Majlis Konvokesyen Kedua Puluh Peperiksaan Sijil Amalan Guaman

Bismillahi Rahmani Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Opening of Speech

  1. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah memenuhi kriteria layak dianugerahkan Sijil Amalan Guaman dalam Majlis Konvokesyen kali kedua puluh ini. Kejayaan memperoleh Sijil Amalan Guaman tidak bermakna, telah berakhirnya pengembaraan menerokai ilmu perundangan. Ulama tersohor HAMKA (Allahyarham) pernah mengingatkan bahawa;“Orang yang berhenti belajar akan menjadi pemilik masa lalu. Orang yang masih terus belajar, akan menjadi pemilik masa depan”.
  2. Ilmu perundangan sentiasa terdedah kepada proses renaisans. Undang-undang baru terus digubal. Semakan dan pindaan undang-undang dilakukan daripada masa ke masa. Penemuan baru dan pengetahuan baru dalam pelbagai cabang ilmu serta pelbagai inovasi yang diperkenalkan, terus mengemukakan cabaran kepada konsep perundangan kontemporari. Setiap perkembangan, setiap perubahan dan setiap pembaharuan menuntut kepada perlunya kerangka undang-undang disesuaikan demi memastikan undang-undang kekal relevan dengan peredaran masa.
  3. Kegagalan memastikan perundangan disesuaikan dengan peredaran masa akan mengakibatkan berlakunya salah satu dari dua perkara berikut.Pertama: undang-undang menjadi tidak sesuai dan tidak relevan, malah berkemungkinan menjadi penghalang kepada kemajuan.

    Dan Kedua yang berpotensi mencetuskan situasi yang lebih serius: bahawa ketiadaan undang-undang yang kontemporari dikhuatiri akan mewujudkan senario ketidakadilan di dalam masyarakat.

    Untuk menghindarkan daripada berlakunya dua senario tersebut, adalah penting dipastikan proses semakan perundangan dilakukan secara berterusan.

  4. Perlaksanaan semakan perundangan memerlukan pendekatan yang objektif dan keupayaan menjangka senario kemungkinan demi memastikan kerangka undang-undang yang mantap dan komprehensif dapat dirumuskan untuk memenuhi keperluan dan jangkaan masyarakat. Setiap perumusan peruntukan undang-undang perlu dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira kesan jangka panjang. Oleh itu pandangan dan nasihat daripada pihak-pihak berkepentingan perlu diberi pertimbangan. Tanpa proses perbincangan dan konsultasi yang mantap, penggubalan undang-undang baru begitu juga pindaan kepada undang-undang sedia ada, dibimbangkan tidak bersifat komprehensif, malah akan gagal mencapai objektif serta berkemungkinan membawa kesan buruk kepada masyarakat dan negara.
  5. Walaupun cabang ilmu perundangan sentiasa berubah mengikut ritma peredaran masa, namun elemen yang wajib dikekalkan dan sama sekali tidak boleh dikompromikan ialah ‘pelaksanaan keadilan’. Undang-undang akan gagal memenuhi objektif penggubalannya tanpa adanya elemen ‘keadilan’ dibaca bersama-sama di dalam mana-mana peruntukan. Tanpa elemen ‘keadilan’, sesuatu peruntukan perundangan adalah ‘hollow’. Ia laksana jasad yang wujud tanpa roh. Undang-undang sekadar kompilasi adunan ayat dan himpunan perkataan. Allah Subhanahu Wata’ala memberikan peringatan dalam Al Quran, ayat 8 Surah Al Maidah yang bermaksud.“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-sekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”[1]
  6. Chief Justice of the Supreme Court, United States, Earl Warren, memberikan peringatan, “It is the spirit and not the form of law that keeps justice alive”. Oleh itu ketika membaca sesuatu peruntukan undang-undang ia hendaklah ditafsirkan dengan mengambil kira elemen keadilan. Saudara saudari perlu menghalusi setiap peruntukan undang-undang supaya boleh digarap ke arah pembacaan yang lebih berhemah dan bernilai tinggi untuk membantu Mahkamah melaksanakan keadilan.
  7. Berlawanan dengan kebijaksanaan konvensional (conventional wisdom) yang sering kali menyatakan proses keadilan bermula di Mahkamah, Beta berpandangan ia wajar bermula sebelum bermulanya sebarang proses di Mahkamah. Sebelum pendakwaan dimulakan, pertimbangan keadilan perlu disuntik ke dalam proses menilai kertas siasatan kerana prosiding undang-undang jenayah yang bersifat punitif memerlukan setiap fakta diperhalusi dan bukan hanya dibatasi kepada pembacaan undang-undang secara literal. Objektif, dan tujuan mengapa sesuatu peruntukan perundangan jenayah diperkenalkan perlu dibaca bersama-sama dengan fakta kes. Pertimbangan yang serupa terpakai dalam kes-kes sivil.
  8. Dengan mengikuti perkembangan-perkembangan terkini seperti yang diuar-uarkan di dalam pelbagai saluran media, sudah sampai masanya sesuatu undang-undang itu diberikan pertimbangan serta penekanan yang lebih khusus kepada roh keadilan. Undang-undang bukan hanya berkisar kepada do’s and don’t’s tetapi menjangkaui perkara-perkara tersebut. Undang-undang secara hakikatnya berkisar kepada perbincangan falsafah, idealisme yang perlu memenuhi kehendak masyarakat. Justeru itu, pentadbiran dan pengurusan undang-undang memerlukan roh keadilan dibaca bersama-sama dengan ayat dan istilah undang-undang. Undang-undang dan keadilan tidak boleh dipisahkan. Undang-undang dan keadilan wajib seiring dan sejalan.
  9. Institusi pengajian tinggi yang menawarkan program undang-undang sewajarnya memperkenalkan dan memberi penekanan kepada modul pembelajaran berkaitan keadilan demi memastikan kebijaksanaan membaca undang-undang dapat diimbangi dengan pertimbangan keadilan agar objektif kewujudan sesuatu undang-undang akan dapat dipenuhi secara lebih berkesan.
  10. Usaha gigih, disiplin dan ketekunan saudara-saudari telah membuahkan kejayaan untuk dirayakan bersama keluarga dengan penuh keriangan. Bersyukur kepada Yang Maha Mencipta di atas kejayaan ini. Hargailah peranan ibu bapa dan ahli keluarga yang telah melakukan pelbagai pengorbanan di samping senantiasa mendoakan kejayaan saudara saudari, hargailah jasa tenaga pengajar dan pembimbing yang memberikan suluhan cahaya ilmu dan pengetahuan.
  11. Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di atas peranan dan komitmen, memastikan piawaian amalan undang-undang di negara ini berada di tahap tinggi.

Wabillahi taufik, walhidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

  1. Al-Quran; Al Maa-idah (5:8)
%d bloggers like this: