Lima ratus empat puluh lapan (548) orang calon, layak dianugerahkan Sijil Amalan Guaman untuk sesi Konvokesyen kali kedua puluh dua ini. Sebahagian daripada saudara-saudari selepas ini, akan terus terlibat dalam profesion perundangan, samada sebagai pengamal undang-undang, baik di sektor awam mahupun di sektor swasta; ada di kalangan saudara-saudari yang cenderung mahu melakukan kajian, penyelidikan dan pengajaran, akan memilih untuk menjadi ahli akademik; ada yang berminat menyertai bidang politik secara aktif dan pada satu hari nanti akan terlibat di peringkat menggubal dan meluluskan undang-undang; ada pula yang akan menyertai sektor perdagangan dan perniagaan yang akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dan menyemak pelbagai dokumen perjanjian. Walau di mana sekali saudara-saudari berada, falsafah asas undang-undang dan prinsip asas profesion untuk memastikan berlakunya keadilan, hendaklah dijadikan prinsip pegangan yang dijunjung setiap masa.
- Dalam hasrat menghuraikan prinsip keadilan, Beta memilih untuk memetik satu episod yang mungkin sebahagian daripada saudara-saudari pernah mendengarnya. Episod tersebut dirakamkan berdasarkan kelas pertama yang dialami oleh seorang pelajar undang-undang. Demi memastikan ketetapatan cerita tidak terjejas, Beta memetik untuk disampaikan dalam bahasa Inggeris, bahasa asal episod tersebut dirakamkan:
When our new teacher of “Introduction to the Right” entered the classroom, the first thing he did was to ask the name of a student who was seated on the first bench:
“What is your name?” asked the teacher.
“My name is Kumar, Sir.” answered the student.
“Leave the classroom, and I don’t want to ever see you in my class”, screamed the teacher.
Kumar was bewildered. When he got hold of his senses, he got up quickly, collected his belongings and left the classroom. All were scared and angry, however nobody spoke anything.
“Well”, said the teacher, “What purpose do the enacted laws serve…?”
The students were afraid, but slowly gained confidence to answer his question.
“So that there is an order in our society”, answered a student.
“No”, the teacher responded.
“To accomplish them”, came another answer.
“No” said the teacher.
“So that the wrong pay for their actions”, was another answer.
“Does this mean that nobody knows the answer to this question?’ asked the teacher.
“So that there is JUSTICE”, said a girl timidly.
“At last! That’s it…So there is JUSTICE. And now, what is the use of JUSTICE?” the teacher asked again.
“To safeguard human rights” came an answer.
“Well what more?” asked the teacher.
“To differentiate the right from the wrong…to reward the good…’ answered another student.
“That is not bad; however, answer this question; did I act correctly when expelling Kumar from the classroom…?” asked the teacher.
All were quiet, nobody answered.
“I want a decisive and unanimous answer…” said the teacher.
The students answered in unison “NO”
“Could you all say I have committed INJUSTICE?” asked the teacher.
“YES” answered the students.
“And why did nobody do anything in that respect? So why do we need Rules and Laws if we don’t have the necessary will to practice them? Each one of you has the obligation to complain when you witness an INJUSTICE! All of you! Do not stay quiet, never again! Go and call Kumar,” the teacher said.
On that day, the student who narrated this experience felt that he had received the most practical lesson in his course of Law. When we do not defend our rights, we lose our dignity, and dignity is not negotiable.
- Episod yang dipetik, memberikan satu contoh perlakuan tidak adil. Disebabkan perlakuan tidak adil, ada pihak yang menjadi mangsa. Arahan guru mengusir Kumar keluar daripada bilik darjah disaksikan oleh rakan-rakan sekuliah. Namun kerana takut, mereka memilih berdiam, tidak mahu bersuara – tidak mahu membantah, kerana bimbang akan nasib mereka sendiri, walaupun kesemua mereka berpendirian bahawa ketidakadilan telah berlaku dan Kumar menjadi mangsa kepada satu perbuatan ketidakadilan. Episod yang berlaku adalah satu lakonan di dalam bilik kuliah, satu role play yang dipilih oleh seorang guru, yang berjaya menyemaikan kefahaman mendalam secara berkesan tentang ketidakadilan, serta perasaan dan reaksi sebenar orang-orang yang melihat perlakuan ketidakadilan.
