Majlis Konvokesyen Kedua Puluh Empat Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Lembaga Kelayakan Profession Undang-Undang Malaysia

‘KEDAULATAN UNDANG-UNDANG’

Salam Sejahtera.

Seramai 664 orang graduan lulus Peperiksaan Sijil Amalan Guaman tahun 2018, melayakkan saudara saudari diterima sebagai pengamal undang-undang di negara ini. Majoriti saudara saudari berada dalam zon usia dua puluh lima tahun pertama menempuh perjalanan hidup.  Sepanjang menempuh 25 tahun pertama perjalanan meraut usia, elemen-elemen keluarga, jiran tetangga, rakan seangkatan (peer group), pegangan agama, amalan budaya, pengalaman yang ditempuhi dan tahap pendidikan,  telah mempengaruhi minda dan jiwa, lalu membentuk nilai dan etika serta watak dan keperibadian saudara saudari.  Kelulusan undang-undang, menambah satu lagi aset dalam diri saudara saudari.    Pengalaman masa dahulu dan pemikiran yang sedang bermain dalam minda saudara saudari ketika ini, akan menjadi kompas, memandu perjalanan saudara saudari untuk melalui 25 tahun fasa kedua perjalanan hidup.  Jika kuasa, kekayaan dan kemasyhuran diri menjadi matlamat paling utama, hatta bersedia menghalalkan apa juga cara asalkan matlamat tercapai, saudara saudari lebih merupakan liabiliti daripada aset kepada negara – kepada dunia.  Negara dan dunia, dikhuatiri akan melalui keadaan yang lebih buruk akibat daripada perbuatan seseorang yang hidupnya berkompas nafsu tamak, bersedia melakukan apa sahaja, termasuk meminggirkan keadilan, melakukan kezaliman, mengorbankan kepentingan umum untuk mencapai matlamat peribadi.

2.      Dalam majlis meraikan kejayaan para peguam muda pada petang ini, amatlah sesuai untuk dikunjungi semula kata-kata hikmat yang diucapkan oleh Sir James Dale Cassels, seorang wartawan, kemudiannya menjadi peguam, hakim dan ahli parlimen Britain, ketika menyampaikan ucapan kepada para peguam muda, dalam satu majlis yang berlangsung pada tahun 1937:

Quote;

“Let me say as my first observation to you younger men and women that you are joining an honorable profession.  Barristers trust each other and the Court trusts barristers. … Cultivate, therefore, a high sense of honor. The wig and gown that you wear are the hallmark of sincerity.  Deception is nor part of your make-up.”[1]

3.      Saudara saudari kini berstatus seorang ‘barrister’, diterima menyertai profesion yang memiliki sejarah yang panjang, berstatus tinggi lagi dihormati.  Profesion guaman, diasaskan dalam semangat mahu menegakkan keadilan, bersandarkan prinsip melindungi yang lemah dan membela yang tidak bersalah.  Profesion guaman diwujudkan dengan tujuan yang amat murni (noble), dilengkapi kemudiannya dengan pelbagai instrumen urus tadbir, struktur dan organisasi yang tersusun lagi kompleks; memenuhi peranan-peranan penggubalan, penguatkuasaan, pendakwaan, pembelaan dan penghakiman.  

4.      Hari ini terhimpun khazanah undang-undang yang terus menimbuni ruang perpustakaan dan dewan kuliah, ruang pejabat dan ruang mahkamah.  Dunia tidak ketandusan pengamal undang-undang; bilangan yang memiliki kelulusan undang-undang bukan sahaja terus bertambah, malah tahap pengajian terus diperluas, didalami dan dipertingkatkan, menambah bukan sahaja kompleksiti, tetapi turut membawa pelbagai kontradiksi.  Bilangan pengamal undang-undang yang semakin ramai dan ilmu undang-undang yang semakin kompleks, ketara tidak menjamin jenayah semakin kurang dan dunia semakin tenteram.  Apa yang berlaku, adalah di sebaliknya.  Perlakuan jenayah semakin meningkat, lebih dikesalkan, semakin ramai golongan profesional dan terpelajar yang terlibat melakukan jenayah, dan kerosakan akibat perlakuan jenayah berlaku pada skala yang lebih besar, menyebabkan kesusahan kepada lebih ramai mangsa.  

5.      Apabila terdapat ruang yang terlalu luas, membolehkan undang-undang dimanipulasikan, dikhuatiri, prosiding dan proses undang-undang boleh terhalang, lantas mewujudkan keadaan yang akan memberi kekebalan kepada pihak-pihak yang memiliki kuasa, dan memberi kelebihan, melindungi  pihak-pihak yang memiliki kekayaan.

6.      Senario sebegini mengundang kita untuk melakukan refleksi akan catatan Thucydides ketika berlangsungnya perbahasan yang dikenali sebagai The Mytilenean Debate pada tahun 427 BC, antara Cleon son of Cleaenetus dengan Diodotus son of Eucrates.  Cleon son of Cleaenetus menegaskan:

Quote;

“…that a city is stronger when it has inferior but unbendable laws than when it has good laws with no real authority.  Ignorance coupled with self-restraint is more advantageous than intelligence that knows no checks, and simpler people are usually better than smarter ones at running cities.  That is because intelligent people like to appear wiser than the laws and come out on top in public debates, in the belief that there will be no better occasion for demonstrating just how clever they are.

…On the other hand, people with less confidence in their own intelligence think that the laws know best and that they are unqualified to criticize the words of a good speaker.  They see themselves as judges on equal terms, not as competitors, and so work together successfully.  This is why we must not let our own intelligence distract us and behave like contestants in a match of wits by offering dubious advise to you, the members of the public.”[2] 

7.      Kata-kata tersebut diungkapkan oleh Cleon, lebih dua ribu empat ratus tahun yang lalu; kata-kata tersebut masih relevan, malah wajar diimbas semula, dalam hasrat dan usaha mahu meletakkan etika yang mulia lagi tinggi dalam kalangan pengamal undang-undang, agar semangat menegakkan keadilan dapat dipenuhi dalam erti kata yang sebenar.

8.      Negara Malaysia yang lebih baik, insya-Allah akan dapat diwujudkan, jika prinsip ketiga dan prinsip keempat Rukun Negara, ia itu, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang diberikan nafas, dihayati dan dihormati pada setiap masa, serta urus tadbir negara dilaksanakan secara jujur – secara telus, dengan amanah dan berintegriti berpaksikan undang-undang, (the rule of law).

9.      Mereka yang telah diberikan amanah dengan kuasa, jawatan dan kedudukan, kini memiliki peluang untuk membina sebuah negara Malaysia yang lebih baik berpaksikan undang-undang.  Peluang yang telah diberikan hendaklah digunakan sepenuhnya oleh para pengamal undang-undang untuk melakukan penambahbaikan kepada apa juga kelemahan yang pernah berlaku, membetulkan apa juga kepincangan yang telah dipolemikkan, dan meningkatkan keyakinan serta kepercayaan rakyat kepada sistem, proses dan instrumen undang-undang di negara ini.  Jika peluang yang telah diberikan oleh rakyat, tidak disambut secara positif – secara aktif, secara bermakna lagi meyakinkan, untuk melakukan penambahbaikan, rakyat akan beranggapan bahawa perubahan yang berlaku, hanyalah daripada segi pemegang watak, jika watak-watak yang baharu, masih membaca skrip yang lama.

10.    Hari ini merupakan hari yang bersejarah dan bermakna bagi para lulusan Sijil Amalan Guaman kerana impian saudara saudari untuk menjadi seorang peguam telah tercapai.  Hari ini merupakan hari untuk saudara saudari, ibu bapa, suami-isteri, kaum keluarga dan sahabat handai meraikan kejayaan, bergembira dan bersyukur, kerana usaha saudara saudari dan pengorbanan, sokongan serta doa ahli keluarga telah dimakbulkan.  Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan, semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada pencapaian kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

11.    Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang serta pejabat Lembaga, kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman sebagai penentu tahap dan kelayakan yang berkualiti dan berprestij.


[1] Address of Hon. Frederick H. Stinchfield, President of the American Bar Association, at the Annual Meeting of the Indiana State Bar Association, July 10, 1937.  Indiana Law Journal, Volume XII, Number 6, August 1937

[2] Thucyides, How To Think About War: An Ancient Guide to Foreign Policy; Speeches from The History of the Peloponnesian War, (Selected, translated, and introduced by Johanna Hanink), (Princeton and Oxford: Princeton University Press, 2019), 111-113.

In The News:

https://www.malaymail.com/news/malaysia/2019/04/25/sultan-nazrin-those-given-trust-power-should-build-a-better-nation-based-on/1746958

http://www.bernama.com/en/news.php?id=1720318

http://www.utusan.com.my/gardunia/theme2019/sultan-nazrin-bimbang-pihak-manipulasi-undang-undang-1.888835

%d bloggers like this: