan yang berazam mengutamakan integriti, turut berazam memerangi rasuah, tanpa gentar – tanpa pilih kasih (without fear or favour). Ucapan dan kenyataan diperkukuhkan dengan kes-kes yang didakwa yang melibatkan nama-nama besar. Tiga kes rasuah yang melibatkan pihak atasan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh empat hari. Mantan Presiden Majlis Perbandaran Kangar, Baharuddin Ahmad di dakwa pada 9 Februari 2004, diikuti dengan Tan Sri Eric Chia pada 10 Februari, dan Tan Sri Kasitah Gadam pada 12 Februari. Senario ini dipercayai ada pengaruh di kalangan pengundi semasa berlangsungnya pilihan raya umum kesebelas pada 21 Mac 2004. BARISAN NASIONAL mencipta kejayaan gemilang, memenangi 198 kerusi Parlimen dan memperoleh 63.9 peratus undi popular.

57. Keputusan Pilihan Raya kesebelas memanifestasikan harapan dan hasrat rakyat yang mahukan pentadbiran negara yang bersih, berintegriti dan sifar rasuah. Rakyat dijanjikan – rakyat diberikan harapan – rakyat mempercayainya – rakyat memberi sokongan. Hakikat yang berlaku di antara Pilihan Raya Kesebelas sehingga Pilihan Raya Kedua Belas, gagal memenuhi harapan tinggi rakyat. Rakyat merasakan kata tidak dikota. Rakyat tidak dapat diyakinkan dengan ucapan – dengan janji; dengan indeks pencapaian, sekiranya indeks pencapaian tidak memberi erti, tidak benar-benar dirasakan dalam kehidupan harian rakyat.

58. Indeks pencapaian integriti yang diperkenalkan adalah sekadar mekanisme ukuran, hanyalah satu penunjuk yang ada kalanya bersifat selektif, tidak memberikan gambaran sebenar. Negara tidak harus terlalu cepat memamah lalu terperangkap dengan indeks pencapaian kuantitatif yang dipamerkan dengan data yang tampak menggambarkan kejayaan. Pentas hidup ini mempunyai ramai watak penglipur lara yang bijak menari mengikut irama. Tragedi Revolusi Kebudayaan di Cina yang dipelopori oleh Mao Tze Tung perlu dijadikan contoh peringatan. Di era Revolusi Kebudayaan, manipulasi data dilakukan di setiap peringkat, merangkumi kampung, bandar, komuniti, wilayah dan negara supaya Mao terhibur dengan angka-angka yang menunjukkan pencapaian sasaran. Di kiri kanan jalan raya begitu juga di kiri kanan landasan kereta api yang dilalui oleh Mao, akan diwujudkan teater dan tirai latar yang melakonkan kejayaan. Rakyat dan produk dari tempat lain diimport, gudang dibangunkan secara segera, tumbuhan ditanam menjelang lawatan, ladang diperlihatkan subur, dan rakyat China dipamerkan bekerja sambil menyanyi – sambil menari penuh keceriaan. Mao Tze Tung terpukau, merasakan dirinya bijak, kerjanya betul, rancangannya berjaya dan rakyatnya sejahtera; sedangkan realitinya amat berbeza. Jutaan rakyat China kebuluran, jutaan mati kerana tiada makanan. Sifat terlalu taksub kepada pencapaian kuantitatif boleh menjadi madat bahaya yang berpotensi membiakkan budaya hipokrasi dan kepura-puraan hingga melenakan pemimpin dalam mimpi serba indah. Untuk itu, ada baiknya cerita kejayaan diaudit, dibandingkan supaya dikenal pasti jurang antara realiti yang sebenarnya berbanding laporan yang dikemukakan.

59. Anggota perkhidmatan awam hendaklah diasuh berani berkata benar agar yang condong dapat segera ditegakkan, yang tiris dapat segera ditampal. Keberanian menyatakan kebenaran meski dimarahi – meski tidak disukai, melambangkan integriti. Filantropi serta tokoh perniagaan dan pelaburan terkenal di Amerika Syarikat, Warren Buffet ketika menyaring calon-calon untuk diambil bekerja berpegang kepada prinsip:

Petikan:

“In looking for people to hire, you look for three qualities, integrity, intelligence and energy. And if they don’t have the first, the other two will kill you”.

60. Prinsip tersebut jelas terkandung di sebalik maksud ayat 26 Surah Al-Qasas;

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu boleh pilih untuk bekerja (untuk mu) ialah orang yang kuat (yakni berkebolehan) lagi dapat dipercayai (ia itu amanah)”[75].

61. Rakyat mahu dibuktikan dengan contoh teladan dari pemimpin. Kembalilah berpegang pada yang nyata, berguru kepada alam, mengambil contoh teladan baik dari pemimpin terdahulu yang pemergian mereka ditangisi rakyat.

62. Kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak tertanding nilai teladannya. Baginda sebaik-baik contoh memimpin melalui teladan. Baginda telah wafat. Namun, ucap kata dan tingkah laku Baginda dirujuk sebagai Sunnah, terus dijadikan pedoman. Bumi kita telah dirahmati ILAHI dengan dikurniakan pemimpin-pemimpin yang telah memberikan contoh teladan baik, mengingatkan Beta kepada salah satu Hadis Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Daud bermaksud:

“Jikalau ALLAH inginkan supaya sesuatu bangsa itu sejahtera, maka ALLAH akan memberikan bangsa itu pemimpin yang baik.”

63. Beta memilih untuk berkongsi beberapa episod mengenai teladan kepimpinan baik agar dapat memberikan inspirasi dalam hasrat mahu memperkasakan integriti diri.

64. Episod pertama: Seorang ibu amat risau akan perangai anaknya memakan gula secara berlebihan. Ibu tersebut membawa anaknya berjumpa Mahatma Gandhi memohon Gandhi menasihatkan anaknya untuk tidak memakan gula. Gandhi hanya menasihatkan ibu tersebut untuk pulang dan datang semula sebulan kemudian. Sebulan berlalu, ibu dan anak tersebut kembali bertemu Gandhi. Kali ini, barulah Gandhi menasihatkan anak tersebut untuk berhenti memakan gula. Perbuatan Gandhi menghairankan ibu dan anak. Mereka bertanya mengapa nasihat sedemikian tidak disuarakan sewaktu kunjungan pertama. Jawab Gandhi, “ketika kamu berdua menemui aku kali pertama, aku sendiri ketika itu masih memakan gula. Pastinya aku tidak layak menyuruh orang lain berhenti melakukan perkara yang aku sendiri masih lakukan. Aku baru sebulan berhenti memakan gula, maka barulah aku berada dalam kedudukan yang layak menasihati orang lain untuk turut berhenti memakan gula”.

65. Episod Kedua: Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) pernah mendapat rawatan di sebuah hospital di London. Yang Teramat Mulia Tunku tertarik dengan susun atur hospital tersebut. Kebetulan Hospital Besar Kuala Lumpur dalam peringkat perancangan pembinaan semula. Setelah kembali ke Tanah Air, Yang Teramat Mulia Tunku mencadangkan kepada Menteri Kerja Raya, Tun Sambanthan (Mendiang) untuk menimbangkan kemungkinan mendapat pandangan dari juru perunding hospital berkenaan membantu perancangan pembinaan Hospital Kuala Lumpur.

66. Kementerian Kerja Raya merintis perbincangan awal. Dalam salah satu sidang Parlimen, seorang anggota Parlimen mencelah soalan kepada Menteri Kerja Raya bertanyakan kesahihan cerita bahawa atas arahan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya telah melantik kenalan peribadi Perdana Menteri sebagai juru perunding untuk pembinaan Hospital Kuala Lumpur. Yang Teramat Mulia Tunku yang turut ada di Parlimen semasa soalan dikemukakan terus bangun, meminta laluan dari Menteri Kerja Raya, secara terbuka mengaku ada mencadangkan kepada Menteri Kerja Raya tetapi menafikan juru perunding tersebut adalah kenalan peribadi beliau. Yang Teramat Mulia Tunku, selanjutnya menyatakan, memandangkan ahli Yang Berhormat itu telah menimbulkan keraguan yang boleh menjejaskan integritinya, Yang Teramat Mulia Tunku di Dewan Parlimen itu sendiri mengarahkan supaya apa juga perhubungan yang telah dijalinkan dengan juru perunding tersebut hendaklah ditamatkan serta-merta.