- Dalam episod yang dilakonkan, daripada persepsi para pelajar, guru tersebut memiliki pengetahuan undang-undang yang lebih tinggi, namun persepsi tersebut tidak memberi kelebihan kepada guru untuk terlepas daripada penilian negatif oleh para pelajarnya, apabila guru tersebut telah melakukan ketidakadilan. Ketidakadilan jika dilakukan, dapat dinilai oleh masyarakat umum dan rakyat jelata, meskipun mereka tidak terlatih dalam ilmu undang-undang. Kerana itu, keadilan, bukan sahaja wajib dilaksanakan tetapi keadilan perlu diperlihat dilaksanakan; not only must justice be done; it must also be seen to be done.
- Episod yang dilakonkan itu, bukan sahaja menjadi satu pengajaran besar kepada para pelajar di bilik kuliah tersebut, malah hendaklah menjadi peringatan lebih besar kepada setiap seorang yang diamanahkan dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab. Keadilan wajib dilaksanakan dan kelihatan dilaksanakan pada setiap masa. Kredibiliti dan keyakinan terhadap sesebuah pentadbiran dipengaruhi oleh sistem keadilan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara. Keadilan dan persepsi rakyat jelata terhadap perlaksanaan keadilan akan mempengaruhi kestabilan atau ketidakstabilan sesebuah negara. Selaras dengan salah satu prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara, amatlah penting untuk undang-undang didaulatkan pada setiap masa demi memastikan keadilan tidak tergelincir.
- Kedaulatan undang-undang tidak dinilai daripada sudut sesuatu undang-undang telah digubal dengan kemas dan ditulis dengan bahasa yang cantik. Kedaulatan undang-undang dinilai daripada segi penguatkuasaan dan penggunaannya secara adil dan saksama, diaplikasikan kepada setiap rakyat tanpa gentar dan tanpa pilih kasih. Undang-undang, daripada peringkat cara digubal dan diluluskan sehingga cara dikuatkuasakan, adalah antara komponen yang akan menentukan taraf maju sesebuah negara. Kemajuan sesebuah negara amat dipengaruhi oleh keyakinan warga dan keyakinan dunia bahawa negara diurus tadbir secara adil lagi saksama berteraskan sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus.
- Sedarilah dalam dunia berteknologi tinggi dan tanpa sempadan pada hari ini, masyarakat dan rakyat, lebih arif tentang hak dan undang-undang yang terpakai kepada mereka. Masyarakat dan rakyat, mudah mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber yang menuntut kepada perlunya budaya pengurusan yang lebih telus dan terbuka. Sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus, bergantung pada dukungan oleh para individu dan pengamal undang-undang yang berintegriti dan bersifat telus. Oleh itu elemen integriti dan amalan ketelusan, amat penting untuk senantiasa disemai dan dipertahankan di kalangan pengamal undang-undang.
- Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di atas peranan dan komitmen, berusaha memastikan piawaian amalan undang-undang di negara ini berada di tahap tinggi. Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia hendaklah tegas memastikan tahap profesionalisme pengamal undang-undang di negara ini, sama sekali tidak dikompromikan dan tidak akan melenturkan diri, memberi laluan kepada sebarang permintaan atau desakan yang boleh mengkompromikan tahap piawaian yang telah ditetapkan. Beta turut menzahirkan penghargaan kepada peranan ibu bapa dan ahli keluarga yang berada di belakang kejayaan para graduan. Beta mengucapkan tahniah kepada para graduan dengan pesanan agar setiap saudara-saudari akan terdiri daripada kalangan peguam yang berintegriti tinggi dan senantiasa berusaha untuk memastikan profesion undang-undang terus dihormati dan diyakini. Semoga setiap niat murni dan usaha baik mendapat lindungan dan petunjuk ILAHI.