Salam Sejahtera
Keahlian sebagai seorang pengamal undang-undang berkembar dengan tanggungjawab yang besar lagi berat; tanggungjawab yang perlu dipenuhi secara berintegriti kepada sistem keadilan, kepada profesion undang-undang, kepada mahkamah, kepada peguam yang berperanan sebagai pendakwa atau peguam bela, kepada rakan peguam yang lain dan kepada klien.
- Amalan profesional yang asas yang perlu dimiliki oleh seorang pengamal undang-undang, ialah melindungi dan memajukan kedaulatan undang-undang. Raja Aziz Addruse, semasa memenuhi tanggungjawab sebagai editor INSAF telah menulis di dalam editorial mengenai penggunaan kuasa kecemasan eksekutif di bawah Deklarasi Darurat 1969, seperti berikut:
“The Legal Profession’s traditional role has been and still is to uphold and preserve the rule of law and in discharging this central function without fear or favour it has come to be regarded as the sentinel and guardian of the fundamental rights of the individual.”[1]
3. Tiada sesiapa pun dibolehkan berada di atas undang-undang. Raja Aziz Addruse mengingatkan bahawa kedaulatan undang-undang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima begitu sahaja. Usaha mendaulatkan undang-undang sering mencetuskan cabaran dan risiko yang turut memerlukan pengorbanan diri. Menurut Raja Addruse, Badan Peguam dalam pengertian politik, hendaklah bebas daripada sebarang campur tangan negara, dengan kebebasan menyediakan perkhidmatan undang-undang kepada warga di negara ini, tanpa gentar – tanpa pilih kasih, terutamanya dalam bidang undang-undang awam dan undang-undang jenayah.
- Skrip sesebuah filem, disuntikkan nafas melalui keberkesanan peranan yang didukung oleh watak pelakon, dan lirik sesebuah lagu disuntikkan roh oleh kejayaan penyanyi yang mengalunkannya. Para pengamal undang-undang berperanan penting untuk memberikan wajah, meniupkan nafas kepada undang-undang, agar undang-undang melakarkan kecantikan wajah, dengan meniupkan roh keadilan, hingga undang-undang dihormati sebagai dokumen yang suci, dokumen yang berjaya memenuhi matlamat murni penggubalannya. Undang-undang yang tidak dilaksanakan secara adil lagi saksama, akan gagal memenuhi tujuan murni penggubalannya, dan akan tinggal sebagai tulisan tanpa nyawa – tanpa roh di atas kertas.
- Kemajuan sesebuah negara, amat dipengaruhi oleh keyakinan warga dan keyakinan dunia bahawa negara diurus tadbir secara adil lagi saksama berteraskan sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus. Sistem dan institusi undang-undang yang berintegriti lagi telus bergantung pada dukungan oleh para individu dan pengamal undang-undang yang berintegriti dan bersifat telus. Oleh itu elemen integriti dan elemen ketelusan, amat penting disemai dan dipertahankan di kalangan pengamal undang-undang.
- Kekuatan dan kestabilan negara adalah disebabkan pemerintahan dan urus tadbir negara selama hari ini diasaskan kepada undang-undang, yang dilaksanakan secara adil dan telus. Demi kelangsungan sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman dan tenteram, makmur lagi sejahtera, aspek Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, amat wajib dipertahankan, serta tidak boleh dikorbankan oleh mereka yang diamanahkan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal undang-undang.
- Lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara, wajar dijadikan kompas panduan dalam hasrat dan usaha membina dan membangunkan perkhidmatan undang-undang yang berintegriti. Prinsip ketiga dan keempat Rukun Negara menegaskan aspek-aspek Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Prinsip kelima menegaskan aspek kesopanan dan kesusilaan, bermaksud bukan sahaja undang-undang itu penting, tetapi perlaksanaan undang-undang itu hendaklah menghormati aspek-aspek kesopanan dan kesusilaan, bermula daripada peringkat undang-undang digubal, kemudiannya diluluskan hingga dilaksanakan. Prinsip kedua Rukun Negara, menegaskan aspek Kesetiaan kepada Raja dan Negara; bermaksud pada setiap masa kepentingan negara hendaklah diutamakan, dan kesetiaan kepada Raja, bermaksud menjunjung takhta pemerintahan Ketua Negara yang melaksanakan pemerintahan dengan meluhurkan Perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang. Prinsip Rukun Negara yang paling utama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan, untuk menginsafkan manusia, bahawa terdapat kuasa yang mengatasi segala kuasa institusi dan kuasa manusia, menginsafkan manusia akan akauntabiliti terhadap Pencipta Yang Maha Mengetahui segala yang berlaku, sama ada kebenaran atau kepalsuan, agar manusia tidak tergelincir daripada prinsip-prinsip asas untuk menjamin bahawa keadilan dilakukan secara saksama kepada setiap pihak tanpa sebarang penganiayaan.
- Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di atas peranan dan komitmen, berusaha memastikan piawaian amalan undang-undang di negara ini berada di tahap tinggi. Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua lulusan Sijil Amalan Guaman.
[1] Editorial INSAF 1969.
In the News:
http://www.utusan.com.my/mobile/berita/nasional/negara-stabil-kerana-undang-undang-adil-8211-sultan-nazrin-1.647841
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/411328/undang-undang-perlu-dilaksanakan-tanpa-gentar-sultan-nazrin