67. Episod Ketiga: Tun Abdul Razak (Allahyarham) dalam salah satu lawatan ke luar negara, terlupa membawa ubat gigi dan krim rambut lalu meminta juru iring beliau membelinya. Sewaktu sarapan keesokan paginya, Tun Abdul Razak bertanyakan harga ubat gigi dan krim rambut. Pembantu peribadi Tun mengatakan bil pembelian akan dimasukkan dalam tuntutan perbelanjaan perjalanan. Pembantu peribadi tersebut ditegur dan Tun menegaskan bahawa adalah salah untuk perbelanjaan peribadi seseorang itu dibayar dari sumber kewangan kerajaan.

68. Tun Abdul Razak pernah berhasrat membina kolam renang di Sri Taman untuk mengelakkan dari mengganggu ahli-ahli lain apabila beliau menggunakan kolam renang di Kelab Taman Tasik. Seorang kenalan peribadi, menganggarkan kos, dua puluh ribu ringgit untuk membina sebuah kolam renang ketika itu. Apabila Jabatan Kerja Raya mengemukakan anggaran kos enam puluh ribu ringgit, Tun Abdul Razak membatalkan hasrat beliau kerana berasa bersalah menggunakan wang sejumlah itu, bagi membina kolam renang di kediaman Perdana Menteri. Pegawai peribadi Allahyarham mencadangkan supaya kerja membina kolam renang tersebut diberikan kontrak kepada kenalan peribadi Tun dengan kos dua puluh ribu ringgit. Tun Abdul Razak menolak saranan tersebut kerana tidak mahu integriti beliau terjejas dengan memberikan kontrak kepada seorang ahli perniagaan kenalan peribadi.

69. Episod Keempat: Ketika Tun Dr. Ismail (Allahyarham) meninggal dunia, Tun Hussein Onn (Allahyarham) berada di London. Tun Hussein Onn ketika itu adalah Menteri Pelajaran Malaysia, bercuti ke London bersama Toh Puan Suhaila untuk menghadiri acara konvokesyen anak mereka. Tun Hussein menggunakan duit sendiri, membeli tiket pulang balik pakej ekonomi untuk dirinya dan Toh Puan Suhaila. Setelah jasad Tun Dr. Ismail (Allahyarham) selamat disemadikan, Tun Abdul Razak meminta Tun Hussein Onn segera balik ke Malaysia. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London diminta menghubungi Tun Hussein Onn untuk menyampaikan permintaan Tun Abdul Razak. Tun Hussein menjawab bahawa tiket penerbangan pakej ekonominya, tidak membolehkan dia menukar tarikh perjalanan. Mendengar jawapan tersebut, Tun Abdul Razak telah meminta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London membeli tiket baru untuk Tun Hussein dan Toh Puan Suhaila. Arahan tersebut dimaklumkan, tetapi Tun Hussein bertegas menolak dengan mengatakan adalah menyalahi peraturan kewangan untuk kerajaan membiayai perjalanan beliau yang sedang bercuti dan bukannya melakukan tugas rasmi di London; sedangkan tujuan Tun Abdul Razak memanggil Tun Hussein segera pulang adalah untuk berunding melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

70. Empat episod tersebut adalah antara contoh yang dipamerkan oleh watak-watak berintegriti tinggi. Empat episod tersebut wajar dijadikan pedoman. Integriti yang dipamerkan melalui episod-episod tersebut mengukuhkan ungkapan kata seorang ahli falsafah Amerika, Hannah Arendt,

Petikan:

Power is actualized only when word and deed have not parted company”.

71. Ungkapan kata Hannah Arendt amat selari dengan ayat 2 dan ayat 3 Surah Ash-Shaff yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi ALLAH bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”[76]

72. Sering berlaku apabila sesebuah negara menjadi kaya, nilai-nilai moral dan rohaniah yang berperanan penting membantu pembangunan negara di peringkat awal, begitu mudah dilupakan.[77] Cendekiawan kurun keempat belas, yang boleh dianggap ahli sosiologi pertama dalam sejarah, Abdul Rahman Ibn Khaldun berpendapat bahawa apabila masyarakat mendapat kemewahan, perwatakan mereka sering menjadi lemah.[78]

73. Tahir bin Husayn, seorang Jeneral, Gabenor dan ilmuwan pada zaman Kerajaan Abbasiyah, dalam surat yang diutus sebaik sahaja anaknya, Abdullah dilantik ke jawatan Gabenor di Mesir, mengandungi kata-kata berikut:

Petikan:

“Pertukaran dari rahmah ILAHI kepada kemurkaan Nya, cepat berlaku, apabila orang diberikan kuasa, tidak mengiktiraf rahmat yang Tuhan berikan, dan apabila mereka yang berkedudukan di dalam Kerajaan pula, tidak bersyukur dengan pemberian Tuhan, lalu menganggap diri mereka itu sebagai manusia terhebat, sedangkan ia adalah hasil dari rahmat dan anugerah Tuhan kepada mereka ” [79]

74. Abdullah dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada cendekiawan, mengasihi orang yang jujur, ikhlas dan mulia serta sentiasa bersama mereka yang tidak takut memberi nasihat yang benar.[80]

75. Hari ini dunia bagaikan menghadapi paradoks untuk mentadbir urus kejayaan setelah kejayaan dicapai. Sifat tamak – sifat haloba – sifat bongkak – sifat angkuh, semakin berada di tengah pentas. Sifat sederhana – sifat rendah diri – sifat jujur – sifat ikhlas, bagaikan semakin jauh tersisir. Kini, semakin berlaku jurang yang luas di antara imej luaran dengan kandungan dalaman; kecantikan palsu luaran dijelmakan di sebalik kosmetik hingga terlindung kehodohan dalaman; membawa kepada persoalan adakah semakin tinggi kejayaan dicapai, akan semakin terhakis integriti insan.

76. Maha Suci Allah Subhanahu Wata’ala yang telah berfirman,

“Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim ”.[81]

Terjemahan ayat 35, Surah Al-Baqarah.

“Dan Sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat”.[82]

“Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya, dengan berkata: “Hai Adam, mahu kah aku tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa? ”[83]

“Maka keduanya memakan dari buah pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun (yang ada di) syurga, dan durhakalah Adam kepada Tuhan maka sesatlah ia ”[84]

Terjemahan ayat 115, 120 dan 121, Surah Thaha.

77. Ayat 35 Surah Al Baqarah dan ayat-ayat 115, 120 dan 121 Surah Thaha, menyentuh, pertama: perintah yang ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala; kedua: pengaruh negatif yang memesongkan minda manusia; ketiga: sifat alpa insan hingga terlanggar perintah yang ditetapkan; keempat: ketegasan ALLAH Subhanahu Wata’ala melaksanakan hukum. Peristiwa tersebut boleh ditafsirkan sebagai bermulanya pelanggaran amanah kerana pengaruh jahat syaitan. Peristiwa memakan buah dari pohon yang syaitan namakan khuldi itu, ada kaitan dengan aspek melanggar amanah dan penghakisan integriti.

