Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera.
Bismillahi Rahmani Rahim.
Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, Beta dapat berangkat untuk melafazkan titah dan selanjutnya menyempurnakan penyampaian sijil serta hadiah di Majlis Konvokesyen kali ketiga belas, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman.
2. Hari ini, para lulusan yang telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia akan dianugerahkan Sijil Amalan Guaman. Pengalaman yang telah dilalui dan pendedahan yang dialami dalam tempoh dua puluh tahun pertama melalui perjalanan hidup telah membawa saudara-saudari sampai ke perhentian ini. Hari ini saudara-saudari telah berjaya mendaki satu lagi anak tangga, mencapai tahap kelayakan profesional, diterima sebagai pengamal undang-undang di negara ini. Saudara-saudari merupakan modal insan berharga untuk negara.
3. Selepas ini, akan bermula satu episod baru ketika saudara-saudari meneruskan perjalanan dalam kerjaya profesion perundangan. Setiap saudara-saudari akan sama-sama mendukung wawasan membangunkan negara. Di manakah pula perhentian saudara-saudari dua puluh tahun selepas ini. Setiap seorang dari saudara-saudari pastinya memiliki cita-cita yang berbeza dan sepanjang perjalanan hidup akan menemui peluang yang pelbagai. Saudara-saudari akan menemui pelbagai persimpangan. Pada setiap persimpangan saudara-saudari perlu melakukan ketentuan. Ketentuan yang diputuskan secara bijak dan waras ataupun di sebaliknya, akan menjadi penentu bukan sahaja kepada kejayaan saudara-saudari, malah akan melakarkan imej sama ada saudara-saudari merupakan insan yang dipercayai, dihormati atau disegani semasa hidup hinggalah meninggalkan nama yang baik atau nama yang tercemar setelah saudara-saudari meninggalkan dunia ini.
4. Sewajarnya setiap insan wajib memiliki cita-cita besar untuk meningkat nilai tambah kepada diri, kepada profesion, kepada masyarakat dan kepada negara. Dalam pada itu, dalam mengejar cita-cita, amatlah penting dipastikan bahawa laluan yang dipilih untuk sampai ke puncak cita-cita itu hendaklah laluan yang sama sekali tidak bercanggah dengan nilai-nilai suci yang dianjurkan oleh agama dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni kemanusiaan sejagat. Saudara-saudari hendaklah senantiasa mengamalkan nilai-nilai suci agama dan nilai-nilai murni kemanusiaan dan menjauhkan diri dari terlibat atau terjerumus dengan perbuatan-perbuatan tidak jujur, pecah amanah, penipuan serta rasuah.
5. Undang-undang tidak membawa erti jika sekadar merupakan himpunan kata-kata suci yang terkandung dalam kanun, dalam enakmen dan dalam akta; kemudiannya dinodai dengan perbuatan-perbuatan mungkar tanpa menghormati etika profesion. Nilai undang-undang terletak kepada kemuliaan perlaksanaan oleh mereka yang telah diberikan amanah, diberikan kepercayaan dan diberikan penghormatan untuk mengendalikan undang-undang. Kekuatan dan kemuliaan undang-undang tidak terletak kepada keindahan seni bina bangunan mahkamah atau peralatan mahkamah yang canggih atau pada pakaian para hakim dan para peguam yang hebat. Mahkamah dan para pengamal undang-undang perlu memiliki roh yang meyakinkan hingga dapat menegakkan institusi perundangan yang dihormati. Bahawa mahkamah adalah institusi yang memberikan jaminan berlakunya keadilan, di situlah tempat penganiayaan akan mendapat pembelaan. Bahawa mahkamah hanya mengenal satu bahasa, iaitu, menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan, baik kepada yang kaya mahupun kepada yang miskin, baik kepada yang berpangkat tinggi begitu juga kepada rakyat biasa, baik pada yang berkuasa demikian juga kepada yang dikuasai.
6. Undang-undang berperanan penting dan adalah komponen wajib kepada setiap negara maju. Di negara ini, kedaulatan undang-undang merupakan salah satu prinsip Rukun Negara. Kedaulatan undang-undang diakui sebagai instrumen penting untuk mengekalkan keamanan negara dan memelihara keharmonian warga. Setelah lima puluh tahun merdeka, melalui pendemokrasian program pendidikan, lebih ramai warga tergolong dalam kumpulan terpelajar; lalu kesedaran terhadap hak-hak asasi semakin berkembang dan fahaman terhadap pentingnya prinsip menghormati undang-undang semakin tersemai di kalangan warga.
7. Para pengamal undang-undang wajib menjadikan diri sebagai teladan, meletakkan tanda aras kepada warga dari segi amalan menghormati undang-undang dan tidak mempersendakan mahkamah. Para pengamal undang-undang wajib pada setiap masa mempertahankan kesucian mahkamah dari dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab. Mahkamah jangan sama sekali dibenarkan hingga sampai ke peringkat dianggap oleh masyarakat sebagai satu teater melakonkan bangsawan yang skripnya telah ditulis oleh pengarah tertentu. Mahkamah juga harus dikawal dari dijadikan gelanggang oleh mana-mana pihak untuk mencari pengaruh politik.
8. Amalan perundangan berlandaskan kod etika peguam yang tinggi akan dapat memperkukuhkan sistem demokrasi di dalam negara sesuai dengan mekanisme semak dan imbang antara kuasa legislatif, kuasa eksekutif dan kuasa kehakiman, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Prinsip asas berkerajaan dan bernegara yang terkandung di dalam Perlembagaan ini wajib dijadikan pedoman – wajib dijadikan pegangan demi menjamin berlakunya keadilan – demi memastikan warga terus meyakini sistem perundangan. Sistem perundangan yang adil dan diyakini oleh rakyat adalah pra syarat untuk memastikan keamanan negara tidak tergugat. Sistem perundangan yang saksama adalah instrumen berkesan untuk menjauhkan warga dari mencari alternatif lain yang memudaratkan hingga boleh membawa negara menuju kepada satu anarki. Prinsip kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan secara telus lagi meyakinkan merupakan komponen penting untuk mempertingkatkan keyakinan dunia luar terutamanya para pelabur terhadap negara ini.
9. Dunia kini telah menjadi semakin terbuka. Ia tidak sekadar menambahkan persaingan malah turut menambahkan peluang jika berjaya ditangani secara bijak. Malaysia merupakan antara negara perdagangan terbesar dunia. Penerimaan Malaysia sebagai rakan dagang di peringkat antarabangsa hendaklah diperkukuhkan dengan sistem, perjalanan dan amalan undang-undang yang memenuhi piawaian antarabangsa. Ini menjadi bertambah penting dengan keanggotaan Malaysia dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia dan dengan itu Malaysia adalah terikat kepada peraturan dan disiplin di bawah perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia. Perkhidmatan para pengamal perundangan Malaysia kini diperlukan bagi menghadapi kawasan geografi yang merentasi sempadan negara yang memerlukan pengamal perundangan Malaysia memiliki keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan di peringkat antara bangsa. Di samping memiliki pengetahuan dan berusaha menimba pengalaman di peringkat antara bangsa, nama baik dan integriti perkhidmatan guaman di Malaysia perlu senantiasa dipelihara dari dicemarkan supaya pengamal guaman dari negara ini tidak dilihat dengan pandangan prejudis. Perkembangan ini menuntut kepada badan profesional guaman di negara ini memperkenalkan kriteria-kriteria profesion yang lebih ketat, demi menjamin nama baik dan integriti perkhidmatan guaman di negara ini senantiasa terpelihara.
10. Dengan penganugerahan Sijil Amalan Guaman pada hari ini, bilangan pengamal undang-undang di negara ini telah dapat ditambahkan. Semoga pertambahan ini akan membantu mempercepatkan lagi berlakunya proses keadilan. Namun kekuatan profesion ini tidak bersandar kepada angka peguam yang semakin bertambah. Yang perlu diutamakan ialah kualiti perkhidmatan dan prinsip pegangan saudara-saudari yang kukuh, dengan meletakkan keutamaan memelihara nama baik dan integriti profesion undang-undang pada setiap masa, tanpa sebarang prejudis, prasangka, serta tidak dipengaruhi oleh emosi, kepentingan kumpulan atau kepentingan peribadi ketika memenuhi tanggung jawab.
11. Beta mengucapkan tahniah kepada para lulusan. Beta menghargai segala sokongan dan pengorbanan yang dilakukan oleh anggota keluarga yang berada di belakang kejayaan ini. Beta merakamkan penghargaan kepada usaha Pengerusi serta Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia atas komitmen menjadikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman sebagai satu kelayakan bermutu lagi berprestij sesuai dengan keperluan profesion undang- undang.
Wabillahi taufik, walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***************