78. Ketika berlakunya peristiwa tersebut, Nabi Adam Alaihissalam berada di dalam kesenangan syurga, dilimpahi segala nikmat yang dijamin oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala, “tidak akan kelaparan, tidak akan merasa dahaga, tidak akan telanjang, tidak akan ditimpa panas matahari”;[85] tetapi ALLAH turut memberi peringatan “iblis adalah musuh”. [86] Nabi Adam Alaihissalam, hanya menghadapi satu sumber godaan dari iblis. Pun demikian, godaan yang satu itu, telah mengalpakan Baginda hingga terlanggar perintah yang diamanahkan; lalu Baginda dihukum keluar dari syurga.[87]

79. Peristiwa tersebut wajib dijadikan iktibar, dijadikan petunjuk, dijadikan peringatan; bahawa ujian pertama ALLAH Subhanahu Wata’ala ke atas insan, menyentuh subjek amanah – menyentuh subjek integriti. Secara equation, ia melambangkan, keinginan mendapatkan kuasa, merupakan pintu pertama membolehkan iblis mencelah masuk, melakukan pemesongan terhadap iman seorang insan. Iblis berjanji kepada Nabi Adam Alaihissalam untuk memberikan kuasa; janji palsu “pengekalan kuasa” seperti yang terkandung di akhir ayat 120 Surah Thaha, yang bermaksud, “…aku tunjukkan kepada kerajaan yang tidak akan binasa”. Betapa dinding ketahanan integriti insan telah ditembusi dengan godaan tarikan untuk mendapatkan kuasa. Peristiwa tersebut turut membuktikan keadilan ILAHI, menguatkuasakan hukum tanpa memilih kasih. Nabi Adam Alaihissalam adalah ciptaan ILAHI, dimuliakan, dikurniakan status khalifah, diperkenankan hidup di dalam syurga. Namun apabila peraturan gagal dipatuhi, hukuman dilaksanakan secara tegas lagi segera.

80. Hari ini, godaan menghakis integriti lebih pelbagai wajahnya – lebih beraneka rupanya; tidak terbatas kepada sebatang pohon khuldi. Ia berbentuk pangkat dan gelaran, wang ringgit dan wanita cantik, intan berlian, zamrud dan nilam, percutian dan melancong, banglo besar dan kondominium mewah, malah namakan apa sahaja, lebih membimbangkan ia termasuk pakej-pakej bertopengkan ibadah – bertopengkan agama, dari keraian berbuka puasa di hotel lima bintang sehingga tajaan melakukan umrah dan mengerjakan haji. Hari ini, godaan menghakis integriti insan di dunia yang fana ini, lebih pelbagai, dengan daya tarikan yang sukar ditolak, memudahkan dinding pertahanan dirempuh, memudahkan iman diruntuh.

81. Dalam hasrat mahu memperkasakan integriti, kembalilah mengenali asal kejadian insan. Di mana juga anak Adam itu dilahirkan, baik di pondok buruk atau di mahligai besar, ia adalah hamba di sisi tuhan. Setiap seorang darinya akan kembali ke alam baqa, akan melalui perjalanan terakhir, berpakaian kain kapan dan kapas putih, dalam keranda semuat badan; dan setiap seorang darinya akan menghadapi pengadilan di Padang Mahsyar. Junjunglah setiap tugas sebagai amanah, anggaplah setiap tugas sebagai ibadah, mengabadikan diri atas nama ALLAH yang Maha Pencipta, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 162, Surah Al An’ Aam:

“ Katakanlah: Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku, dan mati ku hanyalah untuk ALLAH semesta alam”. [88]

82. Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan panduan dan perlindungan agar kita dapat menemui jalan yang diredai. Amin, Ya Rabul Alamin.

Wabillahi taufik walhidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  1. Al-Quran, Al-Anfaal (8:27)
  2. Bible, Proverbs 2:20-21.
  3. Petikan dari Bhagavad Gita.
  4. Petikan kata-kata Guru Nanak.
  5. The Teaching of Buddha, (Tokyo: Society for the Promotion of Buddhism, 1966) 456
  6. Ibid, 366.
  7. Jon S.T. Quah, Curbing Corruption in Asian Countries:An Impossible Dream?, (United Kingdom: Emerald Group Publishing Limited, 2011), 25.
  8. Quah, 135
  9. Amelia P. Varela, “Different Faces of Filipino Administrative Culture”, in P.D. Tapales & N.N. Pilar (Eds) Public Administration by The Year 2000: Looking Back Into The Future, (Quezon City: College of Public Administration, University of Philippines, 1995), 173-174.
  10. David Chaikin & Jason C. Sharman, Corruption and Money Laundering: A Symbiotic Relationship, (New York: Palgave Macmillan, 2009), 160.
  11. Craig Wolf, “A World Class Shopper: Imelda Marcos’s New York Trial”, New York Times, 20 April 1990.
  12. Alex B. Brillantes Jr and Jose O. Tiu Sonco, “Civil Service Reforms in the Philippines: Its Many Faces, Leaderships and Politics”, in P.S. Kim (Ed), Civil Service System and Civil Service Reform in ASEAN Member Countries and Korea, (Seoul: Daeyoung Moonhwasa Publishing Company, 2010), 221-222
  13. Carmen Navarro Pedrosa, Imelda Marcos: The Rise and Fall of the World’s Most Powerful Women, (New York: St. Martin’s Press, 1987), 222.
  14. John Andrews, Pocket Asia, (London: Profile Books, 7th Edition, 2002) 152.
  15. Maria Lourdes G. Rebullida, “The Executive: Marshall Law, Constitutional Authoritarianism, and The Marcos Administration”, in N.M. Morada & T.S.E. Tadem (Eds), Philippines Politics and Governance: An Introduction, (Quezon City: Department of Political Science, University of Philippines, 2006), 153-178.
  16. Qua, 73
  17. Madhu Trehan, Tehelka as metaphor: Prism Me A Lie, Tell Me A Truth, (New Delhi: Roli Books, 2009). 1-2.
  18. Larry Kilman, “The Role of The Press In Fighting Corruption”, Paper presented at the Fourth Global Forum on Fighting Corruption in Brasilia, Brazil, 8 June 2005.
  19. Quah, 35.
  20. Terry Macdougall, “The Lockheed Scandal and the High Cost of Politics in Japan”, in A.S. Markovits & M. Silverstein (Eds), The Politics of Scandal: Power and Process in Liberal Democracies, (New York: Holmes and Meier Publishers, 1988), 193-195.
  21. Ibid, 197-198.
  22. Ibid,
  23. Rei Shiratori, “Political Finance and Scandal in Japan” in H.E. Alexander dan R. Shiratori (Eds), Comparative Political Finance Among The Democracies, (Boulder: Westview Press, 1994), 189.
  24. Quah, 112
  25. Ibid.
  26. Russell Watson, “How To Spend A Billion: Imelda Marcos Squandered Her Country’s Money And Her Own Reputation”, Newsweek, 24 March 1986, 14-17.
  27. Quah, 74.
  28. Larry Kilman, 1-8. https://bvc.cgu.gov.br/bitstream/123456789/3428/1/the-role-of-the.pdf.
  29. Quah, 74..
  30. Ibid.
  31. Luke Harding, “Website pays price for Indian bribery expose”, The Guardian, 6 January 2003; http://www.guardian.co.uk/technology/2003/jan/06/newsmedia.india.
  32. Quah, 74
  33. Louis Allen, “Kakuei Tanaka/Lockheed Affairs (1976-1986)”, in Political Scandals and Causes Celebres Since 1945: An International Reference Conpendium, (Harlow: Longman Group UK, 1990), 153-161.
  34. Daniel Mabrey, “Lockheed Bribing Scandal”, in J. Gerber & E.L. Jensen (Eds), Encyclopedia of White-Collar Crime, (Westport: Greenwood Press, 2007), 175-177.
  35. Roger W. Bowen, Japan’s Dysfunctional Democracy: The Liberal Democratic Party And Structured Corruption, (Armonk: M. E. Sharpe, 2003), 5-6.
  36. Shraysi Tandon, “Corruption The Main Games in India”, ABC News, 1 Oktober 2010.
  37. Amanda Hodge, “India Rules Out Probe Into Games Graft”, The Australian, 6 August 2010.
  38. International Herald Tribune, 9-10 June, 1&12.
  39. Albretch Rothacher, “Political Corruption in Japan”, in M.J. Bull & J.L. Newell (Eds) Corruption in Contemporary Politics, (Basingstoke: Palgrave Macmillan, 2003), Bab 9.
  40. Quah, 42.
  41. Ibid. 43.
  42. Sahih al-Bukhari dan Muslim.
  43. Quah, 302.
  44. New York Times, 2 June 1997.
  45. Quah, 307
  46. Mark L. Clifford, Troubled Tiger: Businessmen, Bureaucrats, and Generals in South Korean, (Armonk: M. E. Sharpe, 1998), 330.
  47. Quah, 307-308
  48. Kihl Young Wan, Transforming Korean Politics: Democracry, Reform and Culture, (Armonk: M.E. Sharpe, 2005), 134.
  49. Quah, 308.
  50. Quah, 314.
  51. Quah, 330.
  52. Pan Suk Kim, “Building National Integrity Through Corruption Eradication in South Korea”, in B. Bidhya & C. Wescott (Eds), Comparative Governance Reform In Asia: Democracy, Corruption, And Government Trust, (Bingley: Emerald Group Publishing, 2008), 159.
  53. Sir Alastair Blair-Kerr, First Report of a Commission of Enquiry (July), (Hong Kong: Government Printer, 1973). 5-6.
  54. Kuan Hsin-chi, “Anti-Corruption Legislation in Hong Kong – A History”, in R.P.L. Lee (Ed), Control and Its Control in Hong Kong: Situations Up To The Late Seventies, (Hong Kong: Chinese University Press, 1981), 15-43.
  55. Henry J. Lethbridge, Hard Graft in Hong Kong: Scandal, Corruption, the ICAC, (Hong Kong: Oxford University Press, 1985), 111.
  56. Ibid, 111-112.
  57. Quah, 239.
  58. Quah, 230
  59. Ibid.
  60. Ibid
  61. Quah, 200
  62. Parliament of Singapore, “Report of the Commission of Inquiry on investigation concerning the late The Cheang Wan”. CMD 18 of 1987 (Singapore: Singapore National Printers, 1987)
  63. Quah, 200.
  64. Lee Kuan Yew, From Third World To First, The Singapore Story: 1965-2000, (Singapore: Times Media, 2000) 187-189.
  65. Quah, 199.
  66. Karl von Vorys. Democracy Without Consensus: Communalism and Political Stability in Malaysia, (London: Oxford University Press, 1976) 391.
  67. Ibid, 392.
  68. Ibid.
  69. Ibid, 393.
  70. Ibid, 393.
  71. Ibid. 394.
  72. Ibid 393.
  73. Ibid 394.
  74. Raja Azlan Shah F.J., “Public Prosecutor v. Datuk Haji Harun bin Haji Idris” 1 M.L.J. 1977, 32.
  75. Al-Quran, Al-Qashash (28:26)
  76. Al-Quran, Ash-Shaff (61: 2 & 3)
  77. Chandra Muzaffar, “Mewujudkan Sebuah Masyarakat Berintegriti”, dalam Integriti Politik di Malaysia, (Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia, 2007), 133.
  78. Ibid.
  79. Wan Mohd. Nor Wan Daud, “Integriti dan Mas’uliah Dalam Kepimpinan”, dalam Integriti Politik di Malaysia, (Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia, 2007), 42.
  80. Ibid. 44.
  81. Al-Quran, Al-Baqarah (2:14)
  82. Al-Quran, Thaha (20:115)
  83. Al-Quran, Thaha (20:120)
  84. Al-Quran, Thaha (20:121)
  85. Al-Quran, Thaha (20: 118-119)
  86. Al-Quran, Thaha (20:117)
  87. Al-Quran, Thaha (20: 123)
  88. Al-Quran, Al An’aam (6:162)
%d bloggers like